Monday, 6 October 2014

PKI / communist coup attempt in Indonesia - Part 3 / Monumen Pancasila Sakti, Lubang Buaya

Pada malam 30 September 1965 (kira-kira subuh jam 0400 - 1 Oktober 1965) berlaku peristiwa penculikan dan pembunuhan 6 pegawai tinggi Angkatan Darat yang didalangi oleh PKI (Partai Komunis Indonesia), Jen. Abdul Haris Nasution terselamat, tetapi anak perempuannya Ade Irma Suryani Nasution dan Adjutan Lt. Pierre Tendean terbunuh. Cerita penuh disini. Lain-lain pegawai tinggi yang dibunuh adalah seperti berikut:
  • Lt. Jen Ahmad Yani - Menteri, Panglima Angkatan Darat (AD), Ketua Staf Pemerintah Operasi Tertinggi (beliau ditembak semasa dalam usaha penculikan, rujuk artikel disini)
  • Mej. Jen Raden Suprapto - Deputi Menteri II, Panglima AD (Pentadbiran)
  • Mej. Jen Mas Tirtodarmo Haryono, - Deputi Menteri III, Panglima AD (Perancangan dan Pembangunan)
  • Mej. Jen Siswondo Parman, - Pembantu I Menteri, Panglima AD (Perisikan)
  • Brig. Jen Donald Isaac Panjaitan - Pembantu IV Menteri, Panglima AD (Lojistik)
  • Brig. Jen Sutoyo Siswomiharjo - Inspektor Kehakiman / Auditor General AD
Di artikel ini saya paparkan pula kisah penculikan dan pembunuhan mangsa yang terlibat dalam Peristiwa Lubang Buaya / Gerakan 30 September PKI.

Mej. Jen. Raden Suprapto (berusia 45 tahun). Penculikan dilakukan di rumahnya, No. 19, Jalan Besuki, Jakarta Pusat. Pasukan penculik dibahagi kepada dua kumpulan yang masing-masing diketuai oleh Serka Sulaiman dan Serda Sukiman, anggota dari pasukan Pasopati. Pada subuh itu, Mej. Jen Raden Suprapto belum lagi tidur kerana mengalami sakit gigi. Beliau keluar ketika terdengar bunyi pintu pagar dibuka. Apabila ditanya, pasukan penculik memperkenalkan diri sebagai anggota Cakrabirawa (Pengawal Preseden) dan memberitahu Mej. Jen Raden Suprapto dipanggil mengadap oleh Presiden. Beliau dihalang dari menukar baju, dan terus dipaksa menaiki trak yang telah menunggu,

Mej. Jen. Mas Tirtodarmo Harjono (berusia 41 tahun). Penculikan diketuai oleh Serka Bungkus dari   Resimen Cakrabirawa dengan anggota dari Yon 530/Brawijaya. Rumah Mej. Jen Mas Tirtodarmo Haryono terletak di No. 8, Jalan Prambanan, Jakarta Pusat. Serka Bungkus mengetuk pintu dan dibuka oleh isteri Mej. Jen Mas Tirtodarmo Haryono. Maklumat disampaikan kepada suaminya bahawa dia diarahkan untuk mengadap Presiden, tetapi Mej. Jen Mas Tirtodarmo Haryono mengarahkan para penculik datang kembali pada jam 8 pagi. Merasakan ada sesuatu yang tidak kena, beliau mengarahkan isteri dan anak-anaknya ke bilik sebelah. Setelah menunggu Mej. Jen Mas Tirtodarmo Haryono tidak keluar, penculik masuk dan memcahkan pintu bilik tidur. Dalam suasana gelap, penculik membakar suratkhabar dan berlaku pergelutan dengan Mej. Jen Mas Tirtodarmo Haryono dimana dia ditikam dengan bayonet dan kemudian ditembak oleh Serka Bungkus.


Mej. Jen. Siswondo Parman (berusia 47 tahun). Pasukan penculik pimpinan Serma Satar terdiri dari pasukan Yon 530/Brawijaya dan Cakrabirawa (juga dieja Tjakrabirawa) memasuki perkarangan rumah di No. 32, Jalan Serang, Jakarta Pusat dengan memanjat pagar. Mendengar kekecohan diluar, dan menyangka ada kecurian dirumah jirannya, Mej. Jen Siswondo Parman keluar dan merasa hairan apabila mendapati ramai anggota Cakrabirawa. Dia diberitahu yang Presiden arahkan mengadap kerana ada perkara penting, beliau. Sambil hendak menyalin pakaian, beliau minta isterinya menelefon Jen. Ahmad Yani tetapi telefon dirampas para penculik hingga kabelnya putus. Akhirnya, Mej. Jen Siswondo Parman dipaksa menaiki kenderaan tanpa menukar pakaian.


Brig. Jen. Donald Isaac Pandjaitan (usia 40 tahun). kediamannya di No. 52, Jalan Hasanuddin, Blok M, Kebayoran Baru, Jakarta didatangi pasukan penculik terdiri dari pasukan Brigif I Kodam V/Jaya dan pasukan dari Yon 454/Diponegoro dibawah pimpinan Serma Sukardjo. Mereka masuk dan melepaskan tembakan kesemua arah sambil mengancam ahli keluarga lainnya. Mereka mengarahkan Brig. Jen Donald Isaac Panjaitan keluar untuk menemui Presiden. Beliau sempat mengenakan pakaian seragam dan berdoa (cara Kristian), tetapi marah dengan perlakuan kasar para penculik, beliau mengeluarkan pistol untuk menembak, tetapi ditembak dahulu dikepalanya. Mayatnya dilemparkan keatas trak dan dibawa ke Lubang Buaya.


Brig. Jen. Sutoyo Siswomiharjo (43 tahun). Kediamannya di No.17, Jalan Semenep, Jakarta diserbu oleh satu platun Resimen Cakrabirawa pimpinan Serma Surono. Para penculik masuk dari arah depan dan belakang rumah. Mendengar akan kekecohan, Brig. Jen Sutoyo Siswomiharjo bertanya dari dalam biliknya, dan dijawab penculik yang mereka adalah tetamu dari Malang dan meminta pintu bilik dibuka. Apabila pintu dibuka, mereka memberitahu Brig. Jen Sutoyo Siswomiharjo diarahkan berjumpa Presiden. Beliau diiringi ke kenderaan yang menanti.


Pada malam penculikan itu, seorang anggota polis bernama Agen Polisi II Sukitman sedang meronda di Jalan Iskandarsyah berhampiran kediaman Brig. Jen Donald Isaac Panjaitan. Dia ditawan oleh para penculik dan dibawa ke Lubang Buaya dan menjadi saksi pembunuhan pada malam itu yang dilakukan oleh anggota Gerwani dan Pemuda Rakyat. Dia melihat sendiri bagaimana mangsa dibunuh, dibuang kedalam perigi buta dan ditembak bertalu-talu. Setelah berjaya melepaskan diri, dia ditemui oleh pasukan ronda Cakrabirawa dan dibawa ke markas Kodam V/Jaya untuk disoal siasat. Maklumat hasil soal siasat diserahkan kepada Mej. Jen. Suharto.


Pada 3 Oktober 1965, sepasukan anggota RPKAD (Resimen Para Komando Angkatan Darat) yang diketuai Lt. Sintong Panjaitan telah menemui lokasi mayat-mayat tersebut ditanam hasil maklumat Sukitman. Mereka melakukan penggalian, tetapi mengalami kesulitan kerana lubang perigi yang sempit dan hari yang hampir gelap. Setelah menerima laporan, Mej. Jen Suharto yang ketika itu Panglima Kostrad (Komando Cadangan Strategis Angkatan Darat) mengarahkan penggalian pada malam itu dihentikan dan menunggu bantuan tiba keesokkannya.

Pada pagi esoknya, 4 Oktober 1965 pasukan KKO (Korps Komando Operasi) tiba dengan diketuai oleh Kapten Winanto dengan peralatan pernafasan. Setelah selesai penggalian, pada jam 12:05 anggota RPKAD Kpl Anang turun dahulu dengan mengenakan peralatan pernafasan yang dipinjamkan oleh pasukan KKO. Mayat pertama yang berjaya dikeluarkan adalah mayat Lt. Pierre Tendean, Adjutan kepada Jen. A. H. Nasution.



Pada jam 12:15, Serma KKO Suparimin pula turun, malangnya mayat yang diikat itu gagal ditarik naik kerana tertindih oleh mayat yang lain. Pada 12:30 giliran Praka KKO Subekti pula turun, kali ini 2 jasad berjaya ditarik naik, iaitu jasad Mej. Jen Siswondo Parman dan Mej. Jen Raden Suprapto. Pukul 12:55 Kpl KKO Hartono memasang tali untuk menarik mayat Mej. Jen Mas Tirtodarmo Haryono dan Brig. Jen Sutoyo Siswomiharjo. Kemudian pada jam 13:30, Serma KKO Suparimin turun buat kali keduanya dan berjaya mengeluarkan jenazah Lt. Jen Ahmad Yani. Kerana kesemua anggota telah keletihan dan ada yang muntah-muntah serta tidak berdaya lagi, Kapten Winanto turun sendiri dan berjaya menarik keluar jasad Brig. Jen Donald Isaac Panjaitan, maka lengkaplah penemuan kesemua 7 mayat mangsa pembunuhan Gerakan 30 September PKI.


Kesemua 7 jenazah dikebumikan di Taman Makam Pahlawan, Kalibata, Jakarta pada 5 Oktober 1965.





Lawatan ke Monumen Pancasila Sakti pada 3 Oktober 2014

Kawasan monumen, rumah penyeksaan dan perigi terletak disebelah kiri, manakala disebelah kanan terletaknya Muzium Pengkhianatan PKI

Turun dari pintu utama disebelah kiri tadi anda akan menyusur satu kawasan lapang berupa taman yang terjaga rapi

Selang 100 atau 200 meter anda akan melihat pondok yang menaungi "Sumur Maut"

Inilah perigi sedalam 12 meter yang dicampakkan 7 jasad mangsa pembunuhan G30S. Setelah ditimbus, diletakkan sampah sarap dan pokok pisang diatas permukaan perigi bagi mengaburi lokasinya

Monumen 6 jeneral dan seorang pegawai yang terkorban

Papan tanda menerangkan tentang rumah dimana para mangsa diseksa sebelum dibunuh

Diorama yang dibuat nampak realistik menggambarkan suasana pada hari kejadian sebenar

Diorama Mej. Jen Siswondo Parman sedang dipukul
Inilah rumah yang menjadi "command post" dalam Gerakan 30 September

Ruang dalam rumah "command post"

Pondok yang digunakan sebagai dapur. Kawasan ini merupakan tapak latihan anggota PKI

Ruang dalam dapur

Replika trak yang digunakan untuk membawa mangsa culik

Muzium Pengkhianatan PKI terletak bertentangan dengan tapak monumen

Tingkat 1 muzium yang memaparkan sejarah perkembangan PKI dan peristiwa-peristiwa yang melibatkan keganasan PKI

Tingkat 2 pameran dan diorama sambungan kepada peristiwa yang dipaparkan di Tingkat 1

Jejantas yang menyambungkan ke bangunan sebelah. Bangunan ke-2 ini memaparkan dioarama Gerakan 30 September, dari perancangan hinngga penghapusan PKI

Contoh diorama yang realistik, penculikan Mej. Jen Mas Tirtodarmo Haryono

Diorama pembuangan mayat kedalam perigi

Pintu masuk ke bangunan ke-3. Disini ditempatkan barang-barang peribadi kesemua 7 mangsa yang dibunuh. Semua pakaian masih ada kesan darah yang telah kering.

Barang milik Lt. Pierre Tendean

Peluru yang dikeluarkan dari tengkorak Mej. Jen Siswondo Parman




Link:

Kisah Sukiman pada malan kejadian

30 September Movement






4 comments:

  1. Terima kasih tuan ada artikel ni. Tak jemu membaca dari part 1. Memang menarik perhatian saya. Terima kasih sekali lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kembali kerana sudi membaca

      Delete
    2. Artikel yg amat menarik... Baca dr Part.1 hingga Part.3. Harap ada Part.4 so on. Kalau boleh nak tahu juga, apa yg trjadi dgn PKI.

      Delete
  2. OK....proses pembersihan PKI di anggarkan 1 juta ahli dibunuh...nanti saya buat artikelnya

    ReplyDelete