Kebelakangan ini beberapa penulisan telah dibuat mengenai
Parti Komunis Malaya (PKM) atau Malayan People's Anti Japanese Army (MPAJA)
yang diberi sanjungan kononnya merekalah pejuang kemerdekaan di negara kita
ini. Sepertimana kata-kata Chin Peng dalam memoirnya "kami melawan British
dan anjing-anjing British" bagi mengubah persepsi generasi kini bahawa
merekalah sebenarnya mencetuskan perjuangan membebaskan Tanah Melayu dari
penjajahan. Kata-katanya kini digunapakai oleh pendokong-pendokong perjuangannya
yang mungkin mahu menyambung kembali cita-citanya yang kandas. Tetapi mereka
juga mungkin terlepas pandang bahawa Chin Peng pernah mengakui strategi
menggunakan kekerasan ke atas rakyat untuk menakutkan dan menundukkan mereka
kepada perjuangan komunis adalah satu kesilapan besar yang membuatkan PKM
dibenci umum. Ini boleh dilihat berdasarkan statistik 4,668 kematian di pihak
awam, melebihi angka korban di pihak pasukan keselamatan, iaitu 4,425 orang
sepanjang 12 tahun Darurat. Apakah membunuh lebih 4,000 nyawa orang awam boleh
dilupakan hanya dengan satu kenyataan oleh pemimpin PKM - "kami
tersilap" ? Inikah ciri-ciri sebenar pejuang kemerdekaan sebagaimana yang
dituntut tanpa rasa bersalah?
Bendera Bintang Tiga (kredit: utusan.com.my) |
Untuk mendapat kefahaman halatuju perjuangan PKM dahulu,
kita kena lihat perkembangan ideologi komunisme sedunia dan serantau. Pada
lewat 1940an, ideologi komunis telah berkembang subur di China dan Vietnam,
(tambah lagi Parti Komunis China berjaya menguasai negara China pada 1hb
Oktober 1949) dan semestinya mempengaruhi suasana di Tanah Melayu juga, termasuklah pengaruh kuat dari jiran
tetangga, Indonesia, yang mana Partai Komunis Indonesia (PKI) mempunyai
keahlian ketiga terbesar di dunia, dibelakang Soviet dan China. Akan tetapi PKI
tidak pula disanjung oleh rakyat Indonesia sebagai pejuang kemerdekaan, pelik
bukan?
Mari kita lihat persidangan-persidangan yang telah dibuat
oleh golongan komunis ini di serata dunia, yang membawa bibit-bibit kepada
persidangan yang terpenting sekali, dikenali sebagai Third International,
a.k.a. Communist International (COMINTERN) yang telah menggesa negara-negara
komunis ditegakkan, walaupun dengan cara revolusi bersenjata, di seluruh dunia.
First International (1864-1876)
Pada tahun 1864, sebuah pertubuhan yang dinamakan
International Workingmen's Association (IWA) telah ditubuhkan di Saint Martin's
Hall, London. Ia adalah satu pertubuhan yang menyatukan pelbagai kumpulan
haluan kiri sosialis, komunis, anarki dan pertubuhan perdagangan yang terdiri
dari golongan kelas pekerja (working class) dari serata Eropah dan juga
Amerika. Ia adalah satu pertubuhan antarabangsa yang mempunyai keahlian antara
5 hingga 8 juta orang.
Karl Marx adalah salah seorang yang memainkan peranan utama
dalam pertubuhan ini. Bagaimanapun, pertubuhan ini hanya wujud sehingga tahun
1876, dan period antara penubuhannya 1864 hingga 1876 dikenali sebagai
"First International". Oleh kerana terlalu banyak fahaman atau
filosofi di dalam IWA, sering berlaku percanggahan pendapat di kalangan mereka,
terutama dalam pembentukan strategi untuk mencapai visi mereka dalam menegakkan
fahaman sosialisme. Percanggahan pendapat antara golongan "Merah"
(Marxist) dan golongan "Hitam" (Anarkis) telah membawa kepada pembubaran
IWA pada tahun 1876.
Second International (1889-1916)
Asalnya dikenali sebagai Socialist International, merupakan
gabungan pertubuhan sosialis dan parti-parti buruh yang ditubuhkan di Paris
pada 14 Julai 1889. Perjumpaan ini dihadiri oleh delegasi dari 20 buah negara.
Ia adalah kesinambungan kepada First International, akan tetapi tanpa kehadiran
puak-puak berfahaman anarkis.
Second International bertanggungjawab mengisytiharkan 1 May
sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, dan 8 Mac sebagai Hari Wanita Sedunia. Ia
juga merupakan pertubuhan yang berkempen di peringkat antarabangsa bagi
mendapatkan had tempoh kerja 8 jam sehari.
Ia kemudiannya dibubarkan semasa Perang Dunia I apabila
mereka tidak bersatu dalam menentang peperangan, sebaliknya berlaku perpecahan
apabila setiap pertubuhan didalamnya menyokong negara masing-masing dalam
peperangan tersebut yang melambangkan kegagalan doktrin anti-militarist Second
International.
Perpecahan terbahagi kepada 3 - golongan sayap kanan yang
menyokong peperangan, golongan tengah yang berjuang untuk penyatuan dan
anti-perang, manakala golongan ketiga adalah haluan kiri yang dipimpin oleh
Vladimir Lenin, yang mendesak peperangan antara negara dijadikan peperangan
antara kelas masyarakat. Lenin juga melakukan propaganda keatas tentera dan buruh
dan pada tahun 1917, beliau mengetuai Bolshevik untuk merampas kuasa di Russia.
Third International (1919-1943)
Ia juga dikenali sebagai Communist International
(COMINTERN), iaitu satu kesatuan parti-parti komunis serata dunia bertujuan
menegakkan revolusi komunis dengan apa cara sekalipun, termasuklah perjuangan
bersenjata dan mendirikan negara-negara komunis.
COMINTERN ditubuhkan pada kongres yang diadakan di Moscow
pada bulan Mac 1919 dihadiri oleh 52 delegasi dari 34 buah negara. Kongres yang
kedua diadakan di Moscow pada 1920, dihadiri oleh delegasi dari 37 buah negara,
dimana Lenin meletakkan 21 pra-syarat untuk kemasukan ke COMINTERN, supaya
semua ahli diselaraskan mengikut model Soviet, dan bertujuan membezakan mereka
(komunis) dengan kumpulan-kumpulan pejuang sosialis.
Pada permulaan Perang Dunia 2, COMINTERN menyokong polisi
tidak campurtangan, dan menganggap ia adalah peperangan imperialis antara
golongan kelas atasan sama seperti Perang Dunia 1, namun setelah Soviet Union
sendiri di serang pada 22 Jun 1941, COMINTERN telah mengubah pendirian dengan
menyokong pihak Berikat (Allied). Pada 15 May 1943 satu deklarasi telah dibuat
berkenaan pembubaran COMINTERN.
Benih-benih perjuangan komunis di Tanah Melayu
Berkenaan polisi COMINTERN di timur, Far Eastern Bureau
memainkan peranan menyebarkan fahaman komunis di China seawal tahun 1920
apabila mereka mempengaruhi pertubuhan pelajar. Parti Komunis China yang
ditubuhkan pada 1921 telah kemudiannya menyertai Koumintang sebagai langkah
awal penyusupan ke dalam komuniti Cina di Asia Tenggara.
Pada Oktober 1924, Tan Malaka yang bertanggungjawab
melakukan propaganda untuk pihak komunis Soviet di kawasan Pasifik telah tiba
di Canton. Tahun berikutnya, beliau menghantar wakil Parti Komunis China untuk
berhubung dengan elemen sayap kiri di Singapura, Tanah Melayu dan juga wakil
dari Partai Komunis Indonesia.
Komunis di Malaya juga mengikuti jejak komunis di China
dengan menyertai cawangan-cawangan Koumintang. Selepas penyingkiran puak
komunis dari Koumintang di China pada 1927, lima wakil dari Parti Komunis China
tiba di Malaya untuk membentuk Parti Komunis Nanyang (Laut Selatan), yang
merupakan cawangan luar negara kepada Parti Komunis China. Bagaimanapun,
COMINTERN mendesak rekrutmen hendaklah melibatkan orang Melayu juga dan tidak
hanya fokus kepada orang-orang Cina. Dalam persidangan sulit yang diadakan di
Singapura pada tahun 1930, Parti Komunis Nanyang dan Kesatuan Buruh Nanyang
dibubarkan dan sebagai gantinya, Parti Komunis Malaya ditubuhkan dalam bulan
Mac 1930.
Anggota PKM dalam satu latihan |
Darurat di Malaya
Saya tidak mahu menulis dengan panjang lebar mengenai
penglibatan kader-kader komunis di dalam mempengaruhi pertubuhan buruh di Tanah
Melayu dan menimbulkan kekacauan (291 mogok pekerja direkodkan dalam tahun
1947), kerana anda boleh mendapatkan maklumat tersebut di dalam artikel-artikel
berkaitan sejarah PKM yang telah banyak ditulis sebelum ini. Begitu juga
sejarah MPAJA, cukuplah sekadar saya nyatakan keterlibatan MPAJA di dalam
perang melawan pendudukan Jepun tiada apa yang boleh dibanggakan, malah jika
dibuat perbandingan rekod pasukan gerila di Eropah dan Asia, ternyata MPAJA
tidak ada membuat sebarang "major offensive" keatas kubu-kubu kuat
Jepun atau membebaskan mana-mana bandar utama dari cengkaman kekuasaan tentera
Jepun. Malahan, MPAJA membina kubu-kubu jauh ke dalam hutan pendalaman supaya
terselamat dari tentera Jepun, disamping mengutip cukai dari penduduk-penduduk
kampung. Sepanjang lapan bulan terakhir pendudukan Jepun di Tanah Melayu,
sebanyak satu setengah juta paun kelengkapan tentera telah digugurkan dari
udara oleh British sebagai bantuan kepada MPAJA, namun senjata-senjata itu
kebanyakannya lesap, atau disembunyikan oleh MPAJA untuk "kegunaan masa
hadapan" mereka. Senjata-senjata yang popular seperti sten-gun, carbine,
pistol dan revolver kebanyakkannya tidak dikembalikan kepada British selepas
MPAJA dibubarkan.
Semasa permulaan Darurat - jumlah pasukan keselamatan di
Tanah Melayu hanya 10,223 anggota polis dan tentera. Pasukan tentera hanya
terdiri dari 3 batalion Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), 6 batalion Gurkha
dan 2 batalion tentera British (Seaforth Highlanders dan 1st King's Own
Yorkshire Light Infantry - KOYLI). Ini termasuklah jumlah anggota sokongan
(bantuan tempur) dan sebenarnya hanya 4,000 sahaja anggota pasukan tempur yang
beroperasi memburu gerila-gerila komunis itu.
Penubuhan Rejimen ke-10 PKM
Pada tahun 1948, etnik minoriti Cina di Tanah Melayu
membentuk 38% dari jumlah keseluruhan populasi (Melayu adalah majoriti 49%),
namun terlalu sedikit yang bekerja dengan perkhidmatan awam dan juga pasukan
polis. Daripada 10,000 orang anggota polis, hanya 228 terdiri dari kaum Cina.
Akan tetapi adalah tidak benar jika kita katakan semua orang Cina menyokong
perjuangan PKM. Sebahagian besarnya adalah mereka yang "diatas pagar",
sebagaimana yang kita tahu, mereka yang bekerja di luar bandar sebagai
pelombong atau penoreh getah sering jadi mangsa ugutan PKM. Ada yang hilang
diculik dan ada juga yang dibunuh dengan kejam di hadapan keluarga mereka jika
enggan memberi sokongan kepada PKM. Sebahagiannya lagi memang anti-komunis dan
menyokong Koumintang. Kekuatan PKM pula dianggarkan 6,500 anggota sebelum
Darurat (majoritinya kaum Cina), dan mencecah 12,000 anggota pada tahun 1948,
dengan 60% adalah veteran MPAJA. Disamping itu, PKM mendapat sokongan ribuan
anggota Min Yuen (Gerakan Rakyat), yang bertindak sebagai pengintip,
menyediakan bekalan lojistik dan juga rekrut-rekrut baru. Dalam tahun 1952,
dianggarkan terdapat 11,000 anggota Min Yuen dan 4,000 darinya adalah anggota
bersenjata. Dengan jumlah pasukan gerila yang besar begini, Tanah Melayu
bolehlah dikatakan berada dalam situasi perang saudara.
Pada 21 Mei 1949, satu mesyuarat sulit telah diadakan di
hutan Kerdau, Pahang yang dihadiri oleh Abdullah CD, Wahi Annuar, Musa Ahmad
dan Chin Peng, dimana dalam perjumpaan itu, Ching Peng telah mengutarakan
cadangannya untuk menubuhkan satu rejimen yang baru dimana anggota-anggotanya
hanya terdiri dari orang-orang Melayu. Rejimen yang baru ini, akan diletakkan
dibawah pimpinan Abdullah CD, dan Wahi Annuar dilantik sebagai Timbalan
Komander, manakala Musa Ahmad pula dilantik sebagai Pegawai Politik (Political
Officer). Chin Peng juga mengumumkan bahawa mereka semua adalah anggota Parti
Komunis Malaya (PKM), kerana sebelum ini kebanyakkan anggota Melayu yang
menyertai PKM sebenarnya berhasrat untuk berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan
Tanah Melayu dengan melawan British. Malangnya, PKM telah mempengaruhi
parti-parti haluan kiri dan menggunakan mereka sebagai platform mendapatkan
kader-kader baru dari kalangan orang Melayu.
Mereka kemudiannya dipertanggungjawabkan untuk mengembangkan
lagi keanggotaan Rejimen ke-10 PKM ini, selain itu Chin Peng juga bersetuju
dengan cadangan nama Rejimen ke-10 ini berdasarkan angka 10 itu yang membawa
erti 10 Dzulhijjah (Hari Raya Korban) dalam kalendar Islam, suatu angka yang
agak menonjolkan imej Islamik yang mampu menarik perhatian orang-orang Melayu
untuk mendekati perjuangan mereka.
Pemimpin-pemimpin Melayu yang dilantik telah mencadangkan
hal-hal berikut:
- penggunaan songkok oleh anggota Melayu melambangkan identiti Melayu
- memberi kebebasan kepada Rejimen ke-10 untuk berhubung dengan anggota-anggota Melayu dari cawangan PKM di negeri-negeri lain di Tanah Melayu, dan meletakkan mereka dibawah pemerintahan Rejimen ke-10
- hanya membenarkan Rejimen ke-10 mendekati masyarakat Melayu, tanpa penglibatan anggota PKM berbangsa Cina
Chin Peng, bagaimanapun menolak mentah-mentah kesemua
cadangan-cadangan yang dibuat dengan alasan ia bakal mendatangkan masalah
perkauman di dalam PKM, tetapi yang sebenarnya, beliau cuba mengawal kuasa
orang Melayu di dalam PKM. Jika difikir secara lojik, masakan pemakaian songkok
boleh mendatangkan permasalahan antara kaum?
Tiga bulan selepas tarikh penubuhan Rejimen ke-10 ini,
seramai 500 anggota yang dinamakan "Tentera Tani" telah dimasukkan ke
dalam Rejimen ke-10. Mereka adalah orang-orang Melayu yang kebanyakkannya
berasal dari Temerloh dan Mentakab, Pahang.
Menuju ke kawasan selamat (Liberated Area)
Pada penghujung tahun yang sama (1949), Chin Peng telah
mengarahkan mereka ini bergerak ke utara, sebuah kawasan yang telah
"dibebaskan (liberated)" - iaitu, tanpa ancaman pasukan keselamatan,
supaya aktiviti mereka tidak terganggu. Hanya kerana 200 orang sahaja dari 500
yang bersenjata, Abdullah CD memutuskan anggota-anggota selebihnya tinggal di
Temerloh. Gerombolan 200 anggota bersenjata ini kemudiannya meninggalkan Luboh
Kawah dengan seorang penunjuk jalan berbangsa Cina. Hanya semasa dalam
perjalanan barulah mereka mengetahui destinasi yang dikenali sebagai
"kawasan bebas" itu adalah Gua Musang, Kelantan.
Perjalanan terpaksa ditangguhkan, setelah mereka beberapa
kali bertempur dengan pasukan keselamatan di Bukit Kuin, Pahang dan gerombolan
tersebut terpaksa berundur ke Kerdau. Dari sini, mereka menuju ke Gong, Raub.
Ketika inilah pula, akibat dari tekanan pasukan keselamatan, Abdullah CD
mengarahkan pasukan ini berpecah dua, dimana - Platun 1 dan Platun 2 dibawah
pimpinan Abdullah CD, dan Platun 3, Platun 4 dan Platun 5 dibawah pimpinan Wahi
Annuar, dengan Musa Ahmad sebagai timbalannya. Setelah beberapa ketika,
kedua-dua pasukan ini terputus hubungan, Musa Ahmad mencadangkan mereka kembali
ke Temerloh. Persetujuan dicapai, dimana Musa Ahmad bersama 50 anggota
meneruskan perjalanan ke Temerloh, dan baki selebihnya, 200 anggota tinggal di
Padang Piol, bersama-sama Wahi Annuar dan isterinya, Shamsiah Fakeh yang ketika
itu sarat mengandung.
Musa Ahmad dan 50 anggotanya telah tersesat dan terputus
hubungan dari pasukan-pasukan PKM yang lain, selama kira-kira setahun. Mereka
hanya bergantung kepada ubi kayu dan hasil makanan dari hutan, mengakibatkan
kebuluran. Setelah tiba di Ng Tiong Kiat Tapioca Plantation, mereka bersembunyi
di situ selama beberapa bulan, dan mula meninggalkannya setelah terdapat
kehadiran pasukan keselamatan. Pada penghujung tahun 1950, mereka tiba di
Mentakab dan berjaya menghubungi pasukan pimpinan Abdullah CD. Musa Ahmad
mendapat pujian dari Chin Peng kerana berjaya membawa pasukannya dengan
selamat, walaupun menghadapi pelbagai kesulitan.
Kumpulan yang berada dibawah pimpinan Wahi Annuar pula telah
beberapa kali diserang oleh pasukan keselamatan, hinggakan dia terpisah dengan
isterinya Samsiah Fakeh (selamat melahirkan anak lelaki semasa dalam
pemburuan). Oleh kerana mereka berterusan diburu oleh pasukan keselamatan,
Samsiah Fakeh telah dipujuk supaya menyerahkan anaknya yang berusia 3 bulan
untuk dibawa keluar dari hutan dan dibesarkan di China. Beliau bersetuju dan
menyerahkan anaknya itu kepada seorang anggota PKM. Tanpa pengetahuannya,
anaknya telah dihumbankan ke dalam sungai, kerana dikhuatiri akan tangisan bayi
itu lebih menyulitkan keadaan dan menimbulkan risiko kepada pasukannya. Wahi
Annuar kemudiannya menyerah kepada pihak berkuasa di Jerantut, Pahang diikuti
oleh 150 hingga 200 orang pengikutnya. Hal ini telah merendahkan moral Rejimen
ke-10 yang kehilangan sebahagian besar kekuatannya.
Pada tahun 1951 juga, satu mesyuarat diadakan antara
Abdullah CD, Musa Ahmad dan Chin Peng di Mentakab. Chin Peng mengarahkan mereka
mencari anggota baru bagi memperkuatkan kembali Rejimen ke-10. Di Temerloh,
mereka berjaya merekrut 70 hingga 100 anggota baru yang kebanyakkannya adalah
ahli-ahli yang direkrut dari Malay Nationalist Party (MNP), Angkatan Pemuda
Insaf (API) dan Pembela Tanah Air (PETA) yang ketika itu memang bersemangat
berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dari British.
Berundur ke sempadan Thai
Kemudian, dalam satu lagi mesyuarat pada tahun yang sama,
Chin Peng memberitahu bahawa keadaan semakin sukar bagi mereka kerana
menghadapi kekurangan bekalan makanan yang kritikal hasil dari kejayaan
Rancangan Briggs yang memisahkan penyokong-penyokong PKM di penempatan dipinggir-pinggir
hutan ke kampung-kampung baru yang dikawal ketat oleh pasukan keselamatan.
Jumlah anggota PKM juga berkurangan dari 12,000 (1948) kepada 7,000 orang
(1951), manakala British telah memperkukuh pasukan keselamatan pada tahun 1952,
dengan 22,200 anggota tentera (pasukan tempur sahaja), 26,000 anggota tetap
polis, 39,000 anggota Special Constables, 99,000 anggota Auxiliary Police dan
200,000 anggota Home Guard (50,000 darinya adalah kaum Cina). Chin Peng
merasakan bahawa mereka harus berundur ke sempadan Thai-Tanah Melayu buat
seketika untuk mengumpul kembali kekuatan. Sehubungan itu, Musa Ahmad dan
pasukannya diarahkan menuju ke Betong, manakala Abdullah CD diarahkan kembali
ke Temerloh sementara menunggu arahan selanjutnya.
Pada bulan September 1951, Musa Ahmad dan 40 anggotanya
menyertai satu pasukan yang dipimpin oleh isteri Siu Cheong. Beberapa minggu
kemudian mereka bertemu dengan Siu Ma, Ketua Kompeni dari rejimen ke-11 dan
sempat meraikan kejayaan pasukan Siu Ma yang berjaya membunuh Sir Henry Gurney
dalam satu serang hendap di Bukit Fraser. Pasukan Musa Ahmad tinggal
bersama-sama mereka selama 3 bulan, sehinggalah tiba di Jerkoh, Kuala Lipis
pada penghujung tahun 1952. Beberapa minggu kemudian, sepasukan gerila dari
Johor, pimpinan Ibrahim Mohamad juga menyertai mereka, disamping beberapa lagi
kumpulan kecil PKM berbangsa Cina.
Satu mesyuarat telah diadakan dalam bulan Jun 1953, dimana
ianya turut dihadiri 4 pemimpin kanan yang berjawatan State Committee Member
(SCM) iaitu, Lau Fatt, Ah Lid, Lao Chai dan Hor Leung. Anggota Melayu tidak
terlibat dalam mesyuarat ini dan telah diberikan tugas sentri. Mereka
bersukaria sehingga jam 0100, dan setelah semuanya tidur, seorang pengawal
peribadi kepada SCM Ah Lid, telah melepaskan tembakan membunuh SCM Ah Lid dan
mencederakan Lau Fatt dan Lao Chai. Pengawal peribadi tersebut melarikan diri
dan menyerah diri kepada pihak berkuasa. Tidak lama kemudian, kem mereka telah
di bom oleh pasukan artileri dan anggota tentera digugurkan dengan payung
terjun. Anggota-anggota PKM melarikan diri dan Musa Ahmad turut berundur dengan
60 anggota Melayu. Mereka kemudiannya disertai oleh Abdullah CD juga bersama 60
anggota, dan turut ditemani oleh seorang anggota wanita PKM yang berjawatan
tinggi, bernama Eng Meng Cheng. Tidak lama kemudian mereka tiba di Gunung
Kerbau, Perak pada bulan Julai 1953, melalui Cameron Highland, satu perjalanan
yang mengambil masa 6 bulan lamanya. Pada tahun yang sama, Rashid Mydin tiba
bersama-sama 10 anggota Melayu, termasuk Samsiah Fakeh.
Pada penghujung tahun 1953, mereka tiba di Belum dan
seterusnya merentasi sempadan Thai-Malaya. Mereka membina kem baru di Hala,
dalam daerah Betong. Pada pertengahan 1954, Abdullah CD, Rashid Mydin dan
majoriti anggota Melayu bergerak ke Tanjong Mas, Narathiwat. Musa Ahmad dan 10
anggota pula tinggal di Hala kerana menjaga isterinya (Zainab Mahmud) yang
sarat mengandung. Sebulan kemudian selepas melahirkan bayi perempuan, anaknya
itu diserahkan kepada satu keluarga Melayu Thai, dan mereka bergabung dengan
pasukan Abdullah CD.
Konflik dalaman
Suatu hari, seorang kurier telah tiba di markas Rejimen
ke-10 membawa surat arahan dari Chin Peng meminta Abdullah CD, Rashid Mydin dan
Musa Ahmad menuju ke Betong, Selatan Thai untuk menghadiri satu mesyuarat tergempar.
Turut disertai oleh Ahli Komiti Pusat (Central Committee Member) bernama Ng
Chin Kee @ Ah Sze dari Rejimen ke-12. Apa yang mengejutkan, dalam mesyuarat
ini, laporan telah dibuat bahawa salah seorang pemimpin Melayu (saya tidak mahu
namakan siapa dia disini) telah melakukan hubungan sulit dengan Eng Meng Cheng
sehingga dia terpaksa menggugurkan kandungannya. Eng Meng Cheng adalah isteri
kepada Ng Chin Kee, yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut. Berlaku
pertengkaran dan Ng Chin Kee mengeluarkan pistol tetapi telah dihalang oleh
Chin Peng. Sebagai hukuman, pemimpin Melayu tersebut dilucutkan jawatannya dari
Rejimen ke-10.
Selepas tamatnya Darurat pada tahun 1960, PKM kekal tinggal
di sempadan Thai-Malaysia dan memperkukuhkan kembali keanggotaan mereka,
daripada saki-baki 600 anggota yang berpengalaman, mereka berjaya merekrut
kira-kira 1,000 lagi anggota tambahan, dan melancarkan perang gerila secara
rasminya pada satu serang hendap ke atas pasukan keselamatan di Kroh-Betong
pada 17 Jun 1968. Konflik ini tamat apabila PKM bersetuju menandatangani
Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Dis 1989.
Berbalik kepada kisah perjuangan Rejimen ke-10, kita dapat
rasakan bahawa Chin Peng amat terdesak dan memerlukan sokongan orang-orang
Melayu bagi meneruskan perjuangannya mendirikan Republik Rakyat di Malaya.
Memandangkan isu agama dan komunis ibarat air dengan minyak yang tidak boleh di
campur-aduk, maka isu menuntut kemerdekaan dari British adalah isu yang paling
mudah menarik minat orang-orang Melayu yang patriotik, tambah lagi Indonesia
mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, setahun sebelum Darurat bermula.
Jika di China dan Vietnam, agak mudah untuk dakyah-dakyah
komunis mempengaruhi rakyat yang tertindas dan menderita akibat peperangan yang
panjang, di Tanah Melayu situasinya berbeza. Tanggapan saya, orang Melayu
berada di dalam keadaan selesa, selagi mereka mempunyai pekerjaan, bebas
beribadat (kerana British tidak mencampuri hal-ehwal Islam) tidak banyak yang
orang Melayu perlu buat dari segi politik (selain berusaha meningkatkan taraf ekonomi dengan mendapat peluang
pekerjaan yang baik), kerana ketaatan kepada Raja dan Sultan juga, mungkin
menghalang mereka dari memberontak, dan menyerahkan urusan politik kepada para pemimpin.
Namun apabila timbul isu-isu tertentu yang melibatkan kepentingan orang Melayu,
contohnya, apabila British cuba membentuk Malayan Union, menukar status negeri
naungan kepada negeri jajahan, orang Melayu mula bangkit menentang, menunjukkan
sikap yang berbeza dan diluar jangkaan British. Melihatkan sokongan rakyat yang
begitu kuat mempertahankan takhta sultan-sultan, hal itu telah menyedarkan
sekalian baginda sultan untuk turut berjuang bersama-sama rakyat jelata untuk
menggagalkan Malayan Union.
Sekarang, kita kembali lihat nasib orang-orang Melayu yang
memilih jalan berjuang dengan PKM. Memang malang apabila mereka hanya menjadi
alat kepada PKM, berlaku diskriminasi yang sangat kuat di dalam PKM.
Anggota-anggota PKM yang berjawatan tinggi tidak meletakkan kepercayaan kepada
anggota-anggota Melayu Rejimen ke-10 ini. Arahan-arahan penting dari
Politbureau tidak akan sampai ketangan mereka, bukan sahaja kepada anggota
bawahan, tetapi juga pemimpin-pemimpin kanan Melayu. Dokumen-dokumen penting
yang tidak diterima oleh anggota Melayu antaranya adalah:
- kritikan ke atas kepimpinan Chin Peng oleh beberapa Ahli Komiti Pusat
- Insiden Siew Law - kritikan oleh pemimpin PKM Melaka ke atas strategi dan polisi PKM
- Insiden Selatan Johor - kritikan Lam Swee ke atas kepimpinan PKM
- Dokumen Pendedahan Loi Tak - pemimpin dan juga mentor Chin Peng yang menghilangkan diri bersama-sama wang dana PKM
Lain-lain isu diskriminasi ke atas anggota Rejimen ke-10
- anggota Melayu diberikan senjata yang telah usang dan peluru yang tidak berkualiti, adakalanya tidak meletup apabila ditembak
- kualiti bekalan makanan yang teruk, apabila dibangkitkan isu ini, mereka diarahkan masuk ke kampung-kampung Melayu untuk mendapatkan bekalan yang lebih baik
- anggota Melayu tidak diberikan kebebasan memasuki kem-kem anggota Cina (kecuali mendapat kebenaran awal), tapi sebaliknya anggota Cina bebas masuk ke kem-kem anggota Melayu bila-bila masa
- dalam memberi propaganda, PKM mengelak dari memberitahu anggota Melayu bahawa agama dan ideologi komunis tidak boleh disatukan
Dengan kehadiran Chin Peng di Pahang pada 1949 hingga 1950,
pihak British memberikan keutamaan melakukan operasi disana, dan secara tidak
langsung juga berjaya melumpuhkan
kekuatan Rejimen ke-10 dari seramai 500 anggota pada awal penubuhannya, hanya
tinggal kurang 100 anggota apabila mereka berundur ke Selatan Thai. Jumlah
orang Melayu yang menyertai Rejimen ke-10 tidak pun sampai 10% dari jumlah
kekuatan PKM pada bila-bila masa sepanjang Darurat, tambah lagi kecurigaan PKM
kepada mereka yang beragama Islam menjadikan isu diskriminasi sesuatu yang
tidak dapat dielakkan.
Kesimpulannya, saya rasa mereka telah dipergunakan oleh PKM
tanpa mereka sedari, ya, sebahagian besar dari mereka. Selain itu, satu
persoalan di dalam benak saya apa yang sebenarnya menyebabkan keengganan saki-baki
mereka meninggalkan PKM selepas Tanah Melayu merdeka? Mungkin antara satu
misteri dunia yang tidak terungkai, atau anda fikir apa yang saya fikir?
Keengganan melepaskan ideologi yang telah sebati dalam diri mereka. Wahi
Annuar, sebagai contoh telah mengambil jalan yang betul dengan meninggalkan
perjuangan bersama PKM, jika atas kesedaran bahawa perjuangan bersama PKM itu
sia-sia dan tidak berlandaskan kebenaran berjuang atas nama kemerdekaan, maka
saya boleh kata beliau pejuang kemerdekaan.
Sumber rujukan:
- "The Communist Party of Malaya - The Inside Story", tulisan Aloysius Chin (1995). Beliau bersara sebagai Senior Asst. Commissioner of Police (ACP) dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (Operasi).
- "The Malayan Emergency in Retrospect: Organisation of A Successful Counterinsurgency Effort", oleh R.W. Komer (1972) - The Rand Corporation -
- Wikipedia