Thursday 23 April 2015

Eli Cohen: Israeli spy in Damascus

Peperangan Enam Hari (Six-Day War) adalah merupakan peperangan yang ke-3 berlangsung dari tarikh 5 Jun 1967 hingga 10 Jun 1967 diantara Israel dan negara jirannya, iaitu Mesir (ketika itu dikenali sebagai United Arab Republic), Jordan dan Syria. Israel memenangi peperangan ini setelah melakukan beberapa serangan mengejut (pre-emptive strike) yang berjaya melumpuhkan kekuatan udara Mesir dalam masa yang singkat. Dengan musnahnya kekuatan udara Mesir, Israel berjaya mendominasi ruang udara semasa peperangan ini. Dianggarkan, pasukan gabungan negara Arab mengalami lebih 23,000 kematian dan kemusnahan 425 pesawat udara dan ratusan lagi kereta kebal dimusnahkan, manakala dipihak Israel pula mengalami antara 700 hingga 1,000 kematian, 400 kereta kebal dan 46 pesawat udara musnah.

Kejayaan besar Israel dalam perang ini bergantung rapat kepada ketepatan maklumat risikan yang diperolehi oleh pihak Israel. Sebagai contoh, serangan mengejut dilakukan ketika para Jeneral tentera Mesir sedang terperangkap dalam kesesakan lalulintas waktu pagi semasa dalam perjalanan ke pejabat masing-masing dan, waktu serangan dipilih ketika pengawal radar tentera Mesir sedang melakukan pertukaran shif, dimana petugas yang hendak menamatkan syif telah keletihan dan hilang fokus, manakala shif yang akan mengambilalih tugas belum benar-benar bersedia. Segala maklumat ini, diterima dari ejen-ejen risikan Mossad yang ditempatkan di Mesir dan Syria. Dikhabarkan, ketepatan maklumat yang mereka salurkan membolehkan Israel tahu menu yang disediakan oleh tentera Mesir di kem-kem mereka, dan Israel menyediakan menu yang lebih baik kepada tawanan perang tentera Mesir sebagai perang saraf.

Salah seorang perisik Israel yang terkenal adalah Eliahu ben Shaoul Cohen (Eli Cohen) yang menjalankan tugas risikan di Syria pada tempoh empat tahun, iaitu antara 1961 hingga 1965. Di sana beliau telah berjaya mempengaruhi ahli-ahli politik, pegawai kanan tentera, pemimpin-pemimpin Parti Baath dan juga Presiden Syria sendiri, Amin el Hafiz. Pengaruh yang beliau miliki membolehkannya menyandang jawatan Ketua Penasihat kepada Menteri Pertahanan Syria pada masa itu. Cohen juga dikatakan hampir ditawarkan jawatan Timbalan Menteri Pertahanan sebelum kegiatan risikan beliau akhirnya terbongkar dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Dataran Marjeh, Damsyik pada 18 Mei 1965 ketika berusia 40 tahun.

Eli Cohen semasa dihukum gantung

Eli Cohen dilahirkan dari keluarga yahudi yang menetap di Iskandariah, Mesir pada tahun 1924. Pada Januari 1947, beliau memohon untuk menyertai tentera darat Mesir tetapi permohonannya ditolak. Pada awal penubuhan negara Israel pada tahun 1948, ibu dan bapanya berserta tiga adik beradiknya telah berpindah ke Israel, tetapi beliau masih kekal berada di Mesir dan menamatkan pengajian ijazah pertamanya dalam bidang elektronik.

Pada tahun-tahun 1950an, Eli Cohen melibatkan diri dalam operasi sulit Israel di Mesir. Pada tahun 1955, dia telah membantu satu pasukan sabotaj yang dibentuk oleh Israel bertujuan merosakkan hubungan Mesir dengan negara barat. Pasukan ini bertanggungjawab memasang bom di beberapa instalasi milik British dan Amerika, lantas memberikan gambaran seolah-olah ia dilakukan oleh rakyat Mesir yang anti Barat. Walaupun tertangkap, dan dua anggota skuad tersebut dijatuhkan hukuman mati, Eli Cohen terselamat kerana kekurangan bukti kukuh untuk mengaitkan beliau dengan dua anggota skuad tersebut. Semasa krisi Terusan Suez pada 1956, beliau telah diarahkan meninggalkan Mesir dengan dihantar ke Naples, Italy. Disana, atas bantuan Jewish Agency beliau telah dibawa pulang ke Israel..

Tahun berikutnya, 1957, beliau telah direkrut oleh Israel Defence Force (IDF) dan ditempatkan dalam pasukan intelijen sebagai "counterintelligence analyst" dengan menterjemah maklumat sulit dalam bahasa Arab kepada Hebrew termasuklah menterjemah maklumat yang didapati dari akhbar harian berbahasa Arab. Bagaimanapun, beliau merasa bosan dan cuba untuk menyertai Moosad sebanyak dua kali. Kecewa kerana kedua-dua permohonan ditolak oleh Mossad, beliau meletakkan jawatannya dan bekerja sebagai kerani dengan sebuah syarikat insurans di Tel Aviv.

Peluang yang diidamkan datang apabila beliau ditawarkan untuk menyertai AMAN tanpa disangka-sangka. Meir Amit, Ketua Pengarah Mossad tertarik setelah meneliti fail-fail pemohon yang telah ditolak oleh Mossad sebelummnya. Jen. Meir Amit sebenarnya panglima kepada Army Central Command yang telah tercedera dalam latihan payung terjun. Setelah dirawat selama setahun di hospital, Meir Amit dilantik mengetuai AMAN, unit perisikan tentera darat, sebelum beliau dilantik mengetuai Mossad. Beliau merasakan Eli Cohen adalah calon yang sesuai untuk melaksanakan tugas risikan di Syria.

 Eli Cohen

Setelah dipantau selama dua minggu oleh Mossad, beliau diarahkan menjalani latihan intensif selama enam bulan dimana beliau telah lulus dan didapati layak untuk menjadi "katsa" (field agent). Ujian pysikologi yang dilakukan menunjukkan Cohen mempunyai IQ yang tinggi, berani, mampu menyimpan rahsia tetapi kelemahannya, beliau kadangkala gagal menilai bahaya dan suka mengambil risiko. Semasa kursus tersebut Cohen menjalani latihan pengendalian senjata, sabotaj, teknik pemanduan berkelajuan tinggi, topografi, membaca peta, transmisi radio dan kryptografi.

Beliau kemudiannya diberikan identiti palsu sebagai seorang "businessman" yang baru pulang dari Argentina ke Damsyik, kerana kebolehannya dalam bergaul dengan orang-orang Arab seperti di Mesir. Beliau menggunakan nama Kamel Amin Thaabet. Cohen kemudiannya berpindah ke Argentina pada 1961, sebagai persediaan kepada watak peniaga yang akan digunakannya sebagai samaran bila berada di Damsyik kelak.

Ketika di Argentina, Cohen membuat hubungan dengan komuniti Syria disana, terutama para pegawai kanan kerajaan, ahli politik, pegawai tinggi tentera dan komuniti diplomatik. Beliau sering mengadakan majlis-majlis bersukaria di apartmentnya dimana beliau berjaya mengumpul maklumat ketenteraan semasa bersosial dengan mereka.

Cohen berjaya mengumpul banyak maklumat risikan dalam tempoh masa 1961-1964. (Beliau mula menetap di Damsyik pada Feb 1962). Maklumat dihantar ke Israel (Unit 131, AMAN) melalui pelbagai cara, seperti melalui hubungan radio, surat-surat rahsia dan kadangkala beliau kembali ke Israel tanpa pengetahuan pihak di Syria (sebanyak 3 kali). Sebagai Kamel Amin Thaabet, beliau menyertai dan aktif dalam Parti Baath sehingga berjaya membentuk "network" dengan pemimpin Parti Baath termasuklah Presiden Amin el Hafiz.

Antara kejayaan cemerlang Cohen ialah apabila beliau satu-satunya orang awam yang berpeluang melawat Golan Heights bersama-sama pegawai tinggi Syria dan pada masa yang sama mengumpul data risikan tentang kubu pertahanan Syria disana. Hasilnya membolehkan Israel menawan Golan Heights hanya dalam masa dua hari semasa konflik Six-Day War. Kononnya simpati dengan anggota tentera yang terdedah kepada cuaca panas, beliau mencadangkan pokok-pokok (eucalyptus) ditanam berhampiran kubu-kubu mereka. Pokok-pokok ini sebenarnya menjadi penanda sasaran apabila tentera udara Israel melakukan serangan kemudiannya.

Dia juga mendapat maklumat sulit bahawa tentera Syria telah membentuk tiga lapis garis pertahanan yang menempatkan bunker serta pasukan mortar di zon selatan perbatasan, sedangkan sebelum ini tentera Israel hanya mengetahui bahawa Syria hanya membentuk satu garis pertahanan. Cohen juga melaporkan setiap posisi perangkap kereta kebal yang telah dibina oleh tentera Syria bagi menghalang kemaraan tentera Israel. Lain-lain kejayaan antaranya melaporkan ke Tel Aviv akan ketibaan 200 kereta kebal T54, hanya beberapa jam selepas tiba di Syria, dan kejayaannya mendekati pegawai-pegawai tentera udara Syria dimana dia mengumpul maklumat tentang jet-jet Sukhoi dan MiG 21, sistem persenjataan dan teknikal termasuklah taktik dan strategi pertempuran udara.

Perlantikan ketua perisikan Syria yang baru, Kolonel Ahmed Su'edani telah mengubah senario ini. Kolonel Ahmed adalah individu yang sukar untuk mempercayai seseorang, termasuklah Cohen. Tambahan lagi, semasa mengiringi Jen. Ali Amer, panglima tentera Mesir yang melakukan kunjungan ke sempadan Syria-Israel, pihak Mesir telah mengenalpasti Cohen dalam salah satu foto mereka semasa lawatan tersebut. Cohen pernah ditangkap dan didakwa di Mesir atas aktiviti subversif pada tahun 1950 an. Menyedari keadaan yang tidak memihak kepadanya lagi, Cohen mencadangkan asainmen beliau di Syria ditamatkan dengan segera, semasa beliau pulang melawat keluarganya di Israel pada bulan November 1964.

Pada Januari 1965, dengan menggunakan alat pengesan yang canggih dan dibantu oleh pakar counterintelligence dari KGB, mereka melakukan pemantauan dengan membuat "radio silence" dimana semua stesyen radio di satu-satu kawasan diarahkan untuk tidak membuat sebarang transmisi atas sebab-sebab keselamatan. Semasa pemantauan dilaksanakan, sebarang tranmisi yang dilakukan akan dapat dipintas. Pada 24 Januari 1965, mereka telah berjaya mengesan sumber tranmisi dibuat pada sebuah apartement. Setelah serbuan dilakukan, Cohen ditangkap ketika sedang menghantar maklumat ke Tel Aviv.

Eli Cohen didapati bersalah atas tuduhan melakukan risikan untuk pihak Israel dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Pada 18 Mei 1965, beliau digantung dihadapan orang ramai dan permintaan terakhir beliau untuk menemui Rabbi dibenarkan. Semasa dibawa ke tapak hukuman, beliau ditemani oleh Ketua Rabbi Syria, Nissim Andabo. Mayatnya dikebumikan ditempat yang dirahsiakan oleh pihak Syria dan tidak dikembalikan kepada keluarganya walaupun mereka telah membuat beberapa tuntutan dan rayuan.

1 comment:

  1. Sampai tahap macam tu sekali dia berjaya dapatkan maklumat dan wujudkan jaringan...kalau tak kantoi malam tu...

    ReplyDelete