RTAF (Tentera Udara Diraja Thai) Aviation Park ini terletak di dalam kawasan Akademi RTAF, tidak jauh dari Muzium RTAF di Don Muang. Anda boleh mengambil teksi bermeter dari Lapangan Terbang Don Muang dengan perjalanan kurang 30 minit, anggaran kos adalah 200 Baht.
Dataran penerbangan ini dibina bagi memberi penghormatan kepada pengasas RTAF dan juga memperingati pengorbanan anggota RTAF dalam melindungi kemerdekaan dan kedaulatan negara Thai.
Formasi monumen ini terdiri dari 4 buah pesawat pejuang yang pernah digunakan oleh RTAF, di mana generasi pertama adalah F-86F, generasi kedua F-5A, generasi ketiga F-5E dan generasi keempat F-16A.
Sejarah RTAF menurut garismasa turut dipamerkan.
Ditubuhkan pada 2 November 1913, RTAF merupakan antara pasukan tentera udara yang terawal di Asia. Kini ia terdiri dari 45,000 anggota aktif dan 288 buah pesawat udara. Kini mereka mengoperasikan jet - jet penyerang dan pejuang Alpha Jet, F-16A/B/AM/BM, JAS-39C/D Gripen dan F-5E/F. Jet pelatih adalah L-39 dan T-50TH. Lain - lain pesawat adalah Saab 340 AEW & C, C-130, ATR-72 dan lain - lain.
Raja Rama VI amat tertarik dengan persembahan udara yang pertama di buat di Sapathum Horse Racing Course, Bangkok oleh juruterbang Belgium bernama Charles Van Den Born pada bulan Feb 1911. Kira - kira setahun kemudian, pada 28 Feb 1912, tiga orang pegawai tentera darat telah dihantar ke Perancis untuk mempelajari ilmu penerbangan. Mereka kembali ke Thailand pada bulan November 1913 setelah lulus dan layak mendapat sayap penerbangan. Mereka membawa pulang bersama 8 buah pesawat terbang (4 x Breguet dan 4 x Nieuport IV).
Pada mulanya Siemese Flying Corps ditumpangkan kepada Jabatan Inspektor Jeneral, Jurutera Tentera Darat sebelum berkembang menjadi Royal Siamese Aeronautical Service pada tahun 1919. Ia kemudiannya menjadi perkhidmatan yang bebas dengan nama Royal Siamese Air Force. Semasa Perang Dunia ke - 2, ia dilengkapi dengan pesawat - pesawat udara buatan Perancis, Amerika dan Jepun.
Mereka pernah terlibat dalam pertempuran semasa Perang Thai - Perancis (menentang pasukan Vinchy Armee de l'Air di Indochina). Setelah dipaksa menjadi sekutu Jepun dalam Perang Dunia ke - 2, RTAF dibekalkan dengan pesawat buatan Jepun seperti Ki-43 Oscar dan Ki-27 Nate. Pada masa yang sama sebahagian anggota RTAF terlibat dalam gerakan melawan tentera Jepun.
Semasa era Perang Korea, RTAF telah menghantar 3 buah pesawat pengangkut C-47 Dakota untuk menyokong operasi tentera United Nations. Mereka juga terlibat dalam operasi - operasi melawan pasukan komunis di Laos dan sempadan Kemboja semasa Perang Vietnam.
Foto - foto RTAF Aviation Park