Monday 23 February 2015

In Pursuit of Chong Chor PART 2 - The Capture

Sambungan dari Bahagian 1 (link).

Pemburuan Chong Chor - 1974

Kesemua 52 anggota pengganas komunis itu diturunkan oleh lori dipinggir hutan dekat Raub, Pahang. Disini, Unit Penggempur ke-6 PKM, dibawah pimpinan Chong Chor mendapat tambahan 4 lagi anggota baru. Atas faktor keselamatan, mereka dipecahkan kepada 2 kumpulan, 33 anggota dibawah Chong Chor dan lagi 21 anggota dibawah pimpinan Chong San. Mereka menuju ke Cheroh, dan setelah berjalan selama 20 hari mereka mendapati kesemua stok simpanan makanan mereka telah dimusnahkan oleh pasukan keselamatan. (Stok makanan mereka ditanam di dalam tanah - food dump).

Peta: Negeri Pahang

Selepas dua hari meninggalkan Cheroh dan menuju ke Teras, mereka telah kehabisan bekalan makanan dan terpaksa memakan daging monyet. Beberapa hari kemudian mereka menemui kebun pisang dan memotong kira-kira 50 tandan pisang dalam masa sejam. Kerana kebuluran, sebahagian pisang dimakan disitu juga. Pekerja kebun pisang kemudian menjumpai banyak kesan kulit pisang yang ditinggalkan dan melaporkan kepada pasukan keselamatan. Disinilah menjadi permulaan pemburuan mereka oleh pasukan keselamatan. Beberapa hari kemudian, pada 11 Jan 1974, berlaku pertempuran, pengganas komunis berundur setelah memasang jerangkap samar untuk melengahkan pergerakan pasukan keselamatan. Chong Chor bercadang menukar arah dari Teras menuju ke Tanjung Malim, tetapi Special Branch (SB) telah berfikir selangkah kehadapan, pasukan keselamatan dihantar ke Slim River dan Tanjung Malim. Berlaku lagi pertempuran pada 13 Jan 1974 selama 20 minit, sebelum mereka melarikan diri. Keesokkannya mereka telah dihujani dengan tembakan artileri, peluru yang meletup pada semak samun kering telah membakar kawasan tersebut menjadikan musuh bertempiaran lari ke segenap arah. Pada waktu malam pula helikopter melepaskan flare, dan pada waktu siangnya pula menggugurkan risalah menawarkan pengampunan jika pengganas komunis menyerah diri.

Akhirnya pada 26 Jan 1974, Chong Chor dan pasukannya tiba di Tanjung Malim. Dalam usaha mencari makanan, pasukannya diserang hendap oleh pasukan keselamatan, membunuh seorang dan mencederakan lagi dua anggotanya. Mereka kemudian melarikan diri ke Ulu Slim, disana dua anggota pasukannya yang mencari makanan telah tidak kembali. Pada malam yang sama, kedudukan mereka telah diserang dengan tembakan mortar. Pada ketika ini, mereka telah kebuluran dan hilang arah. Seorang anggota mereka mati kelaparan, mayatnya dibungkus dengan plastik dan ditanam dibawah pokok besar.


Anggota pasukan keselamatan Malaysia semasa era melawan insurgensi. Polis (atas) dan Tentera Darat (bawah)


Mereka kemudiannya berpecah kepada 2 pasukan untuk mengelirukan pasukan keselamatan, 8 orang yang diketuai Yit Meow menuju ke utara (Cameron Highlands) dan Chong Chor bersama 13 orang menuju ke selatan, kembali ke Pahang. Pergerakan menjadi semakin sukar kerana muka bumi yang berbukit bukau, serta mereka dalam keadaan kebuluran. Mereka bergantung kepada tumbuhan dan daging monyet, adakalanya dimakan mentah-mentah kerana terlalu lapar. Ketika ini, radio operator mereka mati kebuluran. Mereka tiada tenaga lagi untuk menggali kubur, sebaliknya mayat dibungkus dengan plastik dan ditinggalkan dibawah pokok, bersama-sama dengan radio dan senjata kerana tiada siapa lagi yang mampu untuk menggalas peralatan tersebut. Dua hari kemudian, seorang lagi tidak mampu untuk bergerak, dia diberi makan 4 butir pil tidur dan mati 15 minit setelah memakan pil-pil tersebut. Sehingga 19 Feb 1974, dua orang lagi telah mati kebuluran.

Sembilan hari kemudian, mereka menemui buah kelihatan seperti buah nangka. Mereka pun makan buah tersebut setelah melihat beberapa ekor monyet memakannya. Mereka memakan buah dan biji sekali, yang menyebabkan mereka keracunan. Mereka muntah-muntah dan bergulingan seolah-oleh diserang histeria tanpa dapat dikawal, sehingga ada yang koma. Menjelang 28 Feb 1974, hanya 4 orang yang masih hidup. See Hong, yang koma selama 3 hari selepas memakan buah tersebut, terlalu lemah dan ditinggalkan. Dia kemudian mengagahkan diri bergerak menuju ke kawasan pembalakan, dimana dia diselamatkan dan diserahkan kepada pihak Polis di Raub.

Didalam bukunya, "I Want to Live", dia menceritakan pengalamannya, dimana pada malam sebelum dia ditinggalkan, dia ternampak Chong Chor dan isterinya sedang memakan makanan di dalam tin. Dia sangat terkejut kerana Chong Chor sanggup membiarkan anggotanya mati kebuluran, sedangkan dia mempunyai bekalan makanan yang disimpan untuk isteri dan dirinya sendiri. Ketika di soal siasat semasa penangkapannya, Chong Chor menceritakan yang dia terjumpa tin-tin makanan yang ditinggalkan oleh anggota pasukan keselamatan. Setiap kali mereka menemui bekas pangkalan sementara pasukan keselamatan, beliau akan menguis tanah dengan jari-jarinya di kawasan yang dijangka ada lebihan makanan yang telah dikambus oleh pasukan keselamatan, tanpa dilihat oleh pengganas komunis yang lain. Jika berjaya menemui tin makanan yang belum dibuka, dia akan menyorokkan dari pengetahuan anggota pasukannya.


Pengganas komunis




Tertangkapnya Chong Chor - 1988

Apabila telah tiba di Raub, Chong Chor, Ahli Komiti Pusat, Parti Komunis Malaya (PKM) dan isterinya Ailian mula merekrut dan melatih anggota-anggota baru di kawasan tersebut. Ia tidak mengambil tempoh yang lama untuk mereka membina kawasan simpanan makanan (food dumps) dan dibawah pimpinan Chong Chor jugalah, Unit Penggempur ke-6 PKM (6th Assault Unit) kembali mencapai kekuatan dan menjadi ancaman serius kepada kerajaan. Beliau tinggal di Pahang sepanjang tahun-tahun 1980an.

Menjelang tahun 1980, Special Branch telah berjaya melumpuhkan gerakan bawah tanah komunis (underground) di Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan. Ini memberikan tamparan hebat kepada pengganas komunis yang beroperasi di hutan kerana mereka amat bergantung kepada sokongan lojistik yang diberikan oleh pasukan bawah tanah mereka itu. Semakin ramai anggota pengganas komunis di Perak, Pahang dan Selangor samada menyerah diri atau ditangkap oleh Special Branch. Hal ini semakin menjatuhkan moral PKM untuk meneruskan perjuangan sia-sia mereka.

Dengan kemudahan infrastruktur jalanraya yang lebih baik di semenanjung, pasukan keselamatan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada penggunaan helikopter dalam mobiliti. Lebuhraya Timur-Barat umpamanya boleh digunakan oleh pasukan keselamatan untuk masuk ke kawasan operasi pada bila-bila masa, berbanding penggunaan helikopter yang mana kehadirannya boleh disedari oleh musuh.

Setelah berjaya melumpuhkan jaringan-jaringan kumpulan bawah tanah PKM di beberapa negeri yang disebutkan tadi, Special Branch kini boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada aktiviti yang dilakukan oleh Chong Chor dan pasukannya. Mereka telah berjaya memintas frekuensi radio dan mampu mengesan kedudukannya dengan tepat setiap kali Chong Chor berkomunikasi dengan Ibupejabat PKM di Betong di Selatan Thai. Dalam satu insiden, mereka berjaya menyelamatkan diri semasa kem mereka dibom oleh pasukan keselamatan. Mengesyaki yang frekuensi radio mereka telah dipintas oleh pasukan keselamatan. beliau mengarahkan sebarang perhubungan radio untuk seluruh semenanjung dihentikan buat seketika. Radio-radio yang sedia ada telah diarahkan untuk ditanam, dan semua unit pengganas komunis yang beroperasi dikehendaki menggunakan kaedah komunikasi - Dead Letter Box - dimana mesej akan dibawa oleh courier (anggota pengganas) dan ditinggalkan pada tempat-tempat tertentu untuk diambil oleh pihak penerima. Tempat-tempat tersebut adalah seperti pokok-pokok yang telah ditanda atau di pondok-pondok ladang yang tertentu. Jika satu-satu tempat itu telah ditetapkan sebagai tempat berkumpul atau rendezvous, setiap pihak hanya akan menunggu di lokasi tersebut selama tidak lebih 48 jam sahaja, untuk mengelakkan mereka dari ditangkap oleh pasukan keselamatan. Jika salah satu pihak gagal hadir dalam tempoh masa tersebut mereka dianggap samada telah tertangkap atau dibunuh oleh pasukan keselamatan.



Kaedah Dead Letter Box

Gambar menunjukkan mesej (rolled slip) dibawah kayu yang disandarkan pada pokok, antara kaedah Dead Letter Box (Gambar dari buku "The Spear and The Kerambit" oleh A. Navaratnam, 2001)

Pada tahun 1986, pasukan keselamatan telah berjaya menemui stor simpanan makan (food dump) di kaki bukit kawasan Sungai Penjuring. Ini adalah satu penemuan yang sangat penting dimana ia berkeluasan satu petak peta (1000 meter persegi), yang merupakan nadi kepada pasukan pengganas komunis yang bergerak antara tiga negeri - Pahang, Selangor dan Perak. Tiga Unit Penggempur telah terlibat dalam membina stor simpanan ini, iaitu Unit-unit Penggempur PKM ke-5, ke-7 dan ke-11.

Antara barang-barang yang ditemui adalah:

1. beras - 72 drum bersaiz 44 gallon
2. minyak masak - 42 tin x 17kg
3. gula - 29 guni x 50kg
4. garam - 61 drum bersaiz 1 gallon
5. marjerin - 15 tin x 17kg
6. pelbagai jenis makanan dalam tin dalam jumlah yang besar

Jumlah makanan yang ditemui ini mampu membekalkan 50 pengganas komunis untuk tempoh selama setahun.

Sekali lagi Chong Chor terpaksa mengubah strategi. Dalam keadaan yang sangat terdesak, dia mengarahkan anggota pasukannya keluar dari hutan dan cuba berhubung dengan penyokong-penyokong mereka yang ternyata semakin berkurangan kerana ramai telah ditangkap oleh Special Branch. Beliau sendiri terpaksa menggunakan khidmat pasukan bawah tanah untuk membawanya ke Betong untuk menemui Ahli Komiti Pusat PKM, Ah Sek yang juga komander kepada Rejimen ke-12 PKM. Menyedari keadaan ini, Special Branch melancarkan "Operasi Talong" dengan objektif menangkap Chong Chor dan menamatkan riwayat Unit Penggempur ke-6 PKM. Pada masa itu, hanya unit penggempur ini yang masih aktif di semenanjung kerana Abdullah CD dan Rashid Mydin telah cenderung kepada perdamaian yang dicadangkan oleh kerajaan Thai.

Untuk seketika, Chong Chor dengan liciknya berjaya melepaskan diri dari Operasi Talong. Beliau berada di Kuala Lumpur sejak Disember 1987, dan berulang alik dari rumah kakaknya di Jalan Pasar, Kuala Lumpur ke rumah anaknya di Sungai Buloh. Beliau berpindah randah untuk megelak dari dikesan, bagaimanapun pada 1 Mac 1988, Special Branch (SB) telah dapat menjejaknya di Jalan Pasar. Walaupun dia boleh ditangkap pada masa itu, Ketua Polis Negara telah mengarahkan SB untuk menunggu sehingga waktu malam, kemungkinan Chong Chor ada membuat temujanji dengan anggota komunis lainnya.

Pada keesokkannya, 2 Mac 1988, Chong Chor bersama pengawal peribadinya menemui Yeung Nam, salah seorang anggota 5th Armed Work Force (AWF) dihadapan Globe Silk Store di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Mereka ditangkap tanpa sebarang perlawanan dan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa. Menjelang penghujung bulan Julai 1989, semua anggota pengganas komunis dari Unit Penggempur ke-6 PKM telah diberkas oleh SB dalam beberapa siri operasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

Thursday 19 February 2015

CIW: Operation Setia V - In Pursuit of Chong Chor, the Notorious Communist Guerilla

Chong Chor atau nama sebenar Chung Thian Thye (juga mempunyai 33 nama samaran) merupakan antara ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang paling kejam dan licik, dan amat dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia. Dia yang mengetuai Unit Penggempur ke-5 PKM dan kemudiannya Unit Penggempur ke-6 PKM di Pahang, telah terbabit hampir 50 tahun dalam kegiatan komunis sejak menyertai PKM pada usia 13 tahun. Dia dilahirkan di Canton (kini Guangzhou) dan mengikut keluarganya berhijrah ke Tronoh, Malaya pada tahun 1929 ketika berusia 7 tahun (latar belakang).

VAT 69 dalam latihan

Chong Chor

Pada penghujung bulan Oktober 1973, Special Branch (SB) menerima laporan yang sekumpulan pengganas komunis telah bermalam di kawasan Ringlet untuk beberapa hari. Ini merupakan petanda pertama yang mereka telah aktif di negeri Pahang. Dua patrol VAT 69 yang diarahkan menjejak mereka telah melaporkan pasukan komunis tersebut dianggarkan berkekuatan 50 anggota berdasarkan kesan tinggalan mereka yang telah berusia 12 hari. (setiap satu patrol VAT 69 mengandungi 6 anggota yang memiliki pelbagai kepakaran seperti komunikasi, letupan dan perubatan). Untuk memburu pasukan musuh yang besar ini dan meliputi kawasan operasi yang besar, sebagai tambahan 4 patrol dimasukkan dari arah selatan (Tanjung Malim) dan 5 lagi patrol dimasukkan dari arah utara (Cameron Highlands).

Setelah beberapa ketika, 9 pasukan patrol yang dimasukkan dari Tanjung Malim dan Cameron Highland telah dikeluarkan dan diletakkan dalam keadaan "stand by" kerana mereka tidak menemui sebarang jejak dari pasukan komunis tersebut. Dua patrol/ronda yang awal masih meneruskan pemburuan, dan dengan jumlah anggota yang sedikit, VAT 69 mampu bergerak dengan lebih pantas dan menghampiri pasukan pengganas komunis. Pada 10 November 1973, pasukan ronda itu menemui tempat rehat musuh di Lembah Bertam. Kemudian pada 20 November 1972, iaitu hari ke-12 operasi, mereka telah menemui 10 tempat rehat, dan mendapati musuh masih bergerak dalam kumpulan yang besar (kira-kira 50 orang) dan tidak berpecah kepada kumpulan kecil. Jika ini berlaku, usaha penjejakan menjadi lebih rumit. Dalam penjejakan seterusnya, pasukan ronda VAT 69 menemui botol-botol kosong vitamin buatan Thai, barangan yg telah rosak atau lusuh seperti kasut getah, topi, uniform dan juga sarung pistol. Kebiasaanya, pengganas komunis tidak begitu cuai dalam meninggalkan kesan dalam pergerakan mereka, tetapi mungkin kali ini mereka "over confident" yang pasukan mereka tidak diikuti memandangkan bentuk mukabumi yang mereka lalui begitu rumit dan mencabar fizikal dan mental.

Untuk membuat ulang-bekal (resupply) kepada pasukan ronda VAT 69, mereka tidak menggunakan helikopter kerana bunyi yang bising akan menarik perhatian pengganas komunis itu. Sebaliknya, ulang-bekal dilakukan oleh "runners" untuk menghantar rangsum. Selain itu, runners tersebut akan membawa pulang dokumen yang ditemui di kawasan rehat musuh untuk diteliti oleh Special Branch. Ulang-bekal dilakukan setiap 10 hari untuk tempoh sepanjang operasi tersebut.

Peta Semenanjung Malaysia - perhatikan kawasan operasi berhampiran Cameron Highlands di sempadan antara 3 negeri - Selangor, Pahamg dan Perak.


Pada 21 November 1973, pasukan ronda menemui tanda-tanda minyak gris (grease) pada pokok yang menunjukkan musuh membawa kotak-kotak yang berat, berkemungkinan kotak yang mengandungi senjata-senjata baru. Pada satu lokasi, di sebuah jurang selebar 6 meter dan 120 meter dalam, musuh telah menumbangkan pokok yang besar untuk dijadikan titi. Bagaimanapun musuh berjaya melintasi jurang itu sambil membawa peralatan yang berat itu bersama mereka. Sembilan hari kemudian (30 November 1973), mereka telah berada 5 hari dibelakang musuh. Ketika tiba di satu perkampungan orang asli, pada mulanya mereka enggan berkerjasama dan memberi maklumat kepada pasukan ronda VAT 69. Setelah Special Branch dipanggil, dan soal-siasat dijalankan, ketua orang asli memberitahu mereka telah menjual seekor kambing, beberapa ekor ayam, sayuran dan beras kepada pengganas komunis. Beliau mengesahkan yang Chong Chor berada dalam kumpulan tersebut, berdasarkan gambar yang ditunjukkan oleh Special Branch.

Pasukan keselamatan berusaha mencantumkan beberapa "puzzles", antaranya mengapa Chong Chor yang merupakan Komander bagi Unit Penggempur ke-5 PKM di negeri Perak, kini berada di Pahang? Mengapa sepasukan kecil (5 orang) pengganas komunis telah bergerak di kawasan tersebut 3 bulan sebelumnya, dan tempat rehat mereka serta laluan turut digunakan oleh pasukan yang menyusul kemudian?


VAT 69

Tidak lama kemudian, Tentera Darat yang juga mengikuti perkembangan ini telah mengaturgerak pasukan komando dengan memasukkan mereka ke kawasan operasi dengan cara "abseiling" dari helikopter. Bagaimanapun, pasukan ini kemudiannya telah ditarik keluar ke Fort Betau, dan penjejakan seterusnya hanya dilakukan oleh VAT 69. Pada petang 8 Disember 1973, pasukan ronda VAT 69 hanya berada 4 jam dibelakang pasukan musuh. Mereka mengambil keputusan untuk berehat sehari, bagaimanapun pada tengah malam itu, mereka terdengar bunyi enjin lori berhampiran, datang dan berlalu pergi. Mereka khuatir terdapat kemungkinan lori balak tersebut telah mengangkut pasukan musuh ke kawasan lain. Setelah hari cerah keesokkannya, pasukan ronda meneruskan penjejakan. Setelah 3 jam berjalan pantas dan berlari, mereka menemui kesan tayar lori membuat pusingan. Di situ juga kesan tapak kaki musuh telah hilang, menandakan mereka telah lolos dengan menaiki lori balak itu. Perancangan licik ini telah dirangka oleh pergerakan bawah-tanah pasukan komunis.

VAT 69 kecewa kerana terlepas peluang untuk bertempur dengan musuh pada saat-saat akhir walaupun telah mengekori mereka selama 31 hari, tanpa disedari oleh musuh. Kawasan pembalakan di hutan Pahang merupakan bukan kawasan terkawal kerana jauh ke pendalaman. Bagi kawasan pembalakan terkawal, biasanya tiada pergerakan atau aktiviti dibenarkan antara jam 6 petang hingga 6 pagi.

Cara pemakaian dan senjata pengganas komunis PKM

Pada 18 Mar 1974, seorang pengganas komunis wanita bernama See Hong, yang telah menyerah diri menceritakan terdapat 52 anggota komunis didalam pasukan tersebut. Dia turut menceritakan bagaimana pasukannya telah tersesat selama dua hari sebelum melintasi cerun yang dalam dengan membuat titi dari pokok yang ditumbangkan. Mereka mengambil masa lebih sejam untuk memikul kotak senjata dan melepasi titi yang licin tersebut. Risikonya, mereka boleh terjatuh ke cerun sedalam lebih 100 meter. Dia tutut menerangkan pasukan kecil yang mendahului 3 bulan awal telah melakukan tinjauan dan menandakan 24 tempat rehat yg sesuai. Kedatangan pasukan Chong Chor dengan 50 anggota juga telah diketahui awal oleh ketua orang asli disitu. Dengan berkomunikasi secara sulit, mereka berjaya mengaturkan sebuah lori membawa mereka keluar ke pinggir hutan sebelum mereka meneruskan berjalan kaki ke Jerkoh di Kuala Lipis. Bagi pasukan ronda VAT 69, keupayaan mereka mengekori musuh selama 31 hari tanpa disedari menunjukkan keupayaan dan kemahiran mereka bergerak di dalam hutan. Walaupun hanya dengan 12 anggota, jauh lebih kecil dari pasukan musuh, tetap meneruskan pemburuan tanpa mengenal erti kalah.


- BERSAMBUNG - Penangkapan Chong Chor


Tuesday 10 February 2015

Tan Sri Yuen Yuet Leng from jungle to intelligence warfare

Tan Sri Yuan Yuet Leng dilahirkan pada 15 September 1927 di Larut Matang. Beliau menjadi pegawai polis dari tahun 1950 hingga 1984. Jawatan terakhir yang disandang adalah
Ketua Polis Sarawak, sebelum beliau bersara pada tahun 1984. Selepas pembunuhan Ketua Polis Perak, Datuk Khoo Chong Kong pada tahun 1975, Yuan Yuet Leng yang menggantikan mendiang pada November 1975 turut menjadi sasaran. Anaknya Susan, terpaksa dibawa ke Britain kerana terdapat ancaman penculikan, dan pengganas komunis pernah memasang bom dirumahnya.


Pada tahun 1946, ketika berusia 19 tahun, beliau telah belayar ke China dengan harapan hendak memohon biasiswa untuk menyertai kursus tentera laut di United Kingdom dibawah program Tentera Laut China. Beliau belayar dengan kapal SS Atreus dari Singapura terus ke Canton, China. Setibanya disana,beliau agak terkejut melihat suasana, yang mana para veteran perang dari Koumintang (KMT) yang telah cedera atau hilang upaya meminta sedekah dan hidup tanpa pembelaan. Ramai yang mati ketika musim sejuk, dan mayat-mayat mereka dibuang ke sungai menjadi habuan ikan-ikan. Beliau mendapati kerajaan KMT mengamalkan rasuah dan juga kronisma. Melalui pengembaraannya ke daerah Kwangtung, Kwangsi dan Kweichow, beliau banyak menimba pengalaman tenteang kehidupan rakyat China. Malangnya, kerana perjalanan yg sukar, beliau terlepas untuk menghadiri tarikh temuduga di Universiti Lignan, oleh Tentera Laut China itu. Kerana kekurangan wang belanja untuk kembali ke Malaya, beliau dinasihatkan untuk meminta bantuan CNRRA, sebuah agensi yang menguruskan pulang rakyat Malaya yang telah berkhidmat sebagai tentera di China semasa Perang Dunia ke-2. Sebahagian mereka adalah para pelajar dari Malaya yang telah terkandas akibat perang. Beliau kembali ke Malaya dengan kapal Van Heutz pada bulan Feb 1946.

Kecewa dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan KMT kepada rakyat China, beliau pergi ke Kor Pemuda KMT di Taiping dan menceritakan apa yang dilihatnya di China. Beliau terus enggan melibatkan diri dengan perjuangan KMT lagi dan merasakan bahawa negara China tidak akan mengalami kekurangan tenaga manusia dan golongan terpelajar, sebaliknya mereka perlukan bantuan ekonomi. Menurutnya lagi, kekalahan KMT kepada pihak komunis bukanlah kerana Mao Tse Tung kuat, tetapi adalah kerana kerajaan KMT pimpinan Chiang Kai Shek sangat-sangat lemah kerana mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Pada tahun 1947, Yuen Yuet Leng menyambung persekolahan yang tergendala akibat pendudukan Jepun dan lulus peperiksaan Senior Cambridge di Penang Free School. Beliau kemudian mendapat biasiswa untuk menyambung pelajaran ke Technical College, Kuala Lumpur tetapi terpaksa berhenti kerana beliau tidak dapat membantu keluarga di Taiping dengan sumber kewangan yang terhad. Yuen Yuet Leng kemudian mengabil keputusan untuk menyertai pasukan Polis pada 1 Disember 1950 dengan mengikuti program latihan Inspektor Percubaan Asia (Probationary Asian Inspectors - PAI) yang terdiri dari 22 Melayu, 19 Cina dan 13 India. Selepas menamatkan latihan selama 6 bulan, Yuen Yuet Leng ditugaskan ke Jabatan Siasatan Jenayah (Criminal Investigation Department) Seremban sebelum dihantar menghadiri kursus selama 6 minggu dalam peperangan hutan di Sik Jungle Warfare Training School, Kedah. Seterusnya pada 11 Julai 1951, beliau ditugaskan bersama No. 20 Federal Jungle Company (FJC) di Chemor.

Buku tulisannya yang menceritakan pengalaman menentang komunis dari tahun 1950an sehingga perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya pada 1989.

Semasa bertugas tidak sampai 3 bulan di Grik beliau telah tercedera dalam pertempuran semasa mengetuai pasukannya menyerang sebuah kem pengganas komunis di Bukit Tagor, kira-kira 6 batu ke selatan Titi Gantong. Setelah mengikuti jejak pengganas komunis selama 2 hari, pada 14 Disember 1951, mereka menemui sebuah kem yang lengkap dengan padang bola keranjang dan juga merupakan sebuah padang kawad. Mereka sebenarnya telah menemui Markas Platun, Kompeni Pertama, Rejimen ke-12 MRLA. Beliau bersama-sama Police Constable (PC) Lope, telah ditembak bertalu-talu oleh musuh dari kedudukan yang lebih tinggi. Lans Kopral Badri dan Koperal Razali datang membantu sambil melontar grened ke arah musuh. Selepas pertempuran selama 20 minit, pengganas komunis melarikan diri. Mereka dianggarkan berkekuatan 20 hingga 30 anggota. Hanya Yuen Yuet Leng dan PC Lope sahaja yang tercedera dalam pertempuran tersebut.

Pada suatu ketika, beliau telah diminta membantu orang kampung untuk membunuh seekor harimau yang telah termasuk ke dalam perangkap khinzir. Walaupun harimau tersebut terlepas buat seketika dan menimbulkan situasi panik, mereka berjaya membunuhnya. Gambar mereka bersama-sama harimau yang mati telah dicetak dan diletakkan di sebuah kedai gambar di pekan Grik. Satu salinan gambar ini pula telah diperolehi oleh skuad khas pembunuh (Special Mobile Squad) dan pengganas komunis telah mula memburu Yuen Yuet Leng. Habuannya ialah jam tangan, pen dan wang tunai RM 50 iika beliau dapt dibunuh. Bagaimanapun beberapa cubaan serangan dapat dipatahkan.


Penulis semasa bertandang ke kediaman Tan Sri Yuen Yuet Leng pada 2014



Pada bulan Januari 1952, ketika meronda di dalam kawasan pembalakan di Batu 5, jalan Grik/Klian Intan, beliau ternampak sepucuk rifel menghala kearahnya dari sebatang balak yg telah tumbang. Beliau lantas meniarap, dan tembakan yang dilepaskan musuh mencederakan dahi seorang pekerja balak. Pengganas komunis tersebut melarikan diri. Apa yang melucukan, 5 bulan kemudian, si penembak yang dikenali sebagai Chung Kim Seong telah menyerah diri kepada pasukan keselamatan kerana tidak sanggup lagi berhadapan dengan hinaan dari rakan sepasukannya atas kegagalannya menembak Yuen Yuet Leng dengan tepat.

Pasukan Federal Jungle Company (FJC) pimpinannya banyak kali bertempur dan melakukan operasi bersama tentera British antaranya bersama SAS dan 40 Commando Royal Marines, Pada 27 April 1952, beliau telah tercedera dilengan kerana telah ditembak (friendly fire) oleh askar Gurkha dalam satu operasi. Pasukan FJC telah termasuk ke dalam kawasan membunuh pasukan Gurkha yang telah sedia melakukan serang hendap. Pada 19 May 1952, platun pimpinanya berjaya membunuh 2 pengganas komunis dalam satu pertempuran berhampiran Kampung Baru Titi Gantong.

Semasa melancarkan Operasi Stanley di Sungai Dala pada 29 Ogos 1952, Dalam pertempuran disitu, anggota tinjau hadapan, PC Zabri, mati dipangkuannya sejurus selepas Allahyarham meminta Yuen Yuet Leng menyampaikan mohon maaf kepada ibunya dan berkata beliau tidak akan dapat kembali lagi menemui ibunya. Yuen Yuet Leng masih ingat, ketika itu platunnya yang terdiri dari 95% anggota Melayu telah memasang benet dan menggempur kedudukan komunis yang menyerang hendap dari atas bukit. Melihatkan keberanian mereka ini, pasukan musuh kemudiannya berundur. Yuen Yuet Leng kemudiannya meminta bantuan serangan udara dan menanda sasaran dengan "marker baloon". Selepas pengeboman dilakukan, keesokkannya sepasukan pengganas komunis menyerah diri kepada No. 2 Platoon, 16th Federal Jungle Company. Setelah melakukan pengelidahan, rupa-rupanya mereka telah menyerang Markas Rejimen ke-12. Kem seluas 5 ekar ini dilengkapi dengan kubu dari kayu balak, mampu menampung 150 hingga 200 orang, juga dilengkapi dengan stor senjata, dewan kuliah dan klinik untuk 20 pesakit.

Pada 1 Januari 1953, Yuen Yuet Leng telah dihantar mengikuti Kursus Jurulatih Platun di Far East Land Forces (FARELF) Center, Kota Tinggi, Johor selama 6 minggu. Tidak lama selepas kembali ke pasukannya, pada tahun itu juga beliau ditukarkan ke Cawangan Khas (Special Branch) untuk tugas-tugas risikan.


Wednesday 4 February 2015

CIW: D Company, 3rd Ranger Batallion - 7 kills in single contact (1973)

Selang beberapa hari setelah dilantik untuk mengetuai Kompeni D, Batalion 3 Renjer pada bulan Julai 1973, Kapten Robert Rizal dan pasukannya telah digerakkan ke suatu kawasan berpaya di Nonok, satu kawasan yang tidak asing lagi bagi mereka kerana pada bulan Januari tahun tersebut, mereka telah berjaya membunuh 2 pengganas komunis di dalam satu gerakan. Kali ini, bulan Oktober, monsoon baru saja bermula dan keadaan dijangka tidak begitu ekstrem berbanding pada bulan Januari terdahulu.

Lt. Kol. (B) Robert Rizal saat menceritakan pengalaman kepada penulis baru-baru ini

Kekuatan musuh dijangka antara 60 hingga 70 orang dari Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU), diketuai oleh Komisar Politik Bong Kee Chok, dari Kompeni Pertama, PKKU yang menggantikan Kompeni ke-3 yang telah dihapuskan oleh pasukan keselamatan Malaysia. Kedudukan musuh telah ditanda pada satu petak peta (map square) berkeluasan 1000m x 1000m.

Pada 4 Oktober 1973, Kapt Robert Rizal dan pasukannya telah digerakkan ke Nonok dengan helikopter dan mendarat di satu landing point (LP) yang disediakan oleh pasukan jurutera kira-kira 6 km dari kawasan sasaran. Belum ada pasukan keselamatan lain yang pernah beroperasi di kawasan sejauh itu, dan dengan keadaan mukabumi yang berpaya pada musim tengkujuh, pergerakan menjadi sukar, seolah-olah memberikan kelebihan kepada PKKU yang beroperasi di situ. Kompeni D. 3 Renjer telah dipecahkan kepada 3 kumpulan - Markas Kompeni digabungkan dengan Platun 11 dibawah pimpinan Kapt Robert Rizal, Platun 10 diketuai oleh Sjn Zakaria dan Platun 12 dipimpin oleh Lt. M Zainil Annuar.


Platun Kilat, platun elit batalion Renjer



Pada 6 Oktober 1973, secara kebetulan hari ulang-tahun kelahiran ke-25 Kapt Robert Rizal, satu pasukan ronda dari Platun 12 telah diserang ketika mereka kembali ke pangkalan setelah keluar meronda. Renjer Mohd Salleh, penjejak hadapan telah terbunuh dan pengganas komunis melarikan diri. Dalam tindakan susulan, Lt. M Zainil Annuar telah menemui sebuah perkhemahan pengganas komunis yang telah ditinggalkan. Perkhemahan ini mampu menampung sehingga 70 orang pengganas komunis dan dianggarkan telah digunakan selama beberapa tahun. Lokasi yang telah di tandakan oleh pasukan perisikan amat tepat.

Platun 12 mengetuai penjejakan pada 8 Oktober 1973, diikuti oleh pasukan Kapt Robert Rizal kira-kira 1000 meter dibelakang. Pergerakan amat berhati-hati dengan mengikuti jejak pengganas komunis yang menuju ke Sungai Sadong. Pada keesokkan hari, Platun 12 menemui tempat rehat dengan tanda-tanda yang ia baru digunakan untuk satu malam. Menurut kesan jejak yang ditinggalkan, pasukan musuh dijangka berada hanya beberapa jam dihadapan Kompeni D, 3 Renjer.

Pada kira-kira jam 10 pagi, 10 Oktober 1973, Platun 12 telah membuat kontak dengan pengawal belakang pasukan musuh. Semasa tembak menembak itu, 2 pengganas komunis telah berjaya dibunuh. Menurut perkiraan Kapt Robert Rizal, pasukan utama musuh ada berhampiran dan mereka mestilah dihalang dari tiba ke Sungai Sadong, kerana besar kemungkinan mereka akan dibawa keluar dari kawasan tersebut dengan bot. Setelah mayat pengganas komunis itu dibawa keluar dengan helikopter, penjejakan diteruskan oleh Kompeni D, 3 Renjer dimana mereka tidak berhenti memasak untuk makan tengahari kerana mengejar masa agar pasukan musuh dapat dipintas sebelum mereka tiba ke sungai.

Menerima pisau komando dari Panglima 3 Briged, Brig. Jen. Hassan Hj Salleh

Jam 7 petang, kegelapan kunjung tiba dan menyukarkan penjejakan. Masih tiada kontak dengan musuh walaupun jejak mereka masih baru. Untuk bergerak dengan lebih pantas, Kapt Robert Rizal mengarahkan pasukannya meninggalkan beg galas dan peralatan berat mereka di satu kawasan dengan dikawal oleh 6 anggota Renjer, manakala yang lainnya meneruskan pemburuan. Penjejakan diteruskan dengan menggunakan lampu suluh, bagaimanapun ia tidak semudah penjejakan di siang hari. Pasukan Renjer hanya mengikut arah tenggara ke sungai, iaitu arah jejak pasukan musuh yang konsisten sejak pemburuan dibuat. Kesemua anggota Renjer telah keletihan, dan sepanjang 7 hari bergerak di dalam kawasan paya, baju mereka tidak pernah kering dan kaki mereka kini merasa kesan kecederaan kerana berendam air dalam masa yang lama. Untuk menambah lagi kesukaran, lampu suluh tidak lagi berfungsi setelah kehabisan bateri dan hujan renyai turun pada kira-kira jam 9 malam. Di dalam hutan, dan kegelapan malam, jarak pandangan adalah kosong - tapak tangan yang diletak hadapan mata pun sukar dilihat.

Sungai Sadong dianggarkan lagi 4 kilometer dihadapan mereka, menandakan kedudukan musuh juga semakin hampir. Dengan berpandukan kepada cendawan (fungus) yang berkilat pada waktu malam, mereka dapat mengesan jejak musuh agak jelas (laluan musuh meninggalkan kesan merosakkan cendawan yang tumbuh melata sepanjang laluan tersebut). Dalam usaha mengejar kumpulan pengganas komunis itu, mereka tidak makan tengahari dan malam, dan terpaksa mengambil rehat yang singkat untuk mengembalikan tenaga. Pegawai Waran 2, Norizan Bakri mencadangkan penjejakan disambung pada esok pagi memandangkan kesemua anggota Renjer telah keletihan dan kelaparan. Bagaimanapun, Kapt Robert Rizal mengarahkan penjejakan dibuat untuk sejam lagi, dan jika tidak membuahkan hasil, mereka akan berhenti rehat. Jam menunjukkan waktu tengah malam.

Senarai penerima Pingat Gagah Berani (PGB) dari Rejimen Renjer Diraja (link)

Tidak sampai sejam penjejakan dibuat, peninjau hadapan, L/Kpl Peter Bat Wan melaporkan yang dia terhidu bau ubat nyamuk (mosquito coils) yang dibakar. Ketika mereka cuba membuat tinjauan, hujan turun dengan lebat. Bunyi hujan lebat telah membantu pasukan Renjer membuat tinjauan rapat kerana pergerakan mereka tidak boleh didengari oleh musuh. Pasukan Renjer mengambil kedudukan kira-kira 50 meter dari posisi musuh yang dianggarkan 30 hingga 40 orang (60 orang menurut anggaran maklumat risikan), manakala pasukan Renjer hanya 15 anggota sahaja. Kapt Robert Rizal membahagi pasukannya kepada dua kumpulan, pasukan penyerang seramai 7 orang yang dipimpinnya sendiri, dan pasukan penyekat seramai 8 orang dipimpin oleh PW2 Norizan Bakri. Serangan dirancang akan dilakukan pada jam 6.30 pagi, atau jika terdapat pergerakan musuh, serangan akan dimulakan dengan tembakan dari Kapt Robert Rizal. Pada kira-kira jam 2.30 pagi pasukan penyekat telah mengambil posisi, dengan pergerakan mereka dibuat dalam perlindungan hujan yang masih turun. Musuh tidak menyedari kehadiran mereka, walaupun pasukan penyekat beberapa kali terlanggar khemah yang dipasang oleh pengganas komunis itu. Sementara menunggu jam 6.30 pagi (waktu serangan akan dibuat), kesemua anggota Renjer akan dapat merehatkan diri buat seketika, itu pun jika mereka dapat lelapkan mata dalam suasana tegang begitu.

Tiba-tiba pada jam 3.30 pagi, Kapt Robert Rizal terdengar bunyi bising dari arah perkhemahan komunis. Mereka telah bangun dari tidur, dan besar kemungkinan akan meneruskan perjalanan ke Sungai Sadong. Mereka menghidupkan unggun api untuk memasak sarapan pagi sambil mengeringkan uniform mereka, kerana ketika itu hujan sudah mula berhenti. Bagaimanapun, Kapt Robert Rizal khuatir mereka akan terlepas peluang untuk menyerang dengan elemen kejutan, dia mengarahkan pasukan penyerang bergerak menghampiri musuh. Pergerakan merapat amat perlahan dalam keadaan merangkak atau meniarap untuk mengelak bunyi bising. Setiap langkah yang diambil, harus mengelak dari memijak ranting reput atau apa sahaja yang boleh mengeluarkan bunyi bising yang mencurigakan musuh.

Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi apabila mereka berjaya menghampiri kawasan unggun api dengan jarak 15 meter. Renjer Md Desa, operator radio diarahkan menanggalkan set radio dan menyerang kearah basha pengganas komunis itu. Dia berada 5 meter dibelakang Kapt Robert Rizal. Ketika cuaca mula cerah, hanya 2 pengganas komunis kelihatan duduk berhampiran unggun api. Ini merisaukan Kapt Robert Rizal jika sebahagian besar dari mereka telah mula bergerak ke arah sungai dan meloloskan diri. Ada kemungkinan mereka telah menyedari kehadiran pasukan Renjer. Lima belas minit dari H Hour terasa begitu lama (jam menunjukkan hampir 6.15 pagi), Dalam fikiran Kapt Robert Rizal, selagi lama dia menunggu, pengganas komunis semakin bersedia tambah lagi cuaca semakin cerah, dan pasukan Renjer akan hilang elemen kejutan di dalam serangan tersebut.

Kira-kira jam 6.15 pagi, Kapt Robert Rizal mencapai grened M26, dan melontarnya berhampiran unggun api, malangnya grened tersebut jatuh kedalam lopak air dan gagal meletup. Dua pengganas komunis disitu melihat ke arah tempat jatuhan grened dengan terkejut, dan tanpa membuang masa Kapt Robert Rizal melepaskan tembakan short-burst dengan rifal Baretta. Renjer Md Desa turut menembak, sambil melaungkan kata-kata semangat "Agi Idup!" tetapi dilarang oleh Kapt Robert Rizal dari berteriak kerana dalam suasana samar-samar sebegitu, musuh akan menembak kearah suara atau teriakkan. Dalam keributan itu, anggota komunis berusaha melarikan diri. pertempuran berlangsung beberapa minit, dan dalam tempoh masa itu, Kapt Robert Rizal telah menggunakan lima dari tujuh kelopak (magazin). Kawasan itu dipenuhi dengan asap putih dari belerang senjata. Setelah tembak-menembak reda, Kapt Robert Rizal mengarahkan pasukannya membuat pertahanan keliling, sebagai persediaan jika pengganas komunis menyerang balas.

Ketika penggelidahan dibuat, 7 mayat pengganas komunis ditemui (4 wanita dan 3 lelaki) bersama-sama 35 beg galas, lampu suluh, parang Iban, senjata api buatan sendiri, pistol dan radio. Salah satu penemuan yang mengejutkan, tangkal berupa tulisan Arab atau Jawi ditemui dalam kasut salah seorang musuh yang dibunuh itu. Apa yang mendukacitakan, kejayaan ini tidak percuma, Renjer Md. Desa telah terkorban dan seorang lagi cedera.

Mesej kejayaan ini kemudiannya diterima oleh Pegawai Memerintah, Lt. Kol Philip Lee Khiu Fui, dan keesokkannya, Panglima 3 Briged Infantri, Brig.Jen. Hassan Hj Salleh ingin menemui Kapt Robert Rizal dan menyampaikan ucapan tahniah. Selang seminggu kemudian, Panglima Angkatan Tentera pula, Tan Sri Jen. Ibrahim Ismail tiba di Kuching untuk menemui Kapt Robert Rizal dan pasukkannya untuk mendengar sendiri apa yang telah berlaku sehingga kejayaan dicapai.

Cerita ini saya terjemahkan dari buku "My Adventure" tulisan Lt. Kol (B) Robert Rizal Abdullah PGB, Saya berkesempatan menemui beliau semasa di Taiping beberapa hari lepas. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah s.w.t.



Lt. Kol (B) Robert Rizal juga menulis blog PGB Warrior (link) menceritakan pengalamannya dan aktiviti selepas persaraan.

Autograf untuk buku milik penulis! Terima Kasih, Tuan!

Tuesday 3 February 2015

KONFRONTASI: Indonesia - Malaysia The Undeclared War Part 2

Bahagian Pertama sila rujuk disini link.

Sebagaimana yang telah diterangkan pada Bahagian Pertama, ketika Konfrontasi berlangsung, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) hanya berkekuatan 8 batalion sahaja, dan Sarawak Rangers baru sahaja diserapkan kedalam ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dengan membentuk Batalion 1 & Batalion 2 Renjer Malaysia.

Berikut adalah peranan yang dimainkan oleh setiap batalion RAMD semasa Konfrontasi 1963-1966.


Batalion Pertama RAMD

1 RAMD yang berpangkalan di Taiping berada dibawah pimpinan Lt. Kol Abdul Jamil Ahmad telah digerakkan ke Sandakan, Sabah menggantikan 8 RAMD pada Julai 1964.

  • Markas Taktikal batalion ditempatkan di Kem Lapangan Terbang Sandakan
  • markas batalion bersama satu kompeni simpanan berada di Kem Kampung Jawa, Tawau
  • Satu platun kompeni simpanan ditugaskan di perairan Pulau Indra Sabak
  • Satu kompeni digerakkan ke Kinabatangan dengan satu platun mengawal keselamatan anggota pasukan Jurutera Australia yang sedang membina landasan kapalterbang
  • Satu kompeni di Lahad Datu
  • Satu kompeni di Pulau Sebatik dengan 2 buah helikopter ditumpangkan untuk kegunaan pasukan
Selain beroperasi memburu anggota bersenjata Indonesia yang menyusup masuk, 1 RAMD juga bertanggungjawab menghapuskan kegiatan lanun di perairan sekitar Sandakan. Walaupun 1 RAMD giat menjalankan operasi, tiada pertempuran berlaku. Seorang anggota mati lemas di Segama.

Bagi mengelakkan rasa jemu dikalangan anggota 1 RAMD, lokasi gerakan yang baru dicari. Semasa tinjauan lokasi dibuat, helikopter Alouette telah terhempas di satu kem balak di Pegagau, sembilan batu dari Semporna dalam perjalanan ke Tawau. Helikopter Alouette dipandu oleh Lt. (U) Mohamed Ngah Said dan dinaiki oleh Brigadier Tengku Ahmad Tengku Besar Burhanuddin (Panglima Briged ke-5 Infantri) mengalami keretakan di tulang punggung, Lt. Kol Abdul Jamil (kecederaan ditulang belakang), Major Keith Milner (cedera parah dan meninggal dalam penerbangan ke hospital), 

Batalion 1 RAMD mengakhiri tugasnya di Sabah pada Feb 1965 dan digantikan oleh 5 RAMD.


Peta Sabah dan tentera Komanwel (bawah)



Batalion ke-2 RAMD

Batalion ini yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan baru sahaja pulang ke Malaysia setelah berkhidmat di Congo sebagai pasukan pengaman antarabangsa di bawah misi United Nations (UN). Batalion 2 RAMD bertugas di Tawau selama 6 bulan menggantikan 3 RAMD, berada di bawah pimpinan Lt. Kol Mustaffa Abdullah.

Pergerakkan 2 RAMD ke Tawau selesai pada 15 Mei 1964 dan batalion menamatkan tugasnya di Tawau pada 21 Nov 1964 dengan digantikan oleh Batalion Pertama, Singapore Infantry Regiment (1 SIR).

Semasa di Tawau, batalion digerakkan di Pulau Sebatik, Bergosong, Cabang Tiga, Sungai Melayu dan Sungai Limau. Dalam satu kejadian, pasukan ini berjaya menyelamatkan lapan komando British apabila bot mereka mengalami kerosakan enjin dan hanyut ke perairan Indonesia.

Gambar hiasan - anggota ATM semasa Konfrontasi

Selepas pertempuran di Kalabakan


Batalion ke-3 RAMD

Batalion ini berpangkalan di Kem Kepala Batas, Alor Setar, Kedah dibawah perintah Lt. Kol. Othman Rani. Bagi menentang ancaman Konfrontasi, batalion ini ditugaskan ke Tawau pada November 1963. Kumpulan pendahuluan dari Kompeni B, diketuai oleh Mejar Mohd. Noor bin Malek meninggalkan Alor Setar menuju ke Kem Majidee, Johor Bahru pada 18 Nov 1963. Mereka kemudian menaiki kapal laut di Singapura, menuju ke Sabah.

Batalion 3 RAMD antara pasukan yang mempunyai rekod cemerlang dalam pertempuran. Pada tahun 1950, satu platun dari Kompeni D, 3 RAMD dengan kekuatan 25 anggota pernah bertempur dengan 250 pengganas komunis di Sungai Semur (link). Pada Konfrontasi ini, tragedi hitam telah terpahat dalam lipatan sejarah 3 RAMD apabila seorang pegawai dan tujuh anggota Platun 1, Kompeni A terkorban dan 18 lagi cedera didalam tragedi berdarah yang dikenali sebagai Peristiwa Kalabakan.

Tempat berlakunya peristiwa ini terletak tidak jauh dari tebing Sungai Kalabakan, kira-kira 12 batu ke sempadan Kalimantan. Selain penempatan tentera, terdapat juga satu penempatan Pasukan Polis Hutan (PPH) dengan jarak kira-kira 300 meter antara satu sama lain. Pos PPH dengan kekuatan 15 anggota dipagari dengan dawai kawat berduri, manakala penempatan Platun 1, Kompeni A, 3 RAMD itu tanpa pagar. Kawasan penempatan ini kekurangan dari segi pertahanan kerana ketiadaan bekalan peralatan walaupun usaha mendapatkannya telah berulangkali dibuat. 

Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome yang memimpin Platun 1 sebenarnya adalah Pegawai Kenderaan Bermotor 3 RAMD, namun kerana batalion kekurangan ketua platun, beliau telah diarahkan oleh Pegawai Memerintah untuk mengetuai Platun 1. Beliau bersama-sama anggotanya sampai di Kalabakn pada 5 Dis 1963. Mejar Zainol Abidin Hj Yaacob, bersama satu seksyen dari Platun 10, Kompeni C, 3 RAMD kemudiannya ditumpangkan disitu, menjadikan kekuatan seramai 41 anggota, dan platun diketuai oleh Mejar Zainol.

Susunan penempatan adalah seperti berikut:
  • terdapat dua rumah atap yang menempatkan pegawai dan anggota platun
  • sebuah bangunan pejabat diseberang jalan berhadapan dengan rumah-rumah atap tersebut
  • tiga buah kubu pertahanan dengan setiap satu boleh memuatkan 3 anggota

Menurut laporan perisikan, seramai 130 anggota tentera Indonesia dari pelbagai unit telah bergerak menyusup masuk ke Malaysia pada pertengahan Disember 1963. Pasukan ini melewati Tarakan dan menuju ke kem balak Teck Guan dekat Kalabakan. Mereka dilaporkan telah merampas barang-barang dari sebuah kedai kepunyaan peniaga Cina semasa berada di kawasan Serudong Laut.

Menurut Sarjan Ab. Aziz Meon beliau bersama 14 anggota diberi masa empat hari untuk melakukan rondaan di kawasan berhampiran dan melaporkan situasi kepada Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome. Pada jam 7.00 malam, 29 Disember 1963, mereka telah dipanggil pulang ke penempatan oleh ketua platun dengan dijemput oleh 2 buah Land Rover awam. Sarjan Abdul Aziz memberikan laporan lisan mengenai keadaan di Brantian kepada Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome sebaik tiba di kawasan penempatan pasukan, manakala anggota lain bersiap sedia untuk berehat dan tidur. Pada masa yang sama (kira-kira jam 8.45 malam) Mr. Rees, Pengurus Bombay Burma Timber Co. Ltd. datang bersama seorang lelaki bernama Sulaiman (datang bersenjata) menemui Mejar Zainol. Sarjan Abdul Aziz kemudian meninggalkan mereka dan diberitahu bahawa tidak ada "stand to" diadakan pada malam itu.

Dalam perjalanan menuju ke kediaman anggota, seorang pengawal telah menemui Sarjan Abdul Aziz dan memberitahu beliau melihat adanya pergerakan di dalam semak dibelakang rumah. Sebaik mendapat maklumat tersebut, Sarjan Abdul Aziz berkejar ke rumah dan mengambil senjata serta peluru. Pada masa yang sama beliau mengarahkan anggota membuat "stand to". Ketika mereka keluar dari rumah tersebut, anggota TNI telah mula melepaskan tembakan dan melemparkan grened ke arah mereka. Sarjan Abdul Aziz berjaya terjun ke dalam kubu bersama ketua platun dan dua anggota lagi. Mereka membalas tembakan dan juga melemparkan grened ke arah pasukan TNI. Pada masa yang sama Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome mengarahkan anggota mengambil perlindungan dan hanya melepaskan tembakan jika melihat anggota TNI.

Laungan ketua TNI "boneka Abdul Rahman, menyerahlah kamu" tidak dibalas dengan kata-kata. Sebaliknya masing-masing mencari sasaran dan melepaskan tembakan dengan SLR. Walaupun suasana itu menakutkan dan mengerikan, namun kami bertekad, biar putih tulang jangan putih mata, kata Pbt Mokhtar Hassan ketika ditemuramah pada tahun 2004.

Artikel ini diolah kembali dari tulisan asal oleh Mejar Syed Othman Syed Omar (1999)

Pegawai Waran 2 (PW 2) Awaluddin Kamoi menceritakan, lebih kurang jam 10 semasa pertempuran masih berlangsung, beliau nampak beberapa orang dihadapan rumah yang mereka diami, bertutur dalam loghat Indonesia. PW 2 Awaluddin melepaskan tembakan ke arah mereka tetapi dibalas dengan tembakan automatik sebelum menghilangkan diri.

Tembakan didapati datang dari pelbagai arah iaitu dari belakang kedua-dua rumah kediaman anggota, dari arah rumah Mejar Zainol, dari arah lapangan terbang dan balai polis. Mereka tidak dapat bergerak kerana menjadi sasaran tembakan dari pelbagai arah itu. Tembak menembak berhenti pada jam 11 malam. Mr. Rees bersama seorang lelaki menemui Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome sejurus pertempuran berhenti. Pada kira-kira pukul 3.30 pagi satu platun bantuan yang diketuai oleh Lt. Muda Wan Nordin Wan Mohammad tiba di penempatan Kalabakan. Anggota diarahkan mengumpulkan yang terkorban sambil memberikan rawatan kepada yang cedera. Setelah hari mulai cerah, mereka melakukan penggeledahan kawasan secara terperinci. Lapan anggota termasuk ketua kompeni didapati telah terkorban, manakala 18 lagi tercedera.

Senarai peralatan yang didapati hilang adalah seperti berikut:
  • 5 x rifel SLR, 11 x magazin, 6 x benet dan 12 alat pencuci senjata
  • 1 x senjata SLR HB bersama 6 magazin dan alat pencuci
  • 1 x machine-gun 9mm bersama 11 magazin dan alat pencuci
  • 2,253 butir peluru 7.62mm, 355 butir peluru 9mm, 57 butir Grened dan lain-lain 
Pagi esoknya, Sulaiman yang datang ke penempatan telah ditahan oleh Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome. Setelah dilakukan pemeriksaan terdapat 3 kelongsong peluru terselit dipinggangnya, laras senjatanya juga didapati berbau serta ada kesan baru digunakan. Dia kemudiannya diserahkan kepada Polis Kalabakan.

Menurut Pbt Mokhtar Hassan, ramai anggota TNI dari kalangan 130 yang menyerang itu terbunuh, tetapi telah dibawa lari semasa pasukan mereka berundur. Ada antara mayat mereka ditemui beberapa hari kemudian samada ditimbus secara ringkas atau terapung setelah dibuang kedalam sungai berdekatan.

Sebuah helikopter tiba pada jam 11.00 pagi bagi mengeluarkan anggota yang terkorban dan yang cedera ke Hospital Tawau. Jenazah kemudiannya diterbangkan ke Labuan dengan pesawat Dakota dan penduduk tempatan Labuan telah membantu memandikan dan menyempurnakan jenazah. Ketibaan jenazah di Lapangan Terbang Sungei Besi pada keesokkan harinya disambut oleh para menteri kabinet dan pegawai tinggi ATM.


TNI yang berjaya ditawan



Tindakan susulan:
  • pada 12 Januari 1964 seramai 22 anggota TNI telah dibunuh dan bebrapa lagi ditangkap oleh pasukan 3 RAMD dan pasukan 1/10th Gurkha yang membuat operasi susulan.
  • pada 27 Januari 1964, satu kumpulan ronda dari Kompeni B, 3 RAMD pimpinan Lt. Muda Ishar Sham menemui perkhemahan musuh dan berlaku pertempuran. Seorang anggota TNI terbunuh.
  • pada 28 Januari 1964, Platun 6 yang dipimpin oleh Lt. Muda Abd. Aziz Shaari yang melakukan serang hendap di Merutai Estate berjaya membunuh 3 anggota TNI
  • sehingga 10 Februari 1964, seramai 29 anggota TNI berjaya dibunuh, 33 ditawan dan 22 menyerah diri.

Tugu Peringatan Kalabakan yang telah disempurnakan oleh Sultan Kedah selaku Kolonel YDP RAMD pada 6 April 2005. Foto oleh Blog Adventure Travel (link)


Senarai anggota 3 RAMD yang terkorban:
  1. Mejar Zainol Abidin Hj Yaacob
  2. L/Kpl Abdullah Abdul Rahman
  3. Pbt Abdul Aziz Abdul Ghani
  4. Pbt Ismail Mansor
  5. Pbt Mohamad Zain
  6. Pbt Ismail Mat
  7. Pbt Yusof Sulong
  8. Pbt Shamsudin Yasin
Senarai yang tercedera:
  1. PW2 Awaluddin Kamoi
  2. Sjn Abd Aziz Meon
  3. L/Kpl Osman Darus
  4. L/Kpl Isa Bujang
  5. Pbt Che Amat Che Leh
  6. Pbt Abdul Ghani Mohamad
  7. Pbt Shukri Suratman
  8. Pbt Mohamed Nafiah Yahaya
  9. Pbt Mohamad Nor Ahmad
  10. Pbt Yaacob Ngah
  11. Pbt Mohamad Arfah Almunir
  12. Pbt Ariffin Yusof
  13. Pbt Abdul Wahab Mat
  14. Pbt Yahya Yaacob
  15. Pbt Mat Sa'at Yaakob
  16. Pbt Ab. Karim Mat Johan
  17. Pbt Bidin Abu
  18. Pbt Mat Saad Othman

- BERSAMBUNG -



Beberapa link menarik berkenaan Konfrontasi. Saya pautkan juga beberapa penulisan dari blog-blog penulis Indonesia, tetapi berdasarkan temuramah dengan para bekas sukarelawan, mereka mengatakan pasukan RAMD dibantu oleh tentera Inggeris, sedangkan TNI dengan kekuatan 130 orang cuma berhadapan dengan 41 anggota dari 3 RAMD.


Utoh Paloi - TLDM kekang kemaraan KKO (link)
Andi Muhammad Aras - Dwikora, Terganyang di Malaysia (link)
Ismail Mat - (link)
Zarkasyi Van Bulungan (link)
Utusan Online - Nostalgia Konfrontasi (link)