Tentera Brazil dikatakan antara pasukan tentera yang paling terlatih dalam peperangan hutan. Keadaan hutan di Malaysia yang beriklim tropika tidak jauh bezanya dari hutan di Amerika Tengah atau Amerika Selatan. Tentera British dan Perancis juga menjalani latihan hutan di Belize dan French Guyana.
Rangsun tempur ATM
Sarawak Rangers
Polis Di Raja Malaysia (PDRM) juga mempunyai batalion Senoi Praaq yang terdiri dari Orang-orang Asli yang mahir dalam selok belok hutan. Salah seorang yang terkenal di kalangan tentera Komanwel (Australia dan New Zealand), adalah Sarjan Apot yang diberi gelaran "The Big Nose" kerana kemahiran beliau dalam penjejakan hutan. Mari kita lihat sumbangannya pada pasukan komando VAT 69 dalam Operasi Setia 13/79 di Tanjung Malim.
Kurang dari 3 bulan setelah pasukan VAT 69 bertempur dengan pengganas komunis di Kuala Kubu Baru, terdapat laporan perisikan dari Special Branch bahawa 4 pengganas komunis telah kelihatan mencuba mendapatkan bekalan makanan dan rekrut baru di kawasan Tanjung Malim, Selangor. Kumpulan Ronda Alpha 2 dibawah pimpinan Inspektor Goh Kim Hua dengan dibantu oleh Sarjan Apot yang terkenal dengan kepakarannya dalam penjejakan hutan (link). Beliau telah dapat mengesan pergerakan 4 anggota pengganas komunis tersebut dua hari selepas VAT 69 dimasukkan ke dalam kawasan operasi (16 Nov 1979). Pasukan Ronda Alpha 2 meneruskan penjejakan sehinggalah mereka menemui tempat rehat (RP - resting place) yang telah ditinggalkan kira-kira seminggu lamanya. Seterusnya, mereka menemui satu RP setiap hari yang digunakan hanya untuk satu malam sahaja oleh pengganas komunis tersebut. Mereka dijangka membawa bebanan berat kerana meninggalkan kesan tapak kaki yang dalam, dan ini jelas kelihatan pada tanah lembut dan becak selepas hujan.
Bebanan dan bentuk mukabumi memberi kesan kepada mobiliti.
Tempoh sesuatu misi menentukan berapa banyak rangsum dan bekalan peluru yang perlu dibawa. Menjadi kebiasaan anggota pasukan keselamatan kita dahulu menukarkan rangsum makanan dalam tin yang lebih berat kepada biskut atau mee segera yang lebih ringan digalas.
Pasukan komando Rhodesia dilatih membawa sedikit bekalan makanan dan bergantung kepada ikhtiar hidup seperti memakan daging biawak dan baboon.
Pada 24 Nov 1979, hari ke sembilan operasi, Alpha 2 semakin menghampiri pasukan pengganas komunis tersebut, kira-kira sehari perjalanan dibelakang mereka. Ketika ini, VAT 69 telah menjumpai 11 tempat rehat dan mendapati pengganas komunis tersebut tidak berusaha untuk memadam kesan tapak mereka. Pada hari kesepuluh operasi, pasukan ronda Alpha 2 menemui kesan yang masih baru menuju ke arah FELDA Trolak. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1 petang, dan mereka mengambil keputusan untuk berhenti makan tengahari. Pada jam 3 petang, semasa meneruskan rondaan, hujan turun dengan lebatnya, diikuti dengan angin yang kuat dan petir. Keadaan ini semakin menyukarkan penjejakan, tetapi Sarjan Apot tidak mahu mengalah dan meneruskan penjejakan. Dua jam kemudian beliau berjaya mengesan tapak kaki (tanpa kasut) menuju ke atas bukit. Apa yang menjadi persoalan, adakah ia kesan tapak kaki Orang Asli? Setelah memerhati buat seketika, Sarjan Apot yang sememangnya berpengalaman tidak boleh diperdaya oleh pengganas komunis. Menurut perkiraannya, tapak kaki Orang Asli sedikit melebar pada ibu jari kaki kerana mereka biasa berjalan tanpa kasut. Beliau amat pasti tapak kaki tersebut milik pengganas komunis yang cuba memperdaya mereka.
Kira-kira 3 kilometer dari Trolak, mereka telah menemui kumpulan pengganas komunis tersebut sedang menyediakan tempat rehat kerana senja menjelang tiba. Alpha 2 juga mengambil keputusan untuk tidak menyerang kerana hari semakin gelap. Malam itu mereka merangkak menghampiri perimeter tempat rehat musuh, dengan uniform mereka yang basah kerana hujan siang tadi dan hanya memakan biskut dan air sejuk sahaja, mereka menunggu matahari terbit untuk melancarkan serangan. Sepanjang malam mereka tidak tidur kerana mengawasi aktiviti pengganas komunis tersebut. Musuh tidak sedar mereka sedang dikepung dan meneruskan aktiviti seperti memasak dan menghidupkan unggun api untuk mengeringkan pakaian mereka yang basah akibat hujan.
Setelah melakukan penggeledahan, Alpha 2 menemui kesan darah musuh yang cedera tadi, sepucuk pistol Browning dengan satu megazin dan 49 butir peluru 9mm, sepucuk pistol Llama dengan satu megazin dan 30 butir peluru .32, sebutir grened, peralatan membuat jerangkap samar dan beberapa dokumen. Operasi susulan dibuat dengan memasukkan beberapa lagi kumpulan ronda VAT 69. Mereka hanya berjaya menemui beberapa RP sahaja. Pada 22 Jan 1980, setelah 67 hari beroperasi di kawasan tersebut, kesemua pasukan ronda VAT 69 ditarik keluar untuk direhatkan seketika. Bagi menggantikan mereka, Batalion ke-3, Pasukan Polis Hutan (PPH) telah digerakkan ke FELDA Trolak. Mereka melakukan rondaan secara intensif sehinggalah pasukan VAT 69 mengambil alih kembali tugas di kawasan tersebut 2 minggu kemudian. Pengurus FELDA tersebut telah diberitahu bahawa beberapa orang pengganas komunis sedang diburu dan salah seorang dari mereka mengalami kecederaan. Beliau diarahkan menghubungi pejabat Special Branch di Slim River jika ternampak orang asing yang mencurigakan.
Anggota pengganas Parti Komunis Malaya
Sepuluh hari selepas pasukan VAT 69 direhatkan, 3 pengganas komunis tersebut, dua lelaki dan satu wanita, dengan berpakaian seperti orang awam, telah berjalan menuju ke dalam kawasan FELDA Trolak pada jam 6 pagi dan menahan sebuah teksi. Mereka menawarkan pemandu teksi tersebut RM 30 untuk membawa mereka ke Kampung Slim yang hanya beberapa kilometer sahaja dari situ. Ketika teksi tiba di pintu keluar kawasan FELDA tersebut, pengawal keselamatan FELDA telah menahan dan meminta kesemua penumpang menunjukkan kad pengenalan mereka. Setelah gagal menunjukkan kad pengenalan, dengan pantas pengawal keselamatan tersebut merampas kunci kereta. Dia kemudian melaporkan kepada Pengurus FELDA tentang tangkapan 3 orang asing telah dibuat. Pasukan Special Branch tiba beberapa minit setelah menerima panggilan dari Pengurus FELDA tersebut.
Apabila tiba di Balai Polis Trolak, seorang Koperal Polis telah memeriksa payung yang dibawa oleh wanita tersebut dan mendapati sepucuk pistol jenis Llama terjatuh ke lantai. Setelah di soal siasat oleh Special Branch mereka mengaku bahawa mereka ahli Armed Work Force (AWF) Parti Komunis Malaya yang beroperasi di kawasan Tanjung Malim - Slim River. Mereka menceritakan yang mereka dalam misi mengumpul dan menyorokkan bahan makanan, dan tidak sedar yang mereka telah diekori oleh pasukan ronda Alpha 2. Pertempuran yang berlaku pada 25 Nov 1979 telah membunuh Hak Keong, Ahli Komiti Daerah, AWF dan mencederakan isterinya. Isterinya yang kehilangan banyak darah telah pengsan semasa dibawa lari, tetapi dapat berjumpa semula 2 orang kawannya disebuah perkampungan Orang Asli yang berhampiran. Setelah bersembunyi selama sebulan, mereka yakin dapat melepaskan diri dari pasukan keselamatan dan cuba untuk bergabung dengan pasukan mereka di Tanjung Malim dengan mengambil teksi di Felda Trolak, tetapi tertangkap. Special Branch kemudian menangkap Tok Batin Orang Asli berkenaan, dimana beliau mengaku telah di upah oleh pengganas komunis beberapa kali sebelumnya.
Sarjan Apot telah bersara dengan pangkat Sarjan Mejar pada tahun 2004 dan kini menjadi seorang penoreh getah (link) sepertimana rencana dalam akhbar Utusan Malaysia pada 19 Feb 2011. Rencana oleh akhbar Sinar Harian (link).
Hebat...
ReplyDelete