Sunday, 3 January 2016

Piyamit Tunnels (Terowong Piyamit), Betong, Thai

Partai Komunis Malaya (PKM) bercita-cita untuk menegakkan sebuah kerajaan komunis di Semenanjung Tanah Melayu sebaik selepas tamat Perang Dunia ke-2. Setelah gagal dalam pemberontakan pertama yang dikenali sebagai Darurat (Malayan Emergency) sepanjang 1948 hingga 1960, gerila-gerila komunis telah berundur ke selatan Thai untuk mengelak dari buruan pasukan keselamatan Malaysia. Dianggarkan seramai 500 gerila telah berundur ke selatan Thai, yang mana dalam propaganda mereka, pengunduran ini dilakukan atas sebab-sebab strategik. Mereka kemudiannya berjaya merekrut kader-kader baru untuk menyertai mereka dan menghidupkan kembali kempen keganasan mereka menentang kerajaan Malaysia. Kader-kader ini direkrut dari kalangan ahli keluarga pengganas komunis itu sendiri ataupun mereka yang simpati dengan perjuangan komunis. Pemberontakan kedua ini bermula dari 1968 hingga 1989. Semasa kebangkitan semula ini, PKM telah menyusun semula struktur organisasi mereka:

a) Rejimen ke-8 di Sadao
b) Rejimen ke-10 di Weang
c) Rejimen ke-12 dan Jawatankuasa Pusat (Central Committee) di Betong.

Rejimen ke-8

Pada 25 September 1970, Rejimen ke-8 telah berpecah dari PKM dan membentuk satu pasukan yang bebas kerana krisis dalaman yang berlaku. Ini adalah kerana Jawatankuasa Pusat PKM telah mengesyaki bahawa ejen-ejen perisik Malaysia telah menyusup masuk ke dalam organisasi PKM semasa pengambilan rekrut baru PKM pada tahun 1962. Arahan telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pusat PKM supaya mereka-mereka yg berusia 12 tahun keatas dan menyertai PKM selepas 1962 harus dihapuskan. Kepimpinan Rejimen ke-8 menentang arahan ini dan mengisytiharkan pembentukan CPM-RF (Communist Party of Malaya - Revolutionary Faction) dengan kekuatan seramai 159 orang diketuai oleh Wong Chung Sing @ Eik Chiang. Mereka aktif di kawasan Sintok, Padang Sanai dan Changlun di Kedah.


Rejimen ke-10

Rejimen ke-10 ditubuhkan di Temerloh, Pahang pada 24 May 1949 dengan kekuatan seramai 400 orang Melayu. Semasa melarikan diri ke selatan Thai, rejimen ini dibahagikan kepada 3 pasukan:

a) Kompeni ke-21 - diketuai oleh Abdullah CD dengan 155 anggota, aktif di Ban Sawo dan Sri Prachan, juga menyusup masuk ke Lebuhraya Timur-Barat.
b) Kompeni ke-22 - diketuai oleh Pakcik Kassim dengan kekuatan 40 anggota pula aktif di kawasan Kuala Kaul, Ban Aiso dan Air Puteh.
c) Kompeni ke-23 - diketuai oleh Rashid Maidin dengan 150 anggota, beroperasi di Ayer Kapak, Ayer Perlong, Ban Kelubi dan Weang.


Rejimen ke-12

Rejimen ke-12 yang diketuai oleh Ah Sek Tze dianggotai oleh kira-kira 866 gerila. Rejiman ini dibahagikan kepada 3 kompeni yang dikenali sebagai:

a) Daerah 1 (Platun 6 & Platun 7),
b) Daerah 2
c) Daerah 3 (Platun 12, Platun 13 & Platun 14) dan Kawasan D
d) Daerah Khas (kemudian dinamakan Kompeni ke-15)

Daerah 2 aktif di kawasan Betong, Ban Chantarat dan Ban Charok Su Su. Pasukan ini juga bertanggungjawab memasang jerangkap samar (booby traps) dan menyerang hendap pasukan keselamatan Malaysia apabila menyusup masuk ke dalam wilayah Malaysia.

Daerah 3 pula beroperasi di Ban Padang Nai, Betong - Yala dan Ban Ayer Weng, manakala Daerah Khas beroperasi di Nathawi, Sabayoi dan Yala.

Walaubagaimanapun, sepertimana krisis dalaman yg berlaku antara Rejimen ke-8 dan Jawatankuasa Pusat PKM, Daerah 2 yang diketuai oleh Cheong Choong Mun juga keluar dari PKM dan membentuk Communist Party of Malaya - Marxist Leninist (CPM-ML) pada 1 Ogos 1974. Kemudian, pada Julai 1983, kedua-dua pecahan PKM ini, iaitu CPM-RF dan CPM-ML bergabung membentuk Communist Party of Malaysia (CPMAL). Mereka adalah pro-Soviet manakala PKM pula pro kepada Mao Zedong (China).

Untuk berlindung dari dikesan dan diserang oleh pasukan keselamatan Thai dan Malaysia, gerila-gerila PKM ini telah membina beberapa rangkaian terowong di selatan Thai sebagai pengkalan latihan dan tempat persembunyian mereka. Selain itu, rangkaian terowong sulit ini juga telah dijadikan sebagai salah satu cara untuk menyusup masuk dan keluar disempadan Malaysia-Thai bagi membolehkan mereka melarikan diri ke dalam wilayah Thai setelah melakukan serangan ke atas pasukan keselamatan. Antara operasi Tentera Darat Malaysia memusnahkan pengkalan-pengkalan ini adalah sebagaimana Operasi Gubir 2 (1976)

Piyamit Tunnels adalah salah satu sistem terowong yang terletak di Tano Maero, Betong di dalam wilayah Yala. Ia merupakan jaringan terowong sepanjang 1 kilometer yang telah dibina pada tahun 1976 oleh 50 anggota komunis. Terowong ini mengambil masa selama  tiga bulan untuk disiapkan secara manual, iaitu tanpa penggunaan sebarang jentera. Lebarnya dianggarkan 5 kaki, dan mampu memuatkan tempat tidur, setor dan lain-lain ruang untuk memberikan perlindungan kepada gerila-gerila komunis disitu. Berdasarkan kepada maklumat dari buku "The Malaysian Army's Battle Against Communism - Insurgency In Peninsular Malaysia 1968-1989", nyatalah bahawa Rejimen ke-12 bertanggungjawab membina terowong Piyamit ini kerana mereka berpengkalan di Betong.

Berikut adalah gambar-gambar yang saya ambil semasa melawat Terowong Piyamit pada 1 Jan 2016.

hampir jam 12 kami menaiki teksi dari Pengkalan Hulu (Imigresen Malaysia)

hampir jam 1 petang kita tiba di Imigresen Thai setelah beratur seketika di sebelah sempadan Malaysia


urusan di Imegresen Thai mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja

perjalanan ke Piyamit Tunnels merentasi ladang dan hutan tetapi kondisi jalanraya adalah baik

pemandangan selepas merentasi beberapa kampung dan pekan. papan tanda ke terowong banyak disepanjang jalan

pintu gerbang Piyamit Tunnels. kami tiba jam 12 waktu tempatan (jam 1 waktu Malaysia)


pintu gerbang kecil berhampiran kaunter tiket


tertera jelas harga tiket RM 5.50 untuk dewasa, matawang ringgit diterima di Betong

selepas membayar tiket anda akan menuruni bukit untuk memulakan pendakian. saya mulakan pendakian pada 12.09 pm


kawasan berbumbung untuk disediakan dengan tangga untuk kemudahan pengunjung

dahulunya pondok sentri
terdapat pondok untuk berehat seketika pada pertengahan pendakian

kawasan membuat arang

12.20 pm tiba dibahagian dapur

sistem terowong yang menunjukkan ada 9 pintu keluar-masuk 

12.23 pm - memasuki pintu terowong disebelah dapur

antara ruangan yang anda akan jumpa didalam terowong

ruang untuk berbaring atau tidur

sebahagian ruang disinari lampu elektrik untuk kemudahan pengunjung, sebahagiannya bergelap. anda boleh gunakan lampu suluh atau cahaya dari mobile phone

ruang agak luas, berbanding terowong Chu Chi di Saigon, mungkin kerana jarak terowong yang pendek mereka punya lebih masa untuk pengorekkan

gelap... dibantu cahaya lampu suluh

sistem pengudaraan memang baik, rasa sejuk dan selesa didalamnya, tetapi pada penghujung terowong yang keatas ada sedikit pendakian

12.40 pm keluar dari terowong, cukuplah 20 minit didalamnya tetapi jika anda suka adventure, boleh cuba entrance dan exit yang lain


setelah bergerak menuruni bukit, exit terowong tadi sukar kelihatan disebalik rimbunan pokok

terdapat longkang stau trench yang kami percaya boleh dijadikan pertahanan jika diserang

terdapat bebrapa bangsal yang telah dibina semula ditapak asal, dahulunya digunakan semasa melatih gerila-gerila secara teori dan praktikal

salah satu exit terowong berhampiran mini galeri (muzium)

tapak bangsal ini dahulunya bangsal untuk kegunaan anggota berkelamin, digunakan secara giliran

sbuah lagi bangsal yang besar berhampiran kawasan lapang seluas dua padang bola keranjang

Penerangan diberikan oleh seorang bekas gerila yang boleh berbahasa Melayu, berasal dari Kajang, Selangor

antara peralatan yang pernah digunakan oleh mereka untuk membuat senjata dan lain-lain keperluan

koleksi buku propaganda komunis

jerangkap samar

mortar

peralatan pembedahan




ramai pengunjung datang pada hari cuti 1 Jan 2016

kawasan parking dikaki bukit

selamat tinggal


2 comments:

  1. Sempoi! Depa maintain sampai jadi tarikan pelancong. Syabas bang Rafe and friends!~

    ReplyDelete