Saturday, 25 July 2015

Rejimen ke-10 PKM (Communist Party of Malaya - 10th Regiment - All Malays)

Kebelakangan ini beberapa penulisan telah dibuat mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) atau Malayan People's Anti Japanese Army (MPAJA) yang diberi sanjungan kononnya merekalah pejuang kemerdekaan di negara kita ini. Sepertimana kata-kata Chin Peng dalam memoirnya "kami melawan British dan anjing-anjing British" bagi mengubah persepsi generasi kini bahawa merekalah sebenarnya mencetuskan perjuangan membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan. Kata-katanya kini digunapakai oleh pendokong-pendokong perjuangannya yang mungkin mahu menyambung kembali cita-citanya yang kandas. Tetapi mereka juga mungkin terlepas pandang bahawa Chin Peng pernah mengakui strategi menggunakan kekerasan ke atas rakyat untuk menakutkan dan menundukkan mereka kepada perjuangan komunis adalah satu kesilapan besar yang membuatkan PKM dibenci umum. Ini boleh dilihat berdasarkan statistik 4,668 kematian di pihak awam, melebihi angka korban di pihak pasukan keselamatan, iaitu 4,425 orang sepanjang 12 tahun Darurat. Apakah membunuh lebih 4,000 nyawa orang awam boleh dilupakan hanya dengan satu kenyataan oleh pemimpin PKM - "kami tersilap" ? Inikah ciri-ciri sebenar pejuang kemerdekaan sebagaimana yang dituntut tanpa rasa bersalah?

Bendera Bintang Tiga (kredit: utusan.com.my)

Untuk mendapat kefahaman halatuju perjuangan PKM dahulu, kita kena lihat perkembangan ideologi komunisme sedunia dan serantau. Pada lewat 1940an, ideologi komunis telah berkembang subur di China dan Vietnam, (tambah lagi Parti Komunis China berjaya menguasai negara China pada 1hb Oktober 1949) dan semestinya mempengaruhi suasana di Tanah Melayu  juga, termasuklah pengaruh kuat dari jiran tetangga, Indonesia, yang mana Partai Komunis Indonesia (PKI) mempunyai keahlian ketiga terbesar di dunia, dibelakang Soviet dan China. Akan tetapi PKI tidak pula disanjung oleh rakyat Indonesia sebagai pejuang kemerdekaan, pelik bukan?

Mari kita lihat persidangan-persidangan yang telah dibuat oleh golongan komunis ini di serata dunia, yang membawa bibit-bibit kepada persidangan yang terpenting sekali, dikenali sebagai Third International, a.k.a. Communist International (COMINTERN) yang telah menggesa negara-negara komunis ditegakkan, walaupun dengan cara revolusi bersenjata, di seluruh dunia.


First International (1864-1876)

Pada tahun 1864, sebuah pertubuhan yang dinamakan International Workingmen's Association (IWA) telah ditubuhkan di Saint Martin's Hall, London. Ia adalah satu pertubuhan yang menyatukan pelbagai kumpulan haluan kiri sosialis, komunis, anarki dan pertubuhan perdagangan yang terdiri dari golongan kelas pekerja (working class) dari serata Eropah dan juga Amerika. Ia adalah satu pertubuhan antarabangsa yang mempunyai keahlian antara 5 hingga 8 juta orang.

Karl Marx adalah salah seorang yang memainkan peranan utama dalam pertubuhan ini. Bagaimanapun, pertubuhan ini hanya wujud sehingga tahun 1876, dan period antara penubuhannya 1864 hingga 1876 dikenali sebagai "First International". Oleh kerana terlalu banyak fahaman atau filosofi di dalam IWA, sering berlaku percanggahan pendapat di kalangan mereka, terutama dalam pembentukan strategi untuk mencapai visi mereka dalam menegakkan fahaman sosialisme. Percanggahan pendapat antara golongan "Merah" (Marxist) dan golongan "Hitam" (Anarkis) telah membawa kepada pembubaran IWA pada tahun 1876.


Second International (1889-1916)

Asalnya dikenali sebagai Socialist International, merupakan gabungan pertubuhan sosialis dan parti-parti buruh yang ditubuhkan di Paris pada 14 Julai 1889. Perjumpaan ini dihadiri oleh delegasi dari 20 buah negara. Ia adalah kesinambungan kepada First International, akan tetapi tanpa kehadiran puak-puak berfahaman anarkis.

Second International bertanggungjawab mengisytiharkan 1 May sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, dan 8 Mac sebagai Hari Wanita Sedunia. Ia juga merupakan pertubuhan yang berkempen di peringkat antarabangsa bagi mendapatkan had tempoh kerja 8 jam sehari.
Ia kemudiannya dibubarkan semasa Perang Dunia I apabila mereka tidak bersatu dalam menentang peperangan, sebaliknya berlaku perpecahan apabila setiap pertubuhan didalamnya menyokong negara masing-masing dalam peperangan tersebut yang melambangkan kegagalan doktrin anti-militarist Second International.

Perpecahan terbahagi kepada 3 - golongan sayap kanan yang menyokong peperangan, golongan tengah yang berjuang untuk penyatuan dan anti-perang, manakala golongan ketiga adalah haluan kiri yang dipimpin oleh Vladimir Lenin, yang mendesak peperangan antara negara dijadikan peperangan antara kelas masyarakat. Lenin juga melakukan propaganda keatas tentera dan buruh dan pada tahun 1917, beliau mengetuai Bolshevik untuk merampas kuasa di Russia.


Third International (1919-1943)

Ia juga dikenali sebagai Communist International (COMINTERN), iaitu satu kesatuan parti-parti komunis serata dunia bertujuan menegakkan revolusi komunis dengan apa cara sekalipun, termasuklah perjuangan bersenjata dan mendirikan negara-negara komunis.
COMINTERN ditubuhkan pada kongres yang diadakan di Moscow pada bulan Mac 1919 dihadiri oleh 52 delegasi dari 34 buah negara. Kongres yang kedua diadakan di Moscow pada 1920, dihadiri oleh delegasi dari 37 buah negara, dimana Lenin meletakkan 21 pra-syarat untuk kemasukan ke COMINTERN, supaya semua ahli diselaraskan mengikut model Soviet, dan bertujuan membezakan mereka (komunis) dengan kumpulan-kumpulan pejuang sosialis.

Pada permulaan Perang Dunia 2, COMINTERN menyokong polisi tidak campurtangan, dan menganggap ia adalah peperangan imperialis antara golongan kelas atasan sama seperti Perang Dunia 1, namun setelah Soviet Union sendiri di serang pada 22 Jun 1941, COMINTERN telah mengubah pendirian dengan menyokong pihak Berikat (Allied). Pada 15 May 1943 satu deklarasi telah dibuat berkenaan pembubaran COMINTERN.


Benih-benih perjuangan komunis di Tanah Melayu

Berkenaan polisi COMINTERN di timur, Far Eastern Bureau memainkan peranan menyebarkan fahaman komunis di China seawal tahun 1920 apabila mereka mempengaruhi pertubuhan pelajar. Parti Komunis China yang ditubuhkan pada 1921 telah kemudiannya menyertai Koumintang sebagai langkah awal penyusupan ke dalam komuniti Cina di Asia Tenggara.
Pada Oktober 1924, Tan Malaka yang bertanggungjawab melakukan propaganda untuk pihak komunis Soviet di kawasan Pasifik telah tiba di Canton. Tahun berikutnya, beliau menghantar wakil Parti Komunis China untuk berhubung dengan elemen sayap kiri di Singapura, Tanah Melayu dan juga wakil dari Partai Komunis Indonesia.
Komunis di Malaya juga mengikuti jejak komunis di China dengan menyertai cawangan-cawangan Koumintang. Selepas penyingkiran puak komunis dari Koumintang di China pada 1927, lima wakil dari Parti Komunis China tiba di Malaya untuk membentuk Parti Komunis Nanyang (Laut Selatan), yang merupakan cawangan luar negara kepada Parti Komunis China. Bagaimanapun, COMINTERN mendesak rekrutmen hendaklah melibatkan orang Melayu juga dan tidak hanya fokus kepada orang-orang Cina. Dalam persidangan sulit yang diadakan di Singapura pada tahun 1930, Parti Komunis Nanyang dan Kesatuan Buruh Nanyang dibubarkan dan sebagai gantinya, Parti Komunis Malaya ditubuhkan dalam bulan Mac 1930.

Anggota PKM dalam satu latihan


Darurat di Malaya

Saya tidak mahu menulis dengan panjang lebar mengenai penglibatan kader-kader komunis di dalam mempengaruhi pertubuhan buruh di Tanah Melayu dan menimbulkan kekacauan (291 mogok pekerja direkodkan dalam tahun 1947), kerana anda boleh mendapatkan maklumat tersebut di dalam artikel-artikel berkaitan sejarah PKM yang telah banyak ditulis sebelum ini. Begitu juga sejarah MPAJA, cukuplah sekadar saya nyatakan keterlibatan MPAJA di dalam perang melawan pendudukan Jepun tiada apa yang boleh dibanggakan, malah jika dibuat perbandingan rekod pasukan gerila di Eropah dan Asia, ternyata MPAJA tidak ada membuat sebarang "major offensive" keatas kubu-kubu kuat Jepun atau membebaskan mana-mana bandar utama dari cengkaman kekuasaan tentera Jepun. Malahan, MPAJA membina kubu-kubu jauh ke dalam hutan pendalaman supaya terselamat dari tentera Jepun, disamping mengutip cukai dari penduduk-penduduk kampung. Sepanjang lapan bulan terakhir pendudukan Jepun di Tanah Melayu, sebanyak satu setengah juta paun kelengkapan tentera telah digugurkan dari udara oleh British sebagai bantuan kepada MPAJA, namun senjata-senjata itu kebanyakannya lesap, atau disembunyikan oleh MPAJA untuk "kegunaan masa hadapan" mereka. Senjata-senjata yang popular seperti sten-gun, carbine, pistol dan revolver kebanyakkannya tidak dikembalikan kepada British selepas MPAJA dibubarkan.

Semasa permulaan Darurat - jumlah pasukan keselamatan di Tanah Melayu hanya 10,223 anggota polis dan tentera. Pasukan tentera hanya terdiri dari 3 batalion Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), 6 batalion Gurkha dan 2 batalion tentera British (Seaforth Highlanders dan 1st King's Own Yorkshire Light Infantry - KOYLI). Ini termasuklah jumlah anggota sokongan (bantuan tempur) dan sebenarnya hanya 4,000 sahaja anggota pasukan tempur yang beroperasi memburu gerila-gerila komunis itu.


Penubuhan Rejimen ke-10 PKM


Pada tahun 1948, etnik minoriti Cina di Tanah Melayu membentuk 38% dari jumlah keseluruhan populasi (Melayu adalah majoriti 49%), namun terlalu sedikit yang bekerja dengan perkhidmatan awam dan juga pasukan polis. Daripada 10,000 orang anggota polis, hanya 228 terdiri dari kaum Cina. Akan tetapi adalah tidak benar jika kita katakan semua orang Cina menyokong perjuangan PKM. Sebahagian besarnya adalah mereka yang "diatas pagar", sebagaimana yang kita tahu, mereka yang bekerja di luar bandar sebagai pelombong atau penoreh getah sering jadi mangsa ugutan PKM. Ada yang hilang diculik dan ada juga yang dibunuh dengan kejam di hadapan keluarga mereka jika enggan memberi sokongan kepada PKM. Sebahagiannya lagi memang anti-komunis dan menyokong Koumintang. Kekuatan PKM pula dianggarkan 6,500 anggota sebelum Darurat (majoritinya kaum Cina), dan mencecah 12,000 anggota pada tahun 1948, dengan 60% adalah veteran MPAJA. Disamping itu, PKM mendapat sokongan ribuan anggota Min Yuen (Gerakan Rakyat), yang bertindak sebagai pengintip, menyediakan bekalan lojistik dan juga rekrut-rekrut baru. Dalam tahun 1952, dianggarkan terdapat 11,000 anggota Min Yuen dan 4,000 darinya adalah anggota bersenjata. Dengan jumlah pasukan gerila yang besar begini, Tanah Melayu bolehlah dikatakan berada dalam situasi perang saudara.

Pada 21 Mei 1949, satu mesyuarat sulit telah diadakan di hutan Kerdau, Pahang yang dihadiri oleh Abdullah CD, Wahi Annuar, Musa Ahmad dan Chin Peng, dimana dalam perjumpaan itu, Ching Peng telah mengutarakan cadangannya untuk menubuhkan satu rejimen yang baru dimana anggota-anggotanya hanya terdiri dari orang-orang Melayu. Rejimen yang baru ini, akan diletakkan dibawah pimpinan Abdullah CD, dan Wahi Annuar dilantik sebagai Timbalan Komander, manakala Musa Ahmad pula dilantik sebagai Pegawai Politik (Political Officer). Chin Peng juga mengumumkan bahawa mereka semua adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), kerana sebelum ini kebanyakkan anggota Melayu yang menyertai PKM sebenarnya berhasrat untuk berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan melawan British. Malangnya, PKM telah mempengaruhi parti-parti haluan kiri dan menggunakan mereka sebagai platform mendapatkan kader-kader baru dari kalangan orang Melayu.

Mereka kemudiannya dipertanggungjawabkan untuk mengembangkan lagi keanggotaan Rejimen ke-10 PKM ini, selain itu Chin Peng juga bersetuju dengan cadangan nama Rejimen ke-10 ini berdasarkan angka 10 itu yang membawa erti 10 Dzulhijjah (Hari Raya Korban) dalam kalendar Islam, suatu angka yang agak menonjolkan imej Islamik yang mampu menarik perhatian orang-orang Melayu untuk mendekati perjuangan mereka.

Pemimpin-pemimpin Melayu yang dilantik telah mencadangkan hal-hal berikut:

  • penggunaan songkok oleh anggota Melayu melambangkan identiti Melayu
  • memberi kebebasan kepada Rejimen ke-10 untuk berhubung dengan anggota-anggota Melayu dari cawangan PKM di negeri-negeri lain di Tanah Melayu, dan meletakkan mereka dibawah pemerintahan Rejimen ke-10
  • hanya membenarkan Rejimen ke-10 mendekati masyarakat Melayu, tanpa penglibatan anggota PKM berbangsa Cina

Chin Peng, bagaimanapun menolak mentah-mentah kesemua cadangan-cadangan yang dibuat dengan alasan ia bakal mendatangkan masalah perkauman di dalam PKM, tetapi yang sebenarnya, beliau cuba mengawal kuasa orang Melayu di dalam PKM. Jika difikir secara lojik, masakan pemakaian songkok boleh mendatangkan permasalahan antara kaum?

Tiga bulan selepas tarikh penubuhan Rejimen ke-10 ini, seramai 500 anggota yang dinamakan "Tentera Tani" telah dimasukkan ke dalam Rejimen ke-10. Mereka adalah orang-orang Melayu yang kebanyakkannya berasal dari Temerloh dan Mentakab, Pahang.


Menuju ke kawasan selamat (Liberated Area)

Pada penghujung tahun yang sama (1949), Chin Peng telah mengarahkan mereka ini bergerak ke utara, sebuah kawasan yang telah "dibebaskan (liberated)" - iaitu, tanpa ancaman pasukan keselamatan, supaya aktiviti mereka tidak terganggu. Hanya kerana 200 orang sahaja dari 500 yang bersenjata, Abdullah CD memutuskan anggota-anggota selebihnya tinggal di Temerloh. Gerombolan 200 anggota bersenjata ini kemudiannya meninggalkan Luboh Kawah dengan seorang penunjuk jalan berbangsa Cina. Hanya semasa dalam perjalanan barulah mereka mengetahui destinasi yang dikenali sebagai "kawasan bebas" itu adalah Gua Musang, Kelantan.

Perjalanan terpaksa ditangguhkan, setelah mereka beberapa kali bertempur dengan pasukan keselamatan di Bukit Kuin, Pahang dan gerombolan tersebut terpaksa berundur ke Kerdau. Dari sini, mereka menuju ke Gong, Raub. Ketika inilah pula, akibat dari tekanan pasukan keselamatan, Abdullah CD mengarahkan pasukan ini berpecah dua, dimana - Platun 1 dan Platun 2 dibawah pimpinan Abdullah CD, dan Platun 3, Platun 4 dan Platun 5 dibawah pimpinan Wahi Annuar, dengan Musa Ahmad sebagai timbalannya. Setelah beberapa ketika, kedua-dua pasukan ini terputus hubungan, Musa Ahmad mencadangkan mereka kembali ke Temerloh. Persetujuan dicapai, dimana Musa Ahmad bersama 50 anggota meneruskan perjalanan ke Temerloh, dan baki selebihnya, 200 anggota tinggal di Padang Piol, bersama-sama Wahi Annuar dan isterinya, Shamsiah Fakeh yang ketika itu sarat mengandung.

Musa Ahmad dan 50 anggotanya telah tersesat dan terputus hubungan dari pasukan-pasukan PKM yang lain, selama kira-kira setahun. Mereka hanya bergantung kepada ubi kayu dan hasil makanan dari hutan, mengakibatkan kebuluran. Setelah tiba di Ng Tiong Kiat Tapioca Plantation, mereka bersembunyi di situ selama beberapa bulan, dan mula meninggalkannya setelah terdapat kehadiran pasukan keselamatan. Pada penghujung tahun 1950, mereka tiba di Mentakab dan berjaya menghubungi pasukan pimpinan Abdullah CD. Musa Ahmad mendapat pujian dari Chin Peng kerana berjaya membawa pasukannya dengan selamat, walaupun menghadapi pelbagai kesulitan.

Kumpulan yang berada dibawah pimpinan Wahi Annuar pula telah beberapa kali diserang oleh pasukan keselamatan, hinggakan dia terpisah dengan isterinya Samsiah Fakeh (selamat melahirkan anak lelaki semasa dalam pemburuan). Oleh kerana mereka berterusan diburu oleh pasukan keselamatan, Samsiah Fakeh telah dipujuk supaya menyerahkan anaknya yang berusia 3 bulan untuk dibawa keluar dari hutan dan dibesarkan di China. Beliau bersetuju dan menyerahkan anaknya itu kepada seorang anggota PKM. Tanpa pengetahuannya, anaknya telah dihumbankan ke dalam sungai, kerana dikhuatiri akan tangisan bayi itu lebih menyulitkan keadaan dan menimbulkan risiko kepada pasukannya. Wahi Annuar kemudiannya menyerah kepada pihak berkuasa di Jerantut, Pahang diikuti oleh 150 hingga 200 orang pengikutnya. Hal ini telah merendahkan moral Rejimen ke-10 yang kehilangan sebahagian besar kekuatannya.

Pada tahun 1951 juga, satu mesyuarat diadakan antara Abdullah CD, Musa Ahmad dan Chin Peng di Mentakab. Chin Peng mengarahkan mereka mencari anggota baru bagi memperkuatkan kembali Rejimen ke-10. Di Temerloh, mereka berjaya merekrut 70 hingga 100 anggota baru yang kebanyakkannya adalah ahli-ahli yang direkrut dari Malay Nationalist Party (MNP), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Pembela Tanah Air (PETA) yang ketika itu memang bersemangat berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dari British.




Berundur ke sempadan Thai

Kemudian, dalam satu lagi mesyuarat pada tahun yang sama, Chin Peng memberitahu bahawa keadaan semakin sukar bagi mereka kerana menghadapi kekurangan bekalan makanan yang kritikal hasil dari kejayaan Rancangan Briggs yang memisahkan penyokong-penyokong PKM di penempatan dipinggir-pinggir hutan ke kampung-kampung baru yang dikawal ketat oleh pasukan keselamatan. Jumlah anggota PKM juga berkurangan dari 12,000 (1948) kepada 7,000 orang (1951), manakala British telah memperkukuh pasukan keselamatan pada tahun 1952, dengan 22,200 anggota tentera (pasukan tempur sahaja), 26,000 anggota tetap polis, 39,000 anggota Special Constables, 99,000 anggota Auxiliary Police dan 200,000 anggota Home Guard (50,000 darinya adalah kaum Cina). Chin Peng merasakan bahawa mereka harus berundur ke sempadan Thai-Tanah Melayu buat seketika untuk mengumpul kembali kekuatan. Sehubungan itu, Musa Ahmad dan pasukannya diarahkan menuju ke Betong, manakala Abdullah CD diarahkan kembali ke Temerloh sementara menunggu arahan selanjutnya.

Pada bulan September 1951, Musa Ahmad dan 40 anggotanya menyertai satu pasukan yang dipimpin oleh isteri Siu Cheong. Beberapa minggu kemudian mereka bertemu dengan Siu Ma, Ketua Kompeni dari rejimen ke-11 dan sempat meraikan kejayaan pasukan Siu Ma yang berjaya membunuh Sir Henry Gurney dalam satu serang hendap di Bukit Fraser. Pasukan Musa Ahmad tinggal bersama-sama mereka selama 3 bulan, sehinggalah tiba di Jerkoh, Kuala Lipis pada penghujung tahun 1952. Beberapa minggu kemudian, sepasukan gerila dari Johor, pimpinan Ibrahim Mohamad juga menyertai mereka, disamping beberapa lagi kumpulan kecil PKM berbangsa Cina.

Satu mesyuarat telah diadakan dalam bulan Jun 1953, dimana ianya turut dihadiri 4 pemimpin kanan yang berjawatan State Committee Member (SCM) iaitu, Lau Fatt, Ah Lid, Lao Chai dan Hor Leung. Anggota Melayu tidak terlibat dalam mesyuarat ini dan telah diberikan tugas sentri. Mereka bersukaria sehingga jam 0100, dan setelah semuanya tidur, seorang pengawal peribadi kepada SCM Ah Lid, telah melepaskan tembakan membunuh SCM Ah Lid dan mencederakan Lau Fatt dan Lao Chai. Pengawal peribadi tersebut melarikan diri dan menyerah diri kepada pihak berkuasa. Tidak lama kemudian, kem mereka telah di bom oleh pasukan artileri dan anggota tentera digugurkan dengan payung terjun. Anggota-anggota PKM melarikan diri dan Musa Ahmad turut berundur dengan 60 anggota Melayu. Mereka kemudiannya disertai oleh Abdullah CD juga bersama 60 anggota, dan turut ditemani oleh seorang anggota wanita PKM yang berjawatan tinggi, bernama Eng Meng Cheng. Tidak lama kemudian mereka tiba di Gunung Kerbau, Perak pada bulan Julai 1953, melalui Cameron Highland, satu perjalanan yang mengambil masa 6 bulan lamanya. Pada tahun yang sama, Rashid Mydin tiba bersama-sama 10 anggota Melayu, termasuk Samsiah Fakeh.

Pada penghujung tahun 1953, mereka tiba di Belum dan seterusnya merentasi sempadan Thai-Malaya. Mereka membina kem baru di Hala, dalam daerah Betong. Pada pertengahan 1954, Abdullah CD, Rashid Mydin dan majoriti anggota Melayu bergerak ke Tanjong Mas, Narathiwat. Musa Ahmad dan 10 anggota pula tinggal di Hala kerana menjaga isterinya (Zainab Mahmud) yang sarat mengandung. Sebulan kemudian selepas melahirkan bayi perempuan, anaknya itu diserahkan kepada satu keluarga Melayu Thai, dan mereka bergabung dengan pasukan Abdullah CD.


Konflik dalaman

Suatu hari, seorang kurier telah tiba di markas Rejimen ke-10 membawa surat arahan dari Chin Peng meminta Abdullah CD, Rashid Mydin dan Musa Ahmad menuju ke Betong, Selatan Thai untuk menghadiri satu mesyuarat tergempar. Turut disertai oleh Ahli Komiti Pusat (Central Committee Member) bernama Ng Chin Kee @ Ah Sze dari Rejimen ke-12. Apa yang mengejutkan, dalam mesyuarat ini, laporan telah dibuat bahawa salah seorang pemimpin Melayu (saya tidak mahu namakan siapa dia disini) telah melakukan hubungan sulit dengan Eng Meng Cheng sehingga dia terpaksa menggugurkan kandungannya. Eng Meng Cheng adalah isteri kepada Ng Chin Kee, yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut. Berlaku pertengkaran dan Ng Chin Kee mengeluarkan pistol tetapi telah dihalang oleh Chin Peng. Sebagai hukuman, pemimpin Melayu tersebut dilucutkan jawatannya dari Rejimen ke-10.

Selepas tamatnya Darurat pada tahun 1960, PKM kekal tinggal di sempadan Thai-Malaysia dan memperkukuhkan kembali keanggotaan mereka, daripada saki-baki 600 anggota yang berpengalaman, mereka berjaya merekrut kira-kira 1,000 lagi anggota tambahan, dan melancarkan perang gerila secara rasminya pada satu serang hendap ke atas pasukan keselamatan di Kroh-Betong pada 17 Jun 1968. Konflik ini tamat apabila PKM bersetuju menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Dis 1989.

Berbalik kepada kisah perjuangan Rejimen ke-10, kita dapat rasakan bahawa Chin Peng amat terdesak dan memerlukan sokongan orang-orang Melayu bagi meneruskan perjuangannya mendirikan Republik Rakyat di Malaya. Memandangkan isu agama dan komunis ibarat air dengan minyak yang tidak boleh di campur-aduk, maka isu menuntut kemerdekaan dari British adalah isu yang paling mudah menarik minat orang-orang Melayu yang patriotik, tambah lagi Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, setahun sebelum Darurat bermula.

Jika di China dan Vietnam, agak mudah untuk dakyah-dakyah komunis mempengaruhi rakyat yang tertindas dan menderita akibat peperangan yang panjang, di Tanah Melayu situasinya berbeza. Tanggapan saya, orang Melayu berada di dalam keadaan selesa, selagi mereka mempunyai pekerjaan, bebas beribadat (kerana British tidak mencampuri hal-ehwal Islam) tidak banyak yang orang Melayu perlu buat dari segi politik (selain berusaha meningkatkan  taraf ekonomi dengan mendapat peluang pekerjaan yang baik), kerana ketaatan kepada Raja dan Sultan juga, mungkin menghalang mereka dari memberontak, dan menyerahkan urusan politik kepada para pemimpin. Namun apabila timbul isu-isu tertentu yang melibatkan kepentingan orang Melayu, contohnya, apabila British cuba membentuk Malayan Union, menukar status negeri naungan kepada negeri jajahan, orang Melayu mula bangkit menentang, menunjukkan sikap yang berbeza dan diluar jangkaan British. Melihatkan sokongan rakyat yang begitu kuat mempertahankan takhta sultan-sultan, hal itu telah menyedarkan sekalian baginda sultan untuk turut berjuang bersama-sama rakyat jelata untuk menggagalkan Malayan Union.

Sekarang, kita kembali lihat nasib orang-orang Melayu yang memilih jalan berjuang dengan PKM. Memang malang apabila mereka hanya menjadi alat kepada PKM, berlaku diskriminasi yang sangat kuat di dalam PKM. Anggota-anggota PKM yang berjawatan tinggi tidak meletakkan kepercayaan kepada anggota-anggota Melayu Rejimen ke-10 ini. Arahan-arahan penting dari Politbureau tidak akan sampai ketangan mereka, bukan sahaja kepada anggota bawahan, tetapi juga pemimpin-pemimpin kanan Melayu. Dokumen-dokumen penting yang tidak diterima oleh anggota Melayu antaranya adalah:
  • kritikan ke atas kepimpinan Chin Peng oleh beberapa Ahli Komiti Pusat
  • Insiden Siew Law - kritikan oleh pemimpin PKM Melaka ke atas strategi dan polisi PKM
  • Insiden Selatan Johor - kritikan Lam Swee ke atas kepimpinan PKM
  • Dokumen Pendedahan Loi Tak - pemimpin dan juga mentor Chin Peng yang menghilangkan diri bersama-sama wang dana PKM

Lain-lain isu diskriminasi ke atas anggota Rejimen ke-10
  • anggota Melayu diberikan senjata yang telah usang dan peluru yang tidak berkualiti, adakalanya tidak meletup apabila ditembak
  • kualiti bekalan makanan yang teruk, apabila dibangkitkan isu ini, mereka diarahkan masuk ke kampung-kampung Melayu untuk mendapatkan bekalan yang lebih baik
  • anggota Melayu tidak diberikan kebebasan memasuki kem-kem anggota Cina (kecuali mendapat kebenaran awal), tapi sebaliknya anggota Cina bebas masuk ke kem-kem anggota Melayu bila-bila masa
  • dalam memberi propaganda, PKM mengelak dari memberitahu anggota Melayu bahawa agama dan ideologi komunis tidak boleh disatukan

Dengan kehadiran Chin Peng di Pahang pada 1949 hingga 1950, pihak British memberikan keutamaan melakukan operasi disana, dan secara tidak langsung  juga berjaya melumpuhkan kekuatan Rejimen ke-10 dari seramai 500 anggota pada awal penubuhannya, hanya tinggal kurang 100 anggota apabila mereka berundur ke Selatan Thai. Jumlah orang Melayu yang menyertai Rejimen ke-10 tidak pun sampai 10% dari jumlah kekuatan PKM pada bila-bila masa sepanjang Darurat, tambah lagi kecurigaan PKM kepada mereka yang beragama Islam menjadikan isu diskriminasi sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Kesimpulannya, saya rasa mereka telah dipergunakan oleh PKM tanpa mereka sedari, ya, sebahagian besar dari mereka. Selain itu, satu persoalan di dalam benak saya apa yang sebenarnya menyebabkan keengganan saki-baki mereka meninggalkan PKM selepas Tanah Melayu merdeka? Mungkin antara satu misteri dunia yang tidak terungkai, atau anda fikir apa yang saya fikir? Keengganan melepaskan ideologi yang telah sebati dalam diri mereka. Wahi Annuar, sebagai contoh telah mengambil jalan yang betul dengan meninggalkan perjuangan bersama PKM, jika atas kesedaran bahawa perjuangan bersama PKM itu sia-sia dan tidak berlandaskan kebenaran berjuang atas nama kemerdekaan, maka saya boleh kata beliau pejuang kemerdekaan.


Sumber rujukan:

  • "The Communist Party of Malaya - The Inside Story", tulisan Aloysius Chin (1995). Beliau bersara sebagai Senior Asst. Commissioner of Police (ACP) dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (Operasi).
  • "The Malayan Emergency in Retrospect: Organisation of A Successful Counterinsurgency Effort", oleh R.W. Komer (1972) - The Rand Corporation -
  • Wikipedia

9 comments:

  1. Bagi pendapat saya. Orang melayu zaman dulu(Sebelum merdeka) mereka mng berjuang merdeka tapi mereka salah arah kerana orang melayu terjebak komunis yang kononya PKM bantu melayu sebab apa sebab ada kalangan orang melayu berfahaman komunis hasut orang melayu bagi lemahkan pegangan Agama islam. apabila bersama Komunis, mereka ambil kesempatan diskriminasi kpd kaum itu.
    Sekian tolong beri pencerahan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alasannya kebanyakkan parti berhaluan kiri dah diharamkan, jadi mereka terpaksa masuk PKM kerana tiada pilihan lain. Ini saya agak kurang bersetuju. Pejuang Rosli Dhobi boleh aje bergerak dengan Rukun 13 tanpa ramai pengikut...of course sebagai permulaan. Lama kelamaan pasti aja akan ada ramai pengikut

      Delete
  2. Rasanya org tu abdullah Cd..Eng Meng Cheng@suraini abdullah..berkahwin dgn abdullah cd..

    ReplyDelete
  3. yang mereka tentang adalah penjajah

    ReplyDelete
    Replies
    1. sebelum merdeka....selepas merdeka bagaimana?

      Delete
    2. Selepas merdeka british masih lg menguasai pelabuhan estet dan lombong. Kita merdeka hanya pada laungan dan corak pemerintahan. Dari segi ekonomi british masih berkuasa. Inilah kesilapan kita. Jadi apa yg diperjuangkan oleh org melayu yg dicop haluan kiri ialah merdeka secara keseluruhan. Misalnya indonesia merdeka secara total.apabila belanda kembali ingin menguasai pelabuhan dan estet mereka berjuang bermati matian. Tetapi tidak kita di tanah melayu. Terpengaruh dgn janji british ingin memberi kemerdekaan. Tetapi hasil bumi masih disedut. Ape yg meedekanyerr.

      Delete
  4. Perjuangan menentang penjajah inggeris adalah sebelum kemerdekaan. bagaimana dengan gerakkan mereka selepas kemerdekaan? adakah masih layak digelar sebagai pejuang menentang penjajah? Sila berjumpa dengan golongan tua melayu yang pernah menyertai PKM secara rela atau dipaksa. apakah komen mereka. Adakah mereka akan menyatakan rasa bangga atau menyesal. Anak muda melayu semakin lupa akan sejarah. jika ragu dengan sejarah bertulis negara. jumpa golongan tua yang masih ada. belajar dari kesilapan anak bangsa melayu dahulu untuk bina kekuatan dimasa kini.

    ReplyDelete
  5. Salam..kita tak duduk dlm zaman tu,jd mna kita nk tahu.setakat bg pendapat dn pandangan boleh la kita..

    ReplyDelete