Friday, 16 January 2015

Operation Indera 12 / Indera Khas 1/80 (Bentong) - 1980, VAT69 Commando PART 1

Dalam bulan Februari 1980, kira-kira seminggu sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina, laporan perisikan menyatakan terdapat petunjuk seramai 6 orang pengganas komunis di kawasan terpencil hutan Bentong telah meminta bekalan makanan dari kumpulan penyokong mereka. Adalah menjadi kebiasaan bagi anggota pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) membuat acara sambutan perayaan bila tibanya Tahun Baru Cina.

Menurut laporan risikan itu, kumpulan pengganas komunis ini telah meminta bekalan daging khinzir untuk dihantar kepada mereka. Memandangkan daging khinzir tidak boleh disimpan lama, menurut perkiraan Special Branch (SB), kemungkinan mereka mengambil bekalan daging tersebut adalah tinngi dan dalam masa terdekat, beberapa hari menjelang perayaaan yang dinantikan. Bagaimanapun tiada maklumat tepat tentang lokasi pertemuan (rendezvous) mereka didalam laporan risikan tersebut, tetapi dianggarkan antara Km 30 dan 31 jalan lama Kuala Lumpur - Bentong. Sebagai tanda lokasi pertemuan, pengganas komunis akan meletakkan tanda anak panah yang dibuat dari daun-daun menghala kearah kiri jalan dari pekan Bentong ke Kuala Lumpur.

Dua pasukan ronda VAT 69, Delta 1 dan Delta 2 dibawah pimpinan ASP Mohd. Yunus Lazim digerakkan ke kawasan tersebut pada malam 11 Feb 1980, empat hari sebelum tarikh penghantaran bekalan makanan tersebut akan dibuat. Mereka mengambil perlindungan 2 kilometer di dalam hutan dari lokasi tersebut untuk mengelakkan dari dikesan oleh pengganas komunis dan mengagalkan misi tersebut kerana objektifnya adalah untuk mengikut pengganas komunis balik dan mengenalpasti kedudukan kem mereka di dalam hutan.



komando pasukan polis VAT 69 semasa era insurgensi


Dua hari kemudian, pada 13 Feb 1980, Special Branch mengesahkan bekalan telah dihantar. Kini tugas kumpulan ronda adalah mengesan "drop-off point" tempat bekalan dihantar. Mereka berjaya menemui kesan tayar sebuah van membuat U-turn, sedikit taburan beras dan satu paket mee segera yang jatuh semasa kerja pemunggahan dilakukan. Mereka juga mengesan tanda-tanda pergerakan 6 hingga 8 orang di kawasan tersebut. Kesan tapak kaki agak dalam, menandakan mereka membawa barang-barang yang berat. Memandangkan waktu telah menunjukkan jam 6 petang, kumpulan ronda VAT 69 mengambil keputusan bermalam di situ. Mereka tidak memasak makanan pada malam itu untuk mengelakkan bau masakan dikesan musuh dan hanya bergantung pada rangsum tempur dan air minuman sahaja. Anggota pasukan ronda tidak dapat tidur pada malam itu kerana hujan turun dengan lebatnya selepas tengah malam.

Subuh keesokkannya, mereka meneruskan penjejakan. Mereka bernasib baik, walaupun hujan lebat pada malamnya, kesan pergerakan musuh masih kelihatan jelas. Keteika mereka berehat diatas sebuah bukit, tiba-tiba terdengar suara orang bercakap-cakap. Untuk mengenalpasti samada pengganas komunis atau penoreh getah, VAT 69 menghantar 2 anggota untuk meninjau ke arah suara tadi. Ketika sedang mereka merangkak, salah seorang telah terlanggar batu yang bergolek turun dari bukit menuju ke arah suara tadi. Berlaku tembak menembak dan musuh berjaya melarikan diri.

Dalam penjejakan berikutnya yang mengambil masa setengah hari, mereka telah ditembak apabila tiba di satu kawasan kaki bukit. Setelah pengganas komunis berundur, kumpulan ronda VAT 69 menemui kesan darah (seorang pengganas komunis cedera) dan kawasan khemah seluas 90 meter persegi yang dilengkapi dengan bilik syarahan, dapur dan tandas.Kem ini dianggarkan boleh menempatkan 30 pengganas komunis. Terdapat juga baju-baju orang awam yang mungkin merupakan rekrut baru PKM disitu.



Penjejakan diteruskan walaupun pergerakan agak perlahan kerana dikhuatiri pihak musuh memasang banyak jerangkap samar. Mereka terpaksa melalui denai yang sempit dan dalam satu barisan sahaja (single file) untuk mengelak risiko jerangkap samar. Enam hari berikutnya pasukan ronda VAT 69 menemui 2 tempat rehat yang jaraknya 300 meter antara satu sama lain. Kesan-kesan menunjukkan musuh bermalam di situ hanya untuk satu malam sebelum meneruskan pergerakkan. Pada hari yang ke sepuluh operasi, pasukan ronda menemui sebuah lagi kawasan rehat 1,200 meter dari  lokasi kawasan rehat terakhir yang ditemui. Pasukan ronda berhenti rehat disitu, dan semasa berjalan mencari punca air, Konstabel Halim bin Puteh, operator radio, telah terpijak jerangkap samar dan kakinya putus separas lutut. Mereka terpaksa meletupkan beberapa batang pokok untuk membolehkan mangsa dikeluarkan dari kawasan tersebut dengan kaedah winching. Proses evakuasi mengambil masa kira-kira 15 minit setelah ketibaan helikopter. Insiden ini tidak melemahkan moral para anggota VAT 69 tapi membangkitkan kemarahan mereka. Manakala di pihak musuh, dengan terdengarnya bunyi letupan, ia menggalakkan mereka memasang lebih banyak lagi jerangkap samar.

Pada ketika ini, 8 lagi pasukan ronda VAT 69 telah dimasukkan ke dalam kawasan operasi. Mereka menemui 5 lagi tempat perhentian/kawasan rehat musuh. Terdapat tanda-tanda pengganas komunis telah kehabisan bekalan makanan dengan penemuan kulit monyet, kulit ubi kayu, kulit rangka kura-kura dan kulit pisang muda. Pada 20 Feb 1980, untuk melengahka pasukan pergerakan musuh, VAT 69 telah meminta bantuan tembakan artileri dan serangan udara menggunakan jet Tebuan. Selama seminggu berturut-turut tembakan artileri dibuat pada waktu malam untuk menghalang musuh berehat dan membuatkan mereka sentiasa bergerak. Koordinasi lokasi yang diberikan oleh VAT 69 kepada pasukan artileri agak tepat kerana terdapat penemuan kesan darah, yang menggambarkan musuh berada di dalam posisi "sitting duck". Selepas tamat tembakan bantuan dari pasukan artileri, 2 batalion Pasukan Polis Hutan telah digerakkan dikawasan sekitar Genting Highlands bagi menghalang pasukan komunis yang diburu bergabung dengan pasukan Armed Work Force (AWF) mereka. Jika ini berlaku, mereka akan dengan mudah dibawa keluar dari hutan dengan pakaian orang awam yang dibekalkan oleh pasukan AWF.




Pada 27 Feb 1980, hari ke-17 operasi, VAT 69 menemui satu lagi kawasan rehat musuh. 3000 meter dari penemuan terakhir. Adalah menjadi amalan biasa apabila sesuatu kawasan musuh ditemui, 3 anggota pasukan ronda akan diarahkan membuat pemeriksaan, sebelum anggota pasukan ronda lain masuk ke kawasan tersebut. Risiko yang diambil oleh pasukan yang membuat pemeriksaan adalah amat tinggi. Kali ini, dalam masa kurang 3 minit pemeriksaan dibuat, Sarjan Yusoff terpijak jerangkap samar dan cedera parah pada kaki kirinya. Dia juga ditarik keluar dengan helikopter. Penjejakan seterusnya menjadi semakin perlahan kerana telah berlaku dua insiden jerangkap samar. Mereka jangkakan berada 2 hari dibelakang pasukan pengganas komunis. VAT 69 sekali lagi meminta bantuan serangan udara untuk menghalang musuh bergerak lebih jauh lagi, dan membolehkan paukan ronda VAT 69 merapati musuh lebih cepat. Kawasan seluas 2 petak peta telah ditanda, dengan 6 sasaran ditanda sebagai tempat kemungkinan pengganas komunis akan berhenti rehat. Sebuah helikopter Nuri bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) dengan menggugurkan smoke canister pada koordinat yang ditandakan, dan seterusnya pengeboman dilakukan oleh 2 buah jet Tebuan. Selepas mendapat "clearance" pasukan di darat melakukan pengelidahan dikawasan pengeboman dan mendapati koordinat kedudukan musuh yang diberikan oleh VAT 69 untuk serangan udara adalah tepat. Terdapat kesan-kesan musuh berpecah kepada dua kumpulan dan mereka telah kehabisan makanan,


- BERSAMBUNG -


Rujukan - sejarah VAT 69 dilatih oleh SAS (link)

1 comment:

  1. Satu kisah yang penting dalam mengajar erti perjuangan dan kedamaian. Betapa mahalnya pengorbanan yang diberikan oleh anggota keselamatan. Kepada perwira yang gugur- alfatihah, kepada yang non muslim, pengorbanan anda hadiah yang tidak ternilai kepada negara

    ReplyDelete