Sunday, 25 January 2015

Assassination of the Inspector General of Police / Pembunuhan KPN

Pada tahun 1969 - 1970 berlaku perebutan kuasa di dalam Parti Komunis Malaya (PKM) menyebabkan berlakunya perpecahan dikalangan mereka. Di dalam perbalahan tersebut, 200 anggota telah dibunuh dan beratus-ratus telah disingkirkan dari PKM. Mereka yang telah disingkir keluar dari induk PKM telah menubuhkan PKM-Revolutionary Faction pada 25 Sep 1970 dengan 150 anggota, dan PKM-Maxist-Leninist pula ditubuhkan pada 1 Ogos 1974 dengan 580 anggota. PKM pula mempunyai kekuatan seramai 730 anggota pada masa itu.


Pembunuhan Ketua Polis Negara

PKM-ML adalah pasukan yang pertama menubuhkan squad bergerak (mobile unit) yang terdiri dari 1st Mobile Squad dengan 8 anggota sukarela dan 5th Mobile Squad terdiri dari 10 sukarelawan yang dipilih dari unit-unit gerakan bawahtanah mereka. Para pemimpin PKM-ML sedar bahawa tekanan yang diberikan oleh gabungan pasukan keselamatan Thai dan Malaysia ke atas mereka di sempadan Malaysia-Thai akan dapat dikurangkan dengan cara menghapuskan para perancang di dalam Thai-Malaya General Border Committee. Memandangkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim adalah ahli Border Committee tersebut, beliau telah menjadi salah satu sasaran utama PKM-ML.

Gambar hiasan - adengan pembunuhan dari filem

Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim

Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim dilahirkan pada 7 Julai 1925 di Yan, Kedah. Setelah lulus Senior Cambridge pada tahun 1940 (Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar), beliau menyertai pasukan Polis dan dilantik menjadi Inspektor pada 17 Oktober 1941. Allahyarham seterusnya menjadi Penolong Penguasa Polis pada 1952, Ketua Cawangan Khas Pulau Pinang (1960), Pengarah Cawangan Khas (1971) dan dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang ke-3 pada 1 Februari 1973.

Kesemua sukarelawan yang terpilih tadi dilatih secara berasingan di kem-kem PKM-ML di Betong, selatan Thai. Latihan yang dijalani termasuklah penggunaan senjata ringan, grened, latihan fiizikan dan berkebun. Tujuan para sukarelawan ini dihantar membuat kerja-kerja dikebun adalah supaya kulit mereka bertukar menjadi gelap kerana berjemur dibawah panas matahari. Memandangkan kesemua anggota skuad pembunuh ini adalah berkulit cerah dan berbangsa Cina, PKM-ML tidak mahu pembunuhan yang dirancang nanti membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu dan mereka membalas dendam kepada orang-orang Cina pula. Dengan cara "menggelapkan" kulit anggota squad pembunuh, para saksi akan keliru dan menyangka pembunuhan tersebut dilakukan oleh orang-orang Melayu sendiri.

Mereka melakukan tinjauan selama seminggu dengan memerhatikan pergerakan KPN antara rumahnya di Jalan Kia Peng dan Ibupejabat Polis di Kuala Lumpur. Pada jam 7 pagi, 7 Jun 1974, KPN telah diserang semasa dalam perjalanan ke Ibupejabat Polis untuk mengambil dokumen, kerana Allahyarham akan menemui ahli-ahli Thai-Malaya General Border Committee pada mesyuarat yang akan diadakan di Federal Hotel, Kuala Lumpur. Serangan yang dilakukan di persimpangan Jalan Weld dan Jalan Tun Perak menyebabkan pemandunya cedera parah, manakala KPN meninggal dunia setibanya di Hospital Besar Kuala Lumpur. Allahyarham telah ditembak 11 das dengan 7 dan mengenai bahu, rusuk dan paha kiri.

Sepertimana yang dijangkakan, maklumat yang diberikan oleh saksi mengatakan serangan dilakukan oleh orang-orang Melayu. Selelah berjaya dalam misi ini, para pembunuh telah melarikan diri ke kem mereka di Betong. Kebiasaannya, pengganas komunis akan meninggalkan risalah propaganda dalam setiap serangan mereka, tetapi kali ini mereka tidak berbuat demikian kerana hendak mengekalkan kerahsiaan.

Anak Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Najib Rahman telah menulis satu artikel berkenaan insiden ini di Sunday Times pada 6 June 2010. Sila rujuk disini (link).


Pembunuhan Ketua Polis Kontinjen Perak

16 bulan selepas pembunuhan KPN. anggota pasukan pembunuh 1st Mobile Squad telah berjaya membunuh Ketua Polis Perak, Tan Sri Koo Chong Kong. Mendiang dan pemandunya terbunuh pada serangan yang dilakukan pada waktu tengahari di persimpangan Fair Park dan Jalan Anderson pada 13 November 1975. Bagaimanapun, kali ini saksi dapat mengenalpasti bahawa serangan dilakukan oleh orang-orang Cina. Turutan kepada itu, Polis berjaya menangkap 2 anggota squad pembunuh iaitu Ng Fu Nam (21 tahun) dan Lam Mun Cheong (23 tahun), yang kemudiannya dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh. Lam Mun Cheong adalah salah seorang pembunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim.

Upacara pengkebumian Ketua Polis Perak, Tan Sri Koo Chong Kong



Cubaan Bunuh Panglima Angkatan Tentera

Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail, yang juga merupakan ahli Thai-Malaya General Border Committee turut dijadikan sasaran oleh skuad pembunuh 1st Mobile Squad, PKM-ML. Setelah melakukan tinjauan termasuk mengenalpasti nombor dan jenis kenderaan yang digunakan dan laluan yang biasa diikuti antara rumahnya di Flagstaff House, Bukit Petaling dan MINDEF, Jalan Padang Tembak, tiga percubaan bunuh telah dirancang, tetapi menemui kegagalan.

Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail, terselamat dari 3 cubaan bunuh oleh pengganas komunis

Pada percubaan pertama, skuad pembunuh menggunakan beberapa motorsikal dengan nombor palsu telah mengekori kereta Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail, yang dalam perjalanan pulang dari MINDEF ke rumahnya. Bagaimanapun, pada masa yang sama terdapat sebuah kendaraan Land Rover milik pasukan Polis Tentera dengan beberapa anggota bersenjata berada dihadapan kenderaan  Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail dijalan yang sama. Pasukan pembunuh dengan sangkaan Land Rover tersebut sedang mengiringi kenderaan  Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail, mengambil keputusan untuk membatalkan serangan.

Serangan kedua yang dirancang di Jalan Imbi (kebiasaannya kereta Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail akan melalui jalan ini) juga dibatalkan kerana penglihatan mereka telah terhalang oleh sebuah lori yang tiba-tiba memotong kereta Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail tepat di kawasan membunuh yang telah ditetapkan. Percubaan terakhir dirancang di hadapan Balai Bomba di Jalan Shaw ketika  Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail dalam perjalanan pulang kerumahnya. Kali ini skuad pembunuh membatalkan misi mereka kerana menyangka dua orang Cina yang sedang berdiri di hadapan Balai Bomba tersebut adalah detektif pasukan Polis.



Pembunuhan anggota-anggota Special Branch.

PKM di bawah pimpinan Chin Peng telah menubuhkan gerakan bawahtanah dengan membentuk pasukan yang mirip seperti Mobile Squad PKM-ML. Objektifnya adalah membunuh para informer (pemberi maklumat) dan anggota pasukan Special Branch. Antara tahun 1974 hingga 1978 sekurang-kurangnya 23 anggota Polis yang majoritinya anggota Special Branch berbangsa Cina telah dibunuh. Dalam beberapa kes mereka tersilap, orang awam yang disyaki anggota Special Branch juga telah dibunuh oleh anggota squad-squad pembunuh ini.

No comments:

Post a Comment