Thursday 11 September 2014

Firefight at Sea - Pirates vs Marine Police 1985 / Polis Marin memburu lanun 1985


Pada tengah malam 24 September 1985, sekumpulan lanun telah menawan sebuah Tug Boat yang sedang menarik scow balak dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu. Tiga orang krewnya telah dijadikan tebusan. Sebenarnya scow balak itu telah digunakan untuk melindungi 2 buah pump boat milik lanun-lanun itu. Apabila digandingkan dengan scow balak itu, bot-bot tersebut tidak kelihatan jelas dari jauh. Tujuan lanun-lanun itu adalah hendak merompak dibandar Lahad Datu.



Apabila tiba diperairan Lahad Datu, kedua-dua bot tersebut terus merapati jeti awam bandar Lahad Datu. Seramai 21 orang lelaki berpakaian uniform sama seperti Pasukan Polis Hutan (PPH - Police Field Force) telah naik ke bandar. Walaupun sebahagian mereka berambut panjang, penduduk setempat tidak mengambil peduli akan kehadiran mereka kerana adalah menjadi kebiasaan anggota-anggota PPH yang baru menamatkan operasi dihutan berambut agak panjang.

Kumpulan lanun tersebut telah dipecahkan kepada bebrapa kumpulan dalam rancangan mereka menyerang bandar Lahad Datu. Sekumpulan yang terdiri dari 4 lanun telah pergi kesebuah kedai kopi yang terletak lebih kurang 80 meter dari Pangkalan Polis Marin Lahad Datu. Semasa sampai dikedai tersebut, salah seorang lanun telah memberi amaran dalam bahasa Melayu pelat Filipina kepada pelanggan yang berada disitu. Katanya "Kamu jangan kemana-mana, ada mundu (lanun) mahu datang merompak..." Pelanggan-pelanggan disitu beranggapan arahan tersebut dikeluarkan oleh anggota PPH.

Pasukan Polis Hutan (PPH)

Secara kebetulan, terdapat 3 orang anggota Polis Marin yang sedang minum disitu. Mereka menyedari bahawa kumpulan lelaki tadi bukanlah anggota PPH, kerana mereka bersenjatakan M14 dan M1 Garand serta memakai kasut getah "kungfu". Mereka bertiga bertindak melarikan diri kepangkalan yang hanya 80 meter dari situ dan berjaya mengambil beberapa senjata termasuk GPMG. Bot ronda PGR 8 juga berada dipangkalan setelah baru sahaja menamatkan rondaan. Menyedari tindakan anggota Polis Marin itu tadi, lanun-lanun itu telah menyerang Pangkalan Polis Marin itu dari beberapa arah. Di saat itu bermulahlah pertempuran dibandar Lahad Datu.

General Purpose Machine Gun (GPMG)

Dalam waktu yang sama kira-kira jam 1200 tengahari, XO Kapal Polis Diraja (KPD) Sabahan PX 29, Inspektor Salim bin Ibrahim yang pada ketika itu memangku jawatan CO (Commanding Officer) telah menerima maklumat yang bandar Lahad Datu telah diserang oleh lanun. Pada ketika itu, PX 29 sedang berada dalam posisi membuat serang hendap dikawasan perairan Pulau Mataking telah diarahkan bergerak keluar dari perairan Semporna dan menutup laluan dikawasan perairan Kunak.


Bot peronda jenis PA

 


Dalam masa yang sama, bandar Lahad Datu cemas dengan bunyi tembakan dan letupan RPG serta grened yang digunakan oleh kumpulan lanun itu. Kapal PLC 1 yang berada dipangkalan turut ditembak dengan RPG. Begitu juga dengan anggota Polis yang mempertahankan Pangkalan Marin. Seorang anggota Polis Marin yang telah ditembak dengan perutnya terburai masih lagi memberikan tentangan. Huru-hara selama 2 jam setengah berakhir apabila kumpulan lanun tersebebut melarikan diri kelaut menggunakan 2 buah pump boat milik mereka tadi. Dalam serangan dibandar itu, sebuah bank berjaya dirompak dan 2 orang awam telah terbunuh manakala beberapa dilaporkan cedera.



Kejadian serangan ke atas bandar Lahad Datu mengejutkan banyak pihak. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menghantar bantuan 2 buah kapal ronda dan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula menghantar sebuah pesawat Caribou dari Labuan untuk meronda diperairan Lahad Datu. Sementara itu, PX 29 yang berada di laut Kunak telah bergerak ke kawasan Tanjung Melandong kerana mengikut maklumat, kumpulan lanun telah melarikan diri kearah Tanjung Sakar. PX 29 memerima maklumat dari nelayan bahawa 2 buah pump boat baru sahaja melalui kawasan tersebut menuju kearah Puncak Pulau Gaya, Semporna. Pada ketika itu juga bot peronda PX 16 telah keluar dari Lahad Datu, dan dihubungi oleh Inspektor Salim. Kedua-dua bot PX tersebut telah memburu 2 bot suspek itu dan telah berlaku tembak-menembak.

DHC-4 Caribou

Ketika tiba di kawasan perairan Fremental Shoal, PX 29 dan PX 16 merapat seketika. Kedua-dua CO sepakat untuk menyerang lanun dalam formasi "V" agar tidak timbul tembakan silang yang boleh membahayakan bot ronda Polis Marin itu. Mereka kemudian berpecah dan meneruskan pemburuan. 

Meriam Oerlikon 20mm

Semasa didalam pertempuran, senjata utama bot PX 29 iaitu meriam 20mm Oerlikon tidak boleh digunakan kerana dari 10 butir tembakan yang delepaskan, hanya 2 butir sahaja meletup. Jurusemboyan telah diarahkan untuk mengkemudikan PX 29 kerana semua anggota lain diberi tugas untuk bertempur. Sepanjang kejar-mengejar Insp. Salim mengingatkan krew supaya kapal dipandu pada jarak tidak terlalu hampir kepada bot lanun kerana khuatir akan tembakan RPG dari kumpulan lanun itu. Sangkaan Insp. Salim tepat apabila tembakan RPG dilepaskan kearah Starboard Bow PX 29 dan satu lagi dihadapan PX 16. Tembakan GPMG yang berterusan menyebabkan larasnya menjadi merah menyala dan terpaksa ditukarkan dengan kerap. Begitu juga tembakan dari anggota yang menggunakan senjata Sterling SMG, akibat kepanasan larasnya, peluru tidak pergi jauh seolah-olah hanya dilontar oleh penembaknya. Salah seorang anggota PX 16 telah cedera ditembak ditangan dan menerima rawatan kecemasan. 

Tembakan peluru tracer pada waktu malam

Sterling Sub-Machine Gun (SMG)

Apabila senja menjelma, tembakan dari kapal ronda Polis jelas kelihatan melalui peluru "tracer" dimana peluru itu seolah-olah melantun apabila kena sasaran pada bot-bot lanun tersebut. Disini, Insp. Salaim menyedari kumpulan lanun itu bukan calang-calang orang dan pasti mempunyai pendinding atau ilmu kebal. Insp. Salim kemudian menerima panggilan dari Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah (PJP Sabah). Beliau bertanyakan keadaan anggota yang terlibat dalam pertempuran serta memberi arahan "JANGAN BIARKAN LANUN ITU HIDUP!". Arahan tersebut telah membangkitkan semangat para anggota.

Apabila hari mulai gelap, pesawat Caribou tidak lagi dapat membantu dan kembali ke Labuan. Sebelum meninggalkan kawasan operasi, juruterbang Caribou sempat mengucapkan selamat berjuang kepada Insp. Salim dan anak buahnya. Lanun berjaya mendarat di Pulau Mataking, dan kedua kapal ronda Polis Marin masih melepaskan tembakan dari jarak kira-kira 500 meter dari pulau. Apabila keadaan menjadi gelap, kapal ronda menjadi sasaran kerana berada dibawah cahaya bulan. Sebagai langkah keselamatan, kesemua lampu telah dipadamkan.

Pada jam lebih kurang 0100 pagi, PX 29 berjaya mengesan sebuah objek meninggalkan pulau tersebut menuju ke Filipina. Dua anggota - Haji Taha dan Mat Saili dari PX 16 mengambil keputusan menggunakan bot getah (dinghy) untuk mendarat dipulau tersebut dan menarik keluar sebuah bot lanun yang masih tersadai ditepi pantai itu. Dinghy dari PX 29 tidak dapat digunakan kerana telah bocor ditembak dalam pertempuran sebelumnya. Bot lanun bernama Miss Hariba itu bersayap dan panjannya kira-kira 25 meter, telah ditarik merapati PX 29 dalam masa kurang 45 minit. Didalam bot itu dijumpai 3 x pouches, 3 x magazine carbine selain kelongsong peluru .303 inch dan 7.62mm. Selain itu terdapat bau hanyir darah menandakan ada lanun tercedera dan dikatakan terdapat 4 mayat lanun terapung berhampiran bot itu ketika dipantai tadi.

Bot PGR

Pada jam 0230 pagi, radar PX 29 mengesan 2 objek menuju kearahnya. Tembakan GPMG dilepaskan tetapi bot ronda PGR itu memberi isyarat lampu dan meminta tembakan dihentikan. Mereka adalah bot ronda PGR yang datang dari Semporna. Salah satu dari bot PGR itu membawa anggota yang cedera balik ke Lahad Datu.

Bot ronda jenis PZ dengan meriam 40mm

Pada jam 0400 pagi, bantuan dari kapal ronda PZ 14 KPD Mersuji tiba dengan diketuai oleh DSP Kushaili. Beliau mengarahkan PX 16 dan PX 29 berada dalam jarak 2 batu nautika dari pulau itu. Tidak lama kemudian, sebuah kapal pendarat PLC 1 dari Semporna tiba bersama-sama 1 platun anggota PPH. Apabila hari mula cerah, kira-kira jam 0600 pagi, PZ 14 melepaskan 2 tembakan meriam Bofors 40mm kearah pulau, menyebabkan 2 batang pokok kelapa terputus dua. Tembakan perlindungan juga diberikan oleh kapal ronda lain sementara pasukan PPH mendarat ke pantai.

Lebih kurang 2 jam kemudian, anggota PPH selesai membuat penggelidahan dan mereka bergerak keluar bersama 2 mayat dan 14 tangkapan. Empat mayat yang terapung telah hilang dihanyutkan arus.

Bot ronda kelas "Kris" KD Badek TLDM

Setibanya di perairan Tanjung Sakar, kira-kira jam 1200 tengahari, 2 buah kapal TLDM (KD Badik dan KD Kerambit) yang baru tiba dari Labuan telah merapat dengan kapal PX 16 dan PX 29. CO kapal TLDM terkejut melihat kesan tembakan pada kapal-kapal tersebut, disamping kelongsong peluru yang memenuhi deck dan open bridge kedua-dua kapal. Kedua-dua pegawai TLDM itu kemudian memberi tabik hormat kepada Insp. Salim dan Tuan Rahim, sambil salah seorang Leftenan berkata "Sepanjang sejarah penubuhan TLDM, kami belum pernah berhadapan situasi sebegini". Hampir kesemua badan kapal ditembusi peluru, tangga besi dari deck ke open bridge juga putus tidak boleh digunakan. Pegawai TLDM tersebut mengucapkan tahniah dan beredar meneruskan rondaan dikawasan perairan Deval Bay.

PZ 14 dan PX 16 bergerak dahulu memasuki pangkalan Marin Lahad Datu sementara PX 29 bergerak lambat kerana menunda bot lanun, Miss Hariba. Apabila PX 29 semakin hampir, suasana menjadi gamat dan bising dengan laungan "HIDUP POLIS MARIN!" oleh orangramai. Semua anggota Polis Marin tiba-tiba merasa sebak dan terharu atas penghargaan yang diberikan oleh rakyat. Apabila 2 mayat lanun diturunkan ke jeti dari PZ 14, ramai daripada orang awam yang hadir menendang-nendang dan meludah dengan perasaan marah.

Tidak lama selepas itu, pihak tertinggi PDRM Ibupejabat Kontinjen Sabah menyenaraikan beberapa pegawai anggota untuk dianugerahkan pingat kerajaan negeri atau surat penghargaan. Saudara Kalai yang terburai perut semasa mempertahankan pangkalan Polis Marin ditukar balik ke Semenanjung untuk menerima rawatan lanjut. Beliau meninggal dunia pada tahun 2008 dengan peluru yang terlekat dipinggulnya tidak dapat dikeluarkan.

Kalpal ronda PX 29 telah menggunakan 6000 pelbagai jenis peluru dalam pertempuran itu. Senarai krew adalah seperti berikut:

  1. Inspektor Salim Ibrahim
  2. SI Zulkifli Titing
  3. SM Ibrahim
  4. SM Tijan
  5. Sarjan Lampong
  6. Kpl John Philip Kusop
  7. Kpl Mat Karimi
  8. Konst. Ruslim Baharom
  9. Konst. Mat Ris
  10. Konst. Mat Isa
  11. Konst. Sharif Kalil
Cerita disiarkan oleh FB page Polis Gerakan Marin pada 14 November 2011 hasil catatan DSP Salim Ibrahim.

DSP Salim bin Ibrahim

Foto atas: Polis Marin ditahun-tahun 1980an

Foto bawah: Pasukan Polis Marin sekarang




Foto kredit: FB Pasukan Gerakan Marin, PDRM


8 comments:

  1. saya peliklah taktik lanun ni masuk bandar itu dgn tug boat dan serang bandar tu adakah ini dipanggil undercover. walau apa pun saya cukup respect DSP Salim and gang dapat kerjakan si lanun tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. tug boat tu mereka tawan/rampas

      Delete
    2. This comment has been removed by the author.

      Delete
    3. Undercover bermaksud menyamar, seperti anggota polis tidak guna uniform, seperti detektif.Under cover bermaksud berlindung dari penglihatan, sebalik ranting2 pokok atau rumput tinggi,atau sebalik pokok besar atau tembok.

      Delete
    4. Undercover bermaksud menyamar, seperti anggota polis tidak guna uniform, seperti detektif.Under cover bermaksud berlindung dari penglihatan, sebalik ranting2 pokok atau rumput tinggi,atau sebalik pokok besar atau tembok.

      Delete
  2. Selepas peristiwa itu saya ada di lahad datu, long side dengan kapal bunga setawar misc goodjob marine police

    ReplyDelete
  3. Saya di KK masa tu. Saya kecewa pihak pl ten5 di Lahat Datu menerima arahan TIDAK membantu polis.

    ReplyDelete
  4. Kenang bersejarah di di ltd pz 7 kpd kurita memberi bantuan selama sebulan di ltd buat rondaan co.arwah hj rashid Ismail dengan kekuatan anggota 20 orng

    ReplyDelete