Thursday 21 August 2014

Communist Party of Malaya and Piyamit Tunnels, Southern Thai / Terowong Komunis

Darurat Pertama (1948 - 1960)

16 Jun 1948 adalah tarikh dimana Darurat diisytiharkan di Malaya apabila pengganas komunis membunuh 3 pengurus ladang berbangsa Eropah di Perak. Pada tarikh 23 Julai 1948, seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan untuk memburu pengganas komunis yang telah melarikan diri ke hutan dan melancarkan pemberontakan bersenjata bertujuan merebut kuasa dan membentuk kerajaan komunis.

Di awal Darurat, pihak British cuma mempunyai 13 batalion infantri (7 Gurkha, 3 British, 2 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Royal Artillery - yang juga menjalankan tugas infantri). Ketika itu jumlah anggota unit tempur hanyalah 5,034 anggota dan 5,660 anggota pula dari pasukan sokongan. Unit-unit tambahan kemudiannya dibawa masuk seperti Royal Marines dan Special Air Service. Negara-negara Komanwel seperti Australia, Rhodesia, New Zealand dan Fiji turut membantu dengan menghantar pasukan tentera masing-masing. Dalam tempoh masa 5 tahun pertama Darurat, Royal Air Force telah melancarkan 4,500 serangan udara keatas kedudukan komunis dihutan-hutan.

Strategi pengasingan dengan memindahkan penduduk-penduduk yang bersimpati dengan perjuangan komunis ke kampung-kampung baru telah menyukarkan pengganas komunis untuk mendapat bekalan makanan dan ubat-ubatan serta lain-lain lojistik. Kekuatan Parti Komunis Malaya pada permulaan Darurat dianggarkan adalah 12,000 gerila. Hasil dari strategi pengasingan dan gerakan-gerakan ketenteraan yang dijalankan jumlah ini telah menurun ke 7,000 pada 1951 dan hanya kira-kira tinggal hanya 2,000 gerila besenjata pada tahun 1957. Darurat diisytiharkan tamat pada tahun 1960, setelah saki baki pengganas komunis melarikan diri dan berlindung di selatan Thai.

Pasukan Komanwel dalam satu operasi

Pengganas komunis

Pengeboman oleh pesawat Lancaster

Pasukan keselamatan

Kasualti bagi Darurat Pertama adalah seperti berikut:

1. PKM - 6,710 kematian, 2,810 cedera, 1,287 ditawan dan 2,702 menyerah diri.
2. Tentera - 519 terkorban dan 959 cedera.
3. Polis (termasuk SC dan AP) - 1,346 terkorban, 1,601 cedera
4. Orang Awam - 2,473 kematian, 1,385 cedera dan 810 hilang


Darurat Kedua (1968 - 1989) / Perang Insurgensi Melawan Pengganas Komunis

Pada tahun 1958 dengan anggaran saki baki 600 anggota, PKM menyusun semula gerakan bersenjata mereka dengan menubuhkan 3 rejimen yang baru di selatan Thai.

- Rejimen ke-8 di Sadao
- Rejimen ke-10 di Waeng
- Rejimen ke-12 di Betong

Kegiatan penyusupan dan atur gerak unit-unit penggempur PKM ke semenanjung Malaysia dilakukan dalam tiga fasa seperti berikut:

Fasa 1 - (1969 - 1973) menubuhkan Unit Penggempur ke-5, ke-8 dan ke-12 yang diatur gerakkan di Kedah, Hulu Perak dan Hulu Kelantan

Fasa 2 - (1973 - 1975) PKM menubuhkan pengkalan tetap di Gua Musang (Unit Penggempur ke-16) dan Pahang Barat (Unit Penggempur ke-6)

Fasa 3 - (1975 - 1977) PKM meluaskan kawasan operasi Unit Penggempur ke-6 sehingga ke timur laut Selangor dan utara Negeri Sembilan.

Dalam menangani kebangkitan semula PKM kali ini, Tentera Darat Malaysia telah melaksanakan operasi besar-besaran seperti siri Operasi Gonzales. Operasi ini dilancar bagi menjejak, mengesan dan seterusnya menghapuskan unit-unit penggempur yang telah mula bertapak di Semenanjung Malaysia. Operas Gonzales juga berjaya menghapuskan ancaman PKM di Pahang dan Perak. Taktik "hit and run" yang dilakukan oleh PKM menghalang kejayaan mutlak Tentera Darat, kerana selepas membuat serangan, penggganas komunis ini akan menyusup lari ke sempadan Thai.

Hasil dari rundingan dengan kerajaan Thai, Tentera Darat Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengejar unit-unit penggempur PKM yang melarikan diri kedalam wilayah Thai, tetapi pengejaran itu tidak boleh melebihi bandar Sadao, di selatan Thai. Dalam tahun 1976, Operasi Daoyai Musnah dilancarkan dan satu markas hadapan telah ditubuhkan di Sadao. Pasukan Tentera Darat Malaysia telah ditempatkan didalam wilayah Thai dan bertindak sebagai pasukan penghalang (blocking force). Dengan strategi ini, pengganas komunis telah terperangkap antara pasukan Tentera Darat Malaysia yang memburu dan pasukan penghalang ynag telah berada didalam wilayah Thai. Banyak lagi operasi-operasi yang dilancarkan seperti Operasi Selamat Sawadee, Operasi Kota, Operasi Cahaya Bena, Operasi Kota Echo, Operasi Setia, Operasi Lundu, Operasi Hentam Galas, Operasi Indera, Operasi Sedar dan Operasi Bravo. Pasukan Polis Hutan (Jungle Squad / Police Field Force) turut terlibat dalam operasi menentang pengganas kominis ini.

Pengganas komunis - PKM

Tentera Malaysia dalam operasi bersama Tentera Thai

Tentera Darat digerakkan dengan helikopter Nuri

Barisan pemimpin PKM

Kredit Foto: semua dari Google Images dan pemilik asal

Pada tahun 1970, kerana konflik dalaman PKM dua kumpulan telah berpecah keluar dari PKM dan menamakan kumpulan mereka sebagai PKM-ML (Marxist-Leninist) dan PKM-RF (Revolutionary Faction). Semenjak Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan China pada Jun 1974, sokongan China kepada PKM semakin berkurangan. Kemudian pada 1981, Deng Xiao Ping menggalakkan PKM untuk berunding dengan kerajaan Malaysia untuk perdamaian. Dengan runtuhnya blok komunis di Eropah pada penghujung 1980an, PKM menyedari bahawa mereka tidak punya harapan untuk mmenegakkan kerajaan komunis di Malaysia, tambahan lagi mereka tidak dapat sokongan rakyat sebagaimana yang diperlukan. Selepas beberapa siri rundingan, Perjanjian Damai telah ditandatangani di Haadyai pada 2 Disember 1989.


Terowong Piyamit

Tidak boleh dinafikan pengalaman dari konflik ini menjadikan pasukan keselamatan (polis dan tentera) begitu arif dalam selok belok peperangan hutan dan juga perang saraf dalam melawan insurgensi. Pengganas komunis dengan kelegkapan yang terhad dan keupayaan mereka untuk hidup dan tinggal didalam hutan dalam jangka masa yang lama amatlah wajar dikaji dan dijadikan pembelajaran, terutama bagaimana mereka menggunakan kreaviti dan peralatan yang sedia ada untuk meneruskan kesinambungan perjuangan mereka.

Salah satu hasil peninggalan pengganas komunis yang kita boleh lihat adalah Terowong Piyamit yang terletak kira-kira 28 km dari Sadao dan kira-kira 40 km dari Bukit Kayu Hitam. Terowong ini dahulu pernah menjadi Markas Division ke-2 PKM yang mampu menampung sehingga 300 orang pada satu-satu masa.

Ia mula dibina pada tahun 1976 dengan tenaga kerja serama 50 hingga 200 orang setiap hari dengan hanya menggunakan peralatan asas seperti cangkul, pahat dan tukul besi. Ia digali 15 meter dari permukaan tanah dan mengambil masa selama 2 tahun untuk disiapkan. Panjang terowong ini adalah 1 km dan dengan lebar dan ketinggian kira-kira 1.5 meter. Ia mempunyai 9 laluan keluar/masuk.

Terowong itu boleh memuatkan bilik tidur, bilik komunikasi, bengkel senjata, bilik menembak, dan dewan latihan. Selain itu, dipermukaan pula, ada disediakan kemudahan-kemudahan seperti berikut:

- 2 gelanggang bola keranjang
- ruang konfrens terbuka
- stor simpanan arang
- tempat rehat
- pondok kelamin
- klinik
- dapur
- tandas
- stor bahan makanan

Oleh kerana terowong ini merupakan tempat perlindungan dari serangan udara dan tembakan artileri, sistem penggera - tin kosong dan tali digunakan untuk memberi amaran akan bahaya yang akan datang. Saya belum berkesempatan untuk melawat terowong ini lagi. Gambar-gambar dan maklumat saya kredit kepada pemiliknya sebagaimana link-link dibawah.










Link:




http://www.awm.gov.au/atwar/malayan-emergency/

http://www.psywar.org/malaya.php

http://pengundisetiasungairapat.blogspot.com/2011/10/terowong-komunis-di-betong-yang-perlu.html

https://www.blogger.com/blogger.g?blogID=529408527308614529#editor/target=post;postID=5421381849044893672;onPublishedMenu=posts;onClosedMenu=posts;postNum=0;src=link

No comments:

Post a Comment