Wednesday, 19 November 2014

The History of Home Guard volunteer force in Malayan Emergency 1948-1960

Sepanjang penglibatan saya sebagai reenactor di Muzium Negara sempena Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia (link), dengan mengenakan pakaian seperti seorang Home Guard pada tahun 1950an, banyak respon yang menarik sepanjang pemerhatian saya. Generasi yang berusia lebih 50 tahun akan tersenyum dan bersalaman dengan saya sambil mengucapkan tahniah. Tergambar kegembiraan diwajah mereka seperti telah bertemu sesuatu yang lama telah "hilang" ditelan zaman. Generasi yang berusia 20an dan remaja sekolah tidak memberikan apa-apa respon dan ada yang merasa pelik mengapa seorang lelaki bersongkok dan bersenjata ada di perkarangan muzium - umpama "orang kampung" nak tembak tupai.


Semasa Perang Dunia Ke-2, di Britain, pasukan Home Guard juga dikenali sebagai Local Defence Volunteer (LDV) dengan keanggotaan seramai 1.5 juta. Kerana anggota-anggotanya ramai dikalangan mereka yang telah berusia, pasukan ini mendapat nickname Dad's Army (TV sitcom) dan pernah dijadikan sitcom oleh BBC pada tahun 1968 hingga 1977. Berbalik kepada LDV tadi, mereka merupakan barisan pertahanan kedua dibelakang angkatan bersenjata sekiranya Britain dicerobohi oleh tentera Jerman dan sekutunya.

Pasukan LDV di Central London 1940

Armband Home Guard

Anggota-anggota pasukan LDV sedang berlatih

Semasa zaman Darurat di Malaya, telah wujud beberapa pasukan keselamatan seperti polis, tentera, Special Constabulary (SC) dan juga Auxiliary Police (AP). Pasukan SC umpamanya, berperanan melakukan tugas-tugas kawalan estet, lombong dan kilang di kawasan luar bandar, menjadi pengiring kepada pengurus estet dan lombong, dan juga sekatan kawalan makanan. Pasukan separa tentera Jungle Squad (juga dikenali sebagai Flying Squad) ditubuhkan lewat 1948 ekoran keperluan mendesak memerangi komunis di hutan. Squad yang terdiri dari 15 hingga 20 orang ini diletakkan dibawah kawalan OCPD (Officer Commanding Police District). Pada tahun 1951, Jungle Squad telah diperbesarkan dan dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (Police Field Force).

Lt. Gen. Sir Harold Briggs, Pengarah Operasi pada 1951 telah menubuhkan pasukan Home Guard yang bertanggungjawab melindungi kampung-kampung dan kawasan berisiko dari sabotaj pengganas komunis. Usaha ini dimulakan pada lewat tahun 1951 dimana sebanyak 280 kampung baru penempatan semula (Briggs' Plan) mempunyai pasukan Home Guard mereka sendiri. Pasukan ini terdiri dari rakyat biasa yang tertakhluk kepada Home Guard Regulations 1951 dan 1952. Menurut peruntukan ini, mereka yang berusia diantara 18 hingga 55 tahun boleh dikerah untuk menjadi anggota Home Guard.








Pasukan ini telah ditubuh disemua peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung, dan anggota-anggotanya dilatih dalam berkawad, kemahiran mengendalikan senjata, taktik berkawal, bertempur, dan lain-lain lagi. Semasa menjalankan tugas, Home Guard diberikan surat kuasa dan tanda pengenalan diri yang merupakan kain bertanda HG yang dililit dilengan kiri baju. Pada awal penubuhan, kerana kekurangan senjata, ada anggota Home Guard yang hanya bersenjatakan parang sahaja. bagaimanapun, setelah ancaman komunis semakin berleluasa semasa awal tahun 1950an, persenjataan mereka telah ditambah.

Matlamat penubuhan Home Guard adalah seperti berikut:
  1. memastikan masyarakat luar bandar selamat dan mereka bertanggungjawab keatas keselamatan di kawasan mereka sendiri
  2. dengan penubuhan Home Guard, pasukan polis dan tentera boleh fokus untuk melancarkan operasi menghapuskan komunis, dan tanggungjawab mengawal kampung, estet atau lombong diserahkan kepada Home Guard yang mana kawalan 24 jam boleh dilaksanakan
  3. membendung penyebaran ideologi komunis yang dibawa oleh pasukan bawah tanah komunis - Min Yuen
Bagi kawasan kampung yang kurang dari 30 buah rumah, pasukan Home Guard dikehendaki bertugas secara berkumpulan tidak lebih 10 orang pada setiap malam, manakala bagi kampung yang lebih besar, 15 orang ditugaskan setiap malam dengan 3 dari mereka bersenjatakan senapang. Bagi Kampung Baru (new village), Home Guard bertugas sepenuh masa membantu tentera, polis dan SC termasuklah memeriksa tanda pengenalan penduduk dan bekalan makanan yang dibawa keluar masuk.

Pasukan Home Guard boleh dibahikan kepada dua unit:
  1. Static Home Guard - yang terdiri dari anggota-anggota baru yang harus melalui beberapa tahap latihan dan operasi, Tahap Pertama dimana mereka dilatih oleh pasukan keselamatan dari polis atau tentera dan tanggungjawab keselamatan dibawah polis dan tentera, Tahap 2, anggota Home Guard bersama-sama memikul tanggungjawab keselamatan bersama-sama polis dan tentera. Pada Tahap 3, anggota Home Guard yang terlatih dan berpengalaman mengambil alih tanggungjawab keselamatan kawasan mereka dari pasukan keselamatan.
  2. Operational Home Guard - anggota pasukan ini dipilih berdasarkan rekod baik dan kecekapan mereka. Latihan ala-tentera diberikan secara intensif kepada pasukan ini. Antara bentuk latihan yang diberi adalah menggunakan senjata dan menembak, membuat serangan keatas kedudukan komunis dan latihan bertahan dari serangan komunis. Pertandingan antara unit diadakan untuk meningkatkan kemahiran anggota seperti jungle contact, carbine competition, falling plate, pumpgun competition dan combined weapons competition.
Pada tahun 1950, terdapat 30,000 anggota Home Guard (25,400 Melayu, 3,500 Cina, 800 India dan 300 orang dari lain-lain kaum. Pada Disember 1950, pesara tentera Gen. E. B. de Fonblanque telah diarahkan melatih 42,000 anggota baru. Hasilnya pada pada hujung tahun 1951, keanggotaan Home Guard meningkat kepada 99,000 orang. Angka ini mencapai 250,000 orang pada bulan Jun 1953.

Secara umumnya sejak ditubuhkan hingga 1958, pasukan Home Guard berjaya membunuh 221 pengganas komunis dan mencederakan lagi 110 oramg. Juga seramai 123 pengganas komunis telah menyerah diri kepada pasukan Home Guard. Pasukan Home Guard dibubarkan secara rasminya pada 1 Julai 1959 setelah keamanan dicapai dan tiada lagi keperluan mengekalkan pasukan ini.


Kredit: Mohd Razali bin Yaacob @ Jusoh 


5 comments:

  1. Hi, saya seorang pelajar STPM akan membuat kajian tentang sejarah Home Guards. Bolehkan Encik recommend tempat-tempat yang harus saya membuat lawatan?

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  2. Dari segi bidang kuasa HG diletakkan dibawah kawalan dan arahan polis, manakala urusan pentadbiran pula dibawah Pegawai Daerah. Secara rasminya HG dibubarkan pada 1 Julai 1959, agak sukar untuk saya rujuk anda kemana-mana pihak berkaitan secara tepat. Mungkin anda boleh mulakan dengan Muzium PDRM dan Arkib Negara

    ReplyDelete
  3. As salam izinkan saya kongsikan dan pendapat ttg Home guard.pada zaman darurat Tanah Melayu(Malaya) ketika itu mereka tidak mempunyai senjata api lengkap seperti Lee-Enfield,Carbine dan dll jenis senjata.cuma mereka guna Shotgun charles parker 1878 12-gauge oleh sesetengah penduduk ada senjata itu dan sistem pentabiran terlalu lemah. Setiap kali mereka kena ambush dan senjata diambil kerana target komunis.

    ReplyDelete
  4. Saya mempunyai buku Keganasan komunis di tanah melayu terbitkan UM dan saya baca kata pembukaan buku ni keseluruhan ada maklumat buku ni dari sumber2 sukar dicari dari UM atau IWM kata penulis buku ketika membuat penulisan buku ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya alu-alukan perkongsian maklumat

      Delete