Wednesday 10 December 2014

How Israel shaped the Singapore Army 1965 to 1974

"Kami merasa lega Israel tidak ditewaskan dalam Peperangan Enam Hari (The Six-Day War) atau Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan hilang kepercayaan kepada mereka" kata Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura yang pertama pada tahun 1967. Peperangan tersebut berlangsung antara 5 Jun 1967 hingga 10 Jun 1967 dimana Israel berjaya menewaskan gabungan tentera Mesir, Syria dan Jordan dalam masa 6 hari. Pada masa yang sama, kontinjen kecil dari tentera Israel (IDF - Israel Defence Forces) sedang melatih anggota pasukan Tentera Darat Singapura. Dalam buku tulisannya "From Third World to First: The Singapore Story 1965-2000", buat pertama kalinya bekas Perdana Menteri itu menceritakan rahsia yang tersimpan selama 40 tahun bagaimana IDF membantu melatih anggota SAF (Singapore Armed Forces) secara senyap. Kumpulan jurulatih IDF itu dikenali sebagai "The Mexicans" bagi tujuan penyamaran kerana rupa mereka lebih mirip seperti orang Mexico, Menurutnya lagi, pada ketika itu adalah perlu hal tersebut dirahsiakan kerana bimbang akan protes dari masyarakat Muslim di Malaysia dan Singapura yang mungkin akan memberi kesan kepada program latihan tersebut.

Lt. Col Yehuda Golan bersara sebagai Bigadier General, komander kepada Kor Armor IDF

Selepas Singapura mengisytiharkan kemerdekaan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, Tentera Darat Singapura hanya berkekuatan 2 batalion infantri yang kebanyakkannya dianggotai oleh orang-orang Melayu. Ini adalah bertentangan dengan nisbah penduduk Singapura dimana Melayu merupakan kaum minoriti. Permohonan PM Lee Kuan Yew kepada India dan Mesir, iaitu negara-negara yang mengetuai NAM - Non-Aligned Movement pada ketika itu untuk melatih SAF tidak mendapat sebarang respon positif. Switzerland sendiri yang memiliki program pasukan tentera simpanan yang sistematik mencadangkan adalah lebih baik jika Singapura tidak memiliki pasukan tenteranya sendiri. Britain pula ketika itu sedang sibuk membantu melatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga terpaksa menolak setelah mengambilkira hubungan antara Malaysia dan Indonesia.



Goh Keng Swee, Menteri Pertahanan ketika itu merayu kepada bekas Duta Israel ke Thailand, Mordechai Kidron yang akhirnya datang ke Singapura untuk membantu merangka program latihan oleh IDF. Menurut Hezi Carmel, wakil dari agensi risikan Mossad, yang sama-sama tiba di Singapura dengan Mordechai Kidron, Goh Keng Swee amat yakin bahawa hanya Israel sahaja yang mampu melaksanakan tugas melatih SAF, berdasarkan situasi politik dan geografi Singapura yang mirip kepada Israel..

Berikutan itu, Ketua Staff IDF, Yitzhak Rabin dan timbalannya, Ezer Weizmann telah melantik Major Gen. Rehavam Ze'evi (dikenali sebagai Gandhi) sebagai pengarah projek latihan. Zeevi, secara sulit telah melawat Singapura dan sekembalinya ke Israel, beliau telah menyiapkan doktrin ketenteraan untuk SAF berasaskan pengalaman Israel sebagai sebuah negara kecil yang timbul dikelilingi ancaman negara-negara Arab. Pada 1965, Ze'evi kemudiannya melantik Yaakov Jack Elazari untuk mengetuai misi dan dia juga memasukkan Lt. Col Yehuda Golan ke dalam kontinjen yang sama ke Singapura. Menurut Golan, mereka menerbitkan "Brown Book" berkenaan doktrin perang dan "Blue Book" berkaitan pembentukan Kementerian Pertahanan dan agensi perisikan. "Brown Book" telah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dan dihantar kepada kerajaan Singapura pada tahun yang sama.

Sebelum bertolak ke Singapura, delegasi ini telah diarahkan berjumpa Rabin. "sahabat,...saya mahu kamu ingat beberapa perkara, pertama, kita tidak akan menukar Singapura menjadi koloni Israel, tugas kamu adalah mendidik mereka dalam profesion ketenteraan, membolehkan mereka berdikari dan mengurus pasukan tentera sendiri. Kedua, kamu tidak akan memerintah mereka, tetapi berhak memberi nasihat. Ketiga, kamu bukan saudagar senjata, Apabila kamu mencadangkan pembelian senjata, gunakan pertimbangan yang wajar dan profesional tanpa condong kearah Israel" kata Rabin.

Singapura mula menerima delegasi pertama seramai 8 pegawai IDF yang dibahagikan kepada 2 kumpulan pada bulan Oktober 1965.
  1. Kumpulan pertama diketuai oleh Col. James Elazaar yang bertanggungjawab membentuk Kementerian Pertahanan. Mereka cuba melaksanakan satu sistem yang mengabungkan pemerintah tentera dan pegawai awam supaya tidak ada pertindihan kuasa, dan juga cuba menerapkan beberapa konsep baru "ideal army" yang mereka gagal laksanakan di Israel atas beberapa sebab.
  2. Kumpulan kedua pula diketuai oleh Lt. Col Yehuda Golan, yang merupakan komander Briged Golani diberi tanggungjawab membentuk pasukan infantri, garis panduan, manual untuk para komander dan pegawai.
Elazari mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pasukan yang telah membuat kajian awal. Tugas yang pertama adalah membina pasukan jurulatih dan komander dari rakyat tempatan, dan kemudiannya latihan praktikal dikendalikan sendiri oleh jurulatih dan komander SAF yang telah dilatih.

Permintaan Singapura untuk penasihat IDF melatih tentera mereka dalam peperangan hutan memeranjatkan delegasi Israel. Singapura hanya memiliki kawasan hutan tidak lebih 6 km persegi dan ini menyukarkan latihan. Golan juga mengatakan, dia bukan seorang yang sesuai untuk tugas tersebut kerana tidak memiliki pengalaman dalam perang hutan. Beliau kemudian mencadangkankan Singapura menghantar pegawai menghadiri kursus tersebut di Malaysia. 3 bulan kemudian, 2 orang pegawai Tentera Darat Singapura telah kembali dari kursus di Malaysia. Setelah diteliti, beliau mendapati kursus yang diajarkan sama seperti taktik yang British gunakan dalam Perang Dunia Ke-2. Beliau kemudiannya memilih 10 pegawai dan memulakan latihan perang hutan menggunakan manual tentera Amerika di Vietnam. Selepas beberapa minggu berlatih, Golan mula menulis manual latihan perang hutan untuk Tentera Darat Singapura,

Keutamaan diberikan kepada "teacher training" iaitu program membentuk satu kumpulan jurulatih yang besar dan berwibawa yang mampu melatih generasi baru SAF. Pengambilan pertama pada Feb 1966 diadakan, dimana seramai 40 pelatih dipilih untuk menjalani latihan selama 3 bulan. Mereka diambil dari 2 buah batalion infantri yang sedia ada, dari pasukan Polis, Singapore Volunteer Corps dan juga Kementerian Pelajaran. Pada bulan Jun, 300 kadet telah terpilih dari 2,500 permohonan sukarela yang kebanyakannya pegawai kerajaan dalam perkhidmatan awam untuk memulakan latihan sebagai pegawai kadet di SAFTI (Singapore Armed Forces Training Institute). Menurut mereka yang dilatih oleh pasukan IDF ini, mereka mendapati jurulatih IDF lebih terbuka dan demokratik berbanding pegawai-pegawai British, tetapi jurulatih IDF ini lebih tegas dan "demanding". Pada penghujung latihan hanya 117 pegawai kadet berjaya ditauliahkan sebagai pegawai SAF.

Kursus yang pertama adalah mengikut format IDF dimana pelatih harus bangun seawal 5.30 pagi sebagai persediaan dan pengurusan sendiri, sebelum memulakan latihan pada 7.30 pagi. Kerana latihan yang lasak dan jadual yang ketat menyebabkan ramai para kadet membuat aduan, tetapi Menteri Pertahanan, Goh Keng Swee bersetuju dengan jurulatih IDF yang mengenakan denda berganda kepada kadet-kadet yang mengajukan aduan.

Pada perbarisan hari tamat latihan di SAFTI, 16 Jul 1967, Goh Keng Swee berkata "buat pertama kalinya Singapura berhadapan dengan projek yang besar, para jurulatih dan staf SAFTI berjaya mengatasi pelbagai masalah hasil pengalaman dan kerja keras para jurulatih dan penasihat tentera. Kepada mereka semua saya ingin menzahirkan rasa hormat atas pencapaian yang baik ini dalam masa yang singkat". Setahun selepas itu, pada September 1968. SATO (School of Advanced Training for Officers) telah dibuka untuk melatih pegawai bagi persediaan memimpin peringkat kompeni dan batalion. Seterusnya, pada Feb 1970 SCSC (Singapore Command and Staff College) telah dibuka bagi melatih pegawai yang akan memimpin peringkat briged dan memegang jawatan kanan di ibupejabat atau di Kementerian Pertahanan. Kolej ini diketuai oleh Col. Benjamin Ben-Eliezer (Fuad) sehingga pertengahan 1973. Pegawai-pegawai SAF yang telah dilatih ini kemudiannya membentuk sistem kerahan tenaga mengikut acuan IDF dengan 2 tahun perkhidmatan aktif diikuti 10 tahun sebagai anggota simpanan.

Menurut kenyataan Lt. Col Moshe Shefi, pegawai latih di kursus ketua kompeni, terdapat tentangan fisikologi dalam perlaksanaan sistem kerahan tenaga di Singapura. Menurut kajian yang dibuat, dalam 10 profesion, Tentera merupakan pilihan terakhir dibelakang Pencuri. Artis, ahli falsafah, guru dan peniaga merupakan 4 pilihan utama. Kebanyakan dari kaum Cina yang telah di deraf ke dalam pasukan kerahan menunjuk bukti yang mereka telah mempunyai pekerjaan tetap. Hanya 70 % yang dikerah adalah pengganggur dan sebahgian besarnya kaum Melayu. Elazari dan Golan melaporkan situasi ini kepada Lee Kuan Yew dan Goh Keng Swee, tetapi jawapan Lee Kuan Yew adalah "saya mahu kamu melatih orang yang paling primitif didalam Singapura, tidak berpelajaran dan menganggur. Semasa Perang Dunia ke-2, semua tentera British terpelajar tetapi tidak berguna. Tentera Jepun yang lebih primitif berjaya menumpaskan tentera British". Golan kemudian menerangkan, isu pelajaran bukan keutamaan. Tentera Jepun berjaya kerana mereka patuh dan bermotivasi tinggi. Mereka menganggap Maharaja Jepun seperti tuhan dan sanggup berkorban kerananya. Selepas penerangan dibuat, Lee Kuan Yew tertarik dengan cara bagaimana hendak membentuk pasukan tentera yang bermotivasi tinggi.

Menteri Pertahanan, Goh Keng Swee (duduk kiri baris hadapan) dan Lt. Kol Yehuda Golan dibelakangnya. 5 Julai 1967.


Dalam memoirnya, Lee Kuan Yew menulis "jurulatih Israel amat kompeten dalam memindahkan ilmu ketenteraan kepada SAF dan membentuk doktrin berasaskan dari ilmu-ilmu tersebut, yang mana ianya adalah bertentangan dengan apa yang telah diajarkan oleh tentera British. British mengajar secara berperingkat, dari ketua platun, ketua kompeni dan pegawai memerintah dan ini mengambil masa 15-20 tahun perkhidmatan. IDF pula menekankan supaya para pegawai SAF mempelajari dari mereka dan mengambilalih secepat mungkin". Walaupun masih terdapat pegawai-pegawai tentera British yang ditugaskan di pulau itu, mereka tidak campurtangan dalam program latihan ini. 

"Selepas perpisahan dengan Malaysia, kami rasakan bahawa kami tidak ubah seperti Israel, Finland atau Switzerland. Kami mengambil contoh dari Israel untuk menjadikan setiap budak lelaki Singapura berkhidmat dalam pasukan pertahanan" kata Lee Kuan Yew semasa Kongres Sosialis Antarabangsa di Zurich pada tahun 1967. Untuk mencapai matlamat ini, pada Mac 1967, Parlimen Singapura telah meluluskan undang-undang "Perkhidmatan Negara" dan pihak kerajaan melancarkan kempen besar-besaran bagi menarik minat kaum Cina menyertai angkatan tentera. Pada Julai 1967, rekrut kerahan pertama seramai 9,000 orang telah dipanggil untuk latihan. Memandangkan ramai dinatara mereka tidak fasih bernahasa Inggeris, para jurulatih IDF terpaksa menggunakan khidmat jurubahasa. Sepanjang 1967-1968, sekolah-sekolah artileri, komunikasi, jurutera dan perubatan juga telah dibuka.

Pada Januari 1968 kerajaan British telah mengumumkan akan menarik keluar pasukan tenteranya dari Singapura menjelang tahun 1971 sebagai sebahagian dari usaha berjimat cermat dan mengecilkan angkatan bersenjata. Faktor ini telah mempercepatkan lagi pembesaran SAF. Berdasarkan kejayaan Israel dalam Perang Enam Hari, sebagai sebuah negara kecil yang mampu menewaskan Mesir, Jordan dan Syria, Singapura yakin mereka mampu mempertahankan diri sendiri dengan bantuan latihan dari Israel. Pada tahun 1968, delegasi pertama IDF telah menamatkan tugas mereka dan kembali ke Israel. Sebagai ganti, delegasi ke-2 pula tiba dan akan terlibat dalam membantu perkembangan tentera udara dan laut Singapura. Dalam tahun 1969, pasukan regular Tentera Darat Singapura terdiri dari 6 buah batalion infantri. Di bawah pimpinan Lt. Col Asher Dar, latihan pada peringkat briged julung-julung kali diadakan, ini termasuk latihan pendaratan amfibi yang juga dibantu oleh Col. Moshe Shefi dan disaksikan pleh Maj. Gen. Yitzhak Hofi, Ketua Staf Latihan, IDF. Lt. Col Asher Dar, bersama-sama Lt. Col. Yitzhak Zayd juga terlibat dalam pembentukan division infantri yang pertama pada tahun 1970.

Lt. Col Amos Ne'eman, pegawai IDF yang pernah menjadi penasihat tentera di Ethiopia, berpengalaman sebagai paratrooper, tinjauan amfibi, dan perisikan, pada 1969, telah memilih 20 pegawai dan NCO bagi membentuk satu pasukan regular yang baru. Pada 1971, pasukan ini berkekuatan 80 anggota dan dinamakan "Commando". Mereka dilatih dalam penerjunan paracut, serangan amfibi dan helikopter, ikhtiar hidup, risikan dan operasi subversif. Beberapa orang pegawai kemudiannya dihantar berkursus ke US Rangers dan Royal Marines Commandos.

Selain terlibat dalam merangka program latihan SAF. penasihat-penasihat IDF juga bertanggungjawab untuk memberikan pandangan tentang jenis persenjataan yang bakal digunakan oleh SAF. Walaupun terdapat cadangan dari pegawai-pegawai SAF untuk menggunakan Uzi sebagai senjata utama infantri, cadangan ini ditolak oleh para penasihat IDF kerana Uzi hanya sesuai untuk pertempuran jarak dekat. Cadangan untuk memperoleh rifel Galil juga ditolak dan akhirnya SAF dicadangkan untuk menggunakan M-16. Bagaimanapun, mortar 60mm dan 81mm telah dibeli dari Israel, dan kemudiannya dikeluarkan di Singapura dengan lesen dari pengeluar asal.

Pada tahun 1968, pasukan armor ditubuhkan dan sekumpulan 36 pegawai dan anggota Tentera Darat Singapura dihantar ke Israel bagi kursus pengendalian kereta kebal AMX-13 yang baru sahaja dibersarakan oleh IDF selepas Perang Enam Hari. Salah seorang isteri penasihat tentera Israel telah mengajar bahasa Hebrew kepada kontinjen yang akan berlepas ke Israel. Selepas menjalani latihan selama 4 bulan, pada 30 April 1969, mereka ini yang diberi gelaran "camels" kembali ke Singapura dan membentuk program latihan kepada bakal-bakal anggota pasukan armor yang akan ditubuhkan. Pada bulan Julai 1970, 2 buah kompeni yang telah menamatkan latihan dengan AMX-13 dan V-200 Commando telah menubuhkan briged armor yang pertama.

Kerajaan Singapura telah membuat pembelian 350 unit kereta kebal ringan AMX-13 secara sulit tanpa pengetahuan jiran terdekatnya, Malaysia. Hanya pada perbarisan ulangtahun kemerdekaan Singapura pada 9 Ogos 1969 perwakilan dari Malaysia dikejutkan dengan pertunjukan 30 unit AMX-13 yang pertama kali menyertai perbarisan. ATM pada masa itu tidak lagi memiliki pasukan kereta kebal. Selain Israel, India dan Perancis, SAF adalah pengguna terbesar AMX-13 pada ketika itu. Pada tahun 1992, SAF juga dikhabarkan memiliki 80-100 kereta kebal Centurion dan pernah digunakan dalam latihan di Taiwan dan Brunei, tetapi pemilikan aset ini tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh kerajaan Singapura.

kereta kebal ringan AMX-13

"the camels" yang berlatih di padang pasir Israel

AMX-13 dibawa masuk ke Singapura secara sulit tanpa pengetahuan Malaysia

Sementara Tentera Darat Singapura berkembang pesat, pasukan udara juga tidak ketinggalan dalam program pembesarannya sendiri. Di bawah pimpinan Col. Tsivoni Adam, bekas Ketua Staf Teknikal, Tentera Udara Israel (IAF), Disebabkan pengunduran tentera British dari Singapura, kerajaan British telah memberi 50 juta pound sterling kepada Singapura untuk membeli helikopter, pesawat terbang dan peluru berpandu. Menurut Col. Tsivoni Adam, tentera British tidak menggemarinya. Beliau terlibat dalam membuat keputusan dan mendapati British cuba menjual "besi buruk" kepada Singapura. Beliau hanya meluluskan pembelian jet Hunter, dan menentang cadangan lain.

8 unit helikopter Allouette III telah dibeli pada tahun 1969. Pesawat latihan asas penerbangan  pula adalah 8 unit pesawat Cessna 172K yang dibeli pada tahun yang sama. Pada tahun 1970-71 pembelian 20 jet pejuang Hunter dan 16 unit jet latihan Strikemaster telah dilakukan, kemudian pada tahun 1972 mereka menerima lagi tambahan jet-jet Hunter dan pesawat latihan asas SF 260. 50 unit A-4 Skyhawk yang telah dibaikpulih telah dibeli dari US Navy pada tahun 1974.

Pembangunan Tentera Laut pula dipacu oleh Capt. Zvi Tirosh, Timbalan Ketua Staf Operasi, Tentera Laut Israel. Sekolah untuk tentera laut telah dibuka di Pulau Sentosa dengan melatih seramai 160 kadet. Pada tahun yang sama mereka membeli 6 unit bot peronda dari Britain diikuti dengan pembelian 6 unit bot penyerang (FAC-M) dari Jerman.

Program latihan oleh penasihat IDF yang bermula pada tahun 1965 dengan kontinjen permulaan seramai 8 orang telah meningkat kepada 45 penasihat dikemuncaknya, pada tahun 1969. Program ini kemudiannya ditamatkan pada tahun 1974 setelah SAF berupaya untuk berdikari. Menurut Lee Kuan Yew, "penasihat Israel cuma fokus kepada latihan ilmu ketenteraan dan membina pasukan yang bermotivasi tinggi. Apa yang SAF tidak pelajari dari "the Mexicans" adalah kawad dan uniform yang elegan".

Goh dan Maj Gen Rehavan Ze'evi (aka Gandhi)

"Tentera menyediakan pegawai, tetapi komunikasi menjadikan kamu pemerintah" kata seorang penasihat IDF

Pegawai-pegawai IDF dibaris pertama dan kedua pada Perbarisan Hari Angkatan Tentera 1969.

Lt Kol Yitzhak Zayd bersama seorang menteri Singapura

Moshe Dayan dan Goh Keng Swee, 5 May 1979 di Singapura


Artikel ini diolah semula dan diterjemah dari (The Real Singapore)

3 comments:

  1. Rupa-rupanya Negara ASEAN (S'gpura) bersengkongkol dgn yahudi untuk menghalang orang Islam di Singapore, patutlah everything kelengkapan udara,darat Dan laut dtg Dari Israel astagfirulah. Utk mengaburi orang Islam.
    En rafe Rasa adakah satu rancangan atau sebaliknya.
    Wassalam.

    ReplyDelete
  2. Nak kata mereka bersekongkol dgn Yahudi dah banyak teori konspirasi ada, saudara bolehlah kaji dan pertimbangkan sendiri. Dari segi doktrin ketenteraan Singapura rasa lebih baik terapkan doktrin Israel kerana ancaman yang hampir serupa dimana Israel dikelilingi negara2 Arab, manakala Singapura dikelilingi oleh negara2 Melayu. Begitu juga Taiwan yang berhadapan ancaman China.

    ReplyDelete
  3. Nampak tak kesungguhan mereka dalam mempertahankan negara? Mereka tahu kelemahan dan kekuatan yang mereka ada lalu bertindak dengan menggunakan apa jua peluang yang ada. Pada pandangan saya, nampaknya Israel berjaya membentuk angkatan tentera Singapura...dan kita tak patut pandang rendah atau menganggapkan ianya remeh.

    ReplyDelete