Wednesday 27 August 2014

History of 7th Battalion Royal Malaysian Rangers (Mechanised Infantry) / Rejimen Renjer Diraja

Sejarah Batalion ke-7 Rejimen Renjer Diraja (Mekanis)

Batalion ini ditubuhkan pada 10 Mei 1970 di Kem Quetta II, Kluang, Johor dengan keanggotaan gabungan seperti berikut:

1. peruntukan khas seramai 202 rekrut baru untuk menubuhkan 2 kompeni
2. 1 kompeni dari Batalion ke-8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
3. 1 kompeni dari setiap Batalion ke-2, ke-3 dan ke-4 Rejimen Renjer Diraja (RRD)

Bagaimanapun, anggota dari Batalion ke-8 RAMD telah diberi pilihan samada ingin diserapkan ke Rejimen Renjer Diraja atau ditukarkan kembali ke kor asal masing-masing. Sebilangan besarnya memilih untuk dikekalkan. Pegawai yang bertanggungjawab mengasaskan penubuhan batalion ini ialah Pegawai Memerintah (CO) yang pertama - Lt. Kol Osman bin Mohd Zain.



Walaupun masih baru, batalion ini telah menunjukkan kecemerlangan dengan kejayaan membunuh 20 pengganas komunis dalam operasi-operasi berikut ketika era perang melawan insurgensi 1968 hingga 1989:

1. 9 Apr 1972 - dalam satu gerakan pemburuan di Kampung Perian, Lundu, Sarawak - 3 pengganas dibunuh, merampas 3 rifel SLR dan sebuah radio set.

2. 14 Jul 1972 - Kompeni C yang diketuai oleh Kapt. Ropee yang membuat gerakan di kawasan Kampung Opah, Lundu, Sarawak berjaya membunuh 1 pengganas komunis

3. 24 Jul 1972 - gerakan khas Kompeni A di Kampung Kubung, Lundu Sarawak - 2 pengganas dibunuh dan 1 cedera

4. 1 Ogos 1972 - gerakan oleh Kompeni C yang diketuai Kapt. Sabdin Ghani di kawasan Lundu, Sarawak berjaya membunuh seorang pengganas

5. 16 Okt 1973 - Operasi Setia IV di Sungai Siput, Perak - No. 10 Platun yang diketuai oleh Sjn Adap Moet berjaya membunuh seorang pengganas komunis dan merampas sepucuk senapang carbine.

6. 22 Apr 1974 - Operasi Gonzales di Jalung, Perak - No 7 Platun yg diketuai oleh Sjn Harris Taha berjaya membunuh 5 pengganas komunis

7. 25 Mei 1974 - Operasi di Kulim, Kedah - 2 pengganas dibunuh

8. 29 Jun 1978 - Operasi Bersama Selamat Sawadee di Selatan Thai, No. 4 Platun, C Kompeni, diketuai oleh Sjn Shaari menembak mati 3 pengganas komunis dan merampas 3 senjata carbine, 1 x Thomson dan 1 x M79

9. 17 Sep 1980 - Operasi Hentam Galas di Gua Musang, Kelantan - 1 pengganas dibunuh


Pertempuran dalam Operasi Gonzales

Batalion ke-7 RRD telah menjalani Ops Gonzales disekitar kawasan Jalong pada 8 April 1974 hingga 1 Mei 1974 untuk mencari dan memusnah musuh. Pada 21 April 1974, jam 1115 dua org anggota 7 RRD dari Kompeni A telah ditembak oleh sekumpulan 4 orang pengganas komunis. Kompeni C telah dikejarkan ke lokasi untuk membuat sekatan. Pada hari yang sama jam 1700, No. 7 Platun yang sedang membuat rondaan tempur menjumpai tanda anak panah yang dibuat dari buluh, dipacakkan diatas tanah. No. 7 Platun merancang untuk membuat serang hendap dengan memasang 4 x claymore dengan bantuan 2 x LMG (light machine-gun).

Pada keesokannya, 22 April 1974 kira-kira jam 1150, anggota serang hendap telah melihat 5 pengganas komunis berjalan masuk kedalam kawasan membunuh. Setelah dua pengganas yang dihadapan memasuki kawasan tersebut, Renjer Shaifuddin meletupkan claymore, diikuti oleh LKpl Gaison yang mencederakan lagi 3 pengganas. Sjn Harris bersama-sama satu seksyen anggota mara ke lokasi untuk membantu membuat sekatan dan bertempur dengan tiga pengganas yang cedera, dan akhirnya berjaya membunuh mereka.

Claymore Mines


Pertempuran dalam Operasi Selamat Sawadee di GR 303818

Pada 29 Jun 1978, jam 0300 satu pasukan ronda terdiri dari satu platun Thai Border Patrol Police (BPP) dan dua anggota PKPT serta satu seksyen dari No. 4 Platun, Kompeni B telah keluar meronda dengan membawa bekalan untuk 4 hari.

Jam 1515, peninjau pertama melihat sekumpulan kira-kira 8 orang pengganas komunis dalam jarak 300 ela dihadapan. Sjn Shaari mara kehadapan memanggil ketua BPP untuk megesahkan mereka itu musuh. Setelah mendapat pengesahan, Sjn Shaari membahagikan anggota kepada kumpulan penyerang dan penyekat. Pertempuran bermula pada jam 1630 dan berlangsung selama 20 minit. Selepas penyerbuan dan membuat pertahanan keliling, 3 pengganas komunis ditemui mati dan 6 pucuk senjata dirampas.


Pertempuran dalam Operasi Hentam Galas (17 Sep 1980)

Pada 2 Sept 1980, batalion ke-7 RRD telah mengambil alih kawasan gerakan selama 2 bulan dari batalion ke-5 RAMD. Selepas beroperasi selama 12 hari, pertempuran pertama berlaku pada 14 Sep 1980, jam 2340. Anggota pengawal Kompeni A telah melihat pancaran lampu dalam jarak 50 ela, tembakan dari anggota renjer telah dibalas, dan musuh berundur. Semasa jejakan dibuat keesokan hari terdapat kesan darah dan musuh dianggarkan seramai 10 orang.

Pada 15 Sep 1980, jam 0900 semasa dalam penjejakan Platun UCIS (Unit's Combat Intelligence Squad) telah bertempur selama 5 minit tanpa sebarang kecederaan dikedua-dua pihak. Pada jam 1055 berlaku sekali lagi pertempuran selama 8 minit tanpa sebarang hasil.

Anggota-anggota UCIS - risik gempur (combat intelligence)


Pada 17 Sep 1980, jam 0800 ekoran dari jejak musuh yang dikesan, seksyen rondaan yg diketuai Sjn Abu Hassan telah menemui jejak musuh dianggarkan seramai 2 orang. Tinjauan seterusnya mendapati kesan buluh yang rebungnya baru dipotong kira-kira 70 meter dari jejak pertama. Seksyen telah dipecahkan kepada 2 kumpulan kecil dan pada jam 1045, Sjn Abu Hassan, Renjer Rahim dan LKpl Zaharin ternampak 2 pengganas komunis sedang mengisi barang kedalam beg galas me reka. Seorang lagi musuh yang sedang berehat ternampak dan melepaskan tembakan kearah Sjn Abu Hassan. Pertempuran berlaku selama 10 minit dan pengganas berundur sambil mengheret kawannya yang telah terkena tembakan. Pada jam 1120, kumpulan bantuan diketuai oleh Kapt Osman tiba dan setelah membuat jejakan sejauh 60 meter mereka menemui satu mayat musuh bersama-sama jerangkap samar yang dipasang 30 meter dari mayat tersebut.

Anggota renjer boleh dikenali dengan beret dan hackle berwarna hitam


Batalion ini juga mengalami kemalangan jiwa dalam bebrapa insiden berikut.

1. Pada 26 Mac 1972, seramai 15 anggota terbunuh didalam serang hendap pengganas komunis dijalan Biawak - Lundu, Sarawak. Serangan dibuat oleh kira-kira 40 pengganas komunis keatas konvoi anggota jurutera dan Renjer yang terdiri dari 1 x Land Rover, dan 3 x trak 3 tan Bedford. Musuh menyerang kenderaan yang ke tiga didalam susunan konvoi. Kenderaan dihadapan sekali yang dinaiki oleh anggota jurutera berjaya memecut ke Titi Akar dan meminta bantuan dari pasukan 1 Rejimen Peninjau. Kpl Jamaluddin mendahului dengan sebuah kereta perisai Ferret tiba dilokasi dan memberi bantuan tembakan sehingga pengganas berundur. Tindakan pantas dan berani anggota pasukan Rejimen Peninjau itu berjaya menghalang pengganas komunis dari membunuh anggota tentera yang tercedera dan banyak senjata berjaya diselamatkan dari dirampas komunis.

Apabila berita ini diterima oleh Markas Batalion, pengumuman dibaut dimerata tempat dibandar termasuk dipanggung wayang untuk memanggil kesemua anggota 7 RRD. Operasi besar-besaran dilancarkan dengan penglibatan batalion-batalion lain dan berhasil menghapuskan dan menjumpai semula senjata-senjata yang dilarikan oleh pengganas. Ia mengambil masa yang lama untuk memburu dan memusnahkan musuh, dan senjata yang terakhir ditemui pada tahun 1986, iaitu 14 tahun selepas insiden serangan hendap ini berlalu.



2. 2 Sep 1979, 4 anggota terkorban dalam satu kemalangan jalanraya di Batu 10, Kampung Palok, Jalan Kuantan - Kemaman apabila kenderaan yang membawa mereka ke kawasan operasi di Kroh terlibat kemalangan.

3. 18 Sep 1977 - LtM Jagathisan, selaku Pegawai Risik telah mati lemas di Sungai Rejang.

4. 7 Apr 1975 - Serang hendap di Gubir - pada jam 1640, platun dari Kompeni D, 7 RRD yang diketuai oleh LtM Syed Ikhmal Hashim telah bertolak dari Nong Gajah setelah selesai menyerah tugas kepada No. 9 Platun dari 13 RAW (Rejimen Askar Wataniah / Territorial Army Regt). Konvoi mereka terdiri dari 3 x trak 3 tan dan 1 x kereta perisai dari B Skuadron, Rejimen ke-2 Peninjau menuju ke Gubir dan seterusnya balik ke pengkalan mereka di Sungai Petani. Susunan kenderaan, kereta perisai berada dibelakang konvoi.

Selepas 15 minit perjalanan, dilokasi GR186800, semasa mendaki bukit musuh telah menyerang dari 3 penjuru. Sebutir peluru dari M79 telah meghentikan kenderaan yang dihadapan sekali. Trak kedua juga ditembak dan berhenti 25 ela dari trak hadapan. Ketika ini, trak yang ketiga berhenti 400 meter dibelakang trak ke-2 dan memaklumkan kepada kereta perisai. Dalam usaha untuk menyerang balas, kereta perisai telah ditembak bertubi-tubi dan sebutir peluru musuh telah masuk kedalam barel senjata Browning dan menyebabkan ia tidak boleh digunakan.

Kereta perisai yang tidak boleh menembak lagi cuba memcut laju untuk mendapatkan bantuan dari Gubir. Malangnya sebutir peluru M79 telah menembusi "iron plate' dibawah enjinnya. Pada masa ini anggota dari trak pertama dan kedua telah mengambil perlindungan, tetapai bantuan dari anggota trak ke-3 dihalang oleh tembakan musuh. Peretempuran berlangsung selama kira-kira 25 minit dan pada jam 1715 musuh berundur. Dua platun bantuan iaitu, No. 11 Platun, Kompeni C, 7 RRD dan 13 RAW tiba 45 minit kemudian.

M79 grenade launcher

Anggota renjer semasa dalam operasi

Begitulah serba-sedikit sejarah perjuangan Batalion ke-7 RRD ini dalam peperangan melawan insurgensi. Batalion ini telah megalami evolusi sejajar dengan perkembangan dan pembesaran Tentera Darat Malaysia. Pada awal Januari 1991, batalion ini telah didesignasikan sebagai Batalion ke-7 Rejimen Renjer Diraja Mekanis, dibawah pemerintahan Lt. Kol Zulkapli Abd Rhaman, yang juga merupakan Pegawai Memerintah ke 12. Batalion ini dilengkapi dengan kenderaan perisai Radpanzer Condor, MIFV K200 dan ACV 300 Adnan. Pada 1 Dis 1994, batalion ini telah ditugaskan dibawah panji-janji United Nations (UN) di Somalia.


Latihan sebagai pasukan Mekanis

Lokasi kem-kem 7 RRD

1. Kem Quetta II, Kluang, Johor (15 Jan 1970 - 14 Jan 1971)
2. Kem Lapangan Terbang, Sg. Patani, Kedah (15 Jan 1971 - 6 Mac 1977)
3. Kem Kanowit, Sarawak (7 Mac 1977 - 25 Dis 1978)
4. Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu, Kelantan (25 Dis 1978 - 20 Dis 1984)
5. Kem Simanggang, Sri Aman, Sarawak (28 Dis 1984 - 19 Okt 1988)
6. Kem Batu Lima, Mentakab, Pahang (19 Okt 1988 hingga kini)

Penglibatan dalam latihan bersama tentera asing.

1. Exercise Harianggaroo bersama Tentera Darat Australia di Kota Belud, Sabah (1988)
2. Exercise Taiaha Tombak bersama Tentera Darat New Zealand, Gua Musang, Kelantan (1990)
3. Exercise Kilat Strike bersama Tentera Darat Amerika, Kuala Lipis, Pahang (1992)
4. Exercise Southern Tiger bersama Tentera Darat Australia, Brisbane, Australia (1993)
5. Exercise Suman Warrior (FPDA), Melaka (1995)
6. Exercise Suman Warrior (FPDA), Brisbane, Australia (1996)


Rujukan:

Tulisan asal oleh Major (B) D. Swami Gwenkanandam

http://7rangerpics.blogspot.com/2005/06/unit-combat-intelligence-squad.html

http://www.rrd.mil.my/index.php/7-renjer-mekanize.html

http://ms.wikipedia.org/wiki/Rejimen_Renjer_Diraja

3 comments:

  1. Hebat sejarah Regimen ini. Amat membanggakan dan seharusnya disebarkan kepada semua warga Malaysia. Semoga kefemilangan ini akan berterusan.

    ReplyDelete
  2. darah pejuang 7ranger ada dlm diri sy Al-Fatehah bt Arwah abah sy .......kpl Nahrowi Sujari aminn...mom

    ReplyDelete
  3. Excercise taiha tombak di gong gadak kuala teranggu 1979 atau 1980 saya ada ikut sekali selama dua minggu..pembetulan

    ReplyDelete