Saturday 27 September 2014

Malay Traditional Weapon, Firearms & Cannon / Senjata Melayu - Keris, Istinggar dan meriam Rentaka

Keris

Keris biasanya digunakan sebagai senjata kedua oleh tentera Melayu dahulu dalam petempuran. Tombak atau lembing dipercayai digunakan sebagai senjata utama, kerana ianya sesuai digunakan pada jarak jauh, maka selepas tombak atau lembing dilempar, keris diperlukan untuk pertempuran jarak dekat atau sebagai senjata mempertahankan diri. Bagi orang kebanyakan, keris digunakan setiap hari dan menjadi kebiasaan orang-orang Melayu untuk membawa keris bersama apabila meninggalkan rumah. Keris juga merupakan senjata yang digunakan dalam istiadat tertentu.

Bahagian-bahagian Keris, boleh rujuk disini


Gambar bawah adalah lain-lain senjata Melayu





Bilah keris biasanya terbahagi kepada dua jenis, bilah yang lurus dan bilah yang mempunyai 3 hingga 13 luk (lengkuk). Bilah yang berombak ini dicipta sedemikian rupa untuk memberikan kecederaan yang parah apabila ditusuk menembusi tubuh, apatah lagi jika disentap. Bilah keris ini biasanya diletakkan bisa racun semasa dalam proses pembuatan oleh tukang besi, dan ianya menjadi rahsia setiap tukang besi tersebut. Dalam perlaksanaan hukuman bunuh, pesalah akan diarahkan melutut dan keris ditikam dari bahagian atas bahu terus menembusi jantung untuk mempercepatkan kematian.

Contoh penggunaan keris sebagai senjata utama dan kedua, lihat cara ia disisipkan dihadapan pemakai.

Penggunaan keris adat Jawa, disisipkan dibelakang pemakai

Cara pemakaian keris bagi orang-orang Melayu adalah dengan disisipkan dipinggang, dan ini memperlihatkan keperluan penggunaan kain samping, manakala bagi adat di Jawa, keris disisipkan dibelakang.


Istinggar (matchlock) dan Pemuras (blunderbuss)

Senjata ini banyak dirampas apabila Portugis berjaya menawan kota Melaka. Ini menunjukkan bahawa senjata api telah lama digunakan di alam Melayu, sebelum kedatangan penjajah Portugis. Tidak hairanlah jika Melaka boleh bertahan selama 40 hari dari asakan serangan Portugis. Istinggar ini juga dikenali sebagai flintlock muskeet. Penggunaannya kerap disebut didalam hikayat-hikayat Melayu seperti Sulalatus Salatin dan Hikayat Megat Terawis.

Istinggar atau matchlock mula digunakan oleh tentera Eropah pada pertengahan abad ke-15. Lukisan teknikal yang terawal berkenaan matchlock didapati pada tahun 1475. Ia tidak lagi digunakan selepas tahun 1700 di Eropah. Lihat gambar-gambar dibawah tentang cara penggunaan istinggar/matchlock. Tentera yang cekap hanya boleh melepaskan satu atau 2 tembakan dalam seminit! Saksikan video dibawah.




Matchlock buatan Eropah

Istinggar Melayu


Sistem flintlock muskeet pula mula diperkenal di Perancis pada tahun 1610, dan dipopularkan keseluruh Eropah pada tahun 1630an. Pada tahun 1770 ia digunakan dalam Perang Revolusi Amerika.




Pemuras atau blundebuss pula adalah senapang yang lebih pendek dan lebih kerap digambarkan penggunaannya dalam perang menentang penjajah Inggeris, malah zaman itu dikenali sebagai Zaman Keris dan Pemuras. Senjata ini juga digunakan sebagai alat kebesaran diraja dengan hiasan dan ukiran yang halus dan cantik. Ada juga yang dibuat dari logam emas atau perak dan ditatahkan intan permata.

Pahlawan Acheh dengan senjata api

 Pamuras

Cara penggunaan Pamuras/Blunderbuss

Terakol (flintlock dragoon)

Ia juga dikenali sebagai Terakol atau Tarkol yang popular penggunaannya dikalangan lanun-lanun dan para saudagar. Teknologi ini lebih maju dari senjata api yang terdahulu kerana ia tidak memerlukan fius untuk membakar serbuk bedil. Ia adalah perubahan dari Pemuras yang dikecilkan dan digunakan pada zaman kesultanan Melaka oleh Laksamana dan Syahbandar dengan menyisipkan dipinggang bersama-sama keris. Pada tahun 1530, terakol telah menggunakan teknologi flintlock, dan dibarat dikenali sebagai pistol.



Rentaka / Lantakas

Disebut sebagai Lantakas dalam bahasa Inggeris. Kebiasaannya rentaka dibuat dari logam tembaga atau besi dengan panjangnya dinatara 50 cm hingga 2 meter. Ia juga dikenanli dengan nama Lela atau ekor Lotong kerana rupanya yang panjang. Salah satu kelebihan rentaka ini adalah penggunaannya yang mudah alih kerana bentuknya yang lebih kecil berbanding meriam-meriam barat. Ia boleh dipikul, dipacakkan di kota, tanah, dan juga boleh digunakan diatas kapal atau perahu. Besar kemungkinan ia merupakan meriam mudah alih yang pertama didunia. Penggunaan rentaka amat berkesan semasa perang Pattani-Siam dan perang Moro-Sepanyol diselatan Filipina. Berbanding meriam biasa, rentaka mempunyai hiasan yang terperinci dan menarik seperti ukiran awan larat, naga, buaya, cicak dan pucuk rebung. Satu kelebihan orang Melayu yang ketara seni mendapat perhatian dalam apa sahaja termasuk pembinaan kapal, seni beladiri silat dan juga pembuatan senjata.

Semasa kejatuhan Melaka, Portugis telah merampas antara 3,000 hingga 8,000 senjata api dari tentera Melaka. Apa yang menarik perhatian, terdapat sebuah meriam yang saiznya lebih besar dari meriam Portugis. Alanfonso de Albuquerque telah menghantar meriam ini ke Calicut, India.





Meriam Seri Patani dan Seri Negeri telah digunakan bagi menangkis serangan Siam sepanjang 200 tahun, sehinggalah pada 1786 dimana Patani berjaya ditewaskan dan meriam ini dipamerkan di Kementerian Pertahanan di Bangkok sehingga kini.



Berikut adalah link-link menarik mengenai kajian persenjataan dan taktik perang Melayu.

Link:

http://susorgalor.blogspot.com/2011/01/istinggar-terakol-pemuras-senjata.html

http://www.sabrizain.org/malaya/johor3.htm

http://www.acant.org.au/Articles/MalayCannons.html

Thursday 25 September 2014

COIN War: "Operation Sukat" by VAT 69 commandos / Komando 69: Ops Sukat 1972

Pada tahun 1971, unit-unit PKM (Parti Komunis Malaya) telah diarahkan untuk membangunkan pusat bekalan dan rangkaian lojistik supaya dapat terus membekalkan keperluan makanan dan ubatan kepada pasukan tempur mereka. Bekalan-bekalan ini amat penting bagi mereka meneruskan perjuangan mereka, dan salah satu cara untuk mendapatkan bekalan berterusan adalah melalui orang-orang kampung, penoreh getah atau pekebun yang bersimpati dengan mereka. Organisasi Min Yuen bertanggungjawab mendapatkan bekalan lojistik dan maklumat risikan untuk PKM.


Anggota-anggota PKM (Communist Party of Malaya)



Pada awal tahun 1972, Cawangan Khas (Special Branch) Perak telah menerima maklumat terdapat pergerakan pengganas komunis di kawasan Jalong, diutara daerah Sungai Siput. Kawasan ini memang terkenal dengan aktiviti pengganas komunis sejak zaman Darurat Pertama 1948-1960. Malah lokasi peladang Eropah pertama yang dibunuh komunis ketika itu hanya beberapa kilometer dari Kampung Jalong.

Kumpulan Ronda Bravo 1 dipertanggungjawabkan untuk melakukan operasi dikawasan tersebut. Kumpulan ini diketuai oleh ASP Mohd. Zabri bin Abdul Hamid (Allahyarham) yang secara kebetulannya bekas pekerja Jabatan Ukur (survey). Beliau telah mengadakan kursus singkat kepada anggota-anggota yang terlibat tentang prosedur dan pengendalian peralatan ukur tanah, dengan peralatan dipinjam dari Jabatan Ukur. Semua yang terlibat dipastikan berpakaian seperti tipikal pekerja ukur dan hanya dibekalkan dengan senjata pistol.

VAT 69 atau Komando 69 menngunakan taktik gerila untuk menumpaskan gerila komunis. Antara pasukan yang digeruni oleh PKM.

Ops Sukat bermula pada 10 April 1972 apabila "pasukan survey" memulakan kerja-kerja dikawasan yang dipercayai lokasi aktiviti pengganas komunis itu. 10 hari yang pertama tidak mendapatkan sebarang tanda-tanda kehadiran pengganas komunis atau anggota sokongan mereka. Tetapi para petani dan pekerja ladang telah mula "mesra" dengan "pasukan survey" tersebut. Mereka difahamkan bahawa kerja-kerja ukur tanah sedang dijalankan kerana kerajaan bercadang memberikan lesen tanah TOL (Temporary Occupied Licence) kepada mereka.

Pada 22 April 1972, hari ke-12 operasi berjalan, salah seorang anggota Bravo 1 telah menemui sebuah motosikal dikawasan semak berhampiran. Penemuan ini menimbulkan pertanyaan kepada pasukan Bravo 1 tentang kemungkinan aktiviti subversif oleh pengganas komunis dikawasan tersebut. Setelah melakukan pemeriksaan dengan ibupejabat, ternyata plet number motosikal tersebut adalah palsu. Bagaimanapun, tinjauan yang dilakukan keesokannya mendapati motosikal tersebut telah lesap.

Pada 1 May 1972, pasukan ronda Charlie 3 dimasukkan bagi menggantikan Bravo 1. Tetapi kali ini, Charlie 3 mengambil posisi serang hendap dan membuat OP (observation post). Sepanjang 10 hari berlalu tiada apa-apa tanda kehadiran pengganas komunis. Rutin seharian pekerja ladang boleh dijangkakan dengan keluar bekerja pada 8 pagi dan pulang pada jam 6 petang. Motosikal yang disyaki juga tidak kelihatan. Masuk hari yang ke-11, pada jam 7 petang ketika cuaca mulai gelap, tiba-tiba terdengar deruman enjin lori. Melalui alat pandang malam, Sarjan Kadir Mat Diah dapat melihat 2 orang berada di kabin pemandu dan 2 lagi dibelakang lori, diatas timbunan ubi kayu (tapioca). Kesemuanya berpakaian preman. Charlie 3 membuat keputusan untuk menahan lori tersebut dalam perjalanan keluar sambil memeriksa posisi dan peralatan serang hendap semuanya dalam keadaan baik dan anggota siap siaga.

Penantian yang membosankan berakhir apabila pada jam 10:35 malam lori tersebut bergerak masuk ke kawasan serang hendap. Sjn. Kadir mengarahkan lori tersebut berhenti, namun pemandu dan seorang lagi penumpang terjun melarikan diri. Mereka dapat ditangkap setelah salah seorang tercedera ditembak dikaki. Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Siput untuk disoal siasat oleh Special Branch. Mereka mengaku bahawa mereka telah diambil bekerja sebagai pemandu lori oleh seorang kawan. Pada 11 May 1972, mereka diarahkan untuk membawa lori dengan muatan 10 drum kosong dan semasa dalam perjalanan ke destinasi 2 orang pemuda yang tidak dikenali telah menahan dan mahu menumpang lori tersebut sehingga ke destinasi. Kedua-dua pemuda itu menghilangkan diri selepas mereka membantu menurunkan muatan ubi kayu dan drum kosong  didestinasi.

Pelbagai jenis senjata yang dirampas dari PKM

Pada subuh keesokkannya Bravo 1 dan Charlie 3 menjejaki laluan lori tersebut. Dalam penjejakan tersebut mereka telah terbau damar - biasanya digunakan oleh pengganas komunis untuk mengelakkan tutup drum dari berkarat dan masuk angin, selepas mereka menyimpan makanan didalamnya. Tiga anggota diarahkan meninjau dan kembali dengan melaporkan terdapat 8 pengganas komunis sedang bekerja di "food dump" kira-kira 300 meter dari lokasi mereka berada. Pengganas komunis dilaporkan sedang sibuk membungkus makanan, walaupun ada yang tidak berbaju ketika itu, mereka dikenali kerana memakai topi bintang berbucu lima. Kumpulan peninjau diarahkan kembali ke lokasi tersebut untuk membuat tinjauan rapat dengan memakai topi komunis sebagai penyamaran (topi komunis mereka dapati dari operasi-operasi sebelumnya).

Setelah tiba dilokasi itu, anggota tinjau merapati dan bersembuyi disebalik longgokan drum-drum kosong. Setelah memerhati kira-kira 15 minit, tiba-tiba seorang anggota komunis berjalan menuju kearah longgokan drum itu. Kira-kira 10 meter jaraknya dari situ, anggota tinjau tidak ada pilihan selain melepaskan tembakan. Mereka kemudian dibantu oleh lain-lain anggota Bravo 1 dan Charlie 3 yang sudah berada hampir dilokasi pertempuran. Pengganas komunis berjaya melarikan diri dengan meninggalkan selaras rifel .22, 2 x Stengun, 1 x pistol, dokumen dan ubat-ubatan. Bagi anggota-anggota VAT 69 ini adalah pengalaman pertama mereka bertempur sejak pasukan komando ini ditubuhkan pada awal Oktober 1969 dengan latihan diberikan oleh komando British SAS (sila rujuk link disini).

Dalam penjejakan seterusnya, Bravo 1 dan Charlie 3 bergerak ke arah Kampung Baru Lasah dan seterusnya ke hutan simpan Korbu. Mereka dibantu oleh dua lagi kumpulan, Bravo 3 dan Charlie 4. Dalam pencarian selama 3 hari, mereka menemui 18 drum yang mengandungi beras, gula, minyak dan garam. Komando VAT 69 kemudiannya dikeluarkan dari kawasan operasi dan diganti oleh pasukan keselamatan yang seterusnya menemui lagi 85 drum simpanan makanan. Kejayaan ini berjaya menghalang pembentukan rangkaian lojistik pengganas komunis dikawasan itu, dan banyak perkara yang dapat dipelajari terutama teknik-teknik pengganas komunis menyimpan makanan dan juga cara-cara mengenalpasti lokasi "food dump" mereka. Pengetahuan ini digunapakai oleh anggota komando yang terlibat dalam operasi-operasi berikutnya yang mana menempa kejayaan lebih besar. Maklumat yang diperolehi oleh Special Branch dalam operasi ini juga membolehkan beberapa tangkapan dibuat keatas anggota Min Yuen dan seterusnya melumpuhkan operasi mereka.

Gambar-gambar VAT 69 dalam latihan. Gambar bukan milik saya, kredit kepada pemilik asal.
















Tuesday 23 September 2014

Flor de la Mar (Flower of the Sea) - The richest ever vessel lost at sea / Muzium Samudera, Melaka

Orang-orang Melayu memang terkenal sebagai pelaut yang handal ketika zaman kegemilangan empayar Melayu. Leluhur orang Melayu telah belayar jauh hingga ke Kepulauan Polynesia di Pasifik dan ke Madagaskar di benua Afrika. Empayar-empayar Melayu seperti Sriwijaya dan Melaka adalah kerajaan-kerajaan maritim yang menguasai perdagangan melalui jalan laut di Nusantara. Pada masa itu lanun-lanun Melayu juga amat ditakuti kerana kehandalan mereka dilautan.




Menurut Lynda Norene Shaffer dalam bukunya "Maritime Southeast Asia to 1500" (1996) mengatakan:

  • sejak awal kurun pertama lagi pelaut-pelaut Melayu telah pun mahir dengan pelayaran jarak jauh
  • pelaut-pelaut Melayu yang bertanggungjawab menyebarkan pasu-pasu tanah liat dan gendang Dongsan keseluruh Asia Tenggara
  • pelaut-pelaut Melayu belayar ribuan batu jauhnya tanpa menggunakan kompas dan carta-carta bertulis, sebaliknya mereka berpandukan kepada angin, bintang, warna air laut dan gelombang untuk megenalpasti lokasi mereka
  • mereka mengenali sesuatu pulau walaupun berjarak 30 batu dari pantainya hanya dengan melihat tabiat burung-burung tertentu, haiwan, tumbuhan laut dan juga gelombang
  • pelayar-pelayar Cina mempelajari ilmu kelautan dan perkapalan dari orang-orang Melayu


Menurut pencatit Portugis, Gaspar Correia merekodkan pada ketika armada kapal perang Portugis bertembung dengan kapal Acheh, sisi kapal tersebut adalah sangat tinggi dari kapal-kapal Portugis sehinggakan mereka tidak berani untuk memanjat kapal Acheh tersebut. Kapal Acheh itu mempunyai 4 lapis dinding dan meriam Portugis hanya mampu menembusi 2 dinding sahaja. Keadaan ini telah memaksa kapal perang terbesar Portugis, Flor de la Mar untuk membantu.Walaupun demikian, kapal Acheh tersebut masih mampu bertahan serangan selama 2 hari dan 2 malam dan hanya tewas setelah meriam Portugis merosakkan sirip kemudinya.






Di dalam buku The Golden Chersonese and the Way Tither hasil tulisan Isabella L. Bird, yang telah mengembara ke Timur Jauh pada tahun 1897 mengatakan selepas kejatuhan Kota Melaka, Empayar Acheh telah cuba menawan Kota Melaka dengan 500 buah kapal yang mana 100 darinya jauh lebih besar dari mana-mana kapal yang pernah dibina oleh negara-negara Eropah.

Pada sekitar tahun 1580an hanya beberapa Turki, Portugal, Sepanyol dan England yang mempunyai kepakaran membina kapal-kapal galleon (sejenis kapal perang besar yang mempunyai beberapa aras didalamnya dan dilengkapi dengan meriam). Hanya Acheh dan Johor sahaja yang bukan bangsa Eropah mampu menbina kapal-kapal galleon sekitar 1580 hingga 1600.


Buku tulisan R.A. Fletcher bertajuk "Warships and Their Stories" (1911) pula mengatakan bangsa Melayu yang mula-mula mencipta perahu dengan sayap (outriggers).

(Semua fakta diatas adalah hasil tulisan Benign Nor Hafeez. Saya sertakan link diakhir artikel).

Jenis-jenis kapal Melayu

Lanchara (Lanchang Melayu)

 Kapal Flor de la Mar 

Replika kapal Flor de la Mar di Melaka




Kapal Flor de la Mar (Flower of the Sea) seberat 400 tan telah dibina pada tahun 1502 dan karam di perairan Acheh/Pasai pada bulan November 1511 dalam pelayaran ke Goa, India (jajahan Portugal ketika itu) dengan membawa khazanah batu permata dan 60 tan emas milik kerajaan Melaka, termasuk juga hadiah dari Raja Siam kepada Raja Portugal, King Manuel I. 400 anak kapalnya terkorban dalam insiden tersebut, Hanya Alfonso de Albuquerque dan 5 pegawainya sahaja terselamat. Harta-harta tersebut kini dianggarkan benilai berbillion ringgit.

Alfonso de Albuquerque

Menurut Robert F. Marx, pemburu harta karun dan salah seorang perintis selam scuba mengatakan beliau telah membelanjakan 20 juta dollar untuk mengesan kapal Flor de la Mar. Menurutnya kapal tersebut adalah kapal yang membawa khazanah paling tinggi nilainya berbanding lain-lain kapal yang telah karam didunia ini. Beliau juga merupakan bekas penyelam tentera Marin Amerika (USMC) dan pernah merekodkan lebih 5,000 selaman dilaut.

Flor de la Mar adalah dari jenis carrack atau nau (carraca dan nao dalam bahasa Sepanyol) yang merupakan kapal dengan 3 atau 4 tiang layar. Carrack mula dibina pada pertengahan abad ke-15 dan sesuai untuk kegunaan disamudera. Pada pertengahan abad ke-16, galleon telah diperkenalkan yang mana rekaannya adalah dimajukan dari rekaan carrack. Antara kapal jenis carrack yang terkenal adalah Santa Anna, yang membawa Christopher Columbus menjelajah hingga ke benua Amerika pada tahun 1492.

Foto-foto dari galeri didalam replika kapal Flor de la Mar



 Contoh kapal-kapal Melayu seperti Cora-cora, Lantcha dan kapal Acheh




Replika kapal ini adalah 36 meter panjang, 8 meter lebar dan 34 meter tinggi. Ia mempunyai 3 aras yang menempatkan beberapa galeri menarik.

Senjata Portugis

Matawang yang pernah digunakan dahulu

Replika para saudagar di Melaka

Ruang bilik kapten kapal



Rujukan:

http://www.thepatriots.my/kapal-perang-melayu-jauh-lebih-besar-daripada-kapal-portugis-yang-menyerang-melayu/

http://www.academia.edu/5225381/Pelayar_dan_Kapal-Kapal_Buatan_Melayu._Oleh_Benign_Nor_Hafeez

http://en.wikipedia.org/wiki/Flor_de_la_Mar

http://en.wikipedia.org/wiki/Robert_F._Marx

http://lokalgenius.blogspot.com/2013/12/teknologi-maritim-melayu-dikagumi-dunia.html