Thursday 2 October 2014

PKI / communist coup attempt in Indonesia - 30 September Movement 1965 / Gerakan 30 September G30S - Part 1 Ahmad Yani

Di awal tahun 1960 an, Soekarno yang menjadi Presiden Republik Indonesia pada ketika itu mempunyai kecenderungan menyokong Partai Komunis Indonesia (PKI - diketuai oleh D. N, Aidit). Beliau memaksa untuk menerapkan doktrin NASAKOM (Nasionalisma - Agama - Komunisma) didalam angkatan bersenjata ketika itu dan juga menyokong usul PKI untuk menubuhkan cabang angkatan bersenjata yang ke-5 iaitu tentera rakyat dan mempersenjatai meraka (sebagai tambahan kepada angkatan darat. laut, udara dan polis yang sedia ada). Sokongan yang ditunjukkan oleh Soekarno kepada PKI boleh difahami kerana PKI pada ketika itu merupakan parti komunis yang terbesar diluar China dan Soviet Union, dan hal ini amat penting baginya untuk mengekalkan kuasa. Bagaimanapun perkembangan ini adalah tidak disenangi oleh para-para Jeneral didalam Angkatan Darat (AD).

DN Aidit, 1955

Soekarno berucap dalam satu perhimpunan PKI.

PKI diasaskan oleh sosialis Belanda bernama Henk Sneevliet pada 1914, dikenali sebagai Indische Sociaal Democratische Vereeniging (ISDV - Persatuan Sosial Demokrat Hindia Belanda). Pada kongres di Semarang dalam bulan Mei 1920, ISDV diubah menjadi Perserikatan Komunis di Hindia (PKH). Pertubuhan ini kemudiannya dinamakan sebagai PKI pada 1924. PKI berkembang dengan cepat, dengan hanya 5,000 anggota pada 1951, menjadi 165,000 pada 1954 dan meningkat naik sehingga 1.5 juta pada 1959. Pada tahun 1965 kenaggotannya mencapai 3 juta orang tidak termasuk 3 juta orang dari pergerakan pemudanya. Selain itu, PKI juga menguasai pertubuhan-pertubuhan pekerja yang mempunyai 3.5 juta ahli dan Barisan Tani Indonesia dengan 9 juta keahlian. Hubungan yang baik antara Republik Indonesia dan Soviet Union menjadikan Indonesia kuasa tentera yang kuat dan moden dengan sumbangan 17 buah kapal untuk Angkatan Laut, ini termasuk kapal kruiser seberat 16,000 tan (kelas Sverdlov) dan juga pemilikan 12 kapal selam kelas Whiskey pada tahun 1961 hingga 1965. Angkatan Udara pula memiliki pesawat pejuang  - 20 MiG 21, 10 MiG 19, 49 MiG 17 dan 30 MiG 15 selain 25 pesawat pengebom jarak jauh Tu16.

Penyokong-penyokong PKI

Aidit menghadiahkan burung Cenderawasih kepada Mao Zedong

KRI Irian kapal kruiser kelas Sverdlov yang disumbangkan kepada Indonesia oleh Soviet. 

Kapal selam kelas Whiskey, sebanyak 12 buah dioperasikan oleh angkatan laut pada tahun 1960an

25 buah pesawat pengebom Tu 16 dioperasikan oleh Angkatan Udara Rep. Indonesia (AURI) pada 1961

Pada bulan Mar 1962, pemimpin PKI, Aidit dan Njoto dilantik menjadi menteri penasihat didalam kerajaan. Menyedari kesihatan Presiden Soekarno yang semakin uzur dan khuatir kehilangan pengaruh didalam kerajaan, pada tahun 1964, PKI menubuhkan Biro Chusus untuk menyusup masuk dan mempengaruhi angkatan bersenjata. Pada 1965, mereka berjaya menguasai sepenuhnya pegawai kanan Angkatan Udara dan meneutralkan Angkatan Laut serta polis. Hanya Angkatan Darat sahaja yang menjadi penghalang dalam usaha mereka.

Pada malam 30 September 1965 (tepatnya subuh jam 0400 - 1 Oktober 1965) berlaku peristiwa penculikan dan pembunuhan 6 pegawai tinggi Angkatan Darat yang didalangi oleh PKI, Jeneral Abdul Haris Nasution terselamat, tetapi anak perempuannya Ade Irma Suryani Nasution dan Adjutan Lt. Pierre Andre Tandean terbunuh. Lain-lain pegawai tinggi yang dibunuh adalah seperti berikut:
  • Lt. Jen Ahmad Yani - Menteri, Panglima Angkatan Darat (AD), Ketua Staf Pemerintah Operasi Tertinggi
  • Mej. Jen Raden Suprapto - Deputi Menteri II, Panglima AD (Pentadbiran)
  • Mej. Jen Mas Tirtodarmo Haryono, - Deputi Menteri III, Panglima AD (Perancangan dan Pembangunan)
  • Mej. Jen Siswondo Parman, - Pembantu I Menteri, Panglima AD (Perisikan)
  • Brig. Jen Donald Isaac Panjaitan - Pembantu IV Menteri, Panglima AD (Lojistik)
  • Brig. Jen Sutoyo Siswomiharjo - Inspektor Kehakiman / Auditor General AD
Kesemua yang terkorban dibuang didalam sebuah perigi buta dikawasan yang dikenali sebagai Lubang Buaya dan mayat mereka ditemui pada 3 Oktober 1965. Perigi itu telah dikambus dan diatasnya ditanamkan sebatang pokok pisang bagi mengaburi lokasi perigi tersebut. Dalam usaha pencarian lokasi itu, salah seorang anggota pencari mengesyaki sesuatu yang pelik apabila terlihat pokok pisang tersebut dalam posisi mencurigakan dan didapati ia tidak berakar.


Pada 16 Oktober 1965, Presiden Soekarno telah melantik Mej. Jen Suharto menjadi Menteri/Panglima Angkatan Darat.

Secara ringkasnya ada beberapa sebab berlakunya tragedi ini:
  • kesihatan Presiden Sukarno - sejak tahun 1964 kesihatan Presiden membimbnagkan. PKI terdesak jika kuasa pemerintahan jatuh ke tangan golongan anti-komunis
  • rancangan penubuhan Angkatan ke-5 (pasukan bersenjata selain Angkatan Darat, Laut, Udara dan Amgkatan Kepolisian). Dalam lawatan Menteri Luar Subandrio ke China, Perdana Menteri Zhou Enlai menjanjikan peruntukan secara percuma 100,000 pucuk rifel. Angkatan ke-5 ini akan dianggotai oleh pekerja buruh dan kaum tani
  • permusuhan antara PKI dan Nahdatul Ulama, Persis serta Muhammadiyah. PKI mengancam akan menyembelih kiyai-kiyai selepas tarikh 30 September 1965
  • Ganyang Malaysia - Soekarno dan Jen A.H. Nasution besetuju untuk "mengajar" Malaysia tetapi tidak dipersetujui oleh Lt. Jen Ahmad Yani. Jen. Nasution terpaksa bersetuju kerana khuatir isu ini akan digunakan sebagai percaturan politik PKI. Akhirnya mereka melancarkan perang separuh hati sahaja sekadar memenuhi tuntukan Soekarno yang amat marah. Kerana tiada kesungguhan dari Angkatan Darat, PKI mengusulkan sukarelawan digunakan dalam konflik ini bagi membantu Angkatan Udara dan Laut yang menunjukkan kesungguhan untuk menjayakan Ganyang Malaysia
  • ada teori yang mengatakan CIA terlibat dalam usaha mengambil kesempatan dalam pergolakan ini untuk menghapuskan ancaman komunis
  • faktor ekonomi - inflasi meningkat 650% menjadikan harga barang keperluan asas melambung tinggi. Rakyat tidak bersetuju dengan Soekarno dan PKI melancarkan Ganyang Malaysia yang membuatkan ekonomi semakin parah, dan ini menjadikan rakyat semakin membenci PKI 
Beberapa bulan selepas insiden ini, semua anggota PKI dan penyokong-penyokongnya telah ditangkap dan dibunuh oleh tentera, organisasi pemuda, golongan sayap kanan seperti PNI (Partai Nasional Indonesia) dan organisasi Islam seperti NU. Pembersihan ini dilakukan di Jawa Tengah (Oktober), Jawa Timur (November) dan Bali (Disember). Dianggarkan antara 500,000 sehingga 1 juta anggota PKI telah dibunuh dan 250,000 orang dipenjarakan di kem-kem konsenterasi.





Tragedi pembunuhan Jen. Ahmad Yani

Beliau berusia 43 tahun pada 1965 dan memegang jawatan Komandan TNI - Angkatan Darat. Dia dibunuh oleh anggota Gerakan 30 September (G30S) yang cuba menculiknya pada malam kejadian (4.35 pagi - 1 Oktober 1965). Dalam peristiwa itu kira-kira 200 anggota G30S telah mengepung rumahnya di Jalan Latuhahary, Menteng, Jakarta. Kebiasaannya rumah ini mempunyai 11 pengawal, tetapi seminggu sebelumnya, terdapat tambahan 6 orang lagi pengawal. Bagaimanapun anggota tambahan tersebut tidak hadir pada malam kejadian.

Isterinya keluar dari rumah pada jam 11 malam dan ternampak seseorang yang sedang memerhatikan diseberang jalan. Beliau tidak mengesyaki apa-apa. Sebelum itu, bermula jam 9 malam, terdapat beberapa panggilan telefon tetapi apabila dijawab, pemanggilnya mendiamkan diri. Seperti rutin seharian, Jen. A. Yani menerima bebrapa tetamu dirumahnya, termasuk kunjungan seorang Kolenel dari Komando Operasi Tertinggi (KOTI) dan Jen. Basuki Rahmat dari Surabaya yang melaporkan peningkatan aktiviti komunis di Surabaya.

Ketika para penculik tiba, mereka memberitahu Jen. Ahmad Yani telah diarahkan untuk berjumpa Presiden. Dia meminta sedikit waktu untuk bersiap dan menggantikan pakaian, ketika penculik menolak permintaannya, dia menjadi marah dan menampar salah seorang penculik dan cuba menutup pintu. Salah seorang penculik melepaskan tembakan yang membunuhnya serta-merta. Mayatnya dibawa ke Lubang Buaya dan ditanam diperigi buta bersama-sama mayat pegawai kanan Angkatan Darat yang juga diculik dan dibunuh pada masa yang sama. Mayat mereka cuma ditemui 3 hari kemudian, iaitu pada 4 Oktober 1965.

Foto-foto lawatan ke Museum Sasmitaloka Pahlawan Revolusi Jenderal Ahmad Yani

Pandangan dari hadapan yang dulunya kediaman Jen. A. Yani

Masuk ikut sebelah kiri bangunan, iaitu arah datangnya pasukan pemculik

Pandangan dari sebelah kanan

Tarikh rasmi dijadikan muzium

Kesan tembakan pada pintu

Tapak gugurnya Jen. Ahmad Yani setelah ditembak, dibelakang pintu tadi

Kesan peluru pada kabinet bertentangan pintu

Ruang menunggu bagi pelawat yang hendak berjumpa Jen. A. Yani pada zaman itu. Sebelah kiri adalah pintu hadapan.

Bilik Adjutan disebelah kiri ruang menunggu

Ruang utama, disinilah Jen. A. Yani menerima para tetamu

Ruang rehat disebelah ruang utama

Kereta yang pernah digunakan oleh Jen. A. Yani

Gambar bersama staf muzium



Link:



No comments:

Post a Comment