Wednesday, 14 January 2015

RMN's Mahamiru (Lerici class MCMV - Mine Counter Measure Vessel)

Ranjau laut adalah alat peledak yang dipasang pada permukaan laut, di dalam atau dilantai (dasar) lautan, yang bertujuan untuk memusnahkan kapal laut atau kapal selam. Ia juga boleh digunakan sebagai senjata ofensif dengan memasang pada laluan perkapalan tertentu atau menghalang kapal-kapal musuh keluar dari pelabuhan mereka. Jika digunakan secara defensif, ia boleh melindungi kawasan-kawasan tertentu atau menghalang kapal-kapal musuh menghampiri pantai untuk mendaratkan pasukan amfibi mereka.

Ranjau laut jenis terapung

Letupan dari ranjau laut

Senjata ini mula digunakan se-awal abad ke-14 dimana tentera laut Dinasti Ming menggunakannya untuk menentang lanun-lanun Jepun. Pada mulanya ranjau-ranjau ini adalah jenis "contact mines" dimana ia perlu dilanggar secara fizikal oleh kapal untuk meledak. Ranjau jenis ini dipasang dibawah permukaan laut supaya tidak kelihatan, dan ditambatkan ke dasar laut. Kedalamannya boleh ditentukan mengikut saiz kapal yang disasarkan, umpamanya kapal pengangkut pesawat mempunyai "draught" yang dalam, jadi hanya kapal sebesar ini sahaja yang akan melanggar ranjau tersebut. Taktik ini dapat menjimatkan kos kerana ranjau tidak akan dilanggar oleh kapal-kapal kecil yang kurang bernilai. Pada awal Perang Dunia ke-2, ranjau yang terapung dan boleh disebarkan dengan pesawat udara telah diperkenalkan. Ranjau-ranjau jenis ini digunakan untuk disebarkan ke pelabuhan musuh. Disebabkan usaha pembersihan ranjau memakan masa, pelabuhan-pelabuhan terpaksa ditutup dan membuatkan kapal-kapal tentera laut gagal keluar beroperasi.

Jenis-jenis ranjau laut dan cara penggunaan

Ranjau laut boleh disebarkan dengan menggunakan kapal, kapal selam, pesawat udara atau juga orang perseorangan. Kerana faktor fleksibiliti dan kos ia merupakan senjata pilihan, sama konsepnya seperti pemasangan jerangkap samar atau periuk api didaratan. Sebagai contoh, kos untuk memusnahkan ranjau laut ini hampir 10 kali ganda dari kos penyebaran atau pemasangannya. Sehingga kini, beberapa kawasan ranjau laut semasa Perang Dunia ke-2 masih lagi tidak dineutralkan atas sebab keluasan dan kos yang tinggi. Besar kemungkinan ranjau-ranjau laut ini ada lagi yang masih aktif. Pasukan anti-ranjau laut, tentera laut Jepun (IJN - Imperial Japanese Navy), memiliki 350 kapal dan 20,000 anggota pada ketika itu, tapi hanya mampu membersihkan 15% daripada ranjau-ranjau yang disebarkan oleh Amerika di perairan Jepun. Setelah tamat perang, masih terdapat 25,000 ranjau yang aktif. Usaha pembersihan diteruskan sehingga bulan May 1946, dengan baki 13,000 ranjau tidak terusik. Ia mengambil masa 30 tahun untuk meneutralkan baki ranjau-ranjau tersebut dengan 500 kapal pemusnah ranjau dirosakkan atau karam.

Rajau laut berselindung disebalik barel-barel sebelum dilepaskan kelaut.

USS Samuel B. Roberts FFG-58 dari kelas Oliver Hazard Perry rosak terkena ranjau laut milik Iran.

Pada tahun 1988, USS Samuel B. Roberts (link) semasa didalam Operasi Praying Mantis, telah mengalami kerosakan setelah melanggar ranjau laut jenis M-08 yang membentuk lubang seluas 5 meter pada lambung kapal. Krew mengambil masa selama 5 jam untuk melawan kebakaran dan kebocoran dan seramai 10 krew telah mengalami kecederaan. Pada 27 Jun 1988, kapal ini dibawa pulang ke Newport dan kerja baik pulih mengambil masa selama 3 minggu dengan kos hampir USD 90 juta. Ranjau laut yang merosakkan USS Samuel B. Johnson dianggrkan berharga USD 1,500 sahaja.

Kapal penyapu ranjau digunakan untuk meneutralkan ancaman ranjau-ranjau laut. Kapal-kapal ini dilengkapi dengan peralatan penyapu mekanikal (mechanical sweeper) dan penyapu aruhan (influence sweeper) untuk meledakkan ranjau laut. Ia direka supaya kedap suara untuk mengurangkan jejak akustik dan lambung kapal (hull) diperbuat dari kayu atau plastik yang diperkuat dengan kaca (Glass Reinforced Plastic) atau logam selain besi bagi mengurangkan kesan jejak magnetik (degaussed). Penyapu mekanikal digunakan untuk memotong kabel yang menambat ranjau ke dasar laut, manakala penyapu aruhan adalah alat yang meniru jejak akustik atau mekanis kapal-kapal tertentu, sehingga menyebabkan ranjau tersebut meledak.


Kapal penyapu ranjau kelas Lerici (Itali) dan bawah, kapal yang sama kelas Huon (Australia)



Pada era 1990an, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memiliki skuadron pemburu dan penyapu ranjau laut yang tercanggih di Asia Tenggara. Skuadron Kapal Penyapu Ranjau ke-26 memiliki 4 buah kapal MCMV (mine counter measure vessel) kelas Lerici (link) yang dinamakan KD Mahamiru (nombor pennant 11), KD Jerai (12), KD Ledang (13) dan KD Kinabalu (14). Kapal-kapal ini telah ditempah dari firma Intermarine SpA, Itali pada 20 Feb 1981, ditauliahkan pada 11 Dis 1985 dan tiba di Malaysia pada 26 Mar 1986.







Tentera Laut Diraja Thai juga ada menggunakan 2 buah sub-kelas kapal ini, dengan spesefikasi yang berbeza (saiz kapal, senjata dan sonar yang berbeza) dari TLDM, dan dinamakan HTMS Lat Ya dan HTMS Tha Din Daeng. Pada mulanya 8 buah telah ditempah pada 1996, tetapi baki 6 buah telah dibatalkan pada tahun 1999.

Lain-lain pengguna adalah:

  • Itali (12 buah kelas Lerici dan sub-kelas Gaeta), 
  • Nigeria (2 buah kelas Ohue), 
  • USA (12 buah kelas Osprey), 
  • Australia (6 buah kelas Huon), 
  • Finland (3 buah kelas Katanpaa).

No comments:

Post a Comment