Lawatan kapal hospital PEACE ARK ke Port Klang
Pada bulan September lepas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
telah melaksanakan satu latihan bersama dengan Tentera Laut China (PLAN - People’s
Liberation Army – Navy) bermula dari 17 September sehingga 22 September
2015. Latihan ini dinamakan Eks Peace
& Friendship 2015 juga diadakan sempena ulang-tahun ke 40, Malaysia dan
China menjalin hubungan diplomatik.
Latihan yang dijalankan di Selat Melaka ini melibatkan 1,965 pegawai dan
anggota tentera bersama-sama 28 aset ketenteraan milik ke dua-dua negara.
Secara ringkasnya, eksesais ini melibatkan latihan pengawalan
maritim, pengiringan kapal, operasi carilamat (SAR) dan bantuan kemanusiaan
semasa bencana. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan
kedua-dua negara, memperkukuhkan “interoperability” kedua-dua pasukan,
mewujudkan SOP bersama dan pertukaran maklumat, selain menguji tahap kerjasama
kedua-dua angkatan tentera.
Pada kali ini, kapal hospital Peace Ark (nombor pennant 866)
bersama-sama kapal pemusnah Lanzhou (170) kelas “Type 052C”, dan Qinzhou (575)
friget dari kelas “Type 054A “dari armada PLA-Navy (PLAN) telah terlibat. Fokus
diberikan kepada kapal hospital Peace Ark yang terkenal sebagai Duta Kecil
China, dimana, semenjak ditauliahkan di dalam PLAN pada tahun 2008, ia telah
melakukan secara keseluruhannya, pelayaran sejauh 116,000 batu nautika,
merentasi tiga lautan dan melawat 4 buah benua dalam melaksanakan misi bantuan
perubatan kepada 90,000 orang di 22 negara.
“Peace Ark” atau “Daishan Dao” (nama yang dikenali dalam
PLA-N) telah dibina oleh GSIC Ltd (Guangzhou Shipyard International Company) pada
tahun 2004 dan mula ditauliah ke dalam perkhidmatan PLAN pada 22 Disember 2008.
Kapal ini panjangnya 178 meter, dengan lebarnya kira-kira 25 meter, adalah
seberat 14,000 tan. Ia juga dilengkapi dengan sebuah hangar yang mampu
menempatkan 1 x helikopter angkut bersaiz sederhana jenis Changhe Z-8 (AS 321
Super Frelon).
Sebagai sebuah hospital terapung, kapal ini mampu
melaksanakan pembedahan dalam keadaan laut yang bergelora kerana kestabilannya.
Hospital yang berkeluasan 4,000 meter persegi itu turut dilengkapi dengan 8
buah bilik bedah, 300 katil pesakit, 7 pejabat staf perubatan, 8 stesen
jururawat, 18 bilik untuk konsultansi, sebuah bilik khas untuk merawat mangsa
kebakaran, ICU, klinik pergigian, bilik x-ray, bilik persediaan darah, makmal
dan pusat maklumat perubatan. Ia juga dilengkapi dengan sistem lif, kerana
kapal ini mempunyai 8 tingkat. Peace Ark pada misi ini turut membawa bersama
110 staf perubatan untuk mengoperasikan hospital terapung ini, tetapi menurut
laporan People’s Daily Online (24 Mac 2009), kapal ini dikendalikan oleh 200
anak kapal dan boleh membawa sehingga 600 staf perubatan. Sebagai perbandingan,
hospital terapung ini mampu melakukan 40 pembedahan utama sehari, menyamai
kemampuan hospital-hospital di Beijing.
Antara fungsi Peace Ark adalah memindahkan dan merawat
kasualti pada masa perang, memberikan perkhidmatan perubatan kepada penduduk
dan anggota tentera di kawasan pulau-pulau, terlibat dalam misi bantuan
kemanusiaan dan bencana, dan juga melakukan kerjasama dalam program pertukaran
anggota dengan negara asing. Penggunaan kapal ini sebagai bantuan kemanusiaan
dan bencana (Humanitarian Assistance and Disaster Relief - HADR) pada masa aman
dapat melonjakkan imej negara China dan memberikan persepsi yang baik kepada China
oleh rakyat dan negara yang dilawati, terutamanya di kalangan negara-negara
membangun.
Untuk memberikan sokongan lojistik kepada Peace Ark, kapal
ini dilengkapi dengan 2 buah bot pendarat, 2 buah bot laju dan 6 unit Lifeboat.
Selain itu, helicopter Chengde Z-8 yang bertindak sebagai ambulans udara boleh dilengkapi
dengan 15 stretcher atau mampu mengangkut 27 penumpang. Antara teknik pemindahan
mangsa yang efisien boleh dilakukan dengan helikopter ini adalah dengan cara
hanging basket dan gangway.
Komander Peace Ark, Lt. Col. Guo Baofeng berusia 36 tahun
Pada pertengahan Mac 2009, Peace Ark melakukan latihan buat
julung-julung kalinya, diikuti dengan latihan-latihan lain pada Jun dan
September tahun yang sama. Pada 20 Oktober 2009, Peace Ark meninggalkan
Shanghai dalam satu misi 39 hari, melibatkan pelayaran sejauh 5,400 batu
nautika, membawa bersama hampir 100 orang pakar perubatan awam dan tentera ke
beberapa pulau dan terumbu di Laut China Selatan, termasuklah melawat beberapa
pangkalan hadapan tentera China. Peace Ark juga terlibat dalam International
Fleet Review sempena ulangtahun PLAN yang ke 60, latihan bersama China – Russia
dan Civil Military Joint Maritime Medical Exercise, West Pacific Naval
Symposium.
Seterusnya, pada Ogos hingga November 2010, Peace Ark
melakukan lawatan ke Djibouti, Kenya, Tanzania, Seychelles dan Bangladesh,
memberikan khidmat perubatan kepada 17,345 pesakit luar dan melaksanakan 97
pembedahan. Kemudian pada tahun berikutnya, pada bulan September hingga
Disember 2011, setelah merentasi Lautan Pasifik dan Terusan Panama, Peace Ark tiba
di Laut Karribean dan melakukan lawatan ke Cuba, Jamaica, Trinidad & Tobago
dan Costa Rica. Seramai 11,446 orang mendapat faedah rawatan pesakit luar
disamping 118 pesakit menjalani pembedahan.
Misi seterusnya adalah pada bulan Jun hingga Oktober 2013,
Peace Ark melawati Brunei, Maldives, Pakistan, India, Bangladesh, Myanmar,
Indonesia dan Kemboja. Dalam misi kali ini, seramai 30,713 pesakit luar dirawat
dan sebanyak 293 pembedahan dilakukan. Semasa dalam perjalanan pulang, kapal
ini terlibat dalam operasi carilamat (SAR), menyelamatkan nelayan di perairan
Xisha, China. Bulan November tahun yang sama, selepas persiapan singkat selama
48 jam, dan 77 jam pelayaran tanpa henti, Peace Ark tiba di Filipina,
menghulurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada mangsa bencana. Seramai
2,208 pesakit luar dirawat dan 113 dimasukkan ke wad, serta 44 pembedahan
berjaya dilakukan. Dalam operasi ini,
bot laju dari Peace Ark telah melakukan pemindahan sebanyak 104 kali membawa
718 orang mangsa.
Pada tahun 2014, antara Jun hingga Ogos, Peace Ark telah
belayar ke Hawaii dan menyertai RIMPAC 2014. Dalam latihan itu, 4 forum
akademik yang disertai 13 negara telah diadakan selain terlibat dalam latihan-latihan
menyelamat maritim dan 56 lain-lain latihan termasuk scenario peperangan. Kapal
ini juga memberikan sokongan kepada 20 pendaratan helikopter dari pelbagai
negara.
Peace Ark kemudiannya mengadakan lawatan ke Tonga, Fiji,
Vanuatu dan Papua New Guinea pada bulan Ogos hingga September 2014. Kali ini
sebanyak 27,456 pesakit luar telah menerima rawatan, disamping 212 pembedahan
berjaya dilakukan.
No comments:
Post a Comment