Friday 24 October 2014

Malayan Emergency: Ambush at Sungai Semur - Army platoon attacked by 250 guerillas

Pertempuran di Sungai Semur

Peristiwa yang berlaku pada 25 Mac 1950 ini menggambarkan semangat juang anggota Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang terus bertarung walaupun berada dalam keadaan yang sangat-sangat genting. Didalam serang hendap oleh pengganas komunis ini, dianggarkan seramai 250 orang pengganas menyerang satu platun RAMD berkekuatan hanya 25 orang anggota.

Lambang Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)

Pada awal bulan Mac 1050, Kompeni D, Batalion 3 RAMD yang berpengkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan telah menjalankan satu gerakan "search and destroy" berhampiran dengan Gua Musang, di Hulu Kelantan. Penempatan kompeni adalah seperti berikut:

  • Markas Kompeni, Platun 11 dan Platun 12 di Pengkalan Pulai
  • Platun 10 di Bertam

Pada 23 Mac 1950, jam 0730, Platun 12, Kompeni D berkekuatan seramai 25 anggota yang terdiri dari 1 x pegawai (Lt. Muda Hassan Yassin), 1 x Koperal (Jamaludin Mohamad), 4 x Lans Koperal dan 19 perajurit ditugaskan untuk membuat rondaan ke Sungai Nenggiri selama tiga hari. Platun ini juga diekori oleh sekumpulan 15 anggota Special Constable (SC) yang ditugaskan untuk mengiringi 17 orang Cina untuk mengambil atap daun nipah diperjalanan. Pada waktu tengahari, mereka berhenti untuk berehat dan berkhemah berhampiran Sungai Semur.

Pada tahun 1948, seramai 30,000 Special Constables (SC) dan 100,000 anggota Home Guard (HG) telah dilatih, dan pada tahun 1953, angka ini meningkat kepada 41,000 SC dan 250,000 HG

Askar Melayu pada era Darurat 1948 - 1960

Keesokan harinya, Platun 12 bergerak meninggalkan pasukan SC dan orang-orang Cina yang hendak mengambil atap itu. Mereka meneruskan rondaan di Sungai Nenggiri dan berhenti untuk makan tengahari pada jam 1400. Semasa makan, Lt. Muda Hassan telah memberi arahan untuk berpatah balik kelokasi kumpulan SC dan pencari atap Cina itu tadi kerana bekalan makanan yang dibawa tidak mencukupi untuk tugas seterusnya. Mereka bergerak pada jam 1530 dan sampai di lokasi tersebut pada jam 1800. Sejurus sampai, Sarjan Wan Yaakob yang mengetuai kumpulan SC memaklumkan bahawa mereka akan bergerak balik ke Pengkalan Pulai pada jam 0800 pagi esoknya. Platun 12, seterusnya bermalam disitu.


Gambar atas: Anggota pasukan keselamatan semasa zaman Darurat di Malaya
Gambar bawah: Hutan dan bentuk muka bumi menyukarkan pergerakan dan sesuai untuk serang hendap



Pada esok harinya, 25 Mac 1950 kira-kira jam 1000 pagi, Lt. M Hassan dan platunnya telah bersiap sedia untuk bergerak, tetapi kumpulan SC dan Cina pengambil atap masih tidak sedia lagi untuk bergerak. Kerana itu mereka bercadang untuk bergerak berasingan. Platun 12 kemudian bergerak meninggalkan mereka. Setelah menyusuri Sungai Semur selama setengah jam, pada kira-kira jam 1030 platun ini telah melalui satu kawasan cerun bukit di seberang sungai.

 

Ketika melalui kawasan inilah mereka diserang hendap oleh pengganas komunis yang berada dirusuk kiri mereka, dan kemudiannya diikuti oleh serangan dari arah belakang mereka. Dalam beberapa saat sahaja hampir kesemua anggota Platun 12 tercedera atau terbunuh, termasuk ketua mereka Lt. M Hassan. Seterusnya, Kpl Jamaludin mengambil alih pimpinan Platun 12. Beliau mengarahkan serangan balas dengan tembakan mortar 2 inci, bagaimanapun tidak berhasil kerana terhalang oleh banyak pokok buluh yang menutupi kawasan tersebut. Setelah melepaskan 2 butir mortar, anggota seksyen mortar pula terbunuh. Kpl Jamaludin dan beberapa anggota lain yang dapat berlindung cuba merapati tebing dan melontar bom tangan kearah musuh, tetapi tindakan ini gagal kerana mereka juga ditembak dari arah tebing yang bertentangan dan dalam keadaan yang terkepung, amat sukar untuk bergerak dan mengambil posisi menyerang balas.

Dalam pertempuran yang semakin sengit ini beberapa anggota pengganas komunis cuba merapati kedudukan anggota Askar Melayu yang cedera dan terkorban bertujuan untuk merampas senjata mereka, tetapi berjaya dihalang. Pada suatu ketika, empat pengganas komunis yang cuba menghampiri mereka dari arah belakang berjaya ditembak mati oleh Pbt. Abdul Wahab Hamid, Beberapa kali pengganas komunis mengarahkan saki-baki anggota Platun 12 untuk menyerah diri - "askar melayu surrender!!!" laungan mereka, tetapi dijawab oleh Kpl. Jamaludin "kami bukan pengecut, kami askar, kami tidak akan serah diri". Namun setelah bertempur selama 4 jam dan kehabisan peluru, saki-baki mereka yang masih hidup telah dikepung dan ditawan. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah anggota pasukan keselamatan telah ditawan oleh gerila komunis.

Gerila-gerila komunis

Mereka telah dibawa ke kem musuh dan dipaksa menyerahkan peralatan mereka. Selepas dua jam didalam tahanan, dan diberi syarahan indoktrinasi serta amaran agar tidak lagi menentang menentang pengganas komunis, tanpa dijangka mereka dilepaskan. Kpl Jamaludin dan anggotanya dihantar kearah Pengkalan Pulai sebelum ditinggalkan separuh jalan. Anggota-anggota yang terselamat itu adalah:

  1. Kpl Jamaludin Mohamad
  2. L/Kpl Mohamad Othman
  3. Pbt Zamzuri Itam Sudin
  4. Pbt Nordin Md Isa
  5. Pbt Hussin Mamat
  6. Pbt Salleh Nahu (Rencana Sinar Harian)
  7. Pbt Ahmad Mat jam
  8. Pbt Mohd Shariff Manaf
  9. Pbt Osman Yaacob meninggal dunia tak lama setelah mereka tiba di Pangkalan Pulai kira-kira jam 2100.
Dua orang lagi anggota yang cedera parah, Pbt Abdul Wahab Hamid dan Pbt Rashid Hassan terpaksa ditinggalkan di lokasi pertempuran bersama-sama 14 lagi mayat mereka yang terkorban. Ini adalah kerana mereka tidak lagi mampu berjalan dan akan melengahkan pergerakan untuk balik ke pengkalan bagi mendapatkan bantuan. (Pasukan bantuan, Platun 11 dan pasukan Polis Jungle Squad, bersama-sama Kpl. Jamaludin  tiba pada 27 Mac 1950, jam 10 pagi untuk menyelamatkan mereka).

Keseluruhannya, 17 anggota Platun 12, 3 RAMD terkorban, menentang musuh yang dianggarkan 250 orang. Lagi enam cedera parah dan dua anggota cedera ringan. Apa yang membanggakan, walaupun anggota Platun 12 "out-numbered", mereka masih mampu memberikan tentangan sengit dan berjaya membunuh 29 anggota pengganas komunis. Mayat-mayat mereka ditemui oleh Platun 11 yang membuat pemeriksaan berhampiran kawasan serang hendap tersebut. Dipercayai ramai lagi cedera kerana terdapat banyak kesan darah dilaluan mereka berundur. Musuh dianggarkan berjumlah 250 semasa peristiwa itu berdasarkan saiz kubu yang telah dibina oleh mereka.

Empat tahun kemudian, semasa Operasi Tantanle (Oktober 1954), dalam serang hendap oleh Kompeni Delta, 3 RAMD di Gua Musang, mereka berjaya membunuh 5 pengganas komunis yang pernah terlibat dalam peristiwa Sungai Semur.

Salleh Nahu yang terselamat dalam peristiwa itu menceritakan pengalamannya dengan akhbar Sinar Harian

Abdul Wahab Hamid juga salah seorang "survivor". Ketika itu beliau cedera kena tembakan di peha kanan dan peluru menembusi hingga ke peha kiri. Kaki kirinya juga terkena serpihan bom tangan. Semasa dua hari menanti pasukan bantuan tiba, luka-luka yang tidak dirawat pada peha kiri itu telah mengeluarkan ulat sebesar batang mancis.

Askar Melayu dengan pakaian istiadat





Sunday 19 October 2014

ORBAT Order of Battle - Malaya Command 1941-1942 - Part 2 (Australian 8th Division)

Malaya Command (Bahagian 2 - Division ke-8 Australia)

Malaya Command adalah sebuah formasi Tentera Darat British yang ditubuhkan seawal tahun 1920 untuk mengkoordinasi pertahanan pihak British di Malaya. Barisan pertahanan ini terdiiri dari pasukan-pasukan yang berpengkalan di Kuala Lumpur, Penang, Taiping, Seremban dan Singapura. Pasukan-pasukan yang bernaung dibawah Malaya Command adalah:
  1. Indian III Corps
  2. Division ke-8 (Australia)
  3. Fortress Singapore
  4. Malaya Command (Simpanan)
  5. Sarawak Force (SARFOR)
  6. Christmas Islands
Kita telah lihat formasi Indian III Corps dan Krohcol, serta penglibatan mereka dalam usaha menghalang pergerakan tentera Jepun di dalam wilayah Siam (link Bhg 1). Kali ini kita lihat pula sumbangan tentera Australia di Malaya ketika itu.


Komposisi Division ke-8 Australia (link) adalah seperti berikut:

HQ: Kluang (Mej Jen Gordon Bennett)

Mej. Jen Bennet

Briged ke-22 Australia (Mersing - Endau)
  • 2/18th Batalion Infantri Australia
  • 2/19th Batalion Infantri Australia
  • 2/20th Batalion Infantri Australia (link)
Briged ke-27 Australia (Kluang)
  • 2/26th Batalion Infantri Australia (link)
  • 2/29th Batalion Infantri Australia
  • 2/30th Batalion Infantri Australia
  • 2/4th Batalion Senjata Bantuan (machine-gun)
  • 2/4th Rejimen Anti-Kereta Kebal
Walaupun tentera Jepun mendapat tentangan sengit dari III Corps (India) di selatan Siam dan utara Malaya sebagaimana yang saya telah ceritakan pada artikel lalu (Bahagian 1), penguasaan udara, penggunaan kereta kebal dan taktik pasukan infantri yang berkesan telah berjaya menyekat, mengasing dan mengepung unit-unit tentera Bersekutu (Allied Forces) dalam pertempuran-pertempuran di Malaya.

Tentera Australia dengan meriam 2 pounder anti-kereta kebal

Pada 14 Januari 1942, beberapa unit dari Division ke-8 telah terlibat dalam pertempuran di Kuala Lumpur, Gemas dan Muar. Serang hendap Batalion 2/30th Infantri Australia berjaya memusnahkan satu batalion tentera Jepun (lebih 1000 tentera Jepun dan 10 kereta kebal musnah) di Gemas berhampiran jambatan Sungai Gemencheh, namun kekalahan pasukan-pasukan lain tentera Bersekutu membolehkan tentera Jepun melaksanakan taktik pengasingan dan pengepungan ke atas Batalion 2/30th. Jurutera tentera Jepun telah berjaya membaiki jambatan yang rosak dengan menggunakan kayu-kayu dari kilang berdekatan dan bantuan tembakan artileri yang lewat tidak dapat membantu batalion 2/30th bertahan.

Pertempuran di Bakri, beberapa kereta kebal Jepun dimusnahkan

Batalion 2/29th dan Batalion 2/19th ditumpangkan kepada Briged ke-45 (India) untuk mengukuhkan posisi mereka di Sungai Muar. Pada 22 Januari 1942, kedua-dua batalion tersebut dan tentera India telah berjaya dikepung dan ditewaskan. Kira-kira 150 anggota yang telah menjadi tawanan perang telah dibunuh di Parit Sulong. Saki baki anggota dari Briged ke-27 Australia berundur ke Singapura manakala formasi Briged ke-22 ditempatkan di utara tambak Johor. Kira-kira 2,000 dari Division ke-8 ini selamat tiba di Singapura. Pada 31 Januari 1942, dua minggu sebelum kejatuhan Singapura, tentera Bersekutu telah meletupkan satu bahagian tambak Johor meninggalkan lubang selebar 21 meter bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Singapura.

Saki baki Division ke-8, (Briged ke-22) diarahkan utk mempertahankan bahagian utara Singapura, kawasan hutan paya sepanjang 16 km, dimana tentera Jepun dijangka mendarat disitu, manakala Briged ke-27 pula mempertahankan zon sepanjang 3,700 meter berhampiran tambak Johor.

Tentera Australia memerhati Tambak Johor (causeway)


Dari kedudukan tinggi di beberapa lokasi di Johor Bahru seperti lokasi menara Istana Sultan Johor, Pejabat Pentadbiran Negeri yang terletak diatas bukit, tinjauan udara serta laporan pasukan tinjau yang menyusup masuk ke Singapura, tentera Jepun dapat mengenalpasti kedudukan pasukan Berikat dengan tepat. Bermula tarikh 3 Februari 1942, kedudukan-kedudukan pasukan Australia telah dibedil dengan meriam dan pengeboman oleh pesawat udara yang berterusan selama 5 hari berjaya memusnahkan komunikasi pasukan Bersekutu. Keadaan bertambah buruk apabila terdapat masalah komunikasi dalaman serta pemerintahan yang bertukar ganti pada minit-minit terakhir mengelirukan pasukan yang terlibat.

Pada 8.30 pm, 8 Februari 1942 pendaratan oleh 4,000 tentera Jepun bermula. Menjelang tengah malam, kedua-dua Briged ke-22 dan Briged ke-27 telah berjaya ditewaskan, dan pengunduran dibuat dengan tergesa-gesa menuju pertahanan terakhir - Kranji - Jurong Line. Menjelang subuh, 9 Februari 1942, elemen-elemen dari Briged ke-22 terpaksa berundur dan membentuk barisan pertahanan ke 2. Pada ketika itu, Batalion 2/18th telah kehilangan separuh anggotanya dan berundur ke selatan.


Tentangan dari Briged ke-27 menampakkan hasil apabila ramai tentera Jepun mati lemas, terbakar dalam tumpahan minyak dan tembakan mortar tentera Australia. Bagaimanapun, kerana salah faham, Briged ke-27 telah berundur meninggalkan posisi mereka. Ini membolehkan kereta kebal Jepun mara dan memecah kawalan tentera Berikat di rabung Kranji-Jurong yang membolehkan Jepun masuk ke bandar Singapura. Pada 11 Februari 1942, megetahui yang bekalan lojistik Jepun semakin berkurangan, Jen. Yamashita telah meminta Jen. Percival untuk menyerah tetapi tidak dilayan. Penentangan yang diterukan oleh pasukan Berikat tidak mendatangkan hasil dan semakin kritikal apabila Bukit Timah jatuh ke tangan tentera Jepun.

Tentangan sengit dari lain-lain pasukan Berikat, terutama saki baki Askar Melayu dan India pada 14 Februari 1942, di Pertempuran Pasir Panjang menimbulkan kemarahan tentera Jepun. Mereka membunuh 200 pekerja dan pesakit di Hospital Alexandra setelah berjaya menawannya. Pagi 15 Februari 1942, Jen. Percival selepas berbincang dengan pegawai-pegawai kanan tentera Berikat, bersetuju untuk menemui Jen. Yamashita dan berunding untuk menyerah kalah di Old Ford Factory, Bukit Timah.



Pada malam hari yang sama, Mej. Jen. Bennet bercadang untuk lari meninggalkan Singapura, daripada menyerah kepada Jepun. Beliau menyerahkan pemerintahan kepada Brigadier Cecil Callangham. Bersama beberapa pegawai muda beliau menyeberangi Selat Melaka dengan sampan menuju ke Sumatera, seterusnya menyusuri Sungai Jambi. Seterusnya mereka berkereta ke Padang dan terbang ke Pulau Jawa, kemudian tiba di Melbourne pada 2 Mac 1942. Selepas perang, pada November 1945 beliau didapati bersalah oleh Suruhanjaya Diraja kerana engkar arahan Percival untuk menyerah diri. Alasannya bahawa pengalamannya menentang Jepun di Malaya amat berguna dan boleh membantu pasukan Berikat telah tidak diterima memandangkan tiada rekod cemerlang samada di Malaya atau Singapura.

Kereta perisai pasukan Australia semasa di Malaya/Singapura

Division ke-8 telak dikritik kerana kekurangan pengalaman, tewas dalam pertempuran dan kurangnya disiplin apabila Mej Jen Gordon Bennett sendiri menggelarkan anggotanya "wobbly" (unsteady) dan Brigadier Harold Taylor, Panglima Briged ke-22 memberitahu anggota-anggotanya bahawa mereka telah memalukan Australia dan AIF (Australian Imperial Force). Kol. Kappe, Ketua Pegawai Semboyan menceritakan pada suatu ketika sepasukan 50 tentera dan pegawai meninggalkan kawasan tanggungjawab tanpa sebarang arahan dari pihak atasan. Mej. Jen. Bennet sendiri sebelum melepaskan pemerintahan, memberitahu salah seorang pegawai kanan tentera Australia " I don't think the men want to fight". Bagaimanapun, segelintir anggota menunjukkan keberanian dan dedikasi walaupun kekurangan pengalaman seperti yang didakwa oleh pemerintah Rejimen Argyll and Sutherland Highlanders, anggota Batalion 2/29th berjuang dengan tabah dan rasa mereka layak bergandingan dengan pasukannya.

Division ke-8 sebenarnya dianggotai oleh kombinasi anggota berpengalaman dan sekarelawan muda, walaupun mereka tiada pengalaman perang seperti tentera elit Jepun yang sebelumnya telah berperang di Manchuria. Mereka telah berlatih selama setahun setengah sejak formasi ditubuhkan dan telah berjaya menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaya, berbanding perajurit muda tentera India. Selain itu, tentera Australia juga tidak terlibat didalam pertempuran awal di utara dan tengah Malaya.

Secara keseluruhannya, statistik kematian anggota Division ke-8 Australia akibat pertempuran di Malaya dan Singapura merupakan 73% dari jumlah kematian keseluruh anggota pasukan Berikat. 15,000 orang telah menjadi tawanan perang dan 2,400 mati semasa Sandakan Death Marches.


Link lain:

Australians in Malaya

Lt. Jen Henry Gordon Bennet

Friday 17 October 2014

PKI / communist coup attempt in Indonesia / Part 4 The annihilation of PKI

Pada artikel yang lalu kita telah lihat bagaimana percubaan rampasan kuasa (rujuk disini) dilakukan oleh Gerakan 30 September (G30S), penculikan dan pembunuhan dengan cara yang sama dilakukan oleh anggota Cakrabirawa dan beberapa unit lain ke atas semua mangsa. iaitu dengan memecah masuk ke kediaman para jenderal tertinggi TNI dan mengemukakan alasan bahawa para jenderal akan dibawa menghadap Presiden atas sebab-sebab tertentu. Sebaliknya mereka dibawa ke Lubang Buaya, dibunuh dan mayat-mayat mereka ditanam disebuah perigi buta.

Ada kalangan yang cuba mempertikaikan bahawa gerakan ini adalah sebenarnya perancangan Suharto sendiri untuk merampas kuasa, kerana mungkin secara kebetulan, Suharto mempunyai hubungan rapat dengan Untung. Bagaimanapun kita boleh lihat bahawa gerakan ini pada awalnya agak tersusun rapi termasuk latihan yang dikendalikan oleh PKI di Lubang Buaya sebelumnya mendapat bantuan dari TNI - Angkatan Udara (persenjataan dan lojistik) dan ia dilaksanakan atas nama program latihan sukarelawan "Ganyang Malaysia". Program Ganyang Malaysia itu sendiri adalah rancangan dokongan PKI, dan panglima Angkatan Udara juga memang diketahui simpati dan cenderung kepada perjuangan PKI pada ketika itu. Perlu juga ingat ada beberapa peristiwa berdarah di Indonesia yang didalangi oleh PKI sebelum tragedi 30 September ini. Andaikata perkembangan PKI pada masa itu tidak dibendung oleh Suharto dan TNI, hari ini rakyat beberapa negara ASEAN dan Australia sudah tentu tidak boleh tidur lena.

Bung Karno walaupun bukan komunis, cuba menerapkan fahaman Nasakom (Nasionalis, Agama dan Komunis). Kononnya beliau dijanjikan jawatan Presiden seumur hidup jika PKI memerintah Indonesia

Perhimpunan PKI pada zaman gemilangnya

D.N. Aidit dan Soekarno pada satu perhimpunan PKI

Pembersihan bermula di Jakarta pada bulan Oktober 1965, diikuti oleh Jawa Tengah, Jawa Timur dan Bali. Ia juga berlaku pada skala yang lebih kecil dilain-lain pulau, sebagai contoh di Kalimantan, orang-orang Dayak telah mengusir 45,000 orang Cina dan ribuan lagi dibunuh. Di Acheh sahaja 40,000 anggota PKI dihapuskan dan bagi seluruh pulau Sumatera angka korban dianggarkan seramai 200,000 nyawa. Di pulau Jawa, kebanyakan anggota PKI dibunuh dengan cara ditembak atau dipenggal kepala dan mayat-mayat mereka dihumban ke sungai-sungai sehingga terdapat laporan sungai-sungai yang mengalir ke Surabaya telah tersumbat akibat pembuangan mayat-mayat ini. Orang awam dan pertubuhan seperti Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah menyertai angkatan tentera dalam proses ini. Operasi pembersihan mula reda pada bulan Mac 1966. Sebahagian besar sejarawan menganggarkan jumlah keseluruhan korban adalah diantara 500,000 sehingga 1 juta orang. Sedikit kurang dari korban jiwa di Kampuchea oleh rejim Pol Pot. Pada 1977, Amnesty International melaporkan terdapat kira-kira 1 juta keder PKI yang masih dalam tahanan, walaupun setelah 10 tahun masa berlalu dari tragedi itu.

Mereka yang disyaki anggota PKI ditikam dengan bayonet, sementara dua lagi menunggu giliran


Kemarahan rakyat Indonesia bukan sahaja kepada satu insiden G30S tetapi kemuncak kepada beberapa rentetan peristiwa berdarah yang didalangi oleh PKI sebelumnya



Lt. Kol Untung Sutopo bin Syamsuri pernah menjadi pegawai kadet terbaik, seangkatan dengan Benny Moerdani (Benny kemudian menjadi Panglima ABRI 1983-1988). Untung pernah menjadi Panglima Batalion 454/Banteng Riders sebelum ditarik ke pasukan elit pengawal presiden, Resimen Cakrabirawa. Soeharto pernah menjadi pegawai atasan Untung semasa di KODAM Diponegoro. Untung didapati bersalah oleh Mahmilub (Mahkamah Militer Luar Biasa) dan dijatuhi hukuman mati pada tahun 1966.

Dipa Nusantara Aidit atau lebih dikenali sebagai D.N. Aidit tokoh terkemuka PKI bertanggungjawab mengembangkan pertubuhan pro-komunis seperti Barisan Tani Indonesia (BTI), Pemuda Rakyat dan Gerwani. Kematiannya menjadi kontroversi, ada yang mengatakan di ditangkap di Jawa Tengah, dan dibawa kesebuah perigi untuk dihukum bunuh. Dia diberikan tempoh setengah jam, bagaimanapun masa itu digunakan untuk pidato yang berapi-api dan membangkitkan kemarahan skuad pembunuh. Beliau ditembak serta merta dan masyarakat umum tidak tahu dimana dia dikuburkan.

Pada 11 Mac 1966, Presiden Soekarno telah mengeluarkan surat perintah yang dikenali sebagai Surat Perintah Sebelas Maret (Supersemar) yang mengarahkan Soeharto selaku Paglima Komando Operasi Keamanan dan Ketertiban untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi megembalikan keamanan pada masa itu. Deangan kuasa yang telah diberikan, Soeharto kemudiannya membubarkan PKI tidak lama kemudian.

Surat Perintah Sebelas Maret (Supersemar)

Pada zaman Soeharto menjadi Presiden, 30 September dijadikan hari memperingati G30S/PKI, dan filem mengenai peristiwa ini ditayangkan saban tahun. Pada hari berikutnya, 1 Oktober diadakan upacara bendera di Monumen Pancasila Sakti di Lubang Buaya dan upacara menabur bunga di pusara mangsa G30S di Taman Makam Pahlawan, Kalibata. Bagaimanapun, selepas zaman Reformasi, tayangan filem dihentikan atas alasan ianya dijadikan alat propaganda kerajaan.



Kami masih ingat pengkhianatan komunis!









Thursday 16 October 2014

ORBAT Order of Battle - Malaya Command 1941-1942 - Part 1 (Indian III Corps)

Malaya Command (Bahagian 1 - Indian III Corps)

Malaya Command adalah sebuah formasi Tentera Darat British yang ditubuhkan seawal tahun 1920 untuk mengkoordinasi pertahanan pihak British di Malaya. Barisan pertahanan ini terdiiri dari pasukan-pasukan yang berpengkalan di Kuala Lumpur, Penang, Taiping, Seremban dan Singapura. Setelah meletusnya Perang Dunia ke-2 di Eropah pada tahun 1939, kebanyakan tentera British telah terlibat di medan-medan pertempuran di Eropah dan Malaya Command terdiri dari unit-unit tentera dari India. Pasukan-pasukan yang bernaung dibawah Malaya Command adalah:
  1. III Corps (Indian)
  2. Division ke-8 (Australia)
  3. Fortress Singapore
  4. Malaya Command (Simpanan)
  5. Sarawak Force (SARFOR)
  6. Christmas Islands

Pada 18 November 1940, Malaya Command bernaung dibawah British Far East Command dan kemudiannya berada dibawah South West Pacific Command pada 7 Januari 1942. Formasi ini bertanggungjawab untuk mengawal "Malay Barrier" iaitu satu garisan pertahanan yang menganjur dari Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, kepulauan Indonesia (pada ketika itu dikenali sebagai Hindia Timur Belanda - Dutch East Indies). Malaya Command dibubarkan pada 15 Februari 1942 setelah pihak British menyerah kalah kepada Jepun di Singapura (rujuk Pertempuran Pasir Panjang dan Peristiwa di Old Ford Factory, Bukit Timah, Singapura).



Pada bulan November 1941, kekuatan Malaya Command adalah terdiri dari 17 buah batalion dari kontinjen tentera India yang kebanyakkannya diletakkan dibawah pemerintahan III Corps dengan markas di Kuala Lumpur. Apabila Jepun menyerang Malaya, jumlah kekuatan tentera British di Malaya adalah 88,600 anggota berhadapan dengan 70,000 tentera Jepun dari ketumbukan 25th Army.

Berikut adalah pasukan-pasukan yang bernaung dibawah pemerintahan III Corps (India)

III Corps - Lt. Jen Lewis Heath

Indian 9th Infantry Division - Markas: Kuala Lumpur (Mej. Jen, Arthur Edward Barstow)
  • 8th Indian Infantry Brigade (Kota Bharu)
    • Batalion 2, Rejimen Baluch ke-10 (link)
    • Batalion 2, Rejimen Frontier Force ke-12 (link)
    • Batalion 1, Frontier Force Rifles ke-13 (link)
    • Batalion 3, Rejimen Dogra ke-17
    • Bateri 21, Mountain Battery, Indian Artillery
  • 22nd Indian Infantry Brigade (Kuantan)
    • Batalion 5, Rejimen Sikh ke-11 (link)
    • Batalion 2, Royal Garhwal Rifles 
    • Rejimen Medan ke-5, Royal Artilley (link)
  • Lain-lain unit
    • Rejimen Medan ke-88 (2nd West Lancashire), Royal Artillery
    • Kompeni 42 Field Park (Royal Bombay Sappers and Miners) (link)

Indian 11th Infantry Division - Markas: Sg. Petani (Mej. Jen. David Murray Lyon)
  • 6th Indian Infantry Brigade (Jitra)
    • Batalion 2, East Surrey Regiment (link)
    • Batalion 1, Rejimen Punjab ke-8
    • Batalion 2, Rejimen Punjab ke-16
    • Rejimen ke-22, Montain Artillery
  • 15th Indian Infantry Brigade (III Corps - Pasukan Simpanan)
    • Batalion 1, Leicestershire Regiment (link)
    • Batalion 2, Rejimen Jat ke-9
    • Batalion 1, Rejimen Punjab ke-14 (link)
  • 28th (Gurkha) Infantry Brigade (Ipoh)
11th Division Command Troops
  • Rejimen Kavalri ke-3, Indian Army (link)
  • Squadron ke-100, Kereta Kebal Ringan
  • Rejimen Medan ke-137 (2nd West Lancashire), Royal Artillery
  • Rejimen Medan ke-155 (Lanarkshire Yeomanry), Royal Artillery (link)
  • Rejimen Anti-Kereta Kebal ke-80, Royal Artillery
  • Rejimen Anti-Kereta Kebal ke-85, Royal Artillery
  • 1st Independent Company
  • Kompeni Medan ke-23 (Royal Bombay Sappers and Miners)
  • Kompeni ke-43, Royal Engineers
Krohcol (link) - Lt. Kol H.D. Moorhead
  • Batalion 5, Rejimen Punjab ke-14
  • Batalion 3, Rejimen Punjab ke-16
  • 2/3rd Australian Motor Company
Briged Komunikasi
  • Batalion 1, Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMSVF) - Perak
  • Batalion 2, Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMSVF) - Selangor
  • Batalion 3, Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMSVF) - N. Sembilan
  • Batalion 4, Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMSVF) - Pahang
  • Rejimen Medan Pertama, Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMSVF)
  • Squadron Kereta Perisai, Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMSVF)
  • Batalion Semboyan, Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMSVF)
Fortress Penang (Markas: Penang)
  • Kompeni D, Batalion 5, Rejimen Punjab ke-14
  • Rejimen Meriam Pantai ke-11, Hong Kong and Singapore Royal Artillery
  • Batalion 3, Straits Settlements Volunteer Force (link)
  • Rejimen Anti-Kapal Terbang ke-2, Indian Artillery
Unit-unit Sokongan
  • Batalion 5, Rejimen Punjab ke-14 (ditumpangkan ke Krohcol)
  • Batalion 3, Rejimen Punjab ke-16 (ditumpangkan ke Krohcol)
  • Batalion 1, Mysore Infantry (Indian States Forces)
  • Batalion 1, Bahawalpur Infantry (Indian States Forces)
  • Batalion 1, Rejimen Hyderabad (Indian States Forces)
  • Rejimen Semboyan Division India ke-11
Nota:

Setiap Rejimen Artileri Medan mengandungi 3 x bateri (8 x 25 pounder atau 8 x 4.5 howitzer)
Setiap Rejimen Anti-Kereta Kebal mengandungi 4 x bateri (12 x 2 pounder (40mm Vickers)

Meriam QF 25 pounder

Meriam QF 25 pounder sedang ditarik dengan trak atau dipanggil artillery tractor. Mula digunakan pada tahun 1940 oleh British dan digunakan oleh beberapa negara sehingga tahun 1980an. Dikendalikan oelh 6 krew, berupaya menembak 6-8 rounds seminit, dengan jarak 12 km.


Gambar atas: meriam QF 2 pounder (40 mm) dan gambar bawah, 2 pounder semasa Pertempuran Muar. Sebanyak 12,000 unit telah dikeluarkan oleh Vickers sepanjang tahun 1936 hingga 1944. Dikendalikan oleh 3 krew, berupaya menembak 22 rounds seminit dengan jarak 1000 meter.


Meriam 4.5 inch (114 mm), juga dikenali sebagai 18 pounder berkeupayaan menembak 4 rounds seminit dengan jarak 6.7 km, dikendalikan oleh 6 krew

Bren Carrier atau Universal Carrier ada dipamerkan di Muzium Tentera Darat, Port Dickson.

Bawah: gambar-gambar pasukan dibawah Malaya Command semasa di Malaya








III Corps ditubuhkan pada pertengahan tahun 1941 oleh Malaya Command apabila situasi menjadi semakin tegang di Timur Jauh. Bagaimanapun, dengan pembesaran yang mendadak, batalion-batalion ini kekurangan anggota-anggota yang berpengalaman dan kebanyakan mereka rata-rata terdiri dari perajurit-perajurit muda yang tidak terlatih, terutama didalam perang hutan.

Tentera Jepun yang jauh berpengalaman dapat mempraktikkan muslihat perang mereka dengan berkesan apabila berhadapan dengan pasukan ini, contohnaya apabila bertempur dijalan-jalan utama, Tentera Jepun akan meninggalkan pasukan utama sebagai umpan untuk bertempur, dan pada masa yang sama menggunakan beberapa pasukan untuk menyusup masuk ke kawasan hutan dikiri atau kanan pasukan yg bertahan dan mengepung mereka. Taktik ini ternyata berkesan didalam beberapa pertempuran dan berjaya memberi tekanan kepada III Corps untuk terus berundur ke selatan semenanjung.

Pada tahun 1937, Mej. Gen. William Dobbie (Panglima Tentera British di Malaya 1935 - 1939) telah melaporkan pada musim tengkujuh (monsoon) dari bulan Oktober hingga March, tentera Jepun boleh membuat pendaratan disebelah pantai timur dan beliau menjangkakan pendaratan boleh dibuat di Songkhla, Pattani dan Kota Bharu, malangnya perkara ini tidak diendahkan oleh peringkat tertinggi tentera British di London.

Hanya pada tahun 1941, perancangan dibuat (Operation Matador) untuk menggerakkan tentera British ke selatan Siam kerana mereka menjangkakan Jepun akan mendarat ke Songkhla dan Pattani dan akan terus mara ke arah Jitra dan Kroh. Jika British berjaya menyekat kemaraan tentera Jepun disempadan Siam, mereka akan mempunyai masa yang cukup untuk menggerakkan pasukan-pasukan lain untuk membuat serangan balas besar-besaran keatas pasukan Jepun. Bagaimanapun terdapat halangan untuk melaksanakan operasi ini apabila permohonan untuk menambah anggota tentera tidak diluluskan dan pada tahun sebelumnya pula, Duta British telah menandatangani perjanjian Non-Aggresion Pact dengan Siam, bermakna tiada operasi ketenteraan boleh dilancarkan keatas wilayah Siam oleh British.

Malaya - Siam Road 1942

Pada 5 Disember 1941, London memberi kebenaran untuk Far East Command melancarkan serangan mengejut (pre-emptive strike) ke atas Siam sebelum pendaratan tentera Jepun dengan mengaktifkan Operasi Matador. Pada mesyuarat genting bertarikh 6 Disember 1941, Governor Sir Shenton Thomas, Commander in Chief Far East Command, Air Chief Marshall Robert Brooke Popham dan Pemerintah Malaya Command, Gen. Arthur Percival membatalkan hasrat untuk melancarkan serangan mengejut dengan alasan ianya bukan satu keputusan yang terbaik. Bagi pihak Jepun pula, andai kata pihak British melancarkan juga serangan di selatan Siam pada masa itu, perancang-perancang tentera Jepun telah mempunyai rancangan "contigency" dengan menggunakan semua pangkalan udara di Bangkok dan selatan Siam untuk memperkukuhkan penguasaan udara mereka, dan menyerang Malaya melalui Segenting Kra sebagai pilihan kedua. 

Sebagai menggantikan Operasi Matador, tentera British dengan tergesa-gesa melancarkan Operasi Krohcol (Kroh Column, dimana Column bermaksud "battle group") untuk menghalang kemaraan tentera Jepun. Objektif mereka adalah merebut sebuah kawasan strategik berhampiran Sungai Pattani kira-kira 26 batu dari Betong. Jika tentera British berjaya menawan kawasan sempit ini, (jalan Pattani - Kroh sepanjang 6 batu diapit lereng bukit dikiri dan kanan) dan dengan meletupkan lereng bukit tersebut, ia akan berjaya melengahkan kemaraan tentera Jepun. Bagaimanapun hanya Batalion 3, Rejimen ke-16 Punjab dan pasukan jurutera bergerak ke objektif setelah Batalion 5, Rejimen ke-14 Punjab dan Bateri ke-10, Indian Mountain Artillery yang dinantikan gagal tiba ke Kroh pada masa yang ditetapkan.

Krohcol menyeberang ke sempadan Thai pada 9 Disember 1941, kira-kira 14 jam selepas tentera Jepun mendarat di Kota Bharu. Bagaimanapun mereka dihalang oleh pasukan Royal Thai Police (pasukan Polis separa tentera). Pokok-pokok yang ditumbangkan keatas jalan menghalang pergerakan Bren Carrier pasukan Krohcol. Pada masa yang sama pasukan Polis Thai ini juga menghalang kemaraan tentera Jepun, sehinggalah kerajaan Thai bersetuju dengan gencatan senjata dan membenarkan tentera Jepun merentasi wilayahnya menuju ke Malaya. Pertempuran bermula pada 10 Disember 1941, apabila tentera Jepun dari Rejimen ke-42, Imperial Japanese Army (IJA) dan 2 kompeni dari Rejimen Kereta Kebal ke-14, mula menyerang pasukan Krohcol. Setelah bertahan selama dua hari, pasukan Krohcol berundur ke Kroh pada 13 Disember 1942.

Pada 14 Disember 1941, kerajaan Thai menandatangani perjanjian dengan Jepun dimana kerajaan Thai membenarkan infrastruktur diwilayahnya digunakan oleh tentera Jepun sepenuhnya termasuklah pangkalan tentera, jalanraya, pelabuhan dan lapangan terbang. Kemudian atas desakan Jepun juga, kerajaan Thai mengisytiharkan perang ke atas Amerika dan Britain pada 25 Januari 1942. Hasil kerjasama ini, Jepun telah menyerahkan 4 negeri-negeri Melayu (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu) kepada Thai. Negeri-negeri ini dikenali sebagai Sirat Malai dan dipanggil Syburi, Palit, Kalantan dan Trangkanu dengan Alor Setar dijadikan sebagai pusat pentadbiran.

Bersambung di Bahagian 2 - Division ke-8, Tentera Australia.




Monday 13 October 2014

Senoi Praaq help trains Montagnards in Vietnam to combat communist forces

Senoi Praaq bermaksud Orang Perang (War People) dalam bahasa Semai. Kini terdapat 2 batalion dalam Pasukan Polis Hutan (Police Field Force) iaitu Batalion ke 3 PPH (Bidor, Perak) dan Batalion ke 18 PPH (Pengkalan Hulu, Perak) yang dianggotai oleh Orang Asli di negara kita. Sumbang
an mereka adalah sama penting seperti pakar trekker hutan dari kaum Iban, Sarawak.

Pada tahun 1953, Special Operation Voulunteer Force (SOVF) telah ditubuhkan oleh Special Branch yang mana unit ini dianggotai oleh bekas-bekas anggota pengganas komunis (SEP - Surrendered Enemy Personnel) dan sukarelawan terpilih yang membentuk 12 platun. Mereka ditugaskan untuk kembali ke hutan samada memujuk anggota PKM (Parti Komunis Malaya) supaya menyerah atau membunuh tokoh-tokoh tertentu PKM.


10 orang asli dari kaum Temiar telah dilatih dan diletakkan dibawah D Squadron, SAS pada tahun 1955 dan merupakan nukleus kepada pasukan Senoi Praaq. Gen. Templer telah meluluskan penubuhan pasukan Senoi Praaq yang mana pada ketika itu diletakkan dibawah Jabatan Orang Asli (DOA - Dept. of Aborigines). Pegawai pentadbir British di Malaya, R.O.D. Noone telah mengilhamkan pembentukan pasukan keselamatan dari kalangan orang asli bagi membendung PKM dari mempengaruhi dan mendapatkan sokongan orang asli yang tinggal jauh dipendalaman hutan. Beliau juga percaya kepakaran hutan yang dimiliki oleh orang-orang asli ini boleh digunakan oleh pasukan keselamatan dalam menentang pengganas komunis yang berpengkalan dihutan tebal.


R.O.D Noone adalah lulusan antropologi dari Universiti Cambridge dan merupakan seorang Mejar didalam tentera British dan pernah membuat kajian berkenaan penduduk Malaya sebelum perang meletus. Beliau telah diminta oleh kerajaan Vietnam Selatan dan Laos untuk mendapatkan sokongan kaum asli di sana membantu kerajaan menentang komunis, dengan menggunakan model British di Malaya. R.O.D. Noone kemudian dihantar ke Thailand dibawah pertubuhan South East Asia Treaty Organisation (SEATO) sebagai penasihat dan perancang program melawan insurgensi dan meninggal dunia pada tahun 1973.

Kembali kepada Senoi Praaq, menjelang kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, pasukan Senoi Praaq telah berkekuatan 2 squadron dan R.O.D. Noone menjadi Pegawai Memerintah (Commanding Officer) sehingga tahun 1961. Keberkesanan Senoi Praaq dihutan terbukti apabila mencapai jumlah rekod  tertinggi berjaya membunuh pengganas komunis pada tahun 1958, berbanding pasukan keselamatan lain. Dua tahun berikutnya Senoi Praaq mencapai ratio 16:1, bagi setiap 16 pengganas komunis yang dibunuh atau cedera, Senoi Praaq hanya mengalami 1 kasualti. Dengan reputasi yang semakin baik, pengganas komunis lebih rela berundur dari memilih untuk bertempur dengan Senoi Praaq.


Pada tahun 1960, Darurat Pertama telah diisytiharkan tamat dan satu squadron Senoi Praaq telah  digerakkan ke selatan Thai untuk memujuk 3,000 orang asli yang tinggal disana serta memburu Soo Ah Chye, seorang pemimpin gerila PKM yang fasih bahasa Temiar. R.O.D Noone bersama sekumpulan kecil anggota Senoi Praaq telah dihantar ke Vietnam pada tahun 1963, atas permintaan Presiden Ngo Dinh Diem. Mereka bertanggungjawab membentuk pasukan Montagnard Scouts dibawah Mountain Scout Program (MSP) kendalian Central Intelligence Agency (CIA) dengan kerjasama British Advisory Mission (BRIAM). Beliau yang terlatih dibidang antropologi mendapati ada persamaan salah satu suku kaum di Malaya dan kaum orang asli yang tinggal di tengah kawasan tanah tinggi Vietnam. Hal ini memudahkan proses latihan kerana halangan bahasa dan budaya dapat diatasi hasil kesamaan itu tadi. Akan tetapi keakraban yang wujud ini tidak disenangi oleh Pasukan Khas Vietnam kerana mereka memang tidak memberi perhatian sewajarnya kepada orang asli pada ketika itu. Pasukan Senoi Praaq kemudian ditarik keluar atas permintaan Noone.


gambar atas dan bawah: Montagnard 



Pada permulaan Konfrontasi, British masih cuba menggunakan konsep "hearts and minds" dengan menubuhkan Borneo Border Scouts, dengan mengikut acuan Senoi Praaq. Pasukan ini dilatih oleh Gurkha dan SAS, bagaimanapun ia diambil alih secara total kerana SAS banyak terlibat dengan operasi dihutan. Noone, kemudiannya diarahkan pula untuk menubuhkan Sabah Border Scouts pada tahun 1964 yang majoritinya dianggotai oleh kaum Murut. Mereka terlibat didalam Operasi CLARET.

Pada awal era Konfrontasi tahun 1963, Senoi Praaq beroperasi di Pontian, Johor dan Singapura, juga buat pertama kalinya, pasukan ini terlibat didalam Eksesais Kura-Kura yang melibatkan pasukan dari Batalion Pertama dan Batalion ke-6 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja), Rejimen ke-2 Peninjau Persekutuan, Rejimen Pertama Meriam Persekutuan dan Tentera Udara Diraja Malaysia. Latihan ini merupakan latihan bersama yang terbesar pernah dilaksanakan pada masa itu.

Pada tahun 1964, Menteri Pertahanan Vietnam Selatan, Mej. Jen. Tran Thiem Khiem  telah melawat Kuala Lumpur dan memohon agar kerajaan Malaysia membantu mereka dalam melawan gerila Viet Cong.

1968, menandakan bermulanya Darurat ke-2, iaitu kebangkitan semula pemberontakan bersenjata komunis di Malaysia. Senoi Praaq telah diserapkan kedalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dekenali sebagai Batalion ke-10 Pasukan Polis Hutan (PPH) dibawah naungan Briged Utara. Pada tahun ini juga Apot a/k Saad menyertai Senoi Praaq dan kemudiannya komando VAT 69. Beliau menjadi lagenda semasa berkhidmat didalam pasukan ini dan kepakarannya dalam "jungle tracking" dihormati dikalangan tentera Komanwel termasuk pasukan SAS dari New Zealand dan Australia dan mereka menggelarnya dengan nama "Big Nose" kerana kehandalannya menjejak gerila komunis.

Sarjan Mejar Apot


Pada tahun 1974, Senoi Praaq secara rasminya dikenali sebagai Batalion ke-19 PPH dan pada tahun 1978, Batalion ke-20 PPH telah ditubuhkan dengan 2 kompeni di Sungai Siput dan lagi 2 kompeni di Kroh, Perak. Pada tahun 1983, Batalion ke-20 PPH berpindah ke Bidor, Perak dan batalion ini ditukarkan designasi kepada Batalion ke-3 PPH pada tahun 1993. Dua tahun kemudian pasukan Senoi Praaq dilatih dalam menjalankan tugas-tugas Pasukan Gerakan Am (PGA) setelah berakhirnya ancaman pemberontakan bersenjata komunis dengan Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989. Walaupun operasi menentang pengganas komunis telah berakhir, kepakaran Senoi Praaq masih lagi diperlukan dalam operasi-operasi cegah penyeludupan dan operasi-operasi yang melibatkan ancaman keselamatan seperti Operasi Tayang 2013 di Sabah.


Tulisan asal artikel ini dalam bahasa Inggeris oleh saudara M Hanif Ismail dari DGSC Review, anda boleh baca disini.


Link:

http://www.senoipraaq.com/

Rencana Utusan Malaysia mengenai SM Apot