Sunday, 19 October 2014

ORBAT Order of Battle - Malaya Command 1941-1942 - Part 2 (Australian 8th Division)

Malaya Command (Bahagian 2 - Division ke-8 Australia)

Malaya Command adalah sebuah formasi Tentera Darat British yang ditubuhkan seawal tahun 1920 untuk mengkoordinasi pertahanan pihak British di Malaya. Barisan pertahanan ini terdiiri dari pasukan-pasukan yang berpengkalan di Kuala Lumpur, Penang, Taiping, Seremban dan Singapura. Pasukan-pasukan yang bernaung dibawah Malaya Command adalah:
  1. Indian III Corps
  2. Division ke-8 (Australia)
  3. Fortress Singapore
  4. Malaya Command (Simpanan)
  5. Sarawak Force (SARFOR)
  6. Christmas Islands
Kita telah lihat formasi Indian III Corps dan Krohcol, serta penglibatan mereka dalam usaha menghalang pergerakan tentera Jepun di dalam wilayah Siam (link Bhg 1). Kali ini kita lihat pula sumbangan tentera Australia di Malaya ketika itu.


Komposisi Division ke-8 Australia (link) adalah seperti berikut:

HQ: Kluang (Mej Jen Gordon Bennett)

Mej. Jen Bennet

Briged ke-22 Australia (Mersing - Endau)
  • 2/18th Batalion Infantri Australia
  • 2/19th Batalion Infantri Australia
  • 2/20th Batalion Infantri Australia (link)
Briged ke-27 Australia (Kluang)
  • 2/26th Batalion Infantri Australia (link)
  • 2/29th Batalion Infantri Australia
  • 2/30th Batalion Infantri Australia
  • 2/4th Batalion Senjata Bantuan (machine-gun)
  • 2/4th Rejimen Anti-Kereta Kebal
Walaupun tentera Jepun mendapat tentangan sengit dari III Corps (India) di selatan Siam dan utara Malaya sebagaimana yang saya telah ceritakan pada artikel lalu (Bahagian 1), penguasaan udara, penggunaan kereta kebal dan taktik pasukan infantri yang berkesan telah berjaya menyekat, mengasing dan mengepung unit-unit tentera Bersekutu (Allied Forces) dalam pertempuran-pertempuran di Malaya.

Tentera Australia dengan meriam 2 pounder anti-kereta kebal

Pada 14 Januari 1942, beberapa unit dari Division ke-8 telah terlibat dalam pertempuran di Kuala Lumpur, Gemas dan Muar. Serang hendap Batalion 2/30th Infantri Australia berjaya memusnahkan satu batalion tentera Jepun (lebih 1000 tentera Jepun dan 10 kereta kebal musnah) di Gemas berhampiran jambatan Sungai Gemencheh, namun kekalahan pasukan-pasukan lain tentera Bersekutu membolehkan tentera Jepun melaksanakan taktik pengasingan dan pengepungan ke atas Batalion 2/30th. Jurutera tentera Jepun telah berjaya membaiki jambatan yang rosak dengan menggunakan kayu-kayu dari kilang berdekatan dan bantuan tembakan artileri yang lewat tidak dapat membantu batalion 2/30th bertahan.

Pertempuran di Bakri, beberapa kereta kebal Jepun dimusnahkan

Batalion 2/29th dan Batalion 2/19th ditumpangkan kepada Briged ke-45 (India) untuk mengukuhkan posisi mereka di Sungai Muar. Pada 22 Januari 1942, kedua-dua batalion tersebut dan tentera India telah berjaya dikepung dan ditewaskan. Kira-kira 150 anggota yang telah menjadi tawanan perang telah dibunuh di Parit Sulong. Saki baki anggota dari Briged ke-27 Australia berundur ke Singapura manakala formasi Briged ke-22 ditempatkan di utara tambak Johor. Kira-kira 2,000 dari Division ke-8 ini selamat tiba di Singapura. Pada 31 Januari 1942, dua minggu sebelum kejatuhan Singapura, tentera Bersekutu telah meletupkan satu bahagian tambak Johor meninggalkan lubang selebar 21 meter bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Singapura.

Saki baki Division ke-8, (Briged ke-22) diarahkan utk mempertahankan bahagian utara Singapura, kawasan hutan paya sepanjang 16 km, dimana tentera Jepun dijangka mendarat disitu, manakala Briged ke-27 pula mempertahankan zon sepanjang 3,700 meter berhampiran tambak Johor.

Tentera Australia memerhati Tambak Johor (causeway)


Dari kedudukan tinggi di beberapa lokasi di Johor Bahru seperti lokasi menara Istana Sultan Johor, Pejabat Pentadbiran Negeri yang terletak diatas bukit, tinjauan udara serta laporan pasukan tinjau yang menyusup masuk ke Singapura, tentera Jepun dapat mengenalpasti kedudukan pasukan Berikat dengan tepat. Bermula tarikh 3 Februari 1942, kedudukan-kedudukan pasukan Australia telah dibedil dengan meriam dan pengeboman oleh pesawat udara yang berterusan selama 5 hari berjaya memusnahkan komunikasi pasukan Bersekutu. Keadaan bertambah buruk apabila terdapat masalah komunikasi dalaman serta pemerintahan yang bertukar ganti pada minit-minit terakhir mengelirukan pasukan yang terlibat.

Pada 8.30 pm, 8 Februari 1942 pendaratan oleh 4,000 tentera Jepun bermula. Menjelang tengah malam, kedua-dua Briged ke-22 dan Briged ke-27 telah berjaya ditewaskan, dan pengunduran dibuat dengan tergesa-gesa menuju pertahanan terakhir - Kranji - Jurong Line. Menjelang subuh, 9 Februari 1942, elemen-elemen dari Briged ke-22 terpaksa berundur dan membentuk barisan pertahanan ke 2. Pada ketika itu, Batalion 2/18th telah kehilangan separuh anggotanya dan berundur ke selatan.


Tentangan dari Briged ke-27 menampakkan hasil apabila ramai tentera Jepun mati lemas, terbakar dalam tumpahan minyak dan tembakan mortar tentera Australia. Bagaimanapun, kerana salah faham, Briged ke-27 telah berundur meninggalkan posisi mereka. Ini membolehkan kereta kebal Jepun mara dan memecah kawalan tentera Berikat di rabung Kranji-Jurong yang membolehkan Jepun masuk ke bandar Singapura. Pada 11 Februari 1942, megetahui yang bekalan lojistik Jepun semakin berkurangan, Jen. Yamashita telah meminta Jen. Percival untuk menyerah tetapi tidak dilayan. Penentangan yang diterukan oleh pasukan Berikat tidak mendatangkan hasil dan semakin kritikal apabila Bukit Timah jatuh ke tangan tentera Jepun.

Tentangan sengit dari lain-lain pasukan Berikat, terutama saki baki Askar Melayu dan India pada 14 Februari 1942, di Pertempuran Pasir Panjang menimbulkan kemarahan tentera Jepun. Mereka membunuh 200 pekerja dan pesakit di Hospital Alexandra setelah berjaya menawannya. Pagi 15 Februari 1942, Jen. Percival selepas berbincang dengan pegawai-pegawai kanan tentera Berikat, bersetuju untuk menemui Jen. Yamashita dan berunding untuk menyerah kalah di Old Ford Factory, Bukit Timah.



Pada malam hari yang sama, Mej. Jen. Bennet bercadang untuk lari meninggalkan Singapura, daripada menyerah kepada Jepun. Beliau menyerahkan pemerintahan kepada Brigadier Cecil Callangham. Bersama beberapa pegawai muda beliau menyeberangi Selat Melaka dengan sampan menuju ke Sumatera, seterusnya menyusuri Sungai Jambi. Seterusnya mereka berkereta ke Padang dan terbang ke Pulau Jawa, kemudian tiba di Melbourne pada 2 Mac 1942. Selepas perang, pada November 1945 beliau didapati bersalah oleh Suruhanjaya Diraja kerana engkar arahan Percival untuk menyerah diri. Alasannya bahawa pengalamannya menentang Jepun di Malaya amat berguna dan boleh membantu pasukan Berikat telah tidak diterima memandangkan tiada rekod cemerlang samada di Malaya atau Singapura.

Kereta perisai pasukan Australia semasa di Malaya/Singapura

Division ke-8 telak dikritik kerana kekurangan pengalaman, tewas dalam pertempuran dan kurangnya disiplin apabila Mej Jen Gordon Bennett sendiri menggelarkan anggotanya "wobbly" (unsteady) dan Brigadier Harold Taylor, Panglima Briged ke-22 memberitahu anggota-anggotanya bahawa mereka telah memalukan Australia dan AIF (Australian Imperial Force). Kol. Kappe, Ketua Pegawai Semboyan menceritakan pada suatu ketika sepasukan 50 tentera dan pegawai meninggalkan kawasan tanggungjawab tanpa sebarang arahan dari pihak atasan. Mej. Jen. Bennet sendiri sebelum melepaskan pemerintahan, memberitahu salah seorang pegawai kanan tentera Australia " I don't think the men want to fight". Bagaimanapun, segelintir anggota menunjukkan keberanian dan dedikasi walaupun kekurangan pengalaman seperti yang didakwa oleh pemerintah Rejimen Argyll and Sutherland Highlanders, anggota Batalion 2/29th berjuang dengan tabah dan rasa mereka layak bergandingan dengan pasukannya.

Division ke-8 sebenarnya dianggotai oleh kombinasi anggota berpengalaman dan sekarelawan muda, walaupun mereka tiada pengalaman perang seperti tentera elit Jepun yang sebelumnya telah berperang di Manchuria. Mereka telah berlatih selama setahun setengah sejak formasi ditubuhkan dan telah berjaya menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaya, berbanding perajurit muda tentera India. Selain itu, tentera Australia juga tidak terlibat didalam pertempuran awal di utara dan tengah Malaya.

Secara keseluruhannya, statistik kematian anggota Division ke-8 Australia akibat pertempuran di Malaya dan Singapura merupakan 73% dari jumlah kematian keseluruh anggota pasukan Berikat. 15,000 orang telah menjadi tawanan perang dan 2,400 mati semasa Sandakan Death Marches.


Link lain:

Australians in Malaya

Lt. Jen Henry Gordon Bennet

No comments:

Post a Comment