Friday 13 March 2015

Operation Gonzales 1


Satu operasi besar-besaran yang dikenali dengan nama Gonzales 1, melibatkan kekuatan tiga briged infantri Tentera Darat dan satu briged dari Pasukan Polis Hutan (PPH) telah dilaksanakan pada 8 April 1974. Operasi ini diperintah kawal dan diselaraskan oleh  Markas Kedua Divisyen Infantri (2 Div), iaitu divisyen yang bertanggungjawab kepada keselamatan ke atas negeri-negeri diutara Semenanjung Malaysia. Inilah julung-julung kalinya satu operasi yang melibatkan pergerakan ketumbukan satu divisyen ke medan yang merupakan idea Jen. Tan Sri Mohd. Ghazali bin Dato' Mohd. Seth, Panglima Tentera Darat ke-7, (Ketika itu Mej. Jen). Objektif operasi ini adalah untuk menghapuskan ancaman pengganas komunis dari Pasukan Penggempur ke-5 (5th Assault Unit) yang telah lama beroperasi di kawasan Ulu Kinta dan Sungai Siput semenjak 1960. Aturgerak pasukan keselamatan dilakukan di Kelantan, Perak, Kedah dan sempadan yang melibatkan 3 negeri - Perak, Pahang dan Selangor.



Ianya antara operasi yang berjaya mencapai kejayaan cemerlang di Semenajung Malaysia. Secara keseluruhannya, walaupun hanya dapat membunuh 13 pengganas komunis, Chong Kwai Hong, Komander Pasukan Penggempur ke-5 PKM turut terbunuh disamping kejayaan pasukan keselamatan memusnahkan infrastrukstur, rangkaian komunikasi dan rangkaian lojistik PKM yang telah terbina di kawasan Sungai Siput semenjak berakhirnya Darurat Pertama (Malayan Emergency 1948-1960). Sembilan buah kem pengganas komunis ditemui, 6.840 kilo beras, 4,680 gula dan 5,080 garam turut berjaya dirampas.

Pasukan keselamatan tahu bahawa PKM mempunyai jaringan perisikan yang baik, dan berita tentang sebarang pergerakan tentera secara besar-besaran tentunya akan menimbulkan syak wasangka kepada pimpinan PKM. Oleh itu, muslihat perlulah dirangka supaya tahap kerahsiaan operasi besar-besaran ini dapat dikekalkan. Dengan itu, Tentera Darat merancang melakukan "deception plan" dimana "pertunjukan" pergerakan besar-besaran pasukan tentera dilakukan di lokasi selain dari kawasan sasaran operasi sebenar. Helikopter-helikopter Nuri juga diarahkan berlegar-legar (hover) dibeberapa lokasi seolah-olah hendak menurunkan anggota tentera, tetapi sebenarnya tidak membawa sebarang pasukan tentera.

Sebulan sebelum Operasi Gonzales 1 dilancarkan, orang awam, telah diberitahu melalui media bahawa satu latihan besar-besaran yang melibatkan Tentera Darat, Tentera Udara dan Polis akan diadakan di Gopeng dan Cameron Highland. Untuk tujuan ini, elemen-elemen dari 1 Tinjau, Rejimen 2 Artileri dan satu squadron dari Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM) telah dimasukkan ke kawasan operasi pada 30 Mac 1974. Dengan ini, pengganas komunis menjangkakan latihan atau operasi akan hanya fokus di kawasan Cameron Highlands, sedangkan kawasan operasi sebenar adalah di Sungai Siput / Ulu Kinta.

Pada D-Day, iaitu 8 April 1974, unit-unit dari tiga buah briged infantri Tentera Darat dan satu Briged Polis Hutan  telah mula masuk ke kawasan tanggungjawab masing-masing untuk misi Cari dan Musnah (Search and Destroy) namun pergerakan diperlahankan oleh ancaman jerangkap samar yang dihadapi oleh Batalion 1 Renjer. Selepas 10 hari operasi, beberapa pasukan ronda dari Batalion 1 dan 3 Renjer telah bertempur dengan musuh. Pasukan komando dan pasukan anjing perang telah dimasukkan dengan helikopter untuk membantu penjejakan susulan kepada pertempuran tersebut.

Pada 18 April 1974, Platun 9 dari Batalion 3 Renjer telah bertembung dengan sepasukan pengganas komunis. Terup No. 9 dari Skuadron Z, RGKM yang diletakkan sebagai pasukan simpanan dibawah Panglima 2 Divisyen telah diarahkan membantu. Mereka berkekuatan 30 anggota dan seekor anjing pengesan bernama Ben, telah dimasukkan dengan dua buah helikopter Nuri ke kawasan tersebut pada jam 4 petang, Ben anjing baka Labrador, dikendalikan oleh Sarjan Chandan a/k Gaing, dari Cawangan Anjing Perang, PULADA (Pusat Latihan Darat). Terup ini diketuai oleh Lt. M Zainal Abidin bin Husein dan dibantu oleh Lt. M Anuwa bin Mohamad Daud. SSjn Mohd Bajuri bin Mat Rahim sebagai Terup Sarjan, Kpl. Osman (Ketua Seksyen 1), Kpl. Zaki bin Nordin (Ketua Seksyen 2) dan Sjn Rahmat Suratman (Ketua Seksyen 3).

Gambar hiasan

Sebaik didaratkan, mereka dimaklumkan pengganas komunis telah bertempur pula dengan satu pasukan ronda dari Batalion ke-5, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah bertempur dengan komunis pada satu lokasi kira-kira 15 kilometer dari kedudukan pasukan komando, tetapi mereka terpaksa bermalam disitu kerana hari telah gelap. Keesokkannya, pasukan komando, Terup No. 9 dan anjing pengesan telah bergabung dengan kumpulan ronda dari 5 RAMD itu. Mereka mengikuti jejak musuh yang melarikan diri dianggarkan 10 hingga 15 orang. Terdapat banyak jerangkap samar ditemui sepanjang penjejakan, ada yang tidak dipasang rapi mungkin kerana pengganas komunis dalam keadaan terburu-buru. Ada antaranaya meletup tetapi tidak mencederakan sesiapa. Pada jam 4 petang pasukan keselamatan menemui tempat rehat musuh yang telah ditinggalkan. Terdapat tanda-tanda pihak komunis telah bergabung dan kekuatan mereka dianggarkan 30 orang.

Dalam penjejakan seterusnya, anggota tinjau berada dihadapan sekali, diikuti oleh Ben. Anjing pengesan itu tiba-tiba berhenti dan duduk menandakan ia telah mengesan kehadiran musuh. Semua anggota penjejak turut berhenti. Tindakan Ben berhenti telah menyelamatkan anggota pasukan keselamatan dari masuk ke zon membunuh kawasan serang hendap musuh. Bagi pengganas komunis, kehadiran Ben membahayakan mereka, lantas Ben menjadi sasaran pertama ditembak. Ben, walaupun cedera parah berusaha merangkak kembali kepada Sarjan Chandan dan menghulurkan kakinya kepada Sarjan Chandan, sebelum mati. Seterusnya ketua seksyen dan beberapa anggota mampu mengatur serangbalas dan berjaya membunuh 3 pengganas komunis. Pada masa yang sama Seksyen No. 2 dan 3 yang cuba membantu juga diserang, bagaimanapun pengganas komunis melarikan diri, berselindung disebalik kegelapan hari yang menjelang malam. Keesokkan harinya, Ben dan mayat 3 pengganas komunis diterbangkan dengan Nuri keluar dari kawasan operasi. Ben kemudiannya disemadikan di kubur khusus untuk haiwan berjasa di PULADA.

Anjing perang ATM

Pada 21 April 1974, jam 11.15 pagi pasukan ronda dari Kompeni A, Batalion 7 Renjer yang beroperasi disektor Hutan Simpan Korbu, di Perak, bertempur dengan 4 pengganas komunis. Dua anggota Renjer tercedera dan musuh melarikan diri. Kompeni C telah dekejarkan ke kawasan tersebut untuk membuat penyekatan. Pada hari yang sama kira-kira jam 5 petang, Platun No. 7 semasa membuat rondaan tempur telah menjumpai tanda anak panah yang diperbuat daripada buluh dipacakkan diatas tanah. Hasil dari penemuan ini, Platun No. 7 melakukan serang hendap dengan memasang 4 Claymore Mines dan 2 Light Machinegun (LMG).

Pada keesokkannya, pada jam 11.50 pagi seorang anggota pasukan serang hendap telah melihat seramai 5 pengganas komunis telah masuk ke kawasan membunuh. Claymore telah diletupkan oleh Renjer Shaifudin dan Lans Kpl Gaison, membunuh 2 musuh dan mencederakan beberapa orang lagi. Tanpa membuang masa, Sjn Harris bersama satu seksyen yang membuat sekatan berlari ke tempat serang hendap dan berjaya membunuh lagi 3 pengganas komunis. Disinilah Komander Pasukan Penggempur ke-5 PKM turut terbunuh.

Pertempuran terakhir berlaku pada 26 April 1974 dimana beberapa anggota dari Batalion 2 Renjer yang baru pulang dari projek "winning hearts and minds" telah terserempak dengan sekumpulan pengganas komunis. Mereka berjaya membunuh seorang musuh.







12 comments:

  1. Best This story Mr Rafe but How you Get this full story.
    Mr Rafe Semoga anda berbakti

    ReplyDelete
  2. Saya teringat pasal Operasi Gonzales kerana pernah baca buku Jen. Ghazali semasa di sekolah lagi. Sayangnya saya dah hilang buku tu, jadi terpaksa rujuk dari beberapa sumber (spt blog Xnuripilot, 7th Ranger dll) dan saya olah kembali. Kredit kpd sumber2 asal yg saya sebutkan tadi

    ReplyDelete
  3. Sharing.. Sila layari link berikut :

    http://www.saffanskot22.com/2011/10/inilah-barisan-kita.html

    ReplyDelete
  4. Kalu tak boleh direct access pd link di-atas.. sila type Skot 22 Inilah Barrisan Kita dan google or try this again :

    http://www.saffanskot22.com/2011/10/inilah-barisan-kita.html

    ReplyDelete
  5. ayah saya terlibat dalam operasi ni. dia dlm kompeni C (operasi di gunung korbu)

    ReplyDelete
  6. admin..sila betulkan fakta lATIHAN GONZALES PADA TAHUN 1984 bukan 1974.....

    ReplyDelete
  7. admin..sila betulkan fakta lATIHAN GONZALES PADA TAHUN 1984 bukan 1974.....

    ReplyDelete
  8. admin..sila betulkan fakta lATIHAN GONZALES PADA TAHUN 1984 bukan 1974.....

    ReplyDelete
  9. Kesihannya anjing perang itu terkena tembakan musuh. Sedih pula saya bila anjing bernama Ben itu mati. Saya memang suka Anjing yg terlatih. Saya sendiri pun pelihara Anjing yg pandai ikut arahan.

    ReplyDelete