Thursday 23 April 2015

Eli Cohen: Israeli spy in Damascus

Peperangan Enam Hari (Six-Day War) adalah merupakan peperangan yang ke-3 berlangsung dari tarikh 5 Jun 1967 hingga 10 Jun 1967 diantara Israel dan negara jirannya, iaitu Mesir (ketika itu dikenali sebagai United Arab Republic), Jordan dan Syria. Israel memenangi peperangan ini setelah melakukan beberapa serangan mengejut (pre-emptive strike) yang berjaya melumpuhkan kekuatan udara Mesir dalam masa yang singkat. Dengan musnahnya kekuatan udara Mesir, Israel berjaya mendominasi ruang udara semasa peperangan ini. Dianggarkan, pasukan gabungan negara Arab mengalami lebih 23,000 kematian dan kemusnahan 425 pesawat udara dan ratusan lagi kereta kebal dimusnahkan, manakala dipihak Israel pula mengalami antara 700 hingga 1,000 kematian, 400 kereta kebal dan 46 pesawat udara musnah.

Kejayaan besar Israel dalam perang ini bergantung rapat kepada ketepatan maklumat risikan yang diperolehi oleh pihak Israel. Sebagai contoh, serangan mengejut dilakukan ketika para Jeneral tentera Mesir sedang terperangkap dalam kesesakan lalulintas waktu pagi semasa dalam perjalanan ke pejabat masing-masing dan, waktu serangan dipilih ketika pengawal radar tentera Mesir sedang melakukan pertukaran shif, dimana petugas yang hendak menamatkan syif telah keletihan dan hilang fokus, manakala shif yang akan mengambilalih tugas belum benar-benar bersedia. Segala maklumat ini, diterima dari ejen-ejen risikan Mossad yang ditempatkan di Mesir dan Syria. Dikhabarkan, ketepatan maklumat yang mereka salurkan membolehkan Israel tahu menu yang disediakan oleh tentera Mesir di kem-kem mereka, dan Israel menyediakan menu yang lebih baik kepada tawanan perang tentera Mesir sebagai perang saraf.

Salah seorang perisik Israel yang terkenal adalah Eliahu ben Shaoul Cohen (Eli Cohen) yang menjalankan tugas risikan di Syria pada tempoh empat tahun, iaitu antara 1961 hingga 1965. Di sana beliau telah berjaya mempengaruhi ahli-ahli politik, pegawai kanan tentera, pemimpin-pemimpin Parti Baath dan juga Presiden Syria sendiri, Amin el Hafiz. Pengaruh yang beliau miliki membolehkannya menyandang jawatan Ketua Penasihat kepada Menteri Pertahanan Syria pada masa itu. Cohen juga dikatakan hampir ditawarkan jawatan Timbalan Menteri Pertahanan sebelum kegiatan risikan beliau akhirnya terbongkar dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Dataran Marjeh, Damsyik pada 18 Mei 1965 ketika berusia 40 tahun.

Eli Cohen semasa dihukum gantung

Eli Cohen dilahirkan dari keluarga yahudi yang menetap di Iskandariah, Mesir pada tahun 1924. Pada Januari 1947, beliau memohon untuk menyertai tentera darat Mesir tetapi permohonannya ditolak. Pada awal penubuhan negara Israel pada tahun 1948, ibu dan bapanya berserta tiga adik beradiknya telah berpindah ke Israel, tetapi beliau masih kekal berada di Mesir dan menamatkan pengajian ijazah pertamanya dalam bidang elektronik.

Pada tahun-tahun 1950an, Eli Cohen melibatkan diri dalam operasi sulit Israel di Mesir. Pada tahun 1955, dia telah membantu satu pasukan sabotaj yang dibentuk oleh Israel bertujuan merosakkan hubungan Mesir dengan negara barat. Pasukan ini bertanggungjawab memasang bom di beberapa instalasi milik British dan Amerika, lantas memberikan gambaran seolah-olah ia dilakukan oleh rakyat Mesir yang anti Barat. Walaupun tertangkap, dan dua anggota skuad tersebut dijatuhkan hukuman mati, Eli Cohen terselamat kerana kekurangan bukti kukuh untuk mengaitkan beliau dengan dua anggota skuad tersebut. Semasa krisi Terusan Suez pada 1956, beliau telah diarahkan meninggalkan Mesir dengan dihantar ke Naples, Italy. Disana, atas bantuan Jewish Agency beliau telah dibawa pulang ke Israel..

Tahun berikutnya, 1957, beliau telah direkrut oleh Israel Defence Force (IDF) dan ditempatkan dalam pasukan intelijen sebagai "counterintelligence analyst" dengan menterjemah maklumat sulit dalam bahasa Arab kepada Hebrew termasuklah menterjemah maklumat yang didapati dari akhbar harian berbahasa Arab. Bagaimanapun, beliau merasa bosan dan cuba untuk menyertai Moosad sebanyak dua kali. Kecewa kerana kedua-dua permohonan ditolak oleh Mossad, beliau meletakkan jawatannya dan bekerja sebagai kerani dengan sebuah syarikat insurans di Tel Aviv.

Peluang yang diidamkan datang apabila beliau ditawarkan untuk menyertai AMAN tanpa disangka-sangka. Meir Amit, Ketua Pengarah Mossad tertarik setelah meneliti fail-fail pemohon yang telah ditolak oleh Mossad sebelummnya. Jen. Meir Amit sebenarnya panglima kepada Army Central Command yang telah tercedera dalam latihan payung terjun. Setelah dirawat selama setahun di hospital, Meir Amit dilantik mengetuai AMAN, unit perisikan tentera darat, sebelum beliau dilantik mengetuai Mossad. Beliau merasakan Eli Cohen adalah calon yang sesuai untuk melaksanakan tugas risikan di Syria.

 Eli Cohen

Setelah dipantau selama dua minggu oleh Mossad, beliau diarahkan menjalani latihan intensif selama enam bulan dimana beliau telah lulus dan didapati layak untuk menjadi "katsa" (field agent). Ujian pysikologi yang dilakukan menunjukkan Cohen mempunyai IQ yang tinggi, berani, mampu menyimpan rahsia tetapi kelemahannya, beliau kadangkala gagal menilai bahaya dan suka mengambil risiko. Semasa kursus tersebut Cohen menjalani latihan pengendalian senjata, sabotaj, teknik pemanduan berkelajuan tinggi, topografi, membaca peta, transmisi radio dan kryptografi.

Beliau kemudiannya diberikan identiti palsu sebagai seorang "businessman" yang baru pulang dari Argentina ke Damsyik, kerana kebolehannya dalam bergaul dengan orang-orang Arab seperti di Mesir. Beliau menggunakan nama Kamel Amin Thaabet. Cohen kemudiannya berpindah ke Argentina pada 1961, sebagai persediaan kepada watak peniaga yang akan digunakannya sebagai samaran bila berada di Damsyik kelak.

Ketika di Argentina, Cohen membuat hubungan dengan komuniti Syria disana, terutama para pegawai kanan kerajaan, ahli politik, pegawai tinggi tentera dan komuniti diplomatik. Beliau sering mengadakan majlis-majlis bersukaria di apartmentnya dimana beliau berjaya mengumpul maklumat ketenteraan semasa bersosial dengan mereka.

Cohen berjaya mengumpul banyak maklumat risikan dalam tempoh masa 1961-1964. (Beliau mula menetap di Damsyik pada Feb 1962). Maklumat dihantar ke Israel (Unit 131, AMAN) melalui pelbagai cara, seperti melalui hubungan radio, surat-surat rahsia dan kadangkala beliau kembali ke Israel tanpa pengetahuan pihak di Syria (sebanyak 3 kali). Sebagai Kamel Amin Thaabet, beliau menyertai dan aktif dalam Parti Baath sehingga berjaya membentuk "network" dengan pemimpin Parti Baath termasuklah Presiden Amin el Hafiz.

Antara kejayaan cemerlang Cohen ialah apabila beliau satu-satunya orang awam yang berpeluang melawat Golan Heights bersama-sama pegawai tinggi Syria dan pada masa yang sama mengumpul data risikan tentang kubu pertahanan Syria disana. Hasilnya membolehkan Israel menawan Golan Heights hanya dalam masa dua hari semasa konflik Six-Day War. Kononnya simpati dengan anggota tentera yang terdedah kepada cuaca panas, beliau mencadangkan pokok-pokok (eucalyptus) ditanam berhampiran kubu-kubu mereka. Pokok-pokok ini sebenarnya menjadi penanda sasaran apabila tentera udara Israel melakukan serangan kemudiannya.

Dia juga mendapat maklumat sulit bahawa tentera Syria telah membentuk tiga lapis garis pertahanan yang menempatkan bunker serta pasukan mortar di zon selatan perbatasan, sedangkan sebelum ini tentera Israel hanya mengetahui bahawa Syria hanya membentuk satu garis pertahanan. Cohen juga melaporkan setiap posisi perangkap kereta kebal yang telah dibina oleh tentera Syria bagi menghalang kemaraan tentera Israel. Lain-lain kejayaan antaranya melaporkan ke Tel Aviv akan ketibaan 200 kereta kebal T54, hanya beberapa jam selepas tiba di Syria, dan kejayaannya mendekati pegawai-pegawai tentera udara Syria dimana dia mengumpul maklumat tentang jet-jet Sukhoi dan MiG 21, sistem persenjataan dan teknikal termasuklah taktik dan strategi pertempuran udara.

Perlantikan ketua perisikan Syria yang baru, Kolonel Ahmed Su'edani telah mengubah senario ini. Kolonel Ahmed adalah individu yang sukar untuk mempercayai seseorang, termasuklah Cohen. Tambahan lagi, semasa mengiringi Jen. Ali Amer, panglima tentera Mesir yang melakukan kunjungan ke sempadan Syria-Israel, pihak Mesir telah mengenalpasti Cohen dalam salah satu foto mereka semasa lawatan tersebut. Cohen pernah ditangkap dan didakwa di Mesir atas aktiviti subversif pada tahun 1950 an. Menyedari keadaan yang tidak memihak kepadanya lagi, Cohen mencadangkan asainmen beliau di Syria ditamatkan dengan segera, semasa beliau pulang melawat keluarganya di Israel pada bulan November 1964.

Pada Januari 1965, dengan menggunakan alat pengesan yang canggih dan dibantu oleh pakar counterintelligence dari KGB, mereka melakukan pemantauan dengan membuat "radio silence" dimana semua stesyen radio di satu-satu kawasan diarahkan untuk tidak membuat sebarang transmisi atas sebab-sebab keselamatan. Semasa pemantauan dilaksanakan, sebarang tranmisi yang dilakukan akan dapat dipintas. Pada 24 Januari 1965, mereka telah berjaya mengesan sumber tranmisi dibuat pada sebuah apartement. Setelah serbuan dilakukan, Cohen ditangkap ketika sedang menghantar maklumat ke Tel Aviv.

Eli Cohen didapati bersalah atas tuduhan melakukan risikan untuk pihak Israel dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Pada 18 Mei 1965, beliau digantung dihadapan orang ramai dan permintaan terakhir beliau untuk menemui Rabbi dibenarkan. Semasa dibawa ke tapak hukuman, beliau ditemani oleh Ketua Rabbi Syria, Nissim Andabo. Mayatnya dikebumikan ditempat yang dirahsiakan oleh pihak Syria dan tidak dikembalikan kepada keluarganya walaupun mereka telah membuat beberapa tuntutan dan rayuan.

Wednesday 22 April 2015

F713 FNS Aconit (La Fayette Class Frigate)

Pada penghujung tahun 1980an terdapat keperluan bagi Tentera Laut Perancis (Marine Nationale) menggantikan kapal korvet kelas A69 Aviso yang telah usang. Kapal-kapal yang bakal menggantikan kelas Aviso mestilah mampu untuk beroperasi di Zon Ekonomi Ekslusif Perancis yang luas, disamping mempunyai keupayaan tambahan dari kapal friget biasa seperti kebolehan melaksanakan bantuan kepada pasukan darat/marin dalam konflik-konflik berskala kecil dan juga mampu untuk melaksanakan misi-misi bantuan kemanusiaan, yang mana ciri-ciri ini tidak mampu dilakukan oleh kapal-kapal seperti kelas Aviso.

Oleh kerana Perancis masih lagi mempunyai wilayah-wilayah di Carribean, Polynesia, New Caledonia dan penglibatan di Afrika, kapal bersaiz 3,000 tan amat diperlukan kerana saiznya yang besar membolehkan mereka beroperasi dengan tempoh yang lebih panjang dan berkeupayaan membawa bekalan yang lebih banyak, selain boleh juga menempatkan helikopter bersaiz sederhana serta mampu menempuh lautan besar, berbanding kapal-kapal yang bersaiz lebih kecil.


Gambar: F710 La Fayette (atas) dan Kang Ding, milik Taiwan (bawah)
Sumber: www.naval-technology.com



Kapal yang pertama dari kelas La Fayette mula dibina pada tahun 1992, dengan ujian senjata dilakukan dua tahun kemudian. Ia kemudiannya ditauliahkan pada Mac 1996. Pada masa ia mula-mula ditauliahkan, kapal kelas ini adalah antara yang tercanggih di dunia dengan konsep "halimunan" (stealth), dimana ia dapat mengurangkan 60% kesan radar (radar signature), dimana kapal seberat 3.000 tan ini kelihatan seolah-olah kapal bersaiz 1,200 tan sahaja. Lebih besar sesuatu objek itu, semakin mudah ianya boleh dikesan oleh radar, tetapi La Fayette boleh mengelirukan dengan radar cross section seperti sebuah kapal nelayan yang besar. Kapal jenis ini juga dilengkapi jammer yang mengeluarkan imej-imej radar palsu. Rekaan serombongnya juga membantu merendahkan kesan thermal, disamping propeller juga menggunakan teknoloji yang mampu mengurangkan buih-buih (bubbles) bagi merendahkan kesan akaustik disamping mengelirukan sonar. Struktur utama dibina menggunakan alloy dan glass-renforced plastic yang mampu mengurangkan berat struktur. Zon-zon tertentu pula dilindungi oleh kevlar. dan krew dilindungi dari NBC (nuclear, biological and chemical).

RSS Stedfast (Rep. of Singapore Navy)
Foto: www.naval-technology.com

Al Riyadh (bawah)
 


Kapal ini dibina dari 11 modul berasingan di kilang, sebelum dihantar ke limbungan untuk dicantumkan. Teknik ini membolehkan masa pembinaan disingkatkan menjadikannya kurang dari dua tahun untuk sebuah kapal. Sebanyak 20 buah kapal telah dibina untuk kegunaan tentera laut berikut:

Perancis:

F710 La Fayette
F711 Surcouf
F712 Courbet
F713 Aconit
F714 Guepratte

Kapal kelas La Fayette seberat 3,200 tan, senjata utama misil Exocet SSM, misil Crotale untuk perlindungan udara dan meriam 100mm.kelajuan 25 knot (46 kmj) dengan jarak maksima 4,000 batu nautika (7,800 km) pada kelajuan 15 knot. Mampu membawa bekalan makanan untuk 50 hari. Krew - 12 pegawai dan 129 anak kapal.

Arab Saudi:

812 Al Riyadh
814 Makkah
816 Al Damman

Kapal dari kelas Al Riyadh (F3000S Sawari II) seberat 4,700 tan, merupakan versi anti serangan udara dilengkapi misil Aster, Exocet SSM, 4 x tiub torpedo 533mm (DCNS F17), kelajuan 24.5 knots dengan jarak maksima 4,000 batu nautika.

Taiwan:

FFG 1202 Kang Ding
FFG 1203 Si Ning
FFG 1205 Wu Chang
FFG 1206 Di Hua
FFG 1207 Kun Ming
FFG 1208 Chen De

Kapal kelas Kang Ding dengan konfigurasi anti-kapal selam serta serangan permukaan, senjata utama misil Exocet telah digantikan dengan Hsiung Feng II buatan Taiwan. Misil anti-udara pula adalah Chaparral, yang akan digantikan dengan Tien Chien II pada 2017. Kelajuan maksima 25 knot dan jarak maksima adalah 4,000 batu nautika (7,400 km)

Singapura:

68 Formidable
69 Intrepid
70 Stedfast
71 Tenacious
72 Stalwart
73 Supreme

Kapal-kapal kelas Formidable seberat 3,500 tan pula menggunakan misil Harpoon SSM, misil Aster dan meriam Oto Melara 76mm dan membawa helikopter S-70B Seahawk. Kapal kelas ini adalah yang terlaju dengan keupayaan 27 knot (50 kmj) dan jarak maksima 4,200 batu nautika (7,800 km).

Sumber: Wikipedia dan www.naval-technology.com


FNS Aconit at Port Klang, Malaysia (22nd April 2015)






















Friday 3 April 2015

Escape from Cherbourg 1969

Pada 24 Disember 1969, pasukan tentera Israel telah melancarkan satu operasi untuk melarikan 5 buah bot penyerang laju jenis SAAR 3 dari pelabuhan Cherbourg, Perancis. Kos pembelian telah dijelaskan oleh kerajaan Israel, tetapi bot-bot ini telah ditahan di Perancis kerana kerajaan Perancis melaksanakan dasar embargo senjata keatas Israel. Operasi ini dirancang oleh Tentera Laut Israel dan dinamakan Operation Noa.

Saar 3

Latarbelakang

Pada tahun 1960an, pucuk pimpinan Tentera Laut Israel telah bersetuju untuk menggantikan kapal-kapal pemusnah dan korvet bekas Perang Dunia ke-2 milik mereka kepada kapal-kapal yang lebih moden. Syarikat dari Jerman, Lurssen telah diminta untuk melakukan ubahsuai kepada model bot torpedo jenis Jaguar untuk dijadikan bot peluru berpandu. Bagaimanapun, hasil tekanan dari Liga Arab, program ini dibatalkan dan Israel mencari jurubina kapal yang baru.

Setelah dilakukan penilaian, Tentera Laut Israel telah mencadangkan Felix Amiot, syarikat kejuruteraan dari Cherbourg untuk melakukan pembinaan (bot dan enjin) berdasarkan rekaan Jerman yang terdahulu. Krew telah mula dihantar ke Perancis pada awal tahun 1965, dan pasukan teknikal diketuai oleh Commander Haim Schachal. Bahagian pentadbiran dan operasi pula diketuai oleh Captain Binyamin Telem.

Kerjasama dengan kerajaan Perancis ini bagaimanapun terhalang apabila Presiden Perancis, Charles de Gaulle, mengarahkan eksport senjata ke Israel dihentikan setelah Israel terlibat dalam Perang Enam Hari dengan Mesir pada tahun 1966. Kemudian pada tahun 1968, pasukan komando payung terjun Israel yang dipimpin oleh Colonel Raphael Eitan melakukan serangan keatas Lapangan Terbang Beirut dalam satu operasi menentang PLO. Berikutan peristiwa ini, Presiden de Gaulle mengarahkan sekatan senjata dilakukan sepenuhnya keatas Israel, termasuklah senjata yang telah ditempah dan dibayar sepenuhnya menurut kontrak.

Walaupun lesen untuk mengeksport bot-bot tersebut telah dibatalkan, tetapi pembinaan diteruskan kerana Presiden de Gaulle khuatir akan berlaku rusuhan oleh pekerja-pekerja limbungan jika projek ini dihentikan, mentelah lagi Perancis sedang mengalami kemelesetan ekonomi dan masalah pengangguran. Selepas perletakan jawatan Presiden de Gaulle, Georges Pompidou telah terpilih sebagai Presiden baru. Israel mengharapkan kerajaan baru akan mengakhiri sekatan senjata, namun Pompidou tidak melakukan apa-apa perubahan keatas polisi tersebut.

Keadaan semakin mendesak buat Israel. Mesir telah membangunkan tentera lautnya dengan bantuan Soviet. Pembelian bot peluru berpandu jenis Osa dan Komar telah merubah keseimbangan kekuatan ketenteraan antara Mesir dan Israel. Tambah lagi pada 21 Oktober 1967, sebuah kapal pemusnah tentera laut Israel, K40 Eilat (bekas HMS Zealous kapal Perang Dunia ke-2) telah diserang oleh 4 buah peluru berpandu Styx yang dilancarkan dari bot penyerang jenis Komar milik Tentera Laut Mesir. Ketika itu, K40 Eilat berada 14 batu jauhnya dari Port Said. Kapal Eilat hampir terputus dua dan mengakibatkan 47 anak kapal terbunuh, 41 tercedera dan 152 berjaya diselamatkan. Apa yang menariknya, bot Tentera Laut Mesir itu masih berada di dalam pelabuhan Port Said semasa peluru berpandu dilancarkan.

Satu insiden yang berlaku lebih awal lagi, sebuah kapal selam Israel, INS Dakar (bekas HMS Totem) yang dalam perjalanan pulang ke Israel dari Britain pada 9 Januari 1968 telah hilang tanpa dikesan. (Pada tahun 1965, Israel telah membeli 3 buah kapal selam terpakai kelas "T" dari Britain, dan menjalani latihan di Scotland sebelum dibawa pulang). INS Dakar telah hilang bersama-sama anak kapal, dan sepanjang pencarian selama 3 dekad, ianya hanya ditemui pada tahun 1999 di lokasi antara Pulau Cyprus dan Pulau Crete. Punca kehilangannya masih lagi menjadi misteri. Kedua-dua insiden yang telah dinyatakan menyebabkan pucuk pimpinan Tentera Laut Israel mengambil keputusan untuk membawa pulang bot-bot di Cherbourg dengan apa cara sekalipun.


Operasi Sulit

Rencana melarikan bot-bot tersebut telah dibuat oleh Rear Admiral Mordechai Limon. Sebanyak 12 buah bot telah ditempah, dan pada tahun 1967, bot yang ke-7, INS Mivtach telah siap dan ketika menjalani "sea trials" ia telah diarahkan meninggalkan Perancis dan terus belayar ke Haifa, Israel. Arahan diberikan dari Israel terus kepada anak kapal yang sedang menjalani latihan di Cherbourg. Keputusan Israel ini benar-benar menimbulkan kemarahan Perancis, dan ke semua bot-bot yang masih ada diarahkan meninggalkan pelabuhan tentera Perancis dan sebaliknya ditempatkan di pelabuhan biasa.

Adm. Mordechai Limon

Dengan idea Admiral Limon, bot-bot ini dijual oleh kerajaan Israel kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Starboat (berdaftar di Panama) yang mana kakitangannya adalah anggota-anggota perisikan Israel, Mossad, diketuai oleh Benyamin Vered. Starboat bercadang membeli bot-bot tersebut kerana kononnya spesifikasi bot-bot itu menepati kehendak mereka sebagai kapal survey untuk operasi petroleum dan gas.Starboat menetapkan syarat yang direka - semasa proses pemindahan bot-bot tersebut mestilah menggunakan krew-krew Tentera Laut Israel, atas alasan mereka telah berpengalaman mengendalikannya. Bot-bot tersebut telah dijual secara sah kepada Starboat, dengan keizinan Menteri Pertahanan Perancis, Michel Debre. Proses jual beli ini adalah sebenarnya muslihat pertama Israel. Mari kita lihat muslihat mereka seterusnya.

Hari-hari berikutnya, krew-krew Israel melakukan aktiviti-aktiviti rutin yang tidak menimbulkan syak kepada Perancis. Bot-bot dibawa keluar dengan pelayaran singkat ke Atlantik. Pada masa yang sama, krew-krew kapal telah ditambah dengan didatangkan dari Israel. Mereka dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil (2 orang sekumpulan) dan sampai berasingan untuk mengelakkan perisikan Perancis mengesyaki kedatangan mereka dalam satu kumpulan besar. Mereka juga tidak tinggal dalam hotel yang sama, sebaliknya berpecah-pecah dan kerap bertukar hotel. Menjelang 23 Disember 1969, kesemua krew yang diperlukan telah berada di Perancis.

Perjalanan pulang dijangka memakan masa 8 hari, dengan itu pegawai lojistik terpaksa mendapatkan bekalan makanan segar yang mencukupi, juga untuk melindungi muslihat mereka, bahan bekalan yang dibeli dari kedai runcit berdekatan terpaksa dibeli sedikit demi sedikit untuk mengelakkan perhatian. Begitu juga bekalan bahan api diesel, terpaksa diisi berulangkali oleh sebuah trak 5 tan. Suku juta liter diesel dalam drum-drum telah disorokkan diperut kapal, dan menjelang 24 Disember 1969 kesemua bot-bot telah mempunyai bekalan yang cukup untuk belayar pulang ke Haifa.

Untuk mengaburi penduduk setempat, enjin kesemua bot-bot dihidupkan setiap malam, supaya menjadi kebiasaan kepada mereka dan tidak mencurigakan dalam situasi sebenar. Jika ini tidak dilakukan, mereka pasti akan terkejut mengapa kesemua bot-bot tersebut dihidupkan enjinnya secara serentak. Atas alasan teknikal, bot-bot tersebut mendapat kebenaran dari pihak Polis untuk mengoperasikan enjin pada waktu malam, walaupun terdapat aduan dari penduduk sekitar Cherbourg.

Selain itu 2 buah kapal, MV Lea akan digunakan untuk membekalkan bahan api setibanya bot-bot tersebut di Gibraltar, dan kapal MV Naharyah bertindak sebagai "back-up".


Lari dari Cherbourg

Bot-bot tersebut direncanakan keluar dari Cherbourg pada malam 24 Dis 1969, ketika penduduk tempatan sibuk untuk menyambut perayaan Krismas. Pasukan Israel mempunyai pakar kajicuaca yang memantau laporan dari Britain, Perancis dan Sepanyol bagi memastikan keselamatan mereka semasa melalui Teluk Biscay. Walaupun cuaca diramalkan hujan, semua krew diarahkan belayar keluar pada jam 2030 (8:30 pm) tetapi ditunda kepada 2230 kerana berlakunya ribut dan cuaca semakin memburuk. Walaupun terdapat arahan dari Tel Aviv supaya mereka meninggalkan Cherbourg dengan segera, Captain Hadar Kimhi menunggu sehingga tengah malam setelah BBC melaporkan ribut akan reda dalam masa 2 jam lagi.

Mereka bergerak meninggalkan pelabuhan Cherbourg pada jam 2;30 pagi tanpa disedari oleh pihak Perancis. Kehilangan mereka hanya diketahui keesokkannya apabila seorang wartawan yang melawat pelabuhan itu mendapati bot-bot tersebut telah tiada. Dia kemudiannya melaporkan ke BBC, iaitu 12 jam setelah bot-bot tersebut berlepas, dan pihak Perancis mula menyedarinya setelah mendengar laporan dari BBC.

Semasa bot-bot tersebut melepasi Gibraltar, pihak British telah menghantar signal meminta mereka memperkenalkan identiti tetapi tiada jawapan balas. Sebuah helikopter dihantar untuk mengenalpasti mereka tetapi tiada bendera atau lain-lain tanda untuk dikenalpasti. Pihak British kemudiannya menghantar signal "bon voyage" dan Israel menganggap British telah mengenalpasti mereka dalam pelarian ke Haifa. Menteri Pertahanan Perancis, Michel Debre mengarahkan serangan udara dilakukan tetapi dibantah oleh Ketua Staf Tentera Perancis dan juga Perdana Menteri Jacques Chaban-Delmas.

Keseluruhannya, bot-bot Israel telah belayar sejauh 3,145 batu nautika (5,825 km) dan tiba di Haifa pada 31 Dis 1969. Semasa dibawah syarikat carigali Starboat, bot-bot ini dinamakan Starboat 1,2,3,4, dan 5. Kemudiannya ditukarkan kepada (setelah menyertai Tentera Laut Israel):

  • INS Sufa (Storm)
  • INS Ga'ash (Volcano)
  • INS Herev (Sword)
  • INS Hanit (Spear)
  • INS Hetz (Arrow)
Bot-bot ini masih tidak bersenjata semasa dilarikan dari Perancis. Ia kemudiannya dilengkapi dengan peluru berpandu Gabriel, sistem ECM dan EW.

Selepas insiden ini, Mordechai Limon telah dihalau keluar dari Perancis. Ejen-ejen Mossad pula akan dipantau oleh perisikan Perancis. Dalam banyak situasi, anggota-anggota PLO atau pejuang Palestin yang diburu Mossad akan terlepas lari selepas ejen perisikan Perancis yang pro-Arab membocorkan maklumat.

Israel seterusnya bergantung mendapatkan bekalan senjata dari Amerika Syarikat.