Thursday, 25 September 2014

COIN War: "Operation Sukat" by VAT 69 commandos / Komando 69: Ops Sukat 1972

Pada tahun 1971, unit-unit PKM (Parti Komunis Malaya) telah diarahkan untuk membangunkan pusat bekalan dan rangkaian lojistik supaya dapat terus membekalkan keperluan makanan dan ubatan kepada pasukan tempur mereka. Bekalan-bekalan ini amat penting bagi mereka meneruskan perjuangan mereka, dan salah satu cara untuk mendapatkan bekalan berterusan adalah melalui orang-orang kampung, penoreh getah atau pekebun yang bersimpati dengan mereka. Organisasi Min Yuen bertanggungjawab mendapatkan bekalan lojistik dan maklumat risikan untuk PKM.


Anggota-anggota PKM (Communist Party of Malaya)



Pada awal tahun 1972, Cawangan Khas (Special Branch) Perak telah menerima maklumat terdapat pergerakan pengganas komunis di kawasan Jalong, diutara daerah Sungai Siput. Kawasan ini memang terkenal dengan aktiviti pengganas komunis sejak zaman Darurat Pertama 1948-1960. Malah lokasi peladang Eropah pertama yang dibunuh komunis ketika itu hanya beberapa kilometer dari Kampung Jalong.

Kumpulan Ronda Bravo 1 dipertanggungjawabkan untuk melakukan operasi dikawasan tersebut. Kumpulan ini diketuai oleh ASP Mohd. Zabri bin Abdul Hamid (Allahyarham) yang secara kebetulannya bekas pekerja Jabatan Ukur (survey). Beliau telah mengadakan kursus singkat kepada anggota-anggota yang terlibat tentang prosedur dan pengendalian peralatan ukur tanah, dengan peralatan dipinjam dari Jabatan Ukur. Semua yang terlibat dipastikan berpakaian seperti tipikal pekerja ukur dan hanya dibekalkan dengan senjata pistol.

VAT 69 atau Komando 69 menngunakan taktik gerila untuk menumpaskan gerila komunis. Antara pasukan yang digeruni oleh PKM.

Ops Sukat bermula pada 10 April 1972 apabila "pasukan survey" memulakan kerja-kerja dikawasan yang dipercayai lokasi aktiviti pengganas komunis itu. 10 hari yang pertama tidak mendapatkan sebarang tanda-tanda kehadiran pengganas komunis atau anggota sokongan mereka. Tetapi para petani dan pekerja ladang telah mula "mesra" dengan "pasukan survey" tersebut. Mereka difahamkan bahawa kerja-kerja ukur tanah sedang dijalankan kerana kerajaan bercadang memberikan lesen tanah TOL (Temporary Occupied Licence) kepada mereka.

Pada 22 April 1972, hari ke-12 operasi berjalan, salah seorang anggota Bravo 1 telah menemui sebuah motosikal dikawasan semak berhampiran. Penemuan ini menimbulkan pertanyaan kepada pasukan Bravo 1 tentang kemungkinan aktiviti subversif oleh pengganas komunis dikawasan tersebut. Setelah melakukan pemeriksaan dengan ibupejabat, ternyata plet number motosikal tersebut adalah palsu. Bagaimanapun, tinjauan yang dilakukan keesokannya mendapati motosikal tersebut telah lesap.

Pada 1 May 1972, pasukan ronda Charlie 3 dimasukkan bagi menggantikan Bravo 1. Tetapi kali ini, Charlie 3 mengambil posisi serang hendap dan membuat OP (observation post). Sepanjang 10 hari berlalu tiada apa-apa tanda kehadiran pengganas komunis. Rutin seharian pekerja ladang boleh dijangkakan dengan keluar bekerja pada 8 pagi dan pulang pada jam 6 petang. Motosikal yang disyaki juga tidak kelihatan. Masuk hari yang ke-11, pada jam 7 petang ketika cuaca mulai gelap, tiba-tiba terdengar deruman enjin lori. Melalui alat pandang malam, Sarjan Kadir Mat Diah dapat melihat 2 orang berada di kabin pemandu dan 2 lagi dibelakang lori, diatas timbunan ubi kayu (tapioca). Kesemuanya berpakaian preman. Charlie 3 membuat keputusan untuk menahan lori tersebut dalam perjalanan keluar sambil memeriksa posisi dan peralatan serang hendap semuanya dalam keadaan baik dan anggota siap siaga.

Penantian yang membosankan berakhir apabila pada jam 10:35 malam lori tersebut bergerak masuk ke kawasan serang hendap. Sjn. Kadir mengarahkan lori tersebut berhenti, namun pemandu dan seorang lagi penumpang terjun melarikan diri. Mereka dapat ditangkap setelah salah seorang tercedera ditembak dikaki. Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Siput untuk disoal siasat oleh Special Branch. Mereka mengaku bahawa mereka telah diambil bekerja sebagai pemandu lori oleh seorang kawan. Pada 11 May 1972, mereka diarahkan untuk membawa lori dengan muatan 10 drum kosong dan semasa dalam perjalanan ke destinasi 2 orang pemuda yang tidak dikenali telah menahan dan mahu menumpang lori tersebut sehingga ke destinasi. Kedua-dua pemuda itu menghilangkan diri selepas mereka membantu menurunkan muatan ubi kayu dan drum kosong  didestinasi.

Pelbagai jenis senjata yang dirampas dari PKM

Pada subuh keesokkannya Bravo 1 dan Charlie 3 menjejaki laluan lori tersebut. Dalam penjejakan tersebut mereka telah terbau damar - biasanya digunakan oleh pengganas komunis untuk mengelakkan tutup drum dari berkarat dan masuk angin, selepas mereka menyimpan makanan didalamnya. Tiga anggota diarahkan meninjau dan kembali dengan melaporkan terdapat 8 pengganas komunis sedang bekerja di "food dump" kira-kira 300 meter dari lokasi mereka berada. Pengganas komunis dilaporkan sedang sibuk membungkus makanan, walaupun ada yang tidak berbaju ketika itu, mereka dikenali kerana memakai topi bintang berbucu lima. Kumpulan peninjau diarahkan kembali ke lokasi tersebut untuk membuat tinjauan rapat dengan memakai topi komunis sebagai penyamaran (topi komunis mereka dapati dari operasi-operasi sebelumnya).

Setelah tiba dilokasi itu, anggota tinjau merapati dan bersembuyi disebalik longgokan drum-drum kosong. Setelah memerhati kira-kira 15 minit, tiba-tiba seorang anggota komunis berjalan menuju kearah longgokan drum itu. Kira-kira 10 meter jaraknya dari situ, anggota tinjau tidak ada pilihan selain melepaskan tembakan. Mereka kemudian dibantu oleh lain-lain anggota Bravo 1 dan Charlie 3 yang sudah berada hampir dilokasi pertempuran. Pengganas komunis berjaya melarikan diri dengan meninggalkan selaras rifel .22, 2 x Stengun, 1 x pistol, dokumen dan ubat-ubatan. Bagi anggota-anggota VAT 69 ini adalah pengalaman pertama mereka bertempur sejak pasukan komando ini ditubuhkan pada awal Oktober 1969 dengan latihan diberikan oleh komando British SAS (sila rujuk link disini).

Dalam penjejakan seterusnya, Bravo 1 dan Charlie 3 bergerak ke arah Kampung Baru Lasah dan seterusnya ke hutan simpan Korbu. Mereka dibantu oleh dua lagi kumpulan, Bravo 3 dan Charlie 4. Dalam pencarian selama 3 hari, mereka menemui 18 drum yang mengandungi beras, gula, minyak dan garam. Komando VAT 69 kemudiannya dikeluarkan dari kawasan operasi dan diganti oleh pasukan keselamatan yang seterusnya menemui lagi 85 drum simpanan makanan. Kejayaan ini berjaya menghalang pembentukan rangkaian lojistik pengganas komunis dikawasan itu, dan banyak perkara yang dapat dipelajari terutama teknik-teknik pengganas komunis menyimpan makanan dan juga cara-cara mengenalpasti lokasi "food dump" mereka. Pengetahuan ini digunapakai oleh anggota komando yang terlibat dalam operasi-operasi berikutnya yang mana menempa kejayaan lebih besar. Maklumat yang diperolehi oleh Special Branch dalam operasi ini juga membolehkan beberapa tangkapan dibuat keatas anggota Min Yuen dan seterusnya melumpuhkan operasi mereka.

Gambar-gambar VAT 69 dalam latihan. Gambar bukan milik saya, kredit kepada pemilik asal.
















No comments:

Post a Comment