Bagi menguatkan pertahanan perairan negara, lebih-lebih lagi selepas berlakunya Konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia, kerajaan telah menempah beberapa buah kapal peronda untuk kegunaan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dari firma Vosper Limited, England pada tahun 1965. KD BADEK adalah kapal peronda dalam kelas KRIS yang membentuk Skuadron Kapal Peronda Ke-14.
KD Badek |
Kapal-kapal dalam kelas KRIS ini mempunyai berat/sesaran 96 tan, panjang 31.4 meter, lebar 6 meter. Ia dilengkapi dengan persenjataan 2 x meriam 40/70mm Bofors dan juga mesingan GPMG. Dengan 2 buah enjin jenis MTU MD 655/18, ia boleh mencapai kelajuan sehingga 27 knot.
KD Badek telah ditauliahkan pada 15 Disember 1966 dan ditempatkan di Tanjung Gelang, Pahang. Antara kapal lain dalam kelas yang sama dengan KD BADEK (no. pennant 37) adalah KD KRIS (34), KD SUNDANG (36), KD RENCHONG (38), KD TOMBAK (39), KD LEMBING (40), KD SERAMPANG (41), KD PANAH (42), KD KERAMBIT (43), KD BELADAU (44), KD KELEWANG (45), KD RENTAKA (46) dan KD SRI SARAWAK (3145).
Sempena Hari TLDM yang ke-65 pada tahun 1999, KD Badek telah memenangi Piala Agong semasa berada di bawah Pegawai Memerintah Leftenan Komander Mohan a/l Ayappan. Piala ini yang diperkenalkan pada tahun 1979 oleh Yang di-Pertuan Agong, dianugerahkan kepada kapal yang mencapai dan mengekalkan tahap operasi yang cemerlang. KD Badek telah beroperasi di laut selama 3,672 jam dengan jarak perjalanan sejauh 150,594 batu nautika untuk mengawal keselamatan perairan negara, selain menyertai latihan-latihan ketenteraan (link).
KD Badek telah di lucut tauliah dari perkhidmatan TLDM pada 1 Ogos 2005, setelah berkhidmat selama kira-kira 38 tahun 7 bulan bersama TLDM. Kesemua kapal-kapal dari kelas ini telah berkhidmat hampir 40 tahun sebelum dilucutkan tauliah. KD Lembing, sebagai contoh telah berkhidmat selama 39 tahun 2 bulan dan di lucut tauliah pada 23 Jun 2006. Sepanjang tempoh ini, KD Lembing telah diperintah oleh 25 orang Pegawai Memerintah, sesungguhnya ia satu tempoh yang lama bagi kapal-kapal dari Skuadron Kapal Peronda ke-14 ini berbakti yang juga menunjukkan keupayaan senggaraan yang baik oleh TLDM.
Pembelian aset-aset baru dan perlaksanaan program Service Life Extension Program (SLEP) oleh TLDM telah membolehkan TLDM menyerahkan sebahagian aset-asetnya yang lebih kecil kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bersesuaian dengan peranan APMM sebagai satu pasukan pengawal pantai. Penyerahan Fasa Pertama dilakukan pada bulan Ogos 2005 yang melibatkan enam buah kapal (KD Kris, KD Sri Sarawak, KD Badek, KD Kelewang, KD Sundang dan KD Panah) kepada APMM. Penyerahan Fasa ke-2 pula dilakukan pada bulan Januari 2006 yang melibatkan lagi tujuh buah kapal (KD Kerambit, KD Renchong, KD Rentaka, KD Sri Sabah, KD Tombak, KD Beladau dan KD Negeri Sembilan) (link).
KD Badek kemudiannya meneruskan perkhidmatannya di dalam APMM dan dikenali dengan nama KM (Kapal Maritim) JARAK. KM Jarak telah diletakkan dibawah pentadbiran Daerah Maritim ke-9 (DM 9), berpangkalan di Kuala Terengganu. DM 9 ketika itu berkekuatan 90 kakitangan termasuk 5 pegawai dan dilengkapi dengan kapal dan bot KM Jarak, KM Segantang, Bot Kilat 737, Bot Kilat 712 dan Bot Pelindung Satu. Kerana kos selenggaraan yang semakin meningkat, dan kondisinya semakin usang, KM Jarak telah dihadiahkan kepada Jabatan Taman Laut pada bulan Ogos 2014 untuk dijadikan tukun tiruan (link).
KM Jarak (3134) telah secara rasminya menamatkan perkhidmatan dengan APMM pada 11 November 2014 setelah ditenggelamkan dengan selamatnya diperairan Pulau Redang. KM Jarak meneruskan baktinya di dasar laut sebagai Peranti Pemuliharaan Biodiversiti oleh Jabatan Taman Laut dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan menjadi daya tarikan baru kepada penyelam scuba disamping menjadi habitat hidupan marin (link).
Pada 23 September 2016, sekumpulan penyelam rekreasi dari Kelab Peminat Sejarah Malaysia (KPSM) telah melakukan selaman kira-kira 40 minit di lokasi tenggelamnya KM Jarak. Ia terletak pada kedalaman 17 meter. Keadaan cuaca pada hari itu sangat baik, tiada arus dan jarak penglihatan adalah kira-kira 10 meter. Kami dapati keadaan kapal masih baik lagi, nombor penant 3134 dan tulisan Maritim Malaysia masih jelas kerana ia masih baru lagi untuk dijadikan habitat oleh hidupan marin.
Foto oleh Nadia M.M. |
Foto oleh Nadia M.M. |
Kapal pernah saya bertugas sebagai juru electric, sedih saya dia di tenggelamkan! Tapi, rasa bangga juga dia maseh berguna pada negara! HIDUP KD BADEK!
ReplyDelete