Tuesday 1 March 2016

Kampar Revisited - Battle of Kampar 1941

Pertempuran Kampar 1941

Berlangsung dari 30 Dis 1941 hingga 2 Jan 1942. Pertempuran ini memberi kejayaan membanggakan kepada tentera British.

Pertempuran ini melibatkan 1,300 anggota tentera British yg dikenali sebagai British Battalion dengan 4,000 tentera Jepun. British Battalion adalah gabungan saki baki anggota dari Batalion 1, Royal Leicestershire Regiment dan Batalion ke-2, The East Surrey Regiment yang terselamat dari pertempuran-pertempuran awal sebelum Jepun mara ke Kampar. Kerana jumlah kasualti yang tinggi, batalion 1/8th Punjab Regiment (disebut Batalion 1, Rejimen ke-8) dan 2/9th Jat Regiment juga digabungkan dan membentuk Rejimen Jat/Punjab.



Lt. Gen Arthur Percival telah memilih Kampar sebagai pertahanan untuk melengah kemaraan Jepun selama sekurang-kurangnya 10 hari. Selain keadaan muka bumi yg sesuai, jalan utama dan juga jalan keretapi yang hendak dilindungi, kawasan bukit ini berada di dalam jangkauan tembakan artileri British. Beberapa unit lain tentera India juga telah diletakkan mengawal jalan Kuala Dipang - Sahum (28th Indian Brigade) dan jambatan besi Kuala Dipang di atas Sg. Kampar. Apabila Jepun menyerang dengan bantuan 14 kereta kebal mereka terpaksa berundur kerana kekurangan senjata anti kereta kebal untuk menangkis serangan Jepun. Pasukan yang tinggal mempertahankan Kampar hanya ada 8 hari untuk menyiapkan pertahanan untuk berhadapan dengan tentera Jepun..

Buat pertama kali tembakan artileri British berjaya menghalang Jepun dari membaiki jambatan Kuala Dipang dan 5 lagi jambatan sekitar Kampar. Di sebelah barat Kampar, 3 batalion Rejimen Punjab (1/14th, 2/16th dan 3/16th) mempertahankan jalan keretapi dr Malim Nawar ke lombong Tronoh. Kawasan ini dilindungi oleh tembakan meriam 25 pounder dari 88th Field Rejiment Royal Artillery.
Pasukan tentera Jepun yg terlibat adalah dari Division ke-5 di bawah pimpinan Lt. Gen. Takuro Matsui. Serangan dikepalai oleh Maj. Gen. Saburo Kawamura dari Briged ke-9 yg terdiri dari Rejimen ke-11 (Col. Watanabe) dan Rejimen ke-41 (Col. Kanichi Okabe).



Pada subuh 30 Disember 1941, iaitu dua hari selepas Ipoh jatuh ke tangan tentera Jepun, artileri Jepun telah memulakan serangan dari posisi mereka di jalan Malim Nawar. Artileri tentera British juga membalas serangan. Dentuman meriam dari kedua-dua pasukan boleh didengari di Ipoh, Gopeng dan Batu Gajah di utara dan Tapah serta Bidor di selatan. Pada 30 hingga 31 Disember 1941 Jepun mula menyerang kedudukan British Battalion dan ramai maut semasa melakukan Banzai Charge di Thompson Ridge (kini Taman Kampar Jaya). Pasukan Jepun yang cuba mengepung di timur pula berhadapan pasukan Gurkha yang efisien dengan pertempuran jarak dekat dengan kukri. Tembakan bertalu-talu dari 88th dan 122nd Field Artillery RA memerangkap tentera Jepun yang ramai mati lemas di kawasan paya dan kolam di lombong berhampiran.

Lt. Gen. Matsui komander Division ke-5 mengarahkan serangan diperhebat walaupun terus menerus diserang dengan artileri dan mortar. Pada 1 Jan 1941 pasukan ini digantikan dengan unit-unit baru. Kebiasaannya tentera Jepun digantikan oleh pasukan lain setelah 48 jam bertempur. Bagaimanapun tentera British dan India yang bertahan masih tidak digantikan.


Pada 2 Januari, tentera Jepun dari Rejimen ke-41 telah berjaya menawan rusuk sebelah timur tetapi dirampas kembali dgn bantuan 2 kompeni simpanan British Battalion. Posisi ini ditawan kembali oleh Jepun pada tengahari dengan bantuan tembakan meriam mereka. Antara faktor kejayaan Jepun adalah kerana senjata-senjata bantuan tentera British ada yang telah tidak berfungsi akibat barel yang kepanasan dan tiada ganti.

Brigadier Moorhead mengarahkan unit gabungan Jat/Punjab Regt menawan kembali posisi itu. Cubaan dari Kompeni D, British Battalion dua kali gagal. Cubaan ketiga oleh tentera Gujar dari Rejimen Jat/Punjab juga gagal dan mengorbankan ramai anggotanya. Pada jam 5 petang Capt. Graham dengan tentera Sikh dan Muslim menyerang kembali posisi tersebut. Mereka menyerang dengan bayonet terpasang mara terus ke Thompson Ridge.

Walaupun ramai terkorban mereka terus mara dan berjaya menawan 2 barisan musuh dan ketika mara ke garisan kubu ke 3 mortar tentera Jepun telah jatuh di dalam kubu dimana Capt. Graham berada. Letupan itu menghancurkan kedua-dua kakinya. Sambil berlutut dia masih memberikan arahan dan melontar grened ke pasukan Jepun yang sedang berundur. Pada akhir serangan hanya 30 tentera Sikh yang masih hidup. Capt. Graham dibawa ke hospital di Tg. Malim dengan ambulans tetapi mati akibat kehilangan darah yang banyak dan kecederaan parah.

Brigadier Moorhead dan Lt. Col. Morrison yang mengetuai British Batalion kemudian melaporkan Kampar tidak lagi boleh dipertahankan selepas berita mengatakan tentera Jepun telah mara mengikut jalan laut dan mendarat di Teluk Anson dan Bagan Datoh. Tentera British kemudiannya berundur ke Slim River.


Dianggarkan 150 (British) dan 500 (Jepun) terkorban disini.

Pada 28 Februari 2016, ahli-ahli dari pertubuhan Kelab Peminat Sejarah Militer (KPSM), Malayan Historical Group (MHG), Muzium Tentera Darat, The Patriots dan Malaysian Reenactment Society (MRS) telah melakukan lawatan ke Green Ridge, Kampar. Disana, En. Shaharom Ahmad dari MHG telah memberikan penerangan tentang sejarah Pertempuran Kampar kepada semua hadirin.














3 comments:

  1. Tuan Rafe, kalau ada trip ke tempat ini bagitau yer,nak join..

    ReplyDelete
  2. join Fb page saya Kelab Peminat Sejarah Militer (KPSM) boleh ikut aktiviti kami

    ReplyDelete
  3. I'm interested in joining the kpsm Sir ,

    ReplyDelete