Friday 29 August 2014

Crashed Royal Air Force C-47 Skytrain (Dakota) KN630 found after 62 years

Sebuah pesawat C-47 Dakota dari No. 52 Squadron, Royal Air Force (no, KN630) berlepas dari RAF Changi, Singapura dan mendarat di Kota Bahru, sebelum meneruskan misi menanda sasaran (smoke marker) di kawasan yang dikenal pasti sebagai kem pengganas komunis di Gua Musang. Penandaan sasaran dilakukan bagi membolehkan 8 buah pesawat pengebom Lincoln yang berhampiran melakukan pengeboman kekawasan yang telah dikenalpasti tersebut. Bagaimanapun pesawat malang itu mengalami kerosakan enjin dan terhempas berhampiran Kampung Jendera, Mukim Galas, Gua Musang. Tragedi ini berlaku pada 25 Ogos 1950.

12 orang krew dan penumpang telah terbunuh - 3 juruterbang RAF, 6 anggota tentera British, seorang konstable polis dan dan 2 orang awam (Orang Asli dan pegawai Perbadanan Kemajuan Kelantan). Pasukan penyelamat telah tiba dilokasi kemalangan 9 hari kemudian, bagaimanapun mereka terpaksa mengkebumikan kesemua mangsa dilokasi kerana kesulitan untuk membawa keluar mayat dari kawasan tersebut dan juga khuatir akan diserang hendap oleh pengganas komunis.

Enam dekad selepas pesawat tersebut terhempas, saudara kepada Flight Navigator Geoffrey Carpenter, (berusia 23 tahun semasa kejadian) telah menulis surat kepada pejabat pelancongan Malaysia meminta maklumat (peta) berkenaan lokasi pesawat itu. Permintaan tersebut telah dimajukan kepada Persuruhjaya Tinggi Malaysia di London.

Pada November 2008, kumpulan seramai 150 anggota tentera (Briged ke-8), polis dan pakar forensik arkeologi telah menemui rangka pesawat tersebut dan kesemua mangsa dalam nahas tersebut. 

Rangka mangsa nahas telah disemadikan di Commonwealth War Grave Cemetery di Cheras dengan istiadat tentera.

Kiri ke kanan: Mendiang Philip Bryant, Geoffrey Carpenter, Oliver Goldsmith, Roy Wilson. Semua yang terkorban berusia antara 21 hingga 25 tahun pada masa itu.

Mendiang Sgt Thomas O Toole

Glenwyn Davis anak kepada mendiang Sgt Thomas O Toole bersama suami






Allahyarham PC 9634 Mohamed bin Abd Jalil 


DCP Dato' Mohd Mokhtar Mohd Shariff, Ketua Polis Johor menyerahkan Jalur Gemilang kepada waris keluarga Allahyarham, Haji Hamdan Abd Jalil. Jenazah PC 9634 Mohamed bin Abd Jalil dikebumikan di Kg. Bukit Treh, Muar, Johor pada 6 April 2011.


Sembahyang jenazah di Masjid Bukit Aman




Berikut adalah rencana dari akhbar Kosmo Online:

Menjawab misteri Carpenter

Sepucuk surat yang dikirim oleh waris Geoffrey Clarence Carpenter kepada Kolonel Mohd. Tajri telah membongkar misteri pesawat DC-3 Dakota yang terhempas dan bersemadi di tengah-tengah hutan tebal, di Gua Musang, Kelantan, enam dekad lalu.


PENERBANGAN pada 25 Ogos 1950 itu sama seperti misi serupa yang pernah dilaksanakan sebelumnya oleh krew pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630) Tentera Udara Diraja Britain (RAF).
Sejak beberapa minggu lalu, hutan tebal Gua Musang menjadi lokasi utama krew Nombor 52 Skuadron RAF ini. Mereka ditugaskan mengesan kedudukan gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang kuat bertapak di situ.
Melalui kokpit hadapan, juruterbangnya, Leftenan Udara Edward Robert Talbot, RAF melihat paparan meter serta paras ketinggian pesawat yang dibantu jurumalim, Sarjan (Udara) Geoffrey Clarence Carpenter.
Seorang lagi krew pesawat Dakota KN630 ini ialah jurusemboyan, Sarjan Udara Thomas O'Toole, RAF.
ANGGOTA tentera menggali tanah untuk mencari tulang mangsa nahas pesawat.


Turut serta dalam penerbangan hari itu ialah pegawai Loyal Regiment, Mejar JH Proctor yang ditumpangkan bersama Batalion Kedua Askar Melayu, selain empat anggota Royal Air Service Corp (juga tentera British) yang mengendalikan kargo pesawat, seorang pegawai kerajaan Kelantan berbangsa Inggeris dan tiga rakyat tempatan.
Misi Dakota KN630 hari itu ialah untuk menggugurkan smoke marker.
Ia bagi membantu operasi pengeboman ke atas lokasi komunis yang dikenal pasti oleh lapan pesawat pengebom Lincoln Bombers yang terbang tidak jauh dari situ.
Malangnya, pesawat ini terputus hubungan dengan menara kawalan. Ia dipercayai terhempas di Mukim Galas di tengah-tengah hutan tebal Gua Musang.
RAHANG tulang gigi.


Tinjauan udara oleh pesawat RAF kemudian mengenal pasti lokasi pesawat terhempas sebelum mengerahkan sepasukan anggota tentera ke kawasan tersebut.
Namun, mereka hanya berjaya mengesan lokasi nahas sembilan hari kemudian. Atas faktor keselamatan dan kesukaran membawa mangsa keluar, kesemua yang terkorban dikebumikan di sebuah lokasi berhampiran bangkai pesawat terhempas.
Itu cerita 58 tahun dulu. Tetapi, bagi waris salah seorang krew pesawat ini, Dennis Carpenter, 78, berita kehilangan abangya, Sarjan (Udara) Geoffrey Clarence Carpenter masih misteri. Biarpun keluarganya diberitahu keluarga mereka terkorban, tetapi nalurinya tetap ingin tahu di mana lokasi sebenar jasad abangnya disemadikan.
Setelah beberapa kali berusaha, akhirnya sepucuk surat beliau yang dialamatkan kepada Atase Pertahanan Malaysia di Britain, Kolonel Mohd. Tajri Alwi dibalas.
SARJAN Ramli Abdullah mengetuai bacaan doa sebelum memulakan penyelidikan ke atas pesawat British Royal Air Force.


Walaupun jawapan yang diterima ringkas, tetapi kesediaan Mohd. Tajri membantu mengesan kedudukan pesawat malang tersebut terhempas cukup menggembirakan beliau.
Dennis kini menetap di Croyden dekat selatan London. Dalam suratnya, Carpenter turut menyertakan koordinat dan lokasi pesawat itu dipercayai terhempas.
Semuanya berdasarkan maklumat yang diperolehnya daripada RAF dan penyelidik perang di sana.
Mohd. Tajri kemudian memanjangkan perkara tersebut kepada Kementerian Pertahanan (Kementah) sebelum mengarahkan Markas Briged Ke-8 Infantri Kem Pengkalan Chepa melakukan pencarian tersebut.
Bagaimanapun, kedudukan hutan tebal Gua Musang menyukarkan kerja-kerja untuk menjejaki kedudukan pesawat tersebut.
KAPTEN Zuraiman Abd Ghani membawa bekas berisi cebisan tulang penumpang pesawat Tentera Udara Diraja British.

Berpandukan maklumat yang terhad itu, anggota Briged Ke-8 melakukan tiga misi.
Mereka berjaya menemui lokasi sebenar bangkai pesawat pengangkut yang berjaya kira-kira tiga kilometer dari Kampung Penchong. Untuk ke sana, ia mengambil masa lima jam perjalanan dari bandar Gua Musang.
Menurut Panglimanya, Brigedier Jeneral Azizan Md. Delin, pencarian pertama dilakukan pada bulan Jun lalu, tetapi gagal.
"Atase Pertahanan Malaysia di Britain melalui Markas Tentera Darat (Mk TD) meminta briged ini membantu mendapatkan fakta tepat mengenai lokasi dan tanah perkuburan krew pesawat itu. Mereka menjumpainya pada 19 Jun.
"Pasukan pencari seramai 15 anggota diketuai Kapten Muhamad Isa Hassan itu dibantu dua jurupandu Orang Asli tempatan dan dua anggota Kor Risik menggunakan tiga kenderaan pacuan empat roda.
KASUT antara barang yang ditemui.


"Bagaimanapun, lokasi kemalangan yang terletak jauh di tengah-tengah belantara Mukim Galas yang sukar dilalui dengan kenderaan, selain terdedah kepada ancaman binatang buas menyukarkan usaha tersebut," ujarnya.
Menurut Azizan, pasukan pencari terpaksa berjalan kaki kira-kira dua jam untuk sampai ke satu kawasan kaki bukit. Ia berdekatan sebatang anak sungai di mana pesawat Douglas DC-3 Dakota itu dipercayai terhempas.
Hasil penemuan tersebut, Panglima TD, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin telah mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Britain, Jeneral Sir Richard Dannat. Beliau menyatakan kesediaan dan komitmen untuk memberikan kerjasama kepada kerajaan British.
Dua tinjauan susulan telah dilakukan Muzium TD iaitu pada 15 hingga 19 September dengan diiringi oleh wakil Markas 8 Briged, manakala tinjauan kedua pada 15 hingga 19 Oktober disertai pihak Polis Diraja Malaysia dari Bukit Aman dan Muzium PDRM.
Semasa tinjauan kedua, pihak Muzium TD telah melaksanakan kerja-kerja 'pengesanan tapak' menggunakan peralatan electromagnetic surveyer.
Ia bertujuan mengesahkan kewujudan rangka manusia di kawasan yang dikenal pasti. Namun berkemungkinan disebabkan faktor tulang yang telah rapuh dan terurai, kesan tindak balas magnetik amat lemah.
Hasilnya, Markas TD kemudian memutuskan agar misi evakuasi bangkai pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630) RAF ini dilaksanakan sepenuhnya. Diberi nama Ekspedisi Garis Waktu KN 630, ia diketuai oleh pihak Muzium TD. Tujuannya untuk membawa keluar rangka manusia dan beberapa peralatan penting pesawat dari lokasi nahas.
Ekspedisi ini juga mendapat kerjasama dan gabungan kepakaran pelbagai unit-unit TD, khasnya Markas 8 Briged, polis, wakil kerajaan Britain dan pakar-pakar forensik Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian. Turut serta dalam misi yang bermula 2 hingga 12 November itu ialah kakitangan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Jabatan Perhutanan serta penyelidik daripada Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG).

Penggalian dua kawasan busut yang dipercayai krew pesawat malang itu ditanam berjaya menemui beberapa tinggalan tulang-temulang manusia.
Ini termasuklah cebisan pakaian seragam dan kasut.
Proses evakuasi berjaya diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Pada 12 November, rangka kru pesawat malang Dakota (KN630) RAF berjaya dibawa keluar setelah 58 tahun bersemadi di hutan Gua Musang.
Setelah melalui perjalanan selama 10 jam, kesemua rangka seperti cebisan tengkorak dan tulang yang diisi di dalam 12 bungkusan plastik kecil tiba di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan pada pukul 9.30 malam bagi proses ujian DNA.
Pasukan evakuasi Markas Tentera Darat (TD) yang diketuai Muzium TD itu terpaksa memilih jalan darat setelah helikopter Nuri tidak dapat mendarat di kawasan tersebut kerana faktor cuaca. Penyerahan kesemua rangka yang siap bertanda yang diisi di dalam kotak plastik kepada HUSM oleh Pengarah Muzium TD, Lt Kol Norhayati Mansor kepada Timbalan Pengarah HUSM, Dr. Mohd. Rosdi Abd. Rahman.
Menurut Mohd. Rosdi, dengan sampel yang ada, pihaknya dijangka memulakan ujian tersebut pada bila-bila masa sebelum memaklumkan hasilnya kepada pihak Muzium TD untuk tindakan seterusnya.
"Proses ujian DNA yang diketuai oleh Ketua Pasukan Forensik HUSM, Dr. Zafarina Zainuddin dijangka mengambil masa sebulan bagi mengenal pasti identiti krew pesawat Dakota RAF itu.
"Sejak 3 November lalu, beliau turut sama dengan pihak Tentera Darat dalam Ekspedisi Garis Waktu pesawat Dakota ini di Gua Musang," jelasnya.
Sementara itu, kenyataan daripada Markas TD memberitahu, kejayaan misi ini akan disusuli dengan beberapa pencarian serupa bertujuan untuk mendokumentasikan peristiwa bersejarah berkaitan ketenteraan tanah air.
"Bermula dengan pencarian pesawat pengebom B-24 Liberator di sempadan Malaysia - Thailand pada Julai 2008, misi pesawat Dakota KN630 ini merupakan misi ketiga Ekspedisi Garis Waktu.
"Pihak kita merekodkan 30 pesawat tentera yang dikenal pasti terhempas di Tanah Melayu sejak 1945 hingga 1951, antaranya lapan jenis Dakota termasuk sebuah terhempas di Serendah, Selangor," ujarnya

Rujukan:

Foto kredit kepada BBC News

http://www.cwfww2.com/index.php/forum/73-conflicts-other-than-ww2/755-dakota-kn630-1950-malaya-crash-site-found

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

http://www.rmp.gov.my/news-detail/2014/06/11/jenazah-perwira-negara-disemadikan-dengan-penuh-istiadat-setelah-61-tahun-terkorban


Thursday 28 August 2014

History of Royal Brunei Malay Regiment / Askar Melayu Diraja Brunei

Sumbangan Tentera Persekutuan Tanah Melayu dalam pembentukan Askar Melayu Diraja Brunei.

Mungkin sebahagian rakyat Malaysia tidak sedar yang Rejimen Askar Melayu Diraja mempunyai "saudara" di Nusantara ini. Hanya dua negara sahaja yang berbangga menggunakan nama "Askar Melayu" dan meletakkannya sebagai satu rejimen tulang  belakang pertahanan negara - Malaysia dan Brunei. Kita memainkan peranan besar dalam membentuk Rejimen Askar Melayu Diraja Brunei dikala Brunei Darussalam cuba berdikari dalam membentuk pertahanan sendiri berasaskan dari sumber tenaga anak-anak watan.

Askar Melayu Brunei telah ditubuhkan pada 31 May 1961 dengan pengambilan rekrut pertama seramai 60 orang. Antara syarat untuk menyertai pasukan ini, pemohon mestilah anak Melayu kelahiran Brunei. Pengumuman penubuhan Askar Melayu Brunei ini dibuat oleh Sultan Brunei ketika itu, His Majesty Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Maulana Al-Sultan Sir Muda Omar Ali Saifuddin Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang juga merupakan Sultan Brunei yang ke-28. Notis untuk pengambilan rekrut yang pertama kali ini dibuat pada akhbar Borneo Bulettin bertarikh 21 April 1961. Gaji permulaan yang ditawarkan ketika itu ialah 160 dollar Brunei sebulan. Pemohon-pemohon hendaklah berusia antara 18 hingga 35 tahun.

Pemilihan dilakukan oleh sepasukan tentera dari Malaya yang diketuai oleh Mejar Muhammad. Daripada 100 pemohon, 60 orang telah terpilih untuk menjalani latihah asas yang akan dikendalikan oleh Tentera Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya Armed Forces). Pada masa yang sama. beliau juga mengumunkan bahawa 3 orang rakyat Brunei sedang menghadiri latihan sebagai Pegawai Kadet di Port Dickson, Malaya. Proses pemilihan rekrut berjalan selama kira-kira 10 hari, kemudian pada 31 May 1961, kesemua bakal rekrut di bawa ke Lapau, untuk mengangkat sumpah dihadapan Majistret dan seterusnya mereka dibawa ke Lapangan Terbang Brunei di Berakas. Penerbangan pertama dengan pesawat Bristol Freighter dari Royal New Zealand Air Force (RNZAF) membawa kumpulan pertama seramai 25 orang dan tiba di Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang. Penerbangan Kedua oleh Royal Air Force (RAF) yang membawa baki 35 rekrut pula hanya dapat dilakukan keesokkan  harinya.

Kumpulan rekrut-rekrut ini telah menubuhkan Platun 5 dan Platun 6. Pegawai Memerintah pasukan ini pada Julai 1961 adalah Lt. Kol Tengku Ahmad bin Tengku Besar Burhanuddin yang berpengalaman berkhidmat selama 15 tahun didalam Tentera Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu.



Semasa latihan rekrut pertama berjalan, pengamabilan untuk anggota-anggota baru diteruskan pada bulan Ogos 1961. Kali ini 70 orang bakal rekrut meninggalkan Pelabuhan Bolkiah dengan disaksikan oleh 2,000 ahli keluarga. Perbarisan tamat latihan yang pertama dilakukan pada 4 November 1961 dimana Brigadier Tengku Osman bin Tengku Mohammed Jewa telah melakukan pemeriksaan barisan. Anugerah Rekrut Terbaik dimenangi oleh Abu bakar bin Tahir dan Penembak Terbaik adalah Mohammad Shah bin Mohammad. Sebagai mengingati tarikh yang penting ini, Tentera Darat Diraja Brunei menyambut ulangtahun penubuhannya pada tarikh tersebut setiap tahun.

Sekembalinya ke Brunei, mereka telah mengadakan perbarisan dihadapan  Sultan Sir Muda Omar Ali Saifuddin Sa'adul Khairi Waddien dengan disaksikan oleh ribuan rakyat Brunei. Selepas menamatkan cuti mereka, pasukan ini telah dipostingkan ke beberapa unit dalam Pasukan Tentera Persekutuan. Pada 8 Disember 1962, tiga pegawai kadet telah berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai pegawai di Maktab Tentera Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Penubuhan pasukan asas Askar Melayu Brunei ini yang terdiri dari HQ (Markas), Kompeni-kompeni A, B dan C telah lengkap pada 16 Jun 1962 dengan keanggotaan dari rekrut-rekrut dari 3 pengambilan dan ditempatkan di Kem Segenting, Port Dickson. Pada penghujung tahun 1963, Rejimen ini mempunyai kekuatan 410 anggota. Mereka kemudian meninggalkan Kem Segenting menuju ke Brunei dengan kapal Auby dari Straits Steamship Company dan tiba pada 4 May 1964. Seramai 5,000 orang telah hadir untuk menyambut mereka dan menyaksikan perbarisan di hadapan Bangunan Sekretariat. Selepas diberikan cuti selama sebulan, mereka kemudiannya ditempatkan di Kem Berakas, Brunei yang baru disiapkan.

Askar Melayu Brunei kemudiannya berkembang dengan penubuhan Seksyen Perahu (Boat Section) dan penubuhan Pasukan Udara (Air Service) dengan menggunakan 2 buah helikopter jenis Sikorsky S-55. Pada 25 Jun 1966, Platun Helikopter ditubuhkan dan dilengkapi dengan 2 buah helikopter Westland Whirlwind. Sempena sambutan Hari Ulang Tahun Askar Melayu Brunei yang ke-4, gelaran Diraja telah dikurniakan dan semenjak itu ia dikenali sebagai Rejimen Askar Melayu Diraja Brunei. Batalion Pertama pada ketika itu diketuai oleh Lt. Col J.F. Davis, dan pada 2 Jan 1975, Batalion Ke-2 pula ditubuhkan dengan Lt. Col A.E. Hibbert sebagai Pegawai Memerintah. Batalion Ke-2 telah berpindah ke Kem Tutong pada 10 May 1976.



Batalion Ke-3 pula hanya ditubuhkan pada 31 May 1994 sempena Hari Ulang Tahun ke-33 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Batalion ini ditempatkan di Lumut, Belait pada 21 Jun 2007. Seningga kini Tentera Darat Diraja Brunei terdiri dari 3 batalion Askar Melayu Diraja Brunei dan sebuah batalion sokongan (armor, jurutera dan Markas Kompeni).




Latihan bersama Tentera Darat Singapura


Panglima Tentera Darat Diraja Brunei adalah Brig Jen Dato' Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abdul Rahman yang juga merupakan panglima yang ke-8, bermula pada 13 November 2009.


Kelengkapan Tentera Darat Diraja Brunei adalah seperti berikut:

45 x VAB APC
16 x FV101 Scorpion
2 x FV105 Sultan (Command Post)
1 x FV106 Samson (Recovery)
42 x Anoa 6 x 6 APC

24 x 81mm L16 mortar



Wednesday 27 August 2014

60 Gerakhas commandos Vs 400 Communist Terrorrists / Operasi Gubir 2

Operasi Gubir 2 (20 April 1976 hingga 3 Mei 1976)

Susulan kepada pertempuran dan serang hendap yang dilancarkan oleh pengganas komunis, Angkatan Tentera Malaysia mengambil keputusan untuk melancarkan serangbalas terhadap musuh disebuah kawasan yang disyaki kubu kuat mereka. Dianggarkan 400 anggota pengganas berkubu disitu berserta dengan 3,600 jerangkap samar yang telah dipasang sekitarnya.

Operasi dirancang berdasarkan maklumat SEP (Surrendered Enemy Personnel) yang dikenali sebagai Abdullah. Dia mengatakan yang dia telah dilatih disebuah kem di kawasan pergunungan berhanpiran sempadan Thai. Kem tersebut mampu menempatkan beberapa ratus pengganas komunis dan dilengkapi dengan generator elektrik dan juga mesin cetak. Bagaimanapun dia tidak dapat memastikan lokasi kem tersebut dengan tepat. Seorang pegawai tentera mengatakan dia pernah nampak kawasan kebun sayur seperti yang dikatakan oleh Abdullah dan mahu Abdullah mengikutnya untuk mengecam kawasan tersebut. Bagaimanapun Abdullah enggan kerana khuatir akan keselamatan dirinya. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk melakukan tinjauan dari udara. 

Formasi yang terlibat adalah seperti berikut:

1. Markas 2 Divisyen Infantri - Mej Jen Dato' Mahmood Sulaiman
2. Markas 6 Briged Infantri - Brig Jen Dato' Arul Pragasam
3. Rejimen Gerak Khas Malaysia (1 RGKM) - Lt. Kol Hasbullah Bon
4. Markas Jurutera 2 Divisyen - Lt. Kol Mei York Chee
5. No. 3 Skuadron Jurutera - Mej Akhbar Khan
6. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

Kekuatan Pasukan Penggempur - X Skuadron, 1 RGKM (60 sukarela)
a. Ketua Skuadron - Kapt Sudirman Haji Ahmad
b. Ketua Terup - Lt Aziz Rashid & Lt Azizan
c. Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) - 57 orang

Kekuatan Detasmen Jurutera - Gabungan 1 & 2 Terup, 3 Skuadron Jurutera
a. Ketua - Lt. M Basri (23 Apr hingga 25 Apr 1976), diambilalih Lt. M Mior Safian
b. LLP - 18 anggota

Tugasan Utama Jurutera - membantu pasukan komando RGKM
a. membina tempat mendarat helikopter
b. membersihkan jerangkap samar

Pemandangan Kem Gubir pada masa operasi


Serangan Udara

Pada 16 April 1976, jet-jet CL-41G Tebuan dari No. 6 Skuadron dan F5E Tiger II dari No. 12 Skuadron TUDM telah terlibat dalam melakukan serangan udara. Sebahagian Tebuan dilengkapi dengan mini-gun dan roket, manakala sebahagian lagi membawa bom-bom 500 lbs. Helikopter Allouette bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) untuk menandakan sasaran.

Serangan pertama tidak memberi banyak kesan kerana kawasan hutan tebal cukup memberi perlindungan kepada sasaran. Bagaimanapun serangan bertubi-tubi itu akhirnya berjaya membuatkan sebahagian besar pengganas komunis berundur ke sempadan Thai melalui terowong khas yang telah mereka bina. Laporan yang diterima keesokkannya menunjukkan terdapat kesan-kesan darah dikawasan sasaran.


Jet CL-41G Tebuan


Pendaratan Pasukan Penggempur.

Percubaan pertama gagal kerana mereka diserang terlebih dahulu oleh penganas komunis. Percubaan kali ke-2 diiringi oleh helikopter gunship Allouette. Anggota-anggota komando Gerakhas (RGK) menggunakan 3 buah helikopter Nuri untuk masuk ke kawasan sasaran. Ini adalah satu-satunya cara 'insertion' kerana kawasan sekitar telah dipasang banyak jerangkap samar.

Helikopter ke-2 mula-mula menurunkan anggota, bagaimanapun teknik rapelling tidak dapat dilakukan kerana tali tersangkut dipokok. Kaedah winching (menggunakan kabel yang dijana mesin) kemudian digunakan. Bagaimanapun, kedatangan mereka disedari oleh pasukan musuh. Pengganas komunis menembak helikopter dengan pelancar grened M79 tetapi tersasar mengenai pokok.

Pertempuran berlangsung selama kira-kira setengan jam. Kedudukan tersebut akhirnya berjaya ditawan oleh RGKM tetapi memakan korban dengan 11 anggota RGK terbunuh, manakala 22 pengganas komunis dapat dibunuh. Mereka meneruskan pembersihan jerangkap samar dikawasan laluan dan menyediakan Landing Point (LP) untuk pendaratan anggota Jurutera yang akan meneruskan kerja-kerja memusnahkan jerangkap samar serta membuat penyiasatan dan kajian lanjut keatas terowong yang ditemui.

Dalam proses pengeledahan dan pembersihan 3 anggota cedera RGK telah tercedera terkena jerangkap samar, mereka ialah:
1. Sjn Ahmad Jantan - cedera parah dikaki
2. Truper Yaacob Hassan - cedera parah dikaki
3. Truper Hussin Mahbeb - cedera parah ditangan



Pembersihan Dalam Terowong

Pembersihan didalam terowong diteruskan pada 25 April 1976. Laluan dalam terowong yang telah dibersihkan dari jerangkap samar akan diletupkan. Tugas ini dilaksanakan oleh Terup 1 dan Terup 2 dari 3 Skuadron Jurutera. Ketika didalam terowong, team yang diketuai oleh Lt Meor telah berada jauh dihadapan. Lt. M Basri dengan ditemani L/Kpl Abdullah pula menuruni 31 anak tangga didalam terowong tersebut. Mereka menggunakan lampu suluh kerana suasana didalam terowong itu agak gelap. Ketika itu Lt M Basri terlihat satu guni beras yang diletakkan disebelah kiri laluan dan mengesyaki terdapat jerangkap samar disitu. Beliau mengarahkan anggota-anggota lain mengikuti rapat disebelah kanan.

Sebaik saja Lt. Muda Basri melangkah kakinya ke kanan, tiba-tiba berlaku satu letupan kuat. Dia rebah dan senjata yang dibawanya terpelanting. Dia telah mengalami kecederaan dipunggung. Ketika itu juga L/Kpl Abdullah menjerit memberitahu bahawa dia tercedera didada. Sememangnya jerangkap samar itu dipasang pada ketinggian yang menjadikan jantung sebagai sasaran. Beliau diusung naik keluar dari terowong dalam keadaan parah dan setibanya di permukaan, beliau menghembuskan nafas terakhir.

Anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) mengesan jerangkap samar jenis letupan


Tragedi Nuri Ditembak Jatuh - 26 April 1976

Sebuah helikopter Nuri yang membawa bekalan peluru, bahan letupan (untuk memusnahkan terowong) dan juga 11 penumpang serta krew telah ditembak jatuh oleh pengganas komunis. Berikut adalah senarai mangsa yang terkorban didalam tragedi itu:


  • Lt (U) Chung Ming Teck PTU, No. 10 Skuadron, Kapten pesawat
  • Lt (U) Wan Munsiff bin Wan Salim KPK, No. 10 Skuadron, Co-pilot
  • Sjn Leong Yee Heng PTU, No. 10 Skuadron, AQM
  • Kapt (U) Choo Yeok Boo PGB, No. 7 Skuadron (Kapten)
  • Kapt (U) Mustapha Kamal bin Mohamad Shafie KPK, No. 7 Skuadron (Co-pilot)
  • Mej Haris bin Rejab, MMLO Haadyai
  • Kapt Sulaiman bin Abdullah, 6 Briged Infantri
  • Lt Ibrahim bin Zakaria, Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
  • Sjn Kamis bin Dolmat, Batalion ke-3 RAMD
  • L/Kpl Kamarulzaman bin Zakaria, X Skuadron Rejimen Gerakhas (RGK)
  • L/Kpl Suandi bin Saim, X Skuadron RGK


Pada 27 April 1976, elemen Jurutera dan sebahagian anggota komando dikeluarkan dari kubu pengganas tersebut setelah berjaya memusnahkan terowong dan bunker. Mereka bergerak menuju ke "extraction point". Helikopter melakukan bebrapa penerbangan ulang-alik sehinggalah ia disedari oleh sepasukan pengganas komunis. Penerbangan terpaksa dihentikan, baki 18 anggota komando RGK terpaksa ditinggalkan dan mereka diarah melakukan RV (rendezvous) disatu kawasan berhampiran LP (landing point) dimana sepasukan komando akan menanti ketibaan mereka untuk dibawa keluar.


Menukar blade Nuri yang rosak

Pasukan artileri juga beri bantuan tembakan


The Great Escape

1 Mei 1976
Kumpulan 18 anggota komando itu diketuai oleh Lt. M Aziz Rashid (bersara Lt. Kol). Dianggarkan terdapat seramai 60 pengganas komunis mengepung lokasi mereka. Kawasan ini ditanam dengan anak pokok getah. Pengganas komunis datang dengan menaiki lori. Lt. M Aziz memecahkan anggotanya kedalam 3 kumpulan. Mereka diingaykan tidak menembak musuh kecuali kehadiran mereka sangat jelas kerana hendak menjimatkan peluru. Anehnya, mereka tidak diserang pada malam itu. Beliau sempat menghubungi Z Skuadron dan dia dimaklumkan helikopter Nuri tidak dapat mengambil mereka kerana lokasi didapati tidak selamat. Seterusnya, beliau diarahkan untuk RV dengan sepasukan komando yang telah ditugaskan untuk menyelamatkan mereka.

2 Mei 1976
Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2 x helikopter Allouette (gunship) ke lokasi yang dilaporkan oleh Lt. M Aziz. Beliau telah mengarahkan Alouette tersebut menembak kekawasan tertentu yang dipercayai ada pengganas komunis. Setiap helikopter mneghamburkan 200 butir peluru meriam 20 mm HE (High Explosive). Lt. M Aziz dan anggotanya bergerak keluar tetapi tidak mengikut "track" yang sedia ada, dikhuatiri ianya telah dipasang jerangkap samar. Dalam perjalanan, mereka menemuai sebuah kem pengganas komunis yang telah ditinggalkan secara tergesa-gesa mungkin menyelamatkan diri dari serangan helikopter Allouette tadi.

Alouette dengan 20mm gun

Menyedari yang musuh akan terus memburu mereka, menjelang malam, Lt. M Aziz mengarahkan anggotanya membuat "rumah batu" (hammock juga digelar Jungle Hotel - Jungtel). Ini bukan kebiasaan bagi anggota komando kerana mereka biasanya tidur berhamparkan ponco diatas tanah. Rupanya ini adalah umpan untuk mengelirukan pasukan musuh. Mereka bergerak meninggalkan lokasi itu dan menuju ke kawasan tinggi untuk membuat serang hendap.Seperti malam sebelumnya, arahan jangan menembak kecuali kehadiran musuh jelas. Selain itu anggota diingatkan kemungkinan pangganas komunis akan memasang lampu suluh pada hujung kayu panjang dan menyuluh kearah atas untuk mensasarkan tembakan. Sebagaimana yang dijangkakan, memang benar musuh meghampiri kawasan khemah (Jungtel) mereka kerana kelihatan cahaya lampu suluh menghala keatas.

3 Mei 1976
Menjelang pagi mereka turun semula ke Jungtel dan mendapati banyak kesan tapak kaki disitu, dianggarkan kira-kira 40 pengganas komunis telah menggelidah kawasan itu. Mereka meneruskan perjalan ke RV dan apabila tiba dikawasan sempadan Malaysia-Thai terdapat tanda lakaran jerangkap samar yang dilekatkan pada 2-3 batang pokok. Memang pengganas komunis akan meninggalkan tanda jika sesuatu kawasan itu telah dipasang jerangkap samar supaya kawan-kawan mereka akan menghindari kawasan tersebut.

Bagi mengelak dari terkena jerangkap samar, mereka mengikat 3 beg galas (haversack) dengan tali dan melontar kearah laluan dihadapan. Kemudian tali akan ditarik perlahan-lahan, sekiranya ada jerangkap samar yang meletup, itu tidak akan memudaratkan mereka kerana mereka berada dalam jarak yang selamat. Proses ini diulang sehinggalah mereka selamat tiba di kawasan RV. Sepasukan komando RGK dari Y Skuadron yang diketuai oleh Lt. M Rajasegaran telah menanti mereka. Inilah kali pertama dalam beberapa hari mereka berpeluang bertemu makanan! Seterusnya mereka bergerak menuju ke LP dan diterbangkan oleh helikopter Nuri ke Kem Gubir. Ketika disana, Lt. M Aziz telah dimaklumkan pihak atasan telah menyediakan 18 keranda seandainya mereka tidak dapat kembali dengan selamat.

Logo Gerakhas

Gerakhas dalam latihan

Latihan asas komando





Sumber kompilasi dari beberapa link dibawah:

Kredit kepada Tuan Mej (B) Nor Ibrahim b. Sulaiman, sebahagian besar maklumat dan gambar-gambar dari blog beliau Xnuripilot.blogspot.com


http://kezoom.blogspot.com/2014/03/yaacob-komando-cerita-detik-pertempuran.html#.U_3_ycWSzd0

http://min-def.blogspot.com/2013/02/pahlawanku-nubari-yang-terluka.html

http://xnuripilot.blogspot.com/search/label/Gubir%20Tragedy

http://macammacammalaysia.blogspot.com/2013/07/cl-41g-tebuan-6-skuadron-tudm-dan.html

History of 7th Battalion Royal Malaysian Rangers (Mechanised Infantry) / Rejimen Renjer Diraja

Sejarah Batalion ke-7 Rejimen Renjer Diraja (Mekanis)

Batalion ini ditubuhkan pada 10 Mei 1970 di Kem Quetta II, Kluang, Johor dengan keanggotaan gabungan seperti berikut:

1. peruntukan khas seramai 202 rekrut baru untuk menubuhkan 2 kompeni
2. 1 kompeni dari Batalion ke-8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
3. 1 kompeni dari setiap Batalion ke-2, ke-3 dan ke-4 Rejimen Renjer Diraja (RRD)

Bagaimanapun, anggota dari Batalion ke-8 RAMD telah diberi pilihan samada ingin diserapkan ke Rejimen Renjer Diraja atau ditukarkan kembali ke kor asal masing-masing. Sebilangan besarnya memilih untuk dikekalkan. Pegawai yang bertanggungjawab mengasaskan penubuhan batalion ini ialah Pegawai Memerintah (CO) yang pertama - Lt. Kol Osman bin Mohd Zain.



Walaupun masih baru, batalion ini telah menunjukkan kecemerlangan dengan kejayaan membunuh 20 pengganas komunis dalam operasi-operasi berikut ketika era perang melawan insurgensi 1968 hingga 1989:

1. 9 Apr 1972 - dalam satu gerakan pemburuan di Kampung Perian, Lundu, Sarawak - 3 pengganas dibunuh, merampas 3 rifel SLR dan sebuah radio set.

2. 14 Jul 1972 - Kompeni C yang diketuai oleh Kapt. Ropee yang membuat gerakan di kawasan Kampung Opah, Lundu, Sarawak berjaya membunuh 1 pengganas komunis

3. 24 Jul 1972 - gerakan khas Kompeni A di Kampung Kubung, Lundu Sarawak - 2 pengganas dibunuh dan 1 cedera

4. 1 Ogos 1972 - gerakan oleh Kompeni C yang diketuai Kapt. Sabdin Ghani di kawasan Lundu, Sarawak berjaya membunuh seorang pengganas

5. 16 Okt 1973 - Operasi Setia IV di Sungai Siput, Perak - No. 10 Platun yang diketuai oleh Sjn Adap Moet berjaya membunuh seorang pengganas komunis dan merampas sepucuk senapang carbine.

6. 22 Apr 1974 - Operasi Gonzales di Jalung, Perak - No 7 Platun yg diketuai oleh Sjn Harris Taha berjaya membunuh 5 pengganas komunis

7. 25 Mei 1974 - Operasi di Kulim, Kedah - 2 pengganas dibunuh

8. 29 Jun 1978 - Operasi Bersama Selamat Sawadee di Selatan Thai, No. 4 Platun, C Kompeni, diketuai oleh Sjn Shaari menembak mati 3 pengganas komunis dan merampas 3 senjata carbine, 1 x Thomson dan 1 x M79

9. 17 Sep 1980 - Operasi Hentam Galas di Gua Musang, Kelantan - 1 pengganas dibunuh


Pertempuran dalam Operasi Gonzales

Batalion ke-7 RRD telah menjalani Ops Gonzales disekitar kawasan Jalong pada 8 April 1974 hingga 1 Mei 1974 untuk mencari dan memusnah musuh. Pada 21 April 1974, jam 1115 dua org anggota 7 RRD dari Kompeni A telah ditembak oleh sekumpulan 4 orang pengganas komunis. Kompeni C telah dikejarkan ke lokasi untuk membuat sekatan. Pada hari yang sama jam 1700, No. 7 Platun yang sedang membuat rondaan tempur menjumpai tanda anak panah yang dibuat dari buluh, dipacakkan diatas tanah. No. 7 Platun merancang untuk membuat serang hendap dengan memasang 4 x claymore dengan bantuan 2 x LMG (light machine-gun).

Pada keesokannya, 22 April 1974 kira-kira jam 1150, anggota serang hendap telah melihat 5 pengganas komunis berjalan masuk kedalam kawasan membunuh. Setelah dua pengganas yang dihadapan memasuki kawasan tersebut, Renjer Shaifuddin meletupkan claymore, diikuti oleh LKpl Gaison yang mencederakan lagi 3 pengganas. Sjn Harris bersama-sama satu seksyen anggota mara ke lokasi untuk membantu membuat sekatan dan bertempur dengan tiga pengganas yang cedera, dan akhirnya berjaya membunuh mereka.

Claymore Mines


Pertempuran dalam Operasi Selamat Sawadee di GR 303818

Pada 29 Jun 1978, jam 0300 satu pasukan ronda terdiri dari satu platun Thai Border Patrol Police (BPP) dan dua anggota PKPT serta satu seksyen dari No. 4 Platun, Kompeni B telah keluar meronda dengan membawa bekalan untuk 4 hari.

Jam 1515, peninjau pertama melihat sekumpulan kira-kira 8 orang pengganas komunis dalam jarak 300 ela dihadapan. Sjn Shaari mara kehadapan memanggil ketua BPP untuk megesahkan mereka itu musuh. Setelah mendapat pengesahan, Sjn Shaari membahagikan anggota kepada kumpulan penyerang dan penyekat. Pertempuran bermula pada jam 1630 dan berlangsung selama 20 minit. Selepas penyerbuan dan membuat pertahanan keliling, 3 pengganas komunis ditemui mati dan 6 pucuk senjata dirampas.


Pertempuran dalam Operasi Hentam Galas (17 Sep 1980)

Pada 2 Sept 1980, batalion ke-7 RRD telah mengambil alih kawasan gerakan selama 2 bulan dari batalion ke-5 RAMD. Selepas beroperasi selama 12 hari, pertempuran pertama berlaku pada 14 Sep 1980, jam 2340. Anggota pengawal Kompeni A telah melihat pancaran lampu dalam jarak 50 ela, tembakan dari anggota renjer telah dibalas, dan musuh berundur. Semasa jejakan dibuat keesokan hari terdapat kesan darah dan musuh dianggarkan seramai 10 orang.

Pada 15 Sep 1980, jam 0900 semasa dalam penjejakan Platun UCIS (Unit's Combat Intelligence Squad) telah bertempur selama 5 minit tanpa sebarang kecederaan dikedua-dua pihak. Pada jam 1055 berlaku sekali lagi pertempuran selama 8 minit tanpa sebarang hasil.

Anggota-anggota UCIS - risik gempur (combat intelligence)


Pada 17 Sep 1980, jam 0800 ekoran dari jejak musuh yang dikesan, seksyen rondaan yg diketuai Sjn Abu Hassan telah menemui jejak musuh dianggarkan seramai 2 orang. Tinjauan seterusnya mendapati kesan buluh yang rebungnya baru dipotong kira-kira 70 meter dari jejak pertama. Seksyen telah dipecahkan kepada 2 kumpulan kecil dan pada jam 1045, Sjn Abu Hassan, Renjer Rahim dan LKpl Zaharin ternampak 2 pengganas komunis sedang mengisi barang kedalam beg galas me reka. Seorang lagi musuh yang sedang berehat ternampak dan melepaskan tembakan kearah Sjn Abu Hassan. Pertempuran berlaku selama 10 minit dan pengganas berundur sambil mengheret kawannya yang telah terkena tembakan. Pada jam 1120, kumpulan bantuan diketuai oleh Kapt Osman tiba dan setelah membuat jejakan sejauh 60 meter mereka menemui satu mayat musuh bersama-sama jerangkap samar yang dipasang 30 meter dari mayat tersebut.

Anggota renjer boleh dikenali dengan beret dan hackle berwarna hitam


Batalion ini juga mengalami kemalangan jiwa dalam bebrapa insiden berikut.

1. Pada 26 Mac 1972, seramai 15 anggota terbunuh didalam serang hendap pengganas komunis dijalan Biawak - Lundu, Sarawak. Serangan dibuat oleh kira-kira 40 pengganas komunis keatas konvoi anggota jurutera dan Renjer yang terdiri dari 1 x Land Rover, dan 3 x trak 3 tan Bedford. Musuh menyerang kenderaan yang ke tiga didalam susunan konvoi. Kenderaan dihadapan sekali yang dinaiki oleh anggota jurutera berjaya memecut ke Titi Akar dan meminta bantuan dari pasukan 1 Rejimen Peninjau. Kpl Jamaluddin mendahului dengan sebuah kereta perisai Ferret tiba dilokasi dan memberi bantuan tembakan sehingga pengganas berundur. Tindakan pantas dan berani anggota pasukan Rejimen Peninjau itu berjaya menghalang pengganas komunis dari membunuh anggota tentera yang tercedera dan banyak senjata berjaya diselamatkan dari dirampas komunis.

Apabila berita ini diterima oleh Markas Batalion, pengumuman dibaut dimerata tempat dibandar termasuk dipanggung wayang untuk memanggil kesemua anggota 7 RRD. Operasi besar-besaran dilancarkan dengan penglibatan batalion-batalion lain dan berhasil menghapuskan dan menjumpai semula senjata-senjata yang dilarikan oleh pengganas. Ia mengambil masa yang lama untuk memburu dan memusnahkan musuh, dan senjata yang terakhir ditemui pada tahun 1986, iaitu 14 tahun selepas insiden serangan hendap ini berlalu.



2. 2 Sep 1979, 4 anggota terkorban dalam satu kemalangan jalanraya di Batu 10, Kampung Palok, Jalan Kuantan - Kemaman apabila kenderaan yang membawa mereka ke kawasan operasi di Kroh terlibat kemalangan.

3. 18 Sep 1977 - LtM Jagathisan, selaku Pegawai Risik telah mati lemas di Sungai Rejang.

4. 7 Apr 1975 - Serang hendap di Gubir - pada jam 1640, platun dari Kompeni D, 7 RRD yang diketuai oleh LtM Syed Ikhmal Hashim telah bertolak dari Nong Gajah setelah selesai menyerah tugas kepada No. 9 Platun dari 13 RAW (Rejimen Askar Wataniah / Territorial Army Regt). Konvoi mereka terdiri dari 3 x trak 3 tan dan 1 x kereta perisai dari B Skuadron, Rejimen ke-2 Peninjau menuju ke Gubir dan seterusnya balik ke pengkalan mereka di Sungai Petani. Susunan kenderaan, kereta perisai berada dibelakang konvoi.

Selepas 15 minit perjalanan, dilokasi GR186800, semasa mendaki bukit musuh telah menyerang dari 3 penjuru. Sebutir peluru dari M79 telah meghentikan kenderaan yang dihadapan sekali. Trak kedua juga ditembak dan berhenti 25 ela dari trak hadapan. Ketika ini, trak yang ketiga berhenti 400 meter dibelakang trak ke-2 dan memaklumkan kepada kereta perisai. Dalam usaha untuk menyerang balas, kereta perisai telah ditembak bertubi-tubi dan sebutir peluru musuh telah masuk kedalam barel senjata Browning dan menyebabkan ia tidak boleh digunakan.

Kereta perisai yang tidak boleh menembak lagi cuba memcut laju untuk mendapatkan bantuan dari Gubir. Malangnya sebutir peluru M79 telah menembusi "iron plate' dibawah enjinnya. Pada masa ini anggota dari trak pertama dan kedua telah mengambil perlindungan, tetapai bantuan dari anggota trak ke-3 dihalang oleh tembakan musuh. Peretempuran berlangsung selama kira-kira 25 minit dan pada jam 1715 musuh berundur. Dua platun bantuan iaitu, No. 11 Platun, Kompeni C, 7 RRD dan 13 RAW tiba 45 minit kemudian.

M79 grenade launcher

Anggota renjer semasa dalam operasi

Begitulah serba-sedikit sejarah perjuangan Batalion ke-7 RRD ini dalam peperangan melawan insurgensi. Batalion ini telah megalami evolusi sejajar dengan perkembangan dan pembesaran Tentera Darat Malaysia. Pada awal Januari 1991, batalion ini telah didesignasikan sebagai Batalion ke-7 Rejimen Renjer Diraja Mekanis, dibawah pemerintahan Lt. Kol Zulkapli Abd Rhaman, yang juga merupakan Pegawai Memerintah ke 12. Batalion ini dilengkapi dengan kenderaan perisai Radpanzer Condor, MIFV K200 dan ACV 300 Adnan. Pada 1 Dis 1994, batalion ini telah ditugaskan dibawah panji-janji United Nations (UN) di Somalia.


Latihan sebagai pasukan Mekanis

Lokasi kem-kem 7 RRD

1. Kem Quetta II, Kluang, Johor (15 Jan 1970 - 14 Jan 1971)
2. Kem Lapangan Terbang, Sg. Patani, Kedah (15 Jan 1971 - 6 Mac 1977)
3. Kem Kanowit, Sarawak (7 Mac 1977 - 25 Dis 1978)
4. Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu, Kelantan (25 Dis 1978 - 20 Dis 1984)
5. Kem Simanggang, Sri Aman, Sarawak (28 Dis 1984 - 19 Okt 1988)
6. Kem Batu Lima, Mentakab, Pahang (19 Okt 1988 hingga kini)

Penglibatan dalam latihan bersama tentera asing.

1. Exercise Harianggaroo bersama Tentera Darat Australia di Kota Belud, Sabah (1988)
2. Exercise Taiaha Tombak bersama Tentera Darat New Zealand, Gua Musang, Kelantan (1990)
3. Exercise Kilat Strike bersama Tentera Darat Amerika, Kuala Lipis, Pahang (1992)
4. Exercise Southern Tiger bersama Tentera Darat Australia, Brisbane, Australia (1993)
5. Exercise Suman Warrior (FPDA), Melaka (1995)
6. Exercise Suman Warrior (FPDA), Brisbane, Australia (1996)


Rujukan:

Tulisan asal oleh Major (B) D. Swami Gwenkanandam

http://7rangerpics.blogspot.com/2005/06/unit-combat-intelligence-squad.html

http://www.rrd.mil.my/index.php/7-renjer-mekanize.html

http://ms.wikipedia.org/wiki/Rejimen_Renjer_Diraja

Sunday 24 August 2014

Rhodesian SAS in Malaya

Konflik bersenjata di Malaya (Darurat 1948-1960) menyaksikan kelahiran semula pasukan komando elit Special Air Services (SAS ditubuhkan pada 1941 dan bubar pada 1945). Pasukan ini kemudiannya menjadi salah satu pasukan khas yang unggul didunia dengan memiliki kepakaran peperangan hutan dan pengalaman melawan insurgensi. Dua pasukan SAS telah dilahirkan semula di Malaya setelah unit asal mereka dibubarkan selepas tamatnya Perang Dunia ke-2. Pasukan yang pertama adalah induk itu sendiri, iaitu SAS (British) diikuti pula C Squadron, SAS dari Rhodesia. SAS telah diaktifkan semula pada tahun 1950 sebagai persediaan ke Korea, akan tetapi setelah menjalani latihan selama 3 bulan, mereka telah dihantar ke Malaya dibawah pegawai pemerintah Major Mike "Mad" Calvert.

Patch "Malayan Scouts"

"Who Dares Wins" Special Air Services

Panji-panji C Squadron, 22 SAS

Anggota-angota C Squadron, SAS, Malaya 1953


Semasa Darurat di Malaya, kumpulan sukarelawan dari Rhodesia ini menyertai The Far Eastern Volunteer Group (kemudian dikenali sebagai Malayan Scouts). Mereka telah menubuhkan C Squadron (Malayan Scouts) sebagai tambahan kepada A Squadron dan B Squadron, SAS yang telah sedia ada, manakala D Squadron pula dianggotai oleh sukarelawan dari Afrika Selatan. Pemilihan untuk anggota C Squadron telah dibuat oleh Major Calvert pada awal tahun 1951, dimana beliau telah pergi ke Rhodesia untuk mencari calon-calon yang sesuai. Kira-kira 1,000 permohonan diterima termasuk dari veteran SAS Perang Dunia ke-2. Bagaimanapun, hanya 100 orang terpilih. Pasukan ini diketuai Captain Peter Walls, berusia 24 tahun. Mereka tiba di Malaya pada bulan Mac 1951. Secara tidak rasmi, C Squadron ini digelar sebagai "Rhodesian SAS".

Tiga anggota C Squadron telah terkorban semasa bertugas di Malaya. Mereka ialah:
1. Sergeant O H Ernst
2. Corporal J B Davies
3. Corporal V E Visagie

C Squadron, SAS telah dibubarkan sekembalinya ke Rhodesia apabila menamatkan "tour of duty" di Malaya. Dengan pembubaran ini, bekas anggota-anggotanya menjadi nukleus membentuk C Squadron, (Rhodesian) Special Air Service yang diaktifkan pada tahun 1962. Pada Jun 1978, unit ini dikenali pula sebagai 1 (Rhodesian) Special Air Service Regiment, sehinggalah Rhodesia dikuasai oleh kaum kulit hitam dan dinamakan Zimbabwe pada tahun 1980.

Latihan di Rhodesia

Kem SAS di Rhodesia

SAS semasa Bush War tahun 1970an

Beberapa orang veteran dari Malaya telah memegang jawatan penting didalam pasukan keselamatan Rhodesia dan menggunakan pengalaman mereka di Malaya semasa tempoh "Bush War" pada tahun-tahun 1970an. Yang paling menonjol adalah Peter Walls dan Reid-Daly. Pada tahun 1960an, Walls telah menukarkan peranan Rhodesian Light Infantry (RLI) kepada peranan komando mirip seperti SAS, dimana Reid-Daly juga memgang jawatan RSM (Regimental Sergeant Major). Walls kemudiannya mengetuai Tentera Darat Rhodesia pada tahun 1972 dan Reid-Daly pula menubuhkan dan mengetuai pasukan Selous Scout dengan konsep operasi mengikut modus operandi Cawangan Khas (Special Branch) di Malaya. Walls juga mengunapakai pengalaman di Malaya dengan membentuk satu badan khas yang dinamakan Combined Operations pada 1977, bertanggungjawab mengkoordinasi pasukan tentera darat, tentera udara dan polis sebagaimana di Malaya, kerana sebelum itu, setiap pasukan keselamatan Rhodesia bertindak secara berasingan dan tiada keserasian antara satu sama lain.
Rhodesian Light Infantry (RLI)

Pasukan "Selous Scout"

 
Ternyata pengalaman melawan insurgensi di Malaya ini banyak memanfaatkan pasukan tentera British dan ada yang digunapakai oleh tentera Amerika semasa Perang Vietnam .Malaysia juga memiliki fasiliti yang terbaik didunia dalam melatih taktik-taktik peperangan hutan, ikhtiar hidup (jungle survival) dan melawan insurgensi dan telah melatih banyak angkatan tentera negara asing.
 

Rujukan/Kredit kepada:

Wikipedia

http://therhodesiansas.com/index2.php

http://kitup.military.com/2011/11/the-selous-scouts-a-uniquely-rhodesian-solution-to-counter-insurgency.html